Khamis, 2 Julai 2015

LAGI-LAGI GILA-GILA



Semasa hamba bersekolah rendah di awal tahun 80an, kebanyakan para guru amat tidak menyukai anak murid mereka membaca majalah Gila-Gila apatah lagi membawanya ke sekolah. Bagi mereka majalah berkenaan tidak membina minda dan tiada masa depan yang baik jika bercita-cita untuk menjadi pelukis kartun. Namun majalah ini adalah majalah kegemaran hamba. Ayah hamba membelinya pada setiap keluaran. Tambahan pula inilah majalah humor yang terbaik di Malaysia ketika itu meninggalkan jauh pesaingnya di belakang.

Begitu sukanya hamba pada majalah ini sehingga hamba membacanya berulang kali. Jika membaca majalah keluaran yang terbaharu, hamba akan membelek dan membaca secara sepintas lalu terlebih dahulu sebelum mula membaca secara penuh dari muka ke muka. Biasanya apabila pulang sahaja dari sekolah, hamba akan mencapai mana-mana naskhah yang akan dibaca sambil makan nasi. Begitulah adanya majalah ini yang hamba anggap antara faktor penggalak kepada hamba untuk minat membaca.

Awal 80an kartunis Ujang mula menyertai Gila-Gila dan beliau terus menyinar. Kartun beliau bolehlah dianggap sebagai killer dalam melakukan majalah ini. Bermula dengan kartun-kartun yang mengambil tema Drama Minggu Ini di RTM beliau terus menyerlah dengan Siri Aku Budak Minang, Aca, IBC dan sebagainya.Long dengan English 122 juga secra tidak lansung menambahkan lagi perbendaharaan kata hamba di dalam bahasa inggeris. Begitu juga dengan kartun-kartun daripada kartunis lain seperti From Taipng With Love (Allahyarham Rashid Asmawi), Lagak A.Mamud (Fatah), Tiga Dara Pingitan (Cabai) dan lain-lain lagi adalah penyeri kepada majalah tersebut.

Pada tahun hamba mengambil Peperiksaan Penilaian Darjah Lima (UPSR pada hari ini), ayah hamba terus berhenti membeli majalah berkenaan. Hamba jangkakan beliau akan menyambung beli setelah hamba tamat daripada peperiksaan, rupa-rupanya tidak. Setelah itu hamba tidak lagi dapat menikmati Gila-Gila pada setiap keluarannya. Sehinggalah memasuki asrama hamba hanya boleh meminjam daripada rakan-rakan yang ada membeli. Hamba nak beli sendiri duit belanja yang diperolehi pun bukannya banyak mana.

Kerana minat pada majalah tersebut, menggunakan peluang yang ada sebagai pengerusi serta setiausaha kepada dua buah persatuan berlainan, hamba mengatur lawatan ke pejabat majalah Gila-Gila. Puaslah hati kerana dapat bertemu beberapa kartunis kesukaan termasuklah allahyarham Rejabhad dan Ujang sendiri. Pejabat mereka tidaklah besar mana dan workstation setia kartunis juga sempit. Tetapi dari situlah lahirnya idea mantap untuk menghiburkan peminat kartun seMalaysia.

Apabila tamat SPM dan mula bekerja secara sambilan, hamba dapat meneruskan semula pembelian majalah ini setelah merasa memegang duit sendiri. Sekali lagi hamba memberhentikan pembelian apabila menyambung pengajian ke luar negara. Hendak berlanggan pastinya memerlukan kos yang tinggi kerana jarak yang terlalu jauh dari Malaysia. Alhamdulillah ayah hamba sudi mengirimkan edisi bumper Hari Raya yang bila hamba buat pengiraan boleh membeli majalah yang sama dalam beberapa naskhah lagi. Terima kasih ayah.

Majalah Ujang yang mula keluar pada Januari 1994 amat menarik perhatian hamba. Melalui akhbar yang sampai ke kedutaan hamba melihat majalah berkenaan berani kerana membuat iklan pada akhbar yang pertama. Ayat iklan yang menyatakan kartunis majalah lain berebut menyetai majalah itu membuatkan hamba merasa bahawa majalah Ujang pastinya hebat. Kiriman majalah raya juga telah bertukar dari Gila-Gila kepada Ujang.

Semakin lama semakin jauh hamba dari majalah Gila-Gila. Hamba juga tidak lagi mengikuti perkembangan majalah berkenaan. Sehinggalah ke hari ini hamba sebenarnya amat jarang membeli majalah-majalah kartun. Cuma sekali sekala sahaja apabila keinginan itu timbul hamba akan pergi membelinya, tetapi Gila-Gila tidak lagi menjadi pilihan. 

Mungkin Gila-Gila tidak lagi menjadi pilihan hamba hari ini kerana persembahannya masih sama dengan yang dulu. Ketika gaya lukisan serta kotal panel lukisan di majalah lain telah berubah, Gila-Gila masih mempersembahkan persembahan yang sama. Tiada lagi kartun yang menjadi killer bahkan terdapat banyak kartun lama yang dikitar semula. Tidaklah salah untuk mengitar semula bagi menghargai sumbangan kartunis lama, tetapi apabila terlalu banyak sangat hamba rasa tidak kena pula. Hamba tidak tahu edaran terkini mereka. Yang hamba tahu daripada gagah terbit 2 kali dalam sebulan kini ia hanya muncul sekali sahaja. Tidak semua gerai majalah menjual majalah ini membayangkan kecilnya bilangan peminatnya sekarang. Kedai majalah yang ada di bangunan tempat hamba bekerja ini ada menjual Gila-Gila, tetapi dari awal bulan sehingga ke penghujungnya majalah tersebut masih setia berada di atas rak jualan. Majalah-majalah kartun telah mengalami reformasi yang besar terutamanya semenjak kuatnya mengaruh manga dan manhwa dari luar selain gaya lukisan komik inggeris. Penggunaan teknologi, pewarnaan, rekaletak serta daya tarikan lain membuatkan majalah kartun yang masih hidup kini terus berusaha untuk memastikan mereka terus kekal di persada majalah tanah air. Gila-Gila hamba lihat seolah tidak kisah dengan keadaan ini, penerbitannya kini seolah-olah hanya menunaikan tanggungjawab sosial sahaja.

Hamba berharap Gila-Gila akan membuat satu kejutan semula dalam dunia kartun tanah air dan terus kekal gemilang seperti di awal kemunculannya dahulu.

Gila-Gila kini sedang mengadakan pameran ekslusif Lagi-Lagi Gila-Gila bertempat di Galeri Petronas yang akan berakhir pada 15 Julai ini. Masuk adalah percuma.


PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...