Rabu, 31 Mei 2023

ISABELLA - Maulana Muhammad Saeed Dehlvi


 

Naskhah ini hadir ketika lagu Isabella dendangan Search sedang masyhur di serata pelosok tanah air. Walaupun kisahnya telah ditulis sebelum lagu itu menjadi popular, dan ia sama sekali tiada kaitannya dengan lagu tersebut, populariti lagu Search berkenaan telah memberikan impak yang positif terhadap buku ini. Hamba yang ketika itu bersekolah di peringkat menengah berpeluang membaca buku ini - tentunya dengan meminjam daripada rakan memandangkan hamba tidak mampu untuk berbelanja membeli buku ketika itu. Walaupun telah membacanya lebih 30 tahun yang lalu hamba masih mengingati salah satu watak utamanya yang bernama Umar Lahmi.

Buku tulisan Maulana Muhammad Saeed Dehlvi ini telah diterjemahkan oleh Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain. Walau bagaimanapun ketika buku ini muncul di pasaran, beliau masih belum berstatus Sasterawan Negara lagi. Abdullah ada menceritakan serba sedikit mengenai pengalaman beliau dengan buku Isabella ini di dalam buku beliau yang bertajuk Perjalanan Mencari Hikmah di mana pihak penerbitan berusaha untuk mencari penulis asal buku ini bagi urusan keizinan dan saguhati. Namun usaha itu menemui kegagalan. Carian hamba di internet juga tidak menemui jawapan tepat siapakah individu yang bernama Maulanan Muhammad Saeed Dehlvi ini. Carian terdekat hanya menemui nama seorang tokoh - Ahmad Saeed Dehlavi yang pernah menjadi Setiausaha Agung pertama Jamiat Ulama - e Hind (Persatuan Ulama India) serta presiden ke-lima persatuan tersebut. Beliau telah meninggal dunia pada 4 Disember 1959. Justeru tidak diketahui sampai hari ini tentang siapakah sebenarnya individu yang mengarang Isabella ini. Mungkin pembaca lain ada maklumat tentang hal ini.

Walaupun ditulis dalam bentuk novel, buku ini sebenarnya adalah lebih berat kepada pengajian perbandingan agama, dalam konteks ini adalah Islam dan Kristian. Ia mengambil latar masa zaman keagungan Islam di Andalus dengan mengambil Cordoba sebagai latar tempatnya.

Bermula dengan mencuri dengar perbualan di antara Umar Lahmi dan sahabatnya Maaz mengenai tulisan St. Paul dalam salah satu suratnya bahawa hukum-hukum agama itu merupakan satu kutukan, Isabella dan dan rakan-rakan mereka telah melahirkan minat untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut lagi. Ia kemudiannya membawa kepada perbahasan antara Umar Lahmi dengan para paderi. Daripada sekecil paderi sehingga kepada tokoh-tokoh besar mereka, tiada siapa yang dapat mematahkan hujah Umar Lahmi sehingga membawa kepada kegemparan di Cordoba.

Segala hujah ilmiah daripada Umar Lahmi telah menarik minat Isabella dan rakan-rakannya sehingga membawa kepada pengislaman mereka kemudiannya. Akibat keyakinan kepada agama Islam, Isabella telah ditahan di sebuah biara dan dikenakan siksaan. Beliau akhirnya berjaya diselamatkan oleh rakan-rakan baiknya. Selepas itu perkembangan cerita terus melangkau kepada kisah-kisan yang berlaku dalam selang masa beberapa taun selepas itu dengan kisah pengakhirannya adalah perbahasan di antara Isabella dengan seorang paderi wanita yang dikatakan mampu mengalahkan Isabella bahkan mempunyai banyak mukjizat.

Membaca Isabella harus dilihat dari sudut ilmiah dan bukannya untuk mencetuskan provokasi agama. Segala perbincangan yang dilakukan antara watak adalah mengikut kandungan Al-Quran serta Injil dan Taurat. Membaca Isabella adalah umpama melihat bayangan Ahmad Deedat dan Zakir Naik. 

Walau apapun, adalah penting untuk umat Islam untuk memahami isi kandungan Al-Quran dengan sebaiknya - tidak cukup dengan sekadar membacanya sahaja. Pemahamannya harus didapati dengan cara berguru, menghadiri kuliah, bukan sahaja makna terjemahannya tetapi juga maksud yang tepat, asbabun nuzul, ayat mutasyabih dan lain-lain yang boleh digali melalui pembacaan kitab-kitab tafsir. Kemampuan menguasainya bukan sahaja menambahkan keimanan dan keyakinan tetapi kita telah menjalani kewajipan kita untuk bermuamalah dengan Al-Quran itu sendiri.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...