Isnin, 20 Mac 2023

AZRAHEL SI PENJEJAK KUBUR - Abu Huzaifah Bidin


Perkara pertama yang singgah di fikiran hamba ketika membaca tajuk novel ini ialah adakah ia sama seperti kisah Lara Croft dalam Tomb Raider. Tapi Tomb Raider adalah penjarah makam sedangkan ini adalah penjejak kubur - dua perkara yang berbeza. Berkemungkinan mengetahu bahawa pembacanya mungkin ada yang berfikiran sedemikian maka penulis dalam bab yang awal lagi telah menerangkan tentang latar belakang pekerjaan penjejak kubur ini. Ia satu profesyan di masa hadapan bagi mencari mayat mereka yang terkorban di dalam peperangan. Para penjejak kubur ini mendapat bayaran yang lumayan lantaran tugas mereka yang merbahaya kerana terpaksa masuk ke dalam zon peperangan.

Ini adalah kisah masa hadapan di sebuah bandar fiksyen bernama Kersani. Tidak dinyatakan sama ada Kersani ini adalah Tanah Melayu di masa yang lalu tetapi terdapat beberapa nama tempat hari ini di Tanah Melayu yang disebutkan di sini seperti Serendah.

Misi Azrahel mencari mayat yang bernama Victor menerima kejutan apabila mayat berkenaan 'hidup' semula. Kisah ini tidak habis begitu sahaja apabila selepas itu berlaku banyak lagi peristiwa yang lebih besar. Regina, isteri Victor, perempuan yang mengupah Azrahel kemudiannya didapati terbunuh, sekaligus mengaitkan nama Azrahel. Namun Azrahel dapat mengesan individu lain yang telah membunuh Regina melalui CCTV yang tersembunyi. Lelaki yang dikenali dengan nama Botak Chin ini merupakan salah seorang ketua kongsi gelap yang ditakuti di Kersani. Namun Azrahel dapat mengesan bahawa itu bukan Botak Chin. Botak Chin telahpun mati dan di dalam jasadnya adalah Victor! Yup penulis membawakan kita satu keadaan yang hamba rasa belum berjumpa lagi di mana-mana novel Melayu iaitu roh boleh ditukar ke dalam bentuk digital dan seterusnya mengisi mana-mana jasad. Ini menjadikan orang yang sebegini akan hidup abadi!

Maka semakin banyak tanda tanya yang muncul. Ia kemudiannya membawa kepada sesuatu yang lebih besar seperti peperangan antara kongsi gelap, perang kongsi gelap dengan polis. polis yang khiuanat, pencerobohan ke sempada negara lain, konspirasi korporat dalam perniagaan senjata dan pelbagai lagi. 

Di sini Azrahel juga bertemu dengan seorang teman lamanya yang bernama Juliana yang akan membuatkan pembaca tertanya-tanya Juliana ini sebenarnya di npihak siapa. Hamba rasa penulis amat bijak memanipulasikan watak ini untuk mengelirukan pembaca.

Selain daripada kisah roh yang boleh didigitalkan, penulis juga membawa pembaca melihat zaman di mana AI - artificial intelligent adalah satu keperluan semasa. Bahkan AI zaman ini yang boleh muncul dalam bentuk hologram, ada yang mempunyai pemikiran dan perasaan seperti manusia. Mereka boleh marah, merajuk dan terasa hatiu sehingga membawa kesan yang buruk kepada pengendalinya. Penulis menamakan beberapa AI dengan beberapa nama yang istimewa yang pastinya dapat kita kenali seperti Noor (Noor Kumalasari), Mazlan (Inspektor Mazlan Geraj Khas), Atid (tuannya bernama Raqib) dan lain-lain lagi. Beberapa nama individu, tempat dan senjata juga dinamakan dengan nama Melayu yang klasik.

Satu yang hamba suka membaca novel ini adalah kerana penggunaan bahasanya yang mudah serta bab-babnya yang pendek. Jadi agak mudah nikalau hamba hendak berhenti membaca di mana-mana tanpa perlu risau nak menghabiskan banyak muka surat untuk menyudahkan sesuatu bab. Walaupun babnya disusun pendek, buku ini agak tebal juga - melebihi 500 muka surat.

Novel ini adalah hasil tulisan seorang penulis yang baru pertama kali hamba baca tulisannya. Tetapi beliau mempunyai idea yang menarik serta cara menulis yang tidak membosankan. Rasanya akan datang hamba boleh lagi baca hasil air tangan beliau.


Belum dapatkan KENITRA lagi? Rugiiiiiiiiiiiiiiiiii!!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...