Ahad, 30 April 2023

25 TAHUN PEMERINTAHAN DYMM DI ATAS TAKHTA KERAJAAN NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN (1960-1985) - Mohd. Yusoff Hashim


 

Buku ini hamba beli di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Klang beberapa bulan yang lalu. Hamba membuat lawatan tanpa perancangan apabila membawa anak hamba menduduki ujian kemasukan ke Kolej Sultan Alam Shah yang terletak berhampiran. Jadi sementara beliau bergelut dengan soalan ujian, hambapun menggunakan masa yang ada untuk melakukan aktiviti yang sebaiknya.

Buku di tangan hamba adalah cetakan pertama September tahun 1985. Ia tidak dapat menceritakan secara keseluruhan tentang pemerintaan baginda Sultan Abdul Aziz. Baginda memerintah Selangor selama 41 tahun dan mangkat pada 21 November 2001 sewaktu menjadi Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-11. Ayahanda baginda, Sultan Hisamuddin Alam Shah juga mangkat sewaktu menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke - 2. Kemangkatan baginda dapat hamba ingati kerana pada tahun 2001 hamba bertugas di Jabatan Perdana Menteri, di mana pejabat Istana Negara adalah berada di bawah JPM. 

Buku bercetak kulit keras ini mengandungi kisah ringkas mengenai Almarhum Sultan Abdul Aziz. Turut dimuatkan adalah mengenai sejarah negeri Selangor dan kesultanannya. Riwayat ringkas beberapa orang pemerintah Selangor sebelum baginda juga turut dimuatkan. Selain daripada kisah mengenai almarhum tuanku, beberapa pandangan serta idea baginda untuk memajukan negeri, pesanan kepada rakyat dan juga penjawat awam turut dimuatkan. Banyak gambar-gambar yang boleh dikatakan ekslusif dimuatkan di dalam buku ini.

Satu bab yang amat penting yang menjadi bab terakhir di dalam buku ini adalah mengenai penubuhan Wilayah Persekutuan. Seperti yang kita maklum, Kuala Lumpur dahulu adalah berada di bawah kedaulatan negeri Selangor. Kuala Lumpur dipilih untuk menjadi sebuah wilayah khas di bawah kerajaan persekutuan disebabkan peranannya sebagai kawasan pemerintahan yang telah bermula sejak sekian lama. Sultan Selangor yang berpandangan jauh serta memikirkan tentang keutamaan negara telah memberikan keizinan agar Kuala Lumpur menjadi sebuah wilayah milik kerajaan persekutuan. Banyak perbincangan dan jawatankuasa yang telah dibentuk bagi merealisasikan perkara ini. Tidaklah mudah sebenarnya untuk terus melaksanakan hal ini. Kerajaan Selangor telah diberikan pampasan oleh kerajaan persekutuan dengan mengambilkira kerugian hasil negeri yang sepatutnya dapat dikutip, perpindahan jabatan-jabatan di bawah kerajaan negeri ke Shah Alam dan lain-lain perkara lagi. Kedudukan Sultan juga diambil kira dan diletakkan keutamaan baginda dalam majlis-majlis rasmi di Kuala Lumpur ditempat kedua selepas Yang di-Pertuan Agong.

Sejarah berulang semula apabila sultan yang sama kemudiannya menyerahkan kawasan Perang Besar kepada kerajaan persekutuan yang hari ini dikenali dengan nama Putrajaya. Hamba tidak pasti sekiranya ada buku yang datang kemudian yang memperihalkan riwayat baginda dengan lebih lengkap lagi. Buku ini sewajarnya dikemaskini semula bagi mencatatkan kisah baginda dengan lebih terperinci lagi terutamanya apa yang berlaku selepas tahun 1985 sehinggalah kemangkatan baginda pada tahun 2001.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...