Selasa, 25 November 2014

ANAK KAU PERNAH TENGOK REBAN AYAM?




Hoh!!! apa punya soalan la kan. Nak kata kelakar, tidaklah pula jumpa punca kelakarnya. Tapi percayalah, anda yang rasa biasa sahaja dengan soalan ini adalah kerana anda pernah tengok reban ayam, senang cerita anda pernah pergi ke kampung atau memang berasal dari kampung. Anak-anak kalau memang lahir dan tinggal di bandar, tak pernah di bawa meninjau suasana kampung, usahkan reban ayam, ayam pun mereka tak akan kenal. Ayam yang mereka kenal hanyalah melalui gambar ataupun filem, ataupun yang lebih teruk lagi ayam yang dah siap digoreng. Paling hebatpun pernah lihat ayam yang telah siap disembelih dan ditogelkan di pasar.

Kalau anak anda tak pernah tengok reban ayam, anda pernah tak?




Ahad, 16 November 2014

RAUDHAH - Ramlee Awang Murshid



Satu perkara yang hamba suka apabila saudara Ramlee telah menjadi penulis sepenuh masa adalah karyanya lebih cepat menemui khalayak berbanding sewaktu beliau masih bertugas dengan Kerajaan dahulu. Kepantasan itu membuatkan pembaca tidak perlu terus menunggu lama bahkan sentiasa tidak sabar untuk menatap karya terbaru beliau.

Membaca sinopsis buku ini cukup membuatkan hamba teruja. Semenjak "Hatiku Di Harajuku", hamba tertunggu-tunggu bilakah Ramlee akan menghasilkan karya yang sedemikian rupa. Justeru hamba merasakan karya terbaru ini akan memberikan kepuasan yang sama dengan buku yang tersebut tadi. Tambahan pula karya kali ini berkisah tentang seorang contract killer bernama Joker yang menerima tugasannya daripada seorang yang tidak dikenali bergelar White, kisah yang biasanya hanya ditemui dalam penulisan atau filem mat salleh sahaja.

Hamba boleh katakan bahawa novel ini secara simbolik memaparkan seorang hamba yang ingin kembali kepada jalan yang lurus, ingin kembali kepada Tuhannya. Secara tidak lansung ia adalah satu nasihat halus buat diri hamba sendiri serta kepada pembaca yang lainnya. Walaupun hamba bukanlah seorang pembunuh seperti Joker, jalan untuk kembali masih perlukan pengorbanan yang disulami keikhlasan. Menggunakan watak seorang pembunuh yang ingin kembali ke jalan yang benar adalah satu cabaran buat Ramlee kerana watak berkenaan selain berperang dengan jiwa dalamannya turut berperang dalam dunia realiti sehingga membabitkan nyawa orang lain.

Satu perkara yang juga menerujakan hamba setiap kali membaca karya Ramlee adalah cuba untuk meneka watak sebenar/individu di sebalik sesuatu nama atau misteri. Namun baru sahaja hendak berteka-teki tentang siapa sebenarnya pembawa watak Joker, Ramlee telah mendedahkannya lebih awal lagi hanya pada mukasurat ke-6. Walaupun sedikit keterujaan telah hilang namun pembaca masih ada peluang untuk berteka teki tentang siapa pula yang berada di sebalik nama White. Kebijakan Ramlee menyusun tulisannya menyebabkan banyak nama yang boleh dikaitkan dengan watak White seperti Michael Wan, Brendan Chung, Bisca, Tuk Chai, Sandra, Azhar bahkan sahabat baik Joker/Faris sendiri - Hambali.

Plot-plotnya disusun dengan cukup teratur sekali. Agak seronok membacanya sambil kepala pula membayangkan visualnya. Babak-babak awal sememangnya padat dengan adegan penuh berdarah. Namun secara tiba-tiba hamba merasakan pembacaan hamba sedikit terencat apabila watak-watak crook dalam novel ini mati satu persatu. Bahkan kematian Bisca yang akhirnya diketahui merupakan White si pemegang kontrak juga hamba merasakan terlalu awal. Hamba menjangkakan akan ada krisis di antara Bisca dan Raudhah di hujung cerita, tetapi ianya tidak berlaku. Juga jangkaan hamba bapanya, Joseph bekas presiden Shijue, akan bangkit membalas dendam semula adalah meleset. Segala babak serta aksi saspen, pertempuran, tembak-menembak penuh berdarah bagaikan telah terhenti. Konflik yang hamba jangkakan akan berlaku antara Faris dengan Hambali kerana Faris seakan tertarik kepada Junaidatul aka Raudhah juga tidak berlaku. Ahhh sungguh anti klimaks rasanya.

Episod selanjutnya membawa pembaca kepada perjalanan Faris untuk kembali ke jalan yang lurus. Penamatan bab penuh aksi membuatkan hamba merasakan episod selepas ini akan menjadi seperti ala-ala Ayat-Ayat Cinta dan novel yang seangkatan dengannya. Walaupun masih ada unsur saspennya terutama selepas Faris ditangkap atas dakwaan membunuh serta dijatuhkan hukuman pancung, debarnya tidak seperti di awal novel memandangkan sebelum itu pembaca telah disajikan dengan adegan yang 'mencabut tangkai jantung'. 

Namun hamba tambah kecewa lagi apabila apabila kesemua kisah yang berlaku itu rupanya hanyalah penampakan ataupun kembara Faris semasa koma. Tiada Joker si pembunuh atau White si pemegang kontrak. Dalam dunia realiti watak -watak yang muncul sebelum itu adalah orang di sekeliling Faris yang kebanyakannya adalah staf di pejabatnya. Andainya itu kembara Faris di alam koma sepatutnya kisah yang terhidang hanyalah pada pandangan mata Faris sahaja. Tetapi Ramlee telah menyelami setiap watak, walaupun tanpa adegan yang melibatkan Faris, membuatkan cerita -cerita awal novel ini tidak patut sekali dianggap sebagai kembara komanya. Tambah membuatkan hamba rasa nak 'menangis' adalah apabila watak Junaidatul juga turut koma di pusat rawatan yang sama dan mereka berdua juga bertemu di alam koma. Lebih menghampakan pembaca apabila kedua watak yang pembaca mungkin merasakan sebagai hero dan heroin cerita ini tidak juga bersatu pada akhirnya.

Kesimpulannya pada hamba ia novel ini bukan sahaja tidak berakhir dengan and they lived happily ever after, bahkan apabila semua kejadian yang berlaku pada awal novel dianggap sebagai satu kembara di alam koma sahaja, ia sesungguhnya telah membunuh mood pembacaan hamba. Hamba percaya Ramlee boleh menamatkan cerita ini tanpa perlu membuat penyudah sedemikian. Kekusutan yang hamba rasakan baru nak terungkai akhirnya terus menyerabutkan jiwa......alahai Ramlee.....

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...