Ahad, 5 Mac 2023

ARSENE LUPIN 813 - Maurice Leblanc


 

Ini merupakan buku ke empat Lupin yang hamba baca dan yang paling tebal berbanding yang lain. Setelah agak bosan membaca installasi ketiganya, buku kali ini menyajikan jalan cerita yang lebih baik serta plot twist yang tidak disangka-sangka.

Semenjak kes The Hollow Needle Lupin sebenarnya telah dianggap mati kerana telah tidak muncul di khalayak selama empat tahun. 813 adalah kemunculan semula Lupin yang menyerlahkan kehebatan beliau di dalam penyamaran.

Apabila berlakunya pembunuhan Rudolf Kesselbach di Hotel Palace nama Lupin muncul kembali apabila kad namanya ditemui pada tubuh si mati (kad nama digunakan secara meluas oleh orang ramai pada zaman itu sebagai cara memperkenalkan diri). Masyarakat agak gempar kerana Lupin yang disangkakan telah mati kini muncul semula. Tepai benarkah Lupin telah melakukan pembunuhan tersebut. Ini kerana walaupun beliau terkenal sebagai seorang pencuri besar, Lupin tidak melakukan pembunuhan di dalam kegiatannya.

Monsieur Lenormand, ketua detektif berpendapat bahawa bukan Lupin yang melakukan pembunuhan tetapi terdapat seorang insan lain yang begitu misteri. Dalam masa yang sama Lupin juga bertindak melakukan penyiasatan sendiri bagi membersihkan namanya. Dua vcebis kertas yang tertulis 813 yang ditemui di lokasi pembunuhan telah menjadi tanda tanya.

Sepanjang 4 tahun kehilangan Lupin, beliau sebenarnya cuba menjalkani kehidupan sebagai seorang yang jujur dan baik. Tetapi lama kelamaan beliau gagal melawan nafsunya untuk bergiat semula menjadi seorang pencuri besar. Lebih memeranjatkan apabila kita kemudiannya mengetahui bahawa Lenormand sebenarnya adalah Lupin. Sepanjang 4 tahun itu Lupin menyamar menjadi seorang ketua detektif yang telah menyelkesaikan banyak kes jenayah! Sepanjang itu juga beliau terkenal kerana kecekapannya menjalankan tugas. Pembongkaran siapa Lenormand ini merupakan salah satu plot twist yang memeranjatkan.

Daripada pembunuhan yang disangkakan bagi mencuri harta, ia melarat pula kepada rahsia yang dismpan oleh Rudolf Kesselbach dan sahabatnya Steinweg mengenainya seorang lelaki bernama Pierre Leduc. Dan ia berkembang lagi apabila Leduc mempunyai kaitan dengan keturunan pembesar zaman silam. Kemudian ia melarat pula kepada surat-surat rahsia yang melibatkan beberapa negara Eropah.

Kali ini Lupin berhadapan dengan beberapa penjenayah yang ganas serta hebat. Ia menjadikan cabaran yang dihadapi oleh Lupin kali ini amat hebat. Di samping bergelut untuk menyelesaikan kes Kesselbach, Lupin juga bergelut untuk menjaga keselamatan serta kebajikan anak perempuannya secara rahsia. Satu demi satu masalah diselesaikan dan satu demi satu rahsia dibongkar. Namun Lupin kelihatan sukar untuk sampai kepada the real culprit. Namun apabila kita mengetahui tentang penjenayah utamanya, di sinilah berlakunya elemen kejutan terbesar., Kejutan itu sesungguhnya bukan sahaja memeranjatkan Lupin tetapi turut mengecewakan jiwanya.

Kisah kali ini penuh dengan pengkhianatan demi untuk mendapatkan kembali kekuasaan yang hilang. Pengkhianatan ini pula berlaku bukan hanya kepada sahabat tetapi juga kepada pasangan dan adik beradik. Ternyata 813 menghidangkan kisah penuh tragis berbanding tiga buah buku Lupin yang hamba pernah baca sebelum ini. Walaupun beliau seorang pencuri, tetapi cara beliau berfikir dan menyelesaikan misteri, mempunyai gaya seperti Sherlock Holmes, satu watak yang juga muncul pada era Lupin.

Tetapi apakah pula nombor 813 ini? Tidak guna hamba cerita nanti menggganggu mood pembacaan anda. Sila beli dan baca sendiri!



Kenitra - Pelajar budiman!!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...