Jumaat, 5 Julai 2024

GADIS KRETEK - Ratih Kumala


 

Agaknya Ratih Kumala telah berjaya menyihir hamba. Walaupun ini adalah versi Bahasa Melayu Malaysia, hamba dapat menyelami perjalanan kisah Gadis Kretek dengan baik sekali. 

Gadis Kretek di Indonesia telah diterbitkan sejak 2012 lagi. Kemantapan karya Ratih Kumala ini telah membawanya ke layar kaca apabila menjadi sebuah siri televisyen yang popular di sebuah laman tontonan berbayar di internet. Syarikat The Biblio Press telah membawa karya ini ke Malaysia dengan diubah suai daripada bahasa Indonesia ke bahasa Melayu Malaysia. Gadis Kretek keluaran Biblio mulai menemui pembaca serentak dengan Pesta Buku Antarabangsa Selangor baru-baru ini.

Kerana igauan tidur sehingga tersebut-sebut nama Jeng Yah di dalam lenanya, anak-anak Soeraja - Tegar, Karim dan Lebas nekad untuk mencari siapa sosok tersebut. Ini memandangkan Soeraja kini dalam keadaan sakit. Mereka percaya Soeraja mahu menemui Jeng Yah sebelum pergi menemui Ilahi. Anak-anak Soeraja mengira bahawa Jeng Yah adalah bekas kekasih bapa mereka, lebih-lebih lagi apabila ibu mereka begitu marah mendengar nama tersebut.

Pencarian yang asalnya hanya mahu menemukan ayah mereka dengan nama misteri tersebut telah membuka pelbagai kisah tentang keluarga mereka dan keluarga Jeng Yah khususnya dalam penghasilan rokok kretek.

Kisah percintaan dan konflik yang berlaku di dalam Gadis Kretek mungkin biasa sahaja, umpama drama-drama jam tujuh yang disiarkan di televisyen. Tetapi yang menjadikan karya ini mahal ialah ia berkisah tentang satu perkara yang tidak begitu diketahui ramai, lebih-lebih lagi rakyat Malaysia iaitu sejarah penghasilan atau perkembangan perusahaan rokok kretek di Indonesia. Perjalanan cerita itu pula disulami dengan pelbagai kisah atau unsur kebudayaan Jawa yang menjadikan jalan ceritanya lebih berwarna. Apatah lagi kisah ini mempunyai latar masa yang panjang, membawa dari zaman Belanda, Jepun, zaman merdeka sehinggalah kekecohan yang ditimbulkan oleh Parti Komunis Indonesia (PKI).

Persaingan oleh dua orang sahabat di dalam menghasilkan rokok kretek, disemarakkan lagi dengan persaingan mereka merebut seorang gadis bernama Roemaisah. Namun Soedjagad tewas kepada Idroes Moeria lantaran beliau tidak tahu membaca. Ratih Kumala kemudiannya membawa pembaca mengikuti persaingan kedua-dua bekas sahabat ini dalam beberapa kejadian yang memakan masa yang panjang sehingga berpuluh tahun lamanya.

Jeng Yah adalah anak Idroes Moeria. Walaupun Idroes pada awalnya mahukan pewarisnya seorang lelaki, namun Jeng Yah atau Dasiyah adalah seorang anak yang istimewa. Beliau dilihat mampu menguruskan legasi rokok keluaran Idroes Moeria. Lebih istimewa lagi Jeng Yah mahir membuat tingwe, rokok gulungan sendiri menggunakan hanya sari tembakau. Tingwe Jeng Yah dianggap istimewa oleh Idroes Moeria kerana kemanisannya yang tidak menyamai rokok atau tingwe lain. Mereka yang pernah menghisapnya juga mengakui akan hal tersebut hingga ada yang sanggup membeli dengan harga yang mahal. Bagi Idroes Moria, air liur Jeng Yah yang digunakan untuk melekatkan papier rokok itulah yang menjadikannya manis. Jeng Yah diibaratkan umpama Rara Mendut yang juga mempunyai liur yang manis!

Membaca Gadis Kretek lansung tidak membosankan. Kisah cinta Jeng Yah dan Soeraja bukanlah tumpuan utama yang menjadikannya asyik. Ini kerana persaingan antara Idroes Moeria dan Soedjagad masih menjadi perkara inti dalam perjalanan cerita. Sehinggalah akhirnya Soeraja boleh bersama dengan Soedjagad dan bergabung membentuk satu empayar kretek yang kukuh.

Dalam masa yang sama perusahaan Idroes Moeria umpama tergendala apabila beliau dikaitkan dengan PKI. Jeng Yah masih dapat menerima keadaan Soeraja walaupun akhirnya kekasihnya itu bernikah dengan anak Soedjagad. Namun ada satu perkara yang membangkit amarah Jeng Yah dan rahsia ini hanya dapat dikesan oleh anak-anak Soeraja apabila bapa mereka itu telah mati. 

Gadis kretek adalah satu kisah sejarah perusahaan rokok di negara jiran. Ia adalah sebuah kisah persaingan, percintaan dan usaha menghasilkan yang terbaik. Ia juga adalah kisah maruah diri dalam sebuah persaingan. Dan amarah Jeng Yah terhadap apa yang telah dilakukan oleh Soeraja dibawa hingga ke mati!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PENGABDI TELAGA UNGKAR - Maria Kajiwa

  Buku ini adalah yang pertama hamba baca setelah menamatkan kursus selama sebulan di INTAN. Selama berkursus hamba mnemang tak berkesempata...