Jumaat, 28 April 2023

ADAT MINANGKABAU POLA DAN TUJUAN HIDUP ORANG MINANG - Amir M.S.


 

Buku ini tidaklah hamba membelinya dari mana-mana kedai buku sama ada kedai fizikal mahupun di atas talian. Ia hamba beli di sebuah kedai makan Minang di Seremban bernama Restoran Bundo Kanduang. Ia adalah tempat makan yang menjadi pilihan ayah dan arwah omak hamba. Mungkin kerana hidangan Minang kena dengan selera kami orang Nismilan yang juga bersusur galur dari Tanah Minang sana. Memandangkan hamba ingin menjadikan buku-buku tentang Adat Perpatih sebagai satu koleksi dan bahan rujukan, maka buku ini hamba beli tanpa ragu-ragu.

Sebenarnya, walaupun orang di Nismilan dikatakan mengamalkan Adat Perpatih, adat yang kami amalkan tidaklah lagi seratus peratus sama dengan tempat asalnya. Sama ada pelaksanaannya telah luntur disebabkan kemodenan, atau ia juga boleh berubah disebabkan cara pemikiran moden serta peninggalan adat-adat yang tidak selari dengan ajaran Islam.

Buku ini menerangkan secara ringkas tentang pengamalan adat ini di Ranah Minang sendiri. Antaranya ialah mengenai adat sopan santun, sistem kekerabatan, nagari, suku, penghulu, tingkatan adat, pola pemikiran, peneraan adat,sistem pusaka, sifat-sifat orang Minang, ciri masyarakat Minang dan yang paling penting iaitu adat ini menentapkan bahawa ia adalah bersendi syara' dan syara' bersendi KitabulLah.

Dalam bab-bab akhir penulis memasukkan beberapa tulisan beliau yang pernah tersiar di beberapa majalah tentang adat. Antaranya ialah tentang sejarah Alam Minangkabau, rang sumando gadang malendo, penghulu andiko, perkahwinan adat Minang, malakok, ciri orang Minang dan lain-lain lagi.

Di dalam tulisan beliau di dalam artikel-artikel ini, beliau turun menyatakan kerisauannya tentang pengamalan adat ini di rantau Minang sendiri yang kelihatan mulai terhakis terutamanya disebabkan oleh kemodenan hidup. Antaranya ialah tentang pewarisan pusaka yang tidak selari dengan undang-undang tanah, anak-anak yang tidak lagi mengetahui tentang fungsi mamak dalam keluarga sehingga mereka dipanggil dengan panggilan pakcik atau oom - satu yang tidak dapat diterima serta dilihat sebagai tidak tahu adat. Juga beberapa isu lain seperti perkahwinan orang Minang dengan non-Minang yang akan memberikan impak tentang taraf Minang anak-anak mereka.

Hamba mengambil masa yang agak lama untuk mengkhatamkan buku ini. Tulisannya agak berat bagi hamba yang baru mula nak memahami adat ini daripada perspektif negeri asalnya. Banyak perbilangan adat yang dimasukkan di dalam setiap bab dan menggunakan bahasa Minang sendiri. Mujurlah cetakan yang hamba baca ini (cetakan kelima) sudah mempunyai 'terjemahan' di dalam bahasa Indonesia. Namun hamba akui walaupun sudah diterjemahkan, terdapat juga beberapa perkataan di dalam bahasa Indonesia yang tidak hamba fahami.

Hamba sebenarnya sudah mempunyai beberpa buah buku lagi berkenaan Adat Perpatih ini. Hanya masa sahaja yang diperlukan untuk menyudahkan pembacaan kesemuanya.


KENITRA adalah berkenaan anak Minang
di rantauan. Orang Minang di Indonesia
silalah mendapatkannya!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...