Isnin, 15 Mei 2023

PERISTIWA KEMERDEKAAN DI ACEH - Abdullah Hussain


 

Buku-buku tulisan Abdullah Hussain sememangnya menjadi minat hamba. Namun tidak banyak tulisan beliau yang dapat hamba nikmati lantaran buku-buku tulisan beliau terutamanya yang lama tidak ada lagi di pasaran. Buku ini juga antara tulisan lama beliau dan hamba membelinya dengan harga yang tentunya berpuluh ganda bezanya dengan harga pasaran yang asal. Walau bagaimanapun, setelah membacanya hamba merasakan pembelian hamba itu tidak sia-sia. Ini adalah sebuah tulisan sejarah dari sudut sumber nombor satu iaitu diri penulis itu sendiri. 

Buku ini merupakan terbitan Balai Pustaka, Jakarta pada tahun 1990. Justeru penulisannya adalah menggunakan bahasa Indonesia. Namun demiian, tiada masalah untuk memahaminya kecuali satu dua istilah yang hamba perlu rujuk kepada kamus seperti perkataan wedana yang bermaksud ketua sesebuah daerah.

Abdullah Hussain adalah merupakan salah seorang Sasterawan Negara. Kisah tentang pengelibatan beliau dalam gerakan kemerdekaan di Aceh telah pernah hamba baca sebelum ini di dalam buku-buku beliau. Cuma ia hanya merupakan catatan ringkas dan tidak terlalu terperinci. Apabila mendapatkan buku ini, ia adalah satu peluang untuk mengetahui tentang kisah pengelibatan beliau ketika itu.

Abdullah adalah anak tempatan walaupun bapanya berketurunan Aceh. Di zaman Jepun beliau menjadi Ketua Balai Polis Langsa. Apabila Jepun di bom dan mula menyerah kalah, maka Abdullah dan kawan-kawannya adalah di antara individu penting yang berani membuat pengisytiharannya dan seterusnya mengibarkan bendera merah putih. Tidak seperti Tanah Melayu di mana orang Jepun terus sahaja menyerah kalah setelah negara mereka dobom, di Indonesia ini agak lain kerana Jepun masih lagi berkuasa di satu dua tempat. Bezanya, semangat mereka mulai lemah dan tidak kuat seperti sebelumnya.

Cerita seperti Abdullah ini jikalau ditulis oleh orang lain mungkin akan terasa biasa sahaja. Tetapi di tangan seorang penulis yang hebat, segala kisahnya menjadi amat menarik, menghiburkan dan sekali sekala mendebarkan. Ada kisah mengenai mata-mata Belanda yang kemudiannya dibunuh Jepun, orang ramai yang mengambil tindakan undang-undang dengan tangan mereka sendiri, orang awam yang 'disekolahkan' polis kerana tindakannya yang boleh menggugat kententraman, gerakan-gerakan radikal, keindahan alam semulajadi tanah Sumatera dan pelbagai lagi. 

Kisah perjalanan Abdullah ke Tanah Jawa (yang akhirnya tidak berjaya sampai) yang mengambil masa yang cukup panjang juga amat menarik. Beliau hampir sahaja memakan hidangan yang mengandungi daging anjing di akwasan orang Batak Karo, hanya kerana ingin ke bilik air dan melalui kawasan yang tergantung beberapa ekor haiwan yang awalnya disangka beliau sebagai kambing!

Kisah perjalanan ini amat menarik kerana kemudahan pengangkutan tidaklah seperti sekarang serta melalui jalan yang tidak begitu sempurna. Oleh itu sesuatu perjalanan itu akan mengambil masa yang lama sehingga berhari-hari. Dan disepanjang perjalanan itu ada sahaja peristiwa menarik yang berlaku.

Abdullah pernah ditawarkan jawatan bupati dan kemudiannya wedana. Beliau menolak keduanya. Hanya sahaja apabila diacukan pistol, barulah beliau menerima jawatan wedana dengan terpaksa. Namun dalam banyak hal, Abdullah hamba anggap sebagai seorang yang berani. Banyak peristiwa mencabar yang memerlukan keberanian telah dihadapinya secara bersendirian.

Ada ura-ura untuk menangkap Abdullah di hujung buku ini. Namun peluang untuk bertugas di Pulau Pinang dengan mendapat restu Residen Aceh telah membolehkan beliau untuk meninggalkan Aceh buat selama-lamanya. 

Tulisan ini adalah amat berharga dari sudut sejarah walaupun ia berlaku dalam konteks Indonesia. Catatannya adalah amat sempurna, dilihat dari sudut pandangan orang pertama dan tidak terasa seperti membaca sebuah buku sekolah. Ia akan menjadi koleksi peribadi hamba yang akan hamba simpan sebaiknya.

Nak pinjam....maaf.....!


Penulisan KENITRA banyak dipengaruhi
oleh gaya Abdullah Hussain.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...