Isnin, 5 Jun 2023

X - VENTURE DUNIA DINOSAUR : KOMPILASI GERGASI


 

Komik adalah salah satu alat pendidikan yang terbaik buat anak-anak. Bukan sahaja buat anak-anak, jika kena dengan gaya persembahannya, ia juga boleh menjadi bahan pendidikan yang baik buat golongan dewasa juga.

Siri komik X-Venture ini mengajar tentang sejarah zaman purbakala terutama tentang keadaan bumi dan haiwan yang menjadi penghuninya. Ia bermula apabila Pangkalan X-Central dilanda gempa bumi sehingga secara tidak sengaja telah membawa sebuah makmal sains beserta ahli X-Venture yang berada di dalamnya merentasi zaman sehingga mendarat di zaman Kambria kira-kira 541 juta tahun dahulu.

Dalam usaha mereka untuk pulang, mereka telah melalui satu zaman ke satu zaman memandangkan makmal mereka tidak mampu untuk menjana kuasa yang cukup untuk terus kembali ke zaman hari ini. Di dalam setiap zaman, mereka telah berinteraksi dengan hidupan yang ada pada zaman berkenaan serta menghadapi pelbagai cabaran yang menggemparkan serta menggelikan hati pembaca.

Pembaca akan diperkenalkan secara ringkas tentang zaman silam yang mereka lalui, keadaan benua ketika itu, haiwan dan tumbuhan yang melata mengikut zaman, evolusi haiwan dan tumbuhan beserta dengan gambarajah dan ilustrasi menarik yang dipadankan dengan penerangan pada setiap gambarajah. Pada hujung komik, para pembaca akan diuji pula dengan kuiz ringkas berdasarkan cerita yang telah dipaparkan.

Kompilasi ini menggabungkan tiga buah buku dengan zaman yang berbeza. Buku pertama adalah pengembaraan di zaman Kambria dan Ordovician, buku kedua di zaman Silurian dan Devonian manakala buku ketiga membawa kita ke zaman Karbon dan Permian.

Sewaktu hamba belajar di Maghribi di pertengahan 90an, hamba melihat fosil-fosil prasejarah ini boleh ditemui dijual di kaki lima sahaja terutamanya di Marrakech. Keadaan kawasan Utara Afrika yang pernah melalui zaman pra sejarah ini terjawab di dalam buku ini apabila kawasan Afrika Utara pernah berada di Kutub Selatan di mana pada zaman awal, terutamanyab Kambria dan Ordovician, hidupan lebih banyak berada di dalam air memandangkan daratan tidak sesuai untuk sebarang hidupan dan keadaannya pula bergurun.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...