Khamis, 26 Mac 2020

LANUN - Naim Tamdjis


Hoh buat apa kat rumah time perintah kawalan pergerakan (PKP) ni. Rugi amatlah andai masa terbuang begitu sahaja tanpa sebarang aktiviti berfaedah sama ada sendirian ataupun bersama keluarga. Hamba tak boleh duduk rumah. Cuti hamba dibekukan. Hamba perlu bekerja untuk menyelamatkan anda semua. So seperti mana kata-kata kawan-kawan seangkatan yang lain -  we stay at work for you, you stay at home for us!!. Tapi kerja-kerja pun, kalau ada waktu terluang kena pandai guna. Dalam hal membaca, sempatlah khatam buku ini.

Buku ini walaupun mempunyai 242 mukasurat, sebenarnya ia tidaklah tebal sebegitu. Ini memandangkan saiz fontnya yang agar besar selain line spacing yang agak jarang membuatkan buku ini boleh menjadi lebih nipis daripada mukasurat yang dinyatakan. 

Bertajukkan 'Lanun', buku ini sebenarnya memuatkan empat buah cerita iaitu Lanun, Rumah Hantu, Mondou dan Cikgu. Kesemua kisah ini bertemakan seram kecuali Cikgu yang lebih kepada motivasi dan nasihat - walaupun gambar tengkorak terpapar pada permulaan tajuk ini. Kesemua cerita dilakarkan dengan ringkas dan menggunakan bahasa yang mudah - seperti tulisan yang disasarkan kepada golongan awal remaja atau young adults serta plot yang tidak berbelit. Konfliknya juga tidak banyak dan kadang-kadang klimaksnya juga terasa seperti ditamatkan secara mendadak. Kerana itu hamba merasakan gaya penulisan ini seperti disasarkan kepada golongan awal remaja yang kebanyakan buku yang disasarkan kepada mereka biasanya ditulis sebegini bagi menanamkan minat dan menarik mereka untuk membaca.

Kisah Lanun dan Mondou mempunyai talian dengan kisah dan watak dalam novel Koc 13 juga daripada penulis yang sama. Boleh juga dikatakan bahawa Lanun adalah satu spin off  daripada Koc 13. Koc 13 adalah sebuah novel yang menarik dengan pelbagai plot dan konflik. Namun apabila kedua kisah ini dilakar secara ringkas, kepuasan membacanya tidaklah senikmat membaca Koc 13. Ia boleh sahaja berdiri di atas novel sendiri yang berasingan. Cuma apabila membaca Mondou, peminat RAM sudah pasti terimbau dengan Tombiruo!

Begitu juga dengan Rumah Hantu yang nampak menarik tetapi penamatnya umpama mendadak.Setelah Janna pengsan, adegan seterusnya terus anti klimaks apabila Ustaz Zaher telahpun sedia menumpaskan semua entiti jahat yang ada. Pandangan hamba, episod pertarungan itulah yang seharusnya menjadi klimasnya. Di sinilah boleh boleh dilakarkan pelbagai konflik yang boleh membuatkan pembaca terus melekat dengan buku mereka.

Jadi setelah membaca 3 buah kisah seram, Cikgu adalah 'cerita penenang' kerana tidak ada unsur seram di dalamnya. Ia adalah kisah seorang guru yang cuma memulihkan akhlak seorang remaja mengikut cara beliau sendiri. Cikgu adalah kisah yang paling pendek di antara semua kisah yang ada.


Jumaat, 20 Mac 2020

PEMBATALAN PARAMEDIC CHARITY TRAIL RUN 2.0 2020

Hamba mendapatkan pemakluman daripada urusetia penganjur mengenai pembatalan acara tersebut akibat wabak covid-19. Ia juga selaras dengan arahan Perdana Menteri serta Kementerian Belia & Sukan yang meminta acara sebegini yang melibatkan orang ramai di batalkan. Berikut hamba perturunkan notifikasi daripada urusetia:-


Assalamualaikum dan Selamat Pagi.
Dukacita dimaklumkan bahawa acara Paramedic Charity Trail Run 2.0 2020 yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu 04.04.2020 terpaksa DIBATALKAN. Ini adalah berikutan langkah pencegahan jangkitan COVID-19 yang semakin menular di Malaysia.
Pihak penganjur memohon maaf atas kesulitan yang berlaku. Oleh yang demikian, peserta larian boleh menuntut kit larian ( baju larian, medal, goodies bag, sijil penghargaan) pada waktu yang telah ditetapkan seperti berikut :
03 & 04 April 2020 ( Jumaat & Sabtu )
9.00 pagi - 5.00 petang
Lobi Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sungai Buloh (ILKKM Sungai Buloh), Jalan Hospital, 47000 Sungai Buloh, Selangor.
Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi / whatsapp urusetia kami di talian : Mior Ikhsan (018-2955435) , Hazira (012-3321924) , Sairah (012-3701516)


KULIAH TERAKHIR (THE LAST LECTURE) - Randy Pausch



Hamba percaya ramai yang telah membaca karya ini, tidak kira dalam versi asal berbahasa Inggeris ataupun versi terjemahan seperti ini. Buku Kuliah Terakhir atau The Last Lecture ini adalah berdasarkan satu sesi ceramah yang pernah disampaikan oleh penulisnya sendiri, Randy Pausch.

Sememangnya satu kebiasaan universiti tempat Randy mengajar menganjurkan majlis ceramah mengenai kuliah terakhir ini di mana para penceramah akan membayangkan tentang kematian mereka dan merenungkan apa yang paling penting dalam hidup. Randy pada ketika itu telahpun sedia menghidap penyakit kanser pankreas. Tetapi Randy, instead of bercakap tentang kematian yang akan dihadapinya, bercakap tentang kehidupan ataupun apa yang beliau istilahkan sebagai 'Mencapai Impian Zaman Kanak-Kanak"!

Sebenarnya Randy cuba menghabiskan sisa hidupnya dengan cara yang paling positif dan bukannya berkeluh kesah dengan apa yang terjadi. Di mata orang beliau kelihatan sihat kerana gaya hidupnya yang kelihatan ceria. Namun ini tidak bermakna beliau lansung tidak berfikir tentang kematiannya. Beliau tidak sedih akan beliau yang akan meninggalkan keluarga tetapi sedih apabila memikirkan keluarga yang akan kehilangan beliau, terutama anak-anak beliau yang ketika itu masih kecil yang akan kehilangan bapa mereka.

Dalam buku yang ini (dalam ceramah beliau juga) beliau berkisah tentang hidup zaman kanak-kanaknya, apa yang beliau ingin capai serta peranan ibu bapa dalam mendidik beliau serta membantu beliau mencapai apa yang beliau kehendaki. Randy turut mengkisahkan apa yang beliau cuba lakukan dalam waktu yang singkat ini bagi memberikan satu kenangan indah buat orang kesayangan yang akan beliau tinggalkan. Bahkan buku ini juga adalah satu bentuk peninggalan Randy buat mereka. Dia mahu anak-anaknya tahu siapa bapa mereka dan apa yang dia mahu anak-anaknya jadi nanti.

Secara tidak lansung buku ini juga adalah satu motivasi kepada pembaca, menyampaikan pelbagai perkara yang positif dalam menjalani kehidupan. Buku di tangan hamba ini adalah cetakan tahun 2015, hamba membelinya pada 2019 dan hanya berpeluang membacanya pada 2020! Randy pula telah meninggal dunia pada 2008. Bermakna telah 12 tahun beliau pergi dan ilmu yang ditinggalkannya masih dibaca sehingga ke hari ini. Dalam konteks Islam, antara tiga amal yang tidak terputus adalah 'ilmu yang bermanfaat'. Justeru jika ilmu yang baik kita tinggalkan maka akan berterusanlah pahalanya selagi masih ada orang yang membaca, beramal dan medapatkan manfaatnya. 

Randy telah lama tiada, tetapi ilmunya masih bersama kita!

(Rakaman syarahan The Last Lecture oleh Randy Pausch masih boleh ditonton di internet).


Sabtu, 14 Mac 2020

ANDING AYANGAN II - Ramlee Awang Murshid



Jarang hamba lambat membaca novel RAM setelah dibeli. Namun untuk Anding Ayangan II, hamba hanya membacanya selepas setahun dibeli. Dalam sela setahun itu pula beberapa novel RAM muncul dan kesemuanya telah hamba habiskan. Bagaikan tiada minat dan keinginan untuk membelek naskhah ini lantaran sirinya yang pertama terasa agak berbelit serta mengecewakan apabila kisah tersebut tidak mempunyai penamat bahkan bersambung. 'Fokus", itulah nasihat RAM pada temubualnya di mukasurat belakang. Ya hamba memang fokus dan novel kedua ini dapat hamba ikuti dengan baik berbanding yang pertama dan hamba merasakan gaya penulisan serta susunannya lebih baik berbanding yang pertama. Tetapi ia masih juga mengecewakan di akhirnya apabila naskhah ini juga masih belum tamat dan memerlukan sambungan.

Harry Potter adalah sejumlah novel bersiri kanak-kanak  yang mendapat sambutan di seluruh dunia. Walaupun ia merupakan siri novel yang bersambung yang mengambil latar masa yang bertahun-tahun, tetapi untuk setiap siri itu ia mempunyai penamat dan setiap siri mampu untuk berdiri dengan sendiri. Tidak pada Anding Ayangan kerana kedua-dua naskhah yang telah dikeluarkan masih tergantung. Tiada keseronokan membaca naskhah sebegini. Ini kerana sementara menunggu sambungannya - RAM pula tidak terus mengeluarkan sambungannya dan mengeluarkan tajuk-tajuk yang lain dahulu - kita telahpun terlupa jalan cerita yang sebelum. Maaflah, hamba tidak mempunyai otak seperti komputer yang dapat menyimpan semua data dengan baik.

Benar kata RAM, pembaca perlu fokus. Ini kerana terdapat empat latar masa yang berbeza yang perlu diberi penumpuan. Kesemuanya berjalan serentak dan kadangkala boleh mengelirukan. Ada watak yang tercampak ke dunia nyata, ada yang tercampak ke dunia khayalan, ada yang mengambil latar masa dahulu sebelum kesemua bala besar terjadi dan ada kisah yang menghala kepada punca kesemua kisah dongeng ini menjadi nyata sehingga membawa bencana.

Memandangkan kisah ini masih belum menemui kesudahannya maka banyak teka teki yang masih belum terjawab. Segala-galanya tergantung. Tidak tahu bilakah RAM mahu mengakhirinya. Semakin panjang semakin mengharukan pembaca dan dalam masa yang sama memberikan keuntungan kepada penulis dan penerbit!!

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...