Jumaat, 30 Jun 2023

NIRNAMA - Hilal Asyraf


 

Hamba mencari buku ini di PBAKL 2023 dan bertemu satu-satunya naskhah di sebuah reruai. Tetapi buku itu tidak hamba beli kerana mengetahui penulisnya ada membuka reruai bukunya sendiri. Malangnya di reruai Hilal Asyraf sendiri buku ini telah kehabisan stok! Memandangkan hamba telah membeli prekuel buku ini di reruai Hilal, tidak molek pula jika tidak disingkap terlebih dahulu akan Nirnama. Jadi hamba belinya secara atas talian dan ia sampai dua hari kemudian.

Novel ini amat tebal. Kerana ketebalannya, hamba telah mencari satu masa yang memungkinkan hamba menghabiskan bacaan dengan masa yang pendek dan selesa. Pembacaan hamba lancar hinggalah apabila tiba ke muka surat 480 apabila muka surat seterusnya kembali ke muka 193. Pengulangan muka surat ini berlanjutan sehingga ke muka surat 224 sebelum kembali ke muka surat 513. Pembacaan hamba benar-benar terancat. Sekiranya hilang satu atau dua muka surat, hamba mungkin boleh berlebih kirang - mengagak-agak akan jalan cerita yang hilang. Tetapi apabila hilang sekitar 33 muka surat, dan pembacaan ketikan itu pula adalah tentang sebuah pertarungan, mood hamba terus terjejas.

Hamba menghubungi semula penjualnya di Shopee serta penulisnya sendiri melalui Whatsapp. Tanpa hamba duga, respon merekaadalah begitu postif tanpa sebarang dolak dalih. Hamba telah diberikan sebuah naskhah ganti beserta beberapa keping penanda buku Nirnama (sesuatu yang tidak hamba perolehi ketika membeli buku ini)

Nirnama mula diterbitkan pada 2021 dan naskhah di tangan hamba sudah memasuki cetakan keenam (Mac 2023). Jelas bahawa buku ini mendapat sambutan yang baik daripada peminat novel tanah air. Penulisnya berhasrat untuk menjadikan Nirnama sebuah karya agung beliau. Kerana itu penghasilan buku ini dilihat amat serius, teliti dan berhati-hati. Namun dapat juga hamba kesan satu dua perkara yang boleh diperbaiki.

Memandangkan perbincangan awal penulis bersama rakannya adalah berkenaan sebuah permainan video yang bercirikan nusantara, unsur berkenaan dapat dilihat di dalam Nirnama. Ia amat jelas sekali apabila kita membaca bab pertarungan di mana akan ada bongkah-bongkah batu berterbangan, tanah merekah, letupan, kebolehan untuk menghilang dan bergerak pantas dan sebagainya. Justeru pembaca perlu membuka minda mereka serta tidak terikat dengan gaya penceritaan hikayat lama walaupun latar masa kisah ini adalah pada masa lalu, lebih-lebih lagi ia turut menggunakan beberapa watak yang dikenali sama ada dalam sejarah ataupun dalam dongeng masyarakat dahulu kala.

Permulaannya sahaja sudah seperti filem hindustan apabila sebuah kampung dibakar hangus manakala penduduknya habis dibunuh. Hanya seorang kanak-kanak sahaja yang dibiarkan hidup. Jika mengikut cerita hindustan, watak kanak-kanak ini pastinya akan membalas dendam apabila dewasa. Sememangnya watak berkenaan akan bangun kemudian nanti, tetapi di sini penulisnya mencorakkan kanak-kanak ini bukan bangun untuk membalkas dendam, tetapi bangun untuk menghapuskan kemungkaran.

Pengembaraan Nirnama amat menghiburkan, ia diselang selikan dengan kisah silam beliau serta kisah perguruan beliau dengan Adiwaja, tokoh yang banyak membentuk keperibadian serta kependekaran Nirnama. Pembaca akan mengetahui lewat penceritaan kenapa nama wataknya tidak didedahkan. Ia mengingatkan hamba akan kisah P. Ramlee sendiri apabila nama sebenar beliau tidak diketahui umum sehinggalah pada hari beliau meninggal dunia.

Seperti yang hamba sebutkan di awal tadi, kita akan menemui beberapa watak sejarah serta dongeng seperti Jebat, Kasturi, Sultan Mahmud, Sultan Alauddin, Nakhoda Tanggang, Mat Jenin, Puteri Santubong, Puteri Sejinjang, Pak Kadok dan lain-lain lagi. Walaupun mengambil semangat asal kisah watak-watak ini, Hilal telah mengubah sedikit kisah mereka untuk disesuaikan dengan jalan cerita.

Kadang-kadang penceritaan Hilal akan mengejutkan kita. Contohnya watak Tuha yang berkemungkinan ada yang akan menisbahkannya kepada Hang Tuah sendiri, lantaran ia juga seperguruan dengan Jebat dan Kasturi. Tuha di sini merupakan satu watak yang baik tetapi kemudiannya berubah jahat. Bahkan watak Puteri Gunung Ledang juga menjadi antagonis. Watak Mat Jenin pula walaupun masih ada unsur angan-angan, telah diberikan nilai positif oleh Hilal sebagai seorang pemikir dan berpandangan jauh. Buah fikirannya amat berharga dan boleh diterima!

Babak-babak pertarungan telah digarap dengan begitu baik oleh penulis. Membacanya, pembaca akan turut hanyut dengan rasa debar dan suspen yang ditimbulkan. Penulis juga tidaktergesa-gesa mahu menamatkan pengkisahan sesuatu babak pertarungan. Pembaca pula akan berteka teki tentang bagaimana sesuatu watak mahu menewaskan musuhnya apabila mereka dilihat dalam keadaan tersepit, seperti sudah tiada lagi jalan keluar.

Penulis nampak begitu serius dengan franchais Nirnama ini. Nirnama mempunyai versi jawi, versi bahasa Inggeris, novel prekuel dan akan datang dalam bentuk komik pula. Ia adalah satu percubaan berani penulis tempatan.

Adakah anda sedia untuk menyokongnya?


Pendekar Nirnama nak bergabung dengan Pendekar Kenitra tak?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...