Selasa, 2 Mei 2023

EMPAYAR HIKAYAT PUTERA TANPA NAMA - Teme Abdullah


 

Teme Abdullah telah berjaya memikat hamba melalui trilogi Kapal Terakhir Di Dunia yang telah selesai hamba baca dan ulas beberapa bulan yang laiu. Lantas trilogi Empayar ini hamba jangkakan akan menghiburkan hamba juga seperti buku yang disebutkan tadi.

Pada mulanya hamba merasakan bahawa latar masa kisah ini adalah pada masa yang lalu, zaman pendekar, zaman kepahlawanan dan zaman kemegahan empayar Melayu. Tetapi menelusurinya, kisah ini kelihatan umpama berlaku di masa hadapan, ketika kota Kuala Lumpur sudah hilang kemegahannya dan bertukar nama kepada Kawah Lumpur. Namun cara hidup masyarakatnya sama dengan kehidupan masa lampau dan tidak kelihatan sebarang unsur moden dalam lakaran tempat dan kehidupan masyarakatnya.

Cerita bertumpu kepada kehidupan pelajar tahun pertama Madrasah Taming Sari. Ia adalah sebuah madrasah elit yang melatih dan menyediakan penuntutnya untuk menjadi primpinghadapan Kesultanan Aradhanapura. Ia mengingatkan hamba kepada sebuah sekolah untuk anak bangsawan di negara kita - Kolej Melayu Kuala Kangsar! Pemilihan penuntutnya dibuat dengan ketat. Hanya yang terbaik sahaja layak berada di sana. Di permulaan novel ini, penulis turut memuatkan lakaran madrasah. Kelihatan jelas madrasah ini berada dalam sebuah kota yang kukuh. Mempunyai beberapa buah bangunan seperti musolla, penginapan pelajar, bangunan utama serta kamar hukuman. Ia kelihatan padat dengan rimbunan pepohonan.

Para pelajarnya tidak dipanggil dengan nama. Mereka dipanggil dengan nombor! Justeru identiti asal mereka tidak tersingkap sepenuhnya. Agak sukar pada mulanya hendak mengenalpasti watak-watak yang menggunakan nombor empat digit seperti nombor plat kereta ini. Namun lama-kelamaan pembaca akan merasa biasa. Syukurlah untuk installasi pertama ini tidak berapa banyak watak bernombor yang muncul!

Dalam kehidupan pelajar tahun pertama ini kita akan dihidangkan dengan konflik yang melanda dua orang pelajar iaitu Pahlawan 1636 dan pelatih 8492. Entah mengapa situasi pelatih seperti ini mengingatkan hamba kepada drama bersiri High Council! Pahlawan adalah satu jawatan kepimpinan pelajar. Ia dibantu oleh para A-Kaf iaitu orang kanan kepada pahlawan. Kumpulan ini dilihat amat berkuasa di dalam mengawal pelatih walaupun mereka sebenarnya adalah rakan sepengajian. Pahlawan mempunyai kuasa untuk membuat peraturan sendiri - memang tak ubah macam High council!

Teme menggunakan medium novel ini untuk menegur segelintir masyarakat yang menggunakan agama untuk kepentingan diri sendiri. Ini digambarkan melalui watak Pahlawan 1636. Walaupun dikatakan pernah belajar di pesantren, watak ini tidak teragak-agak menggunakan apa-apa dalil untuk menyokong hujahnya walaupun memetik hadith yang munkar. Keinginan untuk mencapai sesuatu menyebabkan beliau sanggup memfitnah dan berlindung di sebalik watak alim.

Watak Pelatih 8492 pula adalah lawan beliau, seorang yang misteri, merendah diri, seorang yang berisi namun menyembunyikan kukunya. Wataknya yang misteri ini dapat hamba baca akhirnya apabila dikatakan bahawa Pahlawan 1636 menyamar sebagai putera raja Aradhanapura yang melarikan diri dari istana. Hamba terus menebak - Pelatih 8492 itulah putera sebenarnya!

Adegan debat atau perbahasan antara Pahlawan 1636 dan Pelatih 8492 mengingatkan hamba kepada perdebatan antara Imam Mihad dan Majlis Agama di dalam novel Imam oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussain. Walaupun begitu debat di antara kedua pelatih ini adalah l;ebih ringan sesuai dengan usia dan tahap pengajian mereka. Debat bertemakan cinta ini menunjukkan kehebatan kedua-duanya berhujah dengan Pahlawan 1636 kerap menggunakan dalil mengikut suka hatinya tanpa berlandaskan hujah yang betul. 

Agak mengecewakan kerana kesudahan novel ini tergantung. Perlawanan yang sepatutnya berlaku antara pelatih yang berseteru tadi tidak menjadi kenyataan apabila Pelatih 8492 melarikan diri atas sebab yang tertentu. Jadi novel ini tidak boleh berdiri dengan sendirinya atau menjadi sebuah kisah yang independen kerana kisahnya tergantung dan pembaca perlu mendapatkan sambungan novelnya. 

Tulisan Teme di dalam novel ini, walaupun mengandungi 340 mukasurat, ia sebenarnya tidaklah terlalu tebal kerana ia mempunyai langkauan (spacing) yang agak besar sekaligus memakan mukasurat yang banyak. Kekerapan Teme menulis "..........." dalam beberapa baris bagi melambangkan jeda juga amat memakan mukasurat. Hamba percaya kesemua kisah dalam novel ini boleh sahaja disatukan dalam sebuah buku. Namun dengan teknik pemasaran penerbitnya, pemecahan buku dilihat lebih menguntungkan.


Cerita KENITRA memadai dalam
satu buah buku sahaja


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...