Isnin, 15 Mei 2023

EMPAYAR 2 : HIKAYAT MUKJIZAT DARIPADA IBLIS - Teme Abdullah


 

Jika dalam Empayar 1 kisahnya berfokus kepada Putera Aradhana Sastra ataupun pelatih 8492, dalam trilogi kedua ini ia bertumpu pula kepada sahabat baik putera semasa di Madrasah Taming Sari iaitu pelatih 6480. Novel ini bermula dengan pengkisahan keluarga pemimpin Orang Laut. Membacanya, terus sahaja hamba meneka bahawa watak yang akan diberikan perhatian kali ini oleh penulis adalah pelatih 6480. Hamba membuat kesimpulan ini kerana dalam bahagian pertama, tidak banyak nama watak yang ditonjolkan sebagai watak-watak utama. Sementelahan pula pelatih 6480 wataknya banyak berjalan seiring dengan pelatih 8492.

Tiada lagi watak pelatih 8492 di dalam installasi kedua ini. Hanya nama beliau sahaja disebut di dalam dialog atau perjalanan cerita. Ini menjadikan kisah beliau masih kekal misteri. Penulis membuat kejutan apabila Madrasah Taming Sari diceroboh dan ditawan oleh sekumpulan yang mendakwa diri mereka sebagai pejuang Islam. Mereka mahu menjatuhkan kesultanan yang mereka dakwa sudah jauh dari landasan Islam. Keluarga Sultan pula dikatakan ada mengamalkan ilmu sihir. Penawanan madrasah tersebut adalah bagi membolehkan kumpulan ini meluaskan kuasanya. 

Pelatih 1636 yang terkenal dengan peribadi talam dua mukanya di dalam novel yang pertama meneruskan lagi niat jahatnya. Beliau mahu menjadi salah seorang pemimpin di dalam jemaah sesat ini dan dalam masa yang sama berpura-pura di hadapan para pelatih yang lain. Walaupun pada awalnya beliau kelihatan seperti mahu membantu dua orang pelatih - 6480 dan A-kaf 3808, melepaskan diri dari madrasah bagi mendapatkan bantuan daripada tentera sultan, beliau sebenarnya turut membuat perancangan lain bagi menghalang niat mereka. Walau bagaimanapun kedua pemuda ini terlepas. Malangnya guru mereka, Mualim Jawa pula yang tewas.

Latar belakang pelatih 6480 perlahan-lahan disingkap oleh penulis melalui musafirnya bersama A-kaf 3808. Pertemuan semula beliau bersama kekandanya Daeng Anding secara perlahan-lahan memulihkan persepsi beliau terhadap kumpulan Orang Laut yang disangkanya selama ini adalah lanun yang bermaharajalela di lautan. Rupanya mereka adalah sebahagian daripada armada Kesultanan Aradhanapura.

Kisah penawanan semula Madrasah Taming Sari oleh tentera kesultanan sepatutnya menjadi klimaks novel ini. Hamba menjangkakan satu adegan penawanan semula yang adanya bab pertempuran. Malangnya ia tidak berlaku. Tahu-tahu penceritaan sudah dibawa kepada peristiwa madrasah tersebut sudahpun dibebaskan. Pemimpin ajaran sesat ini pula diberitakan sudah membunuh dirinya. Manakala dua orang pengikut kanannya berjaya melarikan diri. Dua orang ini pula sebenarnya sudah mahu menjarakkan diri daripada pemimpin mereka yang telah tersingkap penyelewengannya. 

Sikap kepura-puraan pelatih 1636 akhirnya tersingkap juga setelah pelatih lain mendapatkan kepastian daripada Daeng Anding tentang peribadi Putera Aradhana Sastra. Beliau akhirnya dihalau keluar daripada madrasah. Namun beliau pergi dengan perasaan dendam. Mungkinkah beliau akan bergabung dengan salah seorang orang kanan yang melarikan diri tadi memandangkan beliau kelihatan seperti mastermind sebenar kesesatan yang berlaku?

Sepanjang dua novel ini, penulis cuba membangkitkan tentang segelintir manusia yang cuba menggunakan agama untuk mencari pengaruh. Penggunaan agama menyebabkan manusia mudah tertarik dan secara perlahan-lahan pemimpin yang sesat ini akan mengambil kesempatan untuk berkuasa serta merasai pelbagai nikmat yang ada. Manusia amat mudah untuk dikelabui pengelihatannya hanya berdasarkan penampilan seseorang. Tanpa mempunyai ilmu yang mantap maka seseorang akan mudah terpengaruh dan taasub hingga membawa kepada kerosakan yang selanjutnya!


Korang tak nak try baca kisah Putera Kenitra?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...