Thursday, September 21, 2017

PUSAT LATIHAN YANG LEBIH LAWA DARIPADA RESORT PELANCONGAN

Hamba bertugas merasmikan majlis penutup sebuah kursus anjuran kolej hamba yang diadakan di Akademi Koreksional Malaysia, Langkawi. Ini kali pertama hamba ke sini. Lokasinya betul-betul berhadapan dengan jeti kuah dan boleh sampai dengan berjalan kaki sahaja dari jeti tersebut. Akademi ini dibina di kawasan berbukit dan pengunjung yang tidak berkenderaan memerlukan stamina yang kuat untuk berjalan naik, apatah lagi sekiranya mendapat penginapan di kawasan yang paling tinggi (sudahlah bukitnya tinggi, tempat penginapan juga tinggi!!). Namun kawasannya memang cantik dan rumah-rumah penginapannya mempunyai pelbagai bentuk. Terdapat juga kemudahan gimnasium dan kolam renang.

Akademi ini adalah di bawah Jabatan Penjara. Jadi melalui kerjasama antara jabatan dapatlah anak buah hamba menggunakan kemudahan di sini dengan bayaran yang minima. Kalau anda saja-saja datang nak menginap di sini minta maaflah ya, ia bukan resort pelancongan untuk orang awam. Ia adalah pusat latihan, diulangi pusat latihan. Apapun bagi pihak kolej hamba mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Akademi yang memberi peluang untuk anak buah hamba berkursus di sana termasuk menyediakan kemudahan lain seperti pengangkutan untuk tujuan lawatan yang diaturkan oleh Jabatan Pertanian Langkawi.

Mari kita layan gambar-gambar yang sempat hamba rakamkan.










NASI DAGANG DAN LAYAN MAGIC




Masa yang singkat di Langkawi memandangkan kunjungan kali ini atas sebab tugas membuatkan hamba terfikir akan satu tempat sahaja - Warung nasi dagang Pak Malau. Agak beruntung kerana ketika ini bukan musim cuti sekolah membuatkan hamba dan rakan-rakan tidak ada masalah untuk mencari tempat duduk. Jika lawatan yang pertama dahulu hamba memilih ikan tongkol sebagai lauk, kali ini daging kerutuk menjadi pilihan.


Memilih meja yang berhadapan bahagian sisi teratak Pak Malau, mengadap kehijauan sawah padi serta panorama gunung ganang menjadikan hidangan tambah menyelerakan. Daging kerutuknya dimasak lembut dan begitu empuk sekali. Segala rencah dan perisanya cukup.



Kali ini hamba ada masa yang lapang untuk merakam persekitaran teratak Pak Malau memandangkan pada lawatan terdahulu, cuaca yang hujan telah membantutkan hasrat. Kali ini cuaca pagi cukup cantik, mentari bersinar dengan langit yang membiru. Teratak ini memang cantik dengan senibina Melayu, tapi kalau tinggal seorang diri sahaja waktu malam mungkin seram juga. Persekitarannya dijaga baik dengan terdapat dua buat pundung dibina berhadapannya.



"Satu magik boleh Pak Malau?" tanya hamba selesai membayar harga makanan.
"Satu aje?"
"Eh, kalau tiga pun boleh", jawab hamba kembali.

Pak Malau pergi mengambil sebuah kotak seumpama saiz sebuah kotak kasut. "Memandangkan orang tak ramai pagi ini, boleh kita buat lebih sikit" Ucap beliau.

Puas hati dapat melihat Pak Malau beraksi hari ini. Lawatan sebelum ini dapat lihat dua persembahan sahaja tapi kali ini dapat lihat lebih. Sambil hamba merakam persembahan Pak Malau dengan kamera telefon, dapat juga hamba melihat sedikit kelalaian beliau yang mendedahkan sedikit rahsia magik beliau. Beliau bahkan bermurah hati berkongsi rahsia beberapa persembahannya sambil berpesan agar rakan tersebut tidak ditunjukkan kepada umum. Jadi tiadalah rakaman beliau yang boleh hamba tunjukkan di sini.

Anda kalau berkunjung ke sini jangan lupa minta beliau buat persembahan!!



Lawatan hamba ke sini dahulu boleh dilihat di sini.

Friday, September 15, 2017

Bukan Doktor Gugel - Salah Faham, Mitos & Isu Semasa Dalam Perubatan



Membaca buku ini umpama mendapat hampir kesemua jawapan atas isu-isu yang sering dihidangkan dalam laman web khususnya media sosial. Antaranya adalah persoalan tentang pengambilan vaksin, kenapa doktor sering bertanya soalan yang sama, adakah ubat tertentu mengandungi unsur babi, mandi malam penyebab paru-paru berair dan banyak lagi. Kebanyakan perkara ini maklumatnya umpama turun temurun dan telah sebati dalam jiwa masyarakat awam sehinggakan kebanyakan mereka merasakan maklumat yang mereka ketahui itu adalah betul, sedangkan hal yang sebenarnya, dan berdasarkan kajian saintifik, adalah bersifat sebaliknya.

Kerana itu buku ini menggunakan istilah 'mitos' bagi perkara-perkara tersebut. Tidak dinafikan kepercayaan yang lama berakar umbi ini mungkin berdasarkan pengalaman orang-orang dahulu di mana ketika itu masih belum terdedah dengan perubatan moden. Kerana itu apabila luka besar mereka melarang pesakit memakan telur kerana bimbang luka akan lebih membesar dan lambat sembuh. Sedangkan sebenarnya telur mempunyai kandungan protien yang mempercepatkan penyembuhan. Begitu juga mandi malam yang dipercayai boleh menyebabkan paru-paru berair, sedangkan mandi itu baik kerana dapat membersihkan diri (sekaligus menjauhkan kuman).

Kerana itulah sekumpulan pegawai perubatan, ahli farmasi dan pegawai dietetik cuba menghuraikan perkara ini dalam sebuah buku agar masyarakat akan lebih memahami situasi yang sebenar. Buku ini menggunakan kaedah soal jawab berdasarkan isu yang sering berada di fikiran orang ramai. Para penulisnya hamba percaya telah cuba sedaya upaya mereka menulis buku ini menggunakan bahasa paling mudah untuk difahami orang awam, walaupun ada juga beberapa penjelasan yang mungkin tidak dapat difahami kerana bersifat saintifik. Walau apapun secara keseluruhannya hamba percaya buku ini boleh difahami dengan baik. Selain penggunaan bahasa yang santai, lakaran ilustrasi berbentuk kartun berdialog menjadikan pembaca buku ini tidak terlalu serabut untuk memahami isi kandungannya.

Tidak dinafikan bahawa kita boleh mencari maklumat berkenaan sesuatu penyakit melalui carian Google. Namun tidak semua carian itu boleh memberikan jawapan yang tepat. Ini memandangkan ada artikel yang ditulis oleh orang yang tidak ada ilmu mengenainya, hanya berdasarkan pengalaman ataupun keterangan dengar cakap sahaja bahkan lebih bahaya apabila diada adakan dengan tujuan untuk melariskan jualan sesuatu produk. Perlu difahami bahawa kebanyakan produk kesihatan yang diiklankan di media sosial hanya bergantung kepada testimoni pengguna dan bukannya berasaskan kajian makmal. Testimoni yang dipaparkan itu pula hanya terhad kepada mereka yang berjaya mendapat manfaat daripada produk tersebut. Tiada produk yang memasukkan testimoni daripada pengguna yang tidak mendapat sebarang kesan apatah lagi yang mendapat akibat buruk. Sehubungan itu orang ramai adalah digalakkan untuk mencari atau bertanya daripada mereka yang bertauliah serta yang disahkan oleh pihak berkuasa kesihatan di negara kita. Terlalu mempercayai produk alternatif kerana takut ubat serta rawatan dktor kadangkala boleh membawa kemudaratan dan kadangkala kematian.

Mempunyai 10 buah bab, di mana setiap bab dipecahkan kepada beberapa persoalan berkaitan. Bab kandungannya adalah seperti berikut;

1.     Salah faham berkenaan perkhidmatan kesihatan di klinik dan hospital;

2.     Salah faham dan mitos berkenaan pelbagai penyakit umum;

3.      Salah faham dan mitos berkenaan penyakit kronik (diabetes, hipertensi, hiperkolestrol);

4.      Salah faham dan mitos berkenaankesihatan wanita dan isu penyusuan bayi dan kanak-kanak;

5.      Salah faham dan mitos berkenaan psikiatri dan kesihatan mental;

6.      Salah faham dan mitos berkenaan kesihatan pergigian;

7.      Salah faham dan mitos berkenaan diet dan pemakanan;

8.      Salah faham berkenaan kesihatan dan ibadat;

9.      Salah faham dan mitos berkenaan ubatan dan isu semasa;

10.      Salah faham dan mitos berkenaan vaksinisasi.



Wednesday, September 6, 2017

BALADA - Pyanhabib



Hamba tidak ingat bila masanya hamba mula mengenali nama Pyanhabib. Tetapi hamba masih ingat menonton di kaca televisyen apabila beliau menolak sebuah anugerah yang diberikan kepadanya dalam Festival Filem Malaysia tahun 1986. Yang jelas nama itu sudah hamba kenali sebelum detik itu lagi. Walaupun begitu bukanlah bermakna hamba biasa dengan puisi-puisi beliau. Lagipun zaman itu akses internet belum lagi wujud dan kisah manusia sebegini hanya dapat dibaca di akhbar ataupun majalah sahaja.

Tetapi semasa zaman universiti hamba, gelagat beliau dalam filem Mat Som kerapkali hamba tonton. Dan hamba paling ingat adegan beliau mengalunkan sajak Status Simbol oleh T. Alias Taib. (Ketika itu hamba belajar di luar negara, tiada internet ataupun siaran tv Malaysia yang boleh diakses. Justeru beberapa keping tape video yang ada itulah, termasuk Mat Som ini, ditonton berulang kali tanpa rasa jemu. Apa lagi pilihan yang ada!!)

Kira-kira lebih seminggu lalu ketika hamba dalam perjalanan pulang daripada menjalankan tugas luar kawasan di Alor Star, hamba dan rakan-rakan singgah sebentar di sebuah tapak karnival. Hamba rasa bertuah melihat kelibat ini ada duduk menghadap timbunan buku-buku beliau bersama seorang lagi penulis muda yang hamba terlupa namanya. Cuma agak terkilan kerana Imuda tidak ada di tapak tersebut (Pyan berkongsi tapak pameran dengan Imuda).

Balada adalah himpunan sajak-sajak berserta gambar-gambar Pyan semenjak tahun 70an. Agak mengagumkan apabila seorang insan yang tidak dikurniakan nikmat mendengar tetapi bisa mengungkapkan perasaannya melalui penulisan. Bukan sahaja tentang diri beliau tetapi tentang alam, persekitaran, masyarakat - dapat diungkapkan dengan kata-kata yang puitis. Pyan juga mampu bertutur dan memahami percakapan orang lain melalui pembacaan gerak mulut. Justeru agak memalukan sekiranya ada orang yang lahir sempurna di Tanah Melayu tetapi pelat menuturkan ayat bahasa Melayu serta tunggang terbalik perkataannya.

Puisinya ada yang pendek, kadangkala seumpama haiku, sebuah bentuk puisi Jepun. Adakalanya panjang seumpama sebuah artikel pendek. Hamba paling suka membaca puisi-puisi kritikan halus beliau terhadap politik tanahair seperti Bapakku Seorang YB, Hello Malaysia, Apa Khabar?, Mukadimah Mandeliar, Apabila Itu Tandanya, Surat Kepada Tuan Pee Emm, Woo, Macha! dan beberapa lagi.

Buku-buku puisi mungkin tidak meluas pasarannya, tetapi pemikiran yang di bawa di dalam puisi ini kadangkala perlu kita renung bersama kerana kebanyakannya membawa isi hati rakyat marhaen yang menderita.

Terma kasih saudara Khair Ngadiron yang berjaya memujuk Pyan mengumpulkan puisinya untuk Balada!!






Saturday, September 2, 2017

BILA MAMA PAKAI ABAYA - Mama Bella


Jangan terkejut kiranya hamba membaca buku untuk remaja pula kali ini. Sebenarnya hamba membaca pelbagai jenis buku (termasuk komik). Kalaupun cerita atau tema yang ditampilkan tidak sesuai dengan umur hamba, hamba akan melihat daripada sudut jalan cerita, gaya bahasa dan lain-lain lagi, lebih kepada memperkembangkan bahan bacaan serta pencarian idea. Semuanya amat berguna untuk hamba yang dalam kerjaya seharian perlu banyak menulis serta menyampaikan ucapan sama ada yang siap bertulis ataupun impromtu di hadapan khalayak. Lagipun buku ini walaupun khalayaknya adalah pembaca, penulisnya bukan lagi tergolong dalam golongan tersebut!!

Tema yang cuba untuk ditampilkan adalah ringkas tetapi amat bermakna. Ia mengenai usaha dua orang adik beradik (dan kemudiannya menjadi usaha sebuah keluarga dan kawan-kawan) untuk memastikan ibu mereka berubah cara pemakaiannya kepada yang lebih sopan serta menutup aurat. Ini gara-gara ibu mereka, seorang pengusaha jamu ramping dan kebaya ketat, walaupun telah berusia masih berpakaian seperti orang muda. Lebih-lebih lagi ibu ini, Puan Zetty, memiliki bentuk badan yang ramping dan anggun seperti orang muda. Justeru beliau mahukan kejelitannya itu dapat dilihat ramai.

Kehadiran seorang wanita yang bergelar Ibu Qaseh yang pada asalnya mahu meminta Zetty memasarkan kurma badam bercoklat serta abaya miliknya ke dalam keluarga Puan Zetty menjadi pemangkin ke arah usaha ini. Dilihat sebagai wanita yang berkarisma serta memiliki aura yang tersendiri, personaliti sebenar Ibu Qaseh kekal misteri sehinggalah ke akhir cerita.

Dalam pada itu Puan Zetty turut diuji apabila jamu keluarannya diciplak dengan mutu yang jelek mengakibatkan perniagannya terganggu. Selain itu beliau juga cuba diracun. Kedua-dua ujian ini dilakukan pula oleh dua adik beradik yang sebenarnya merupakan sahabat beliau semenjak kecil.

Memang tidak mudah untuk membawa Puan Zetty ke arah berpakaian yang lebih baik. Puan Zetty sendiri walaupun telah berjanji beberapa kali dengan anak-anak beliau masih lagi tidak dapat memenuhi segala janji tersebut. Jadi bagaimanakah kesudahannya dan siapakah gerangan Ibu Qaseh itu, kenalah anda baca sendiri! (Dah macam ulasan intisari rancangan televisyen pula hamba kali ini).

Novel ini secara keseluruhannya agak sederhana dan bersifat mendatar. Tiada unsur suspen atau persoalan yang memberatkan pemikiran. Segala-galanya terlalu santai dan dipenuhi dengan banyak adegan makan minum!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...