Sabtu, 25 Mac 2023

MALAYA 1941 - Rafe Rahmat & Hairil Anuar


Kebanyakan pengkisahan sejarah tanah air kita ditulis dalam bahasa asing. Lebih-lebih lagi sejarah yang berlaku sebelum merdeka. Kebanyakan penulisnya pula adalah daripada bangsa yang menjajah kita. Sejarah yang mereka catat sama ada yang mereka alami sendiri, terjadi semasa mereka berada di Tanah Melayu ataupun mengikut kajian yang mereka jalankan sendiri. Di samping itu mereka turut membuat catatan tentang adat istiadat, budaya, bahasa, sastera dan pelbagai perkara yang melibatkan orang kita. Kurangnya orang kita yang menulis menyebabkan banyak kajian yang menjadikan tulisan mereka ini sebagai bahan rujukan. Selain itu tulisan mereka ini pula kebanyakannya masih kekal di dalam bahasa asal dan hanya sedikit yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, menjadikan semakin kurang bahan ini dibaca orang kita. Lebih membimbangkan, memandangkan rekod asal ini ditulis pada masa lalu, tiada lagi cetakan baharu yang dibuat. Cetakan yang ada telah amat lama dan hanya tinggal beberapa buah sahaja yang kebanyakannya hanya berada di perpustakaan atau di tangan pengumpul buku-buku lama.

Buku Malaya 1941 hadir bagi mengisi kekosongan ini. Melihat kepada tajuknya, jelas menunjukkan ia berkaitan sejarah yang berlaku pada tahun berkenaan sahaja yang telah mencatatkan satu lagi titik hitam dalam lembaran sejarah kita iaitu penaklukan Jepun ke atas Tanah Melayu.

Malaya 1941 cuba membawakan hampir terperinci tentang perjalanan Jepun menakluki Tanah Melayu bermula dengan penaklukan Kota Bharu. Sedikit demi sedikit mereka bergerak sehingga ke selatan tanah air. Pergerakan mereka ini cuba dipatahkan oleh tentera British namun Jepun umpama gelombang besar yang tidak takut untuk melanggar apa sahaja.

Beberapa pertempuran yang masyhur sepanjang perjalanan Jepun menuju ke selatan turut dipaparkan seperti pertempuran Kota Bharu, pertempuran Jitra, pertempuran Kampar, pertempuran Slim River, pertempuran  Gemas, Muar & Parit Sulong dan pertempuran Endau. 

Jepun tidak datang dengan tangan kosong. Mereka telah melakukan 'kerja rumah' mereka dengan sebaiknya dengan meletakkan ajen-ajen mereka di serata tanah air. Penyamaran sebagai jurugambar, peniaga, mekanik dan lain-lain telah membolehkan mereka mengorek rahsia tanah air serta mengenal pasti rahsia dan kelemahan sesuatu tempat. Ini ditambah dengan tali barut mereka yang berada di dalam tentera British sendiri.

Walaupun British dengan pelbagai pasukan yang ada cuba mempertahankan Malaya dan menghalang kemaraan tentera Jepun, mereka dilihat kurang bersedia dalam banyak hal. Bahkan ramai anggotanya yang tidak berpengalaman berperang di kawasan tropika. Amat memeranjatkan bahawa British tidak mempunyai kereta kebal lansung! Berbanding dengan tentera Jepun yang membawa bersama banyak kereta kebal, mereka dengan mudah mara dengan pantas. Selain itu British juga bergantung harap dengan aset kapalterbang yang uzur dan tidak setanding dengan aset tentera Jepun. Namun yang lebih penting adalah perancangan pihak British adalah amat lemah ditambah dengan karenah birokrasi dari London. Sikap British yang memandang rendah kemampuan Jepun akhirnya memakan diri mereka sendiri.

Malaya 1941 turut menampilkan senarai beberapa tokoh utama yang terlibat di dalam peperangan ini daripada kedua belah pihak. Nampaknya tiada nama anak watan yang tersenarai. Selain itu aset-aset ketenteraan yang digunakan kedua belah pihak juga diterangkan dengan jelas termasuk kekuatan dan kelemahannya.

Sesuai dengan tajuk buku ini, ia hanya memaparkan kemaraan Jepun sehingga ke Johor Bahru sahaja. Ia tidak melampaui usaha Jepun untuk menakluki Singapura. Kerana itu kita tidak akan dapat membaca kisah keberanian Leftenan Adnan yang mempertahankan kubu terakhir British di Bukit Chandu.

Buku ini adalah satu catatan penting sejarah tanah air yang seharusnya menjadi simpanan para pencinta sejarah. Tidak hanya sekadar membacanya, kita harus mengambil iktibar agar bangsa kita tidak akan mengulangi lagi kesilapan lalu demi memastikan negara ini terus kekal bebas dan merdeka.


Nota - Artikel ini telah tersiar di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 24 Mac 2023, ruangan Resensi Gaya menggunakan tajuk ' Cara Jepun Buat Kerja Rumah Tawan Malaya'.



KENITRA adalah sejarah anak Melayu
di bumi Maghribi. Dapatkan segera!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...