Rabu, 31 Oktober 2012

PEDALAMAN SARAWAK : NANGA TAMIN


Klinik Masyarakat di Nanga Tamin hanya diterajui oleh 3 orang Jururawat Masyarakat. Tentunya sesuatu yang membosankan bagi mereka yang telah biasa bekerja dalam pejabat yang mempunyai ramai pekerja. Persekitaran klinik amat bersih dan teratur. Di satu sudut tingkap di belakang klinik saya melihat deretan telefon bimbit yang diletak menegak. Akhirnya saya dimaklumkan bahawa hanya di kawasan tersebut sahaja sekali sekala isyarat telefon bimbit dapat diperolehi.

Di klinik inilah buat pertama kalinya kami dijamu dengan makan tengahari. Hamba amat terharu dengan susah payah kakitangan klinik untuk mendapatkan barang untuk dimasak terutamanya ayam yang disembelih. Pastinya kos untuk mengahadirkan perkara-perkara tersebut amat tinggi berbanding jikalau dibeli di bandar. Ternyata masakan mereka amat enak sehingga ada rakan yang menambah.

Hanya ada empat orang Muslim di perkampungan ini – seorang jururawat klinik dan bakinya guru yang mengajar di sekolah rendah berhampiran. Lantaran itu mereka berasa amat kesunyian terutama bila mahu melakukan ibadah bersama. Berempat orang inilah yang menghidupkan tarawih di sepanjang Ramadhan yang lalu.

Difahamkan ini merupakan rumah persinggahan bagi
penjaga yang mempunyai anak yang bersekolah di sini.
Terletak kurang 1km adalah Sekolah St. Mark. Bangunan sekolah serta kuarters gurunya kelihatan agak usang, bahkan rumah setinggan di Kuala Lumpur rasanya lebih baik lagi keadaannya. Inilah pengorbanan yang terpaksa ditempuhi oleh sebilangan penjawat awam dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik sehingga ke kawasan pedalaman. Apabila disapa oleh seorang murid yang mengucap selamat dalam bahasa Inggeris, dapat saya lihat bahawa pengajaran bahasa asing amat dititikberatkan walaupun kanak-kanak ini mungkin tidak berpeluang lansung untuk mempraktikkannya.

Sebolehnya para petugas klinik mahu kami berada lebih lama lagi di sana memandangkan mereka amat jarang menerima pelawat. Namun kami masih banyak lagi tugas yang perlu dilakukan. Sepatutnya dalam jadual kami akan bermalam di sana, tetapi pihak urusetia tidak mahu membebankan petugas memandangkan kemudahan air bersih yang agak terhad. Insya Allah ada rezeki akan kami ke mari lagi.

 
Bukan stor tetapi inilah tandas bagi asrama lelaki





 

Khamis, 25 Oktober 2012

PEDALAMAN SARAWAK – SG. ARIP

Rasanya di antara kesemua tempat yang hamba lawati tempohari, kawasan klinik Kesihatan Sg. Ariplah yang agak mudah untuk sampai. Ini memandangkan kawasannya berada dalam lingkungan 1.5km dari jalan besar. Namun ia tetap dikira berada di dalam kawasan pedalaman memandangkan kedudukan lokasinya yang jauh dari bandar dan tidak mempunyai beberapa kemudahan seperti air dan elektrik.

Terletak berhampiran sebuah perkampungan rumah panjang, klinik ini terdedah kepada ancaman banjir. Bahkan beberapa penghuni rumah panjang berhampiran telahpun mengosongkan kawasan kediaman mereka buat selamanya. Ini memandangkan mereka sudah tidak tahan dengan banjir yang menyebabkan berlakunya kerosakan kepada barang-barang dalamn rumah mereka. Seandainya keseluruhan penghuni rumah panjang itu berpindah nanti maka pastinya kakitangan klinik akan kehilangan jiran mereka yang terdekat.


Penghuni kuarters banyak bergantung kepada air hujan walaupun telaga tiub disediakan. Ini memandangkan air yang terhasil dari telaga tiub itu agak kotor. Ancaman binatang berbisa seperti ular yang memasuki kawasan kuarters atau klinik selalu berlaku menyebabkan para kakitangan perlu sentiasa berhati-hati untuk mengelakkan sesuatu yang buruk daripada berlaku.

Mereka mungkin agak bernasib baik kerana perkhidmatan telefon bimbit telco tertentu dapat berfungsi walaupun tidak berapa baik penerimaannya. Sekurang-kurangnya keadaan mereka lebih baik daripada kakitangan di Kuala Kakus dahulu! 




Rabu, 24 Oktober 2012

THE PRESENTATION SECRETS OF STEVE JOBS - Carmine Gallo



Perlu diketahui bahawa mendiang Steve Jobs tidak pernah menulis buku ini, jauh sekali memberikan pandangan, idea atau sebarang komen mengenai penghasilannya. Walaupun buku ini ditulis semasa mendiang masih hidup, namun beliau sekalipun tidak pernah mengesahkan mengenai apa yang dikatakan mengenai ‘rahsia pembentangannya’. 

Buku ini dihasilkan oleh CARMINE GALLO melalui penelitian serta kajiannya tentang pembentangan yang pernah dilakukan oleh Steve Jobs terutamanya ketika memperkenalkan sesuatu produk baru Apple. Carmine Gallo merupakan seorang jurulatih penyampaian, media dan komunikasi bagi pelbagai jenama terkemuka di dunia. Di dalam buku ini beliau cuba menghuraikan teknik yang digunakan oleh Steve sehingga pembentangannya berjaya menarik perhatian ramai dan amat ditunggu-tunggu.
 
Walaupun teknik yang dibincangkan lebvih sesuai jika di aplikasikan dalam dunia perniagaan, namun sedikit sebanyak ia boleh juga di dalam apa-apa pembentangan memandangkan konsep pembentangan adalah sama – untuk menarik perhatian audien mendengar celoteh kamu. Saya percaya untuk menghadamkan apa yang cuba disampaikan oleh penulis, sebaiknya para pembaca turut juga menonton klip-klip video pembentangan Steve Jobs yang ada di You Tube agar pemahaman pembaca menjadi lebih berkesan.
 
Sebenarnya penulis banyak kali mengulang-ngulang perkara yang sama namun dalam bahasa yang berbeza. Secara ringkasnya untuk menjadi penyampai yang terbaik kita perlu kepada persiapan yang rapi, dari segi skrip dan juga slaid penyampaian. Seterusnya agenda yang paling penting adalah latihan yang keras sehingga mencapai tahap sempurna. Itulah yang cuba ditunjukkan bahawa walaupun persembahan Steve dilihat ringkas sahaja namun beliau sebenarnya berlatih bersama pasukannya sehingga berpuluh jam. Dan saya amat berminat dengan perbincangan bagaimana menangani situasi apabila berlaku sesuatu amsalah ketika pembentangan seperti slaid tidak bergerak ataupun alat yang digunakan itu rosak. Dalam hal ini Steve Berjaya menanganinya sehinggakan para audien tidak sedar atau terasa bosan disebabkan masalah yang berlaku.
 
Anda boleh menjadikan buku ini sebagai panduan. Namun untuk menjadi penyampai yang baik, hanya anda yang boleh merealisasikannya.

Isnin, 15 Oktober 2012

PEDALAMAN SARAWAK - KUALA KAKUS, NANGA PENYERAI

Anda yang hidup di era teknologi ini dikelilingi dengan pelbagai gajet canggih. Komputer riba, tablet, telefon pintar, tv satelit dan pelbagai lagi. Penggunaan gajet sedemikian amat bermakna sekiranya ia dapat disambungkan dengan internet. Melaluinya anda akan dapat mengembara ke merata dunia walaupun sekadar berada di dalam rumah. Namun bagaimana pula sekiranya anda memiliki semua gajet canggih tersebut namun tidak dapat memanfaatkannya. Dengan erti kata lain, tiada internet, tiada akses telefon dan tiada penerimaan televisyen!

Itulah yang saya bayangkan apabila berada di Kuala Kakus, Nanga Penyerai. Dari bandar Bintulu, hamba berkereta sejauh 85 km untuk sampai ke Kuala Sangan. Dari sana pula terpaksa menaiki bot antara 3-4 jam. Perjalanan hanya menggunakan bot yang kecil. Air sungai hampir sangat dengan ketinggian bot sehingga boleh dicapai tangan. Pada mulanya hamba leka juga mengambil gambar persekitaran. Masih lagi kelihatan perkampungan dan rumah panjang di awal perjalanan. Namun selepas dua jam hamba mula merasa bosan. pemandangan ketika itu terasa sama sahaja. Sekali sekala bot kecil ini terlanggar tunggul kayu atau balak yang tidak kelihatan yang berada di dasar sungai. Mujurlah sepanjang perjalanan pergi dan balik tidak terserempak lansung dengan sang bedal. Menurut kakitangan yang turut serta biasanya sang bedal boleh dilihat dalam perjalanan ini, namun kali ini Alhamdulillah bayangannya pun tidak kelihatan.


Hamba perhatikan air sungai yang hamba lalui berwarna coklat pekat. Ia tidak kelihatan bersih atau sesuai untuk di minum. Sekali sekala kelihatan sampah seperti botol plastik dan bungkusan makanan terapung dihanyutkan arus. Kita tahu di tempat sebegini tiada perkhidmatan pengangkut sampah seperti di bandar. Namun kesedaran sivik yang tinggi amat perlu demi untuk menjaga alam sekitar.



Klinik Kesihatan Kuala Sangan yang hamba lawati terletak di tepi sungai. Ketika sampai air sungai berada jauh ke bawah. Hamba dan rombongan terpaksa melalui kawasan berselut dan sedikit mendaki menaiki tebing. Sebenarnya klinik ini berada di antara dua batang sungai. Apabila banjir, air akan naik tinggi sehingga ke lantai klinik. Mujurlah disekeliling klinik dilingkari dengan pagar. Ini kerana dalam banjir yang lalu sebatang balak hanyut telah menghentam pagar klinik sehingga menyebabkannya runtuh. Tanpa pagar berkemungkinan ia akan menghentam bangunan klinik ataupun kuarters pekerja.

Telefon hamba tiada akses di sini. Internet apatah lagi. Tiada juga telefon satelit di klinik memandangkan kemudahan tersebut yang asalnya disediakan oleh sebuah kementerian telahpun tidak dapat digunakan lagi. Bekalan air hanya bergantung kepada air hujan juga air sungai walaupun agak kotor. Bekalan eletrik hanya diperolehi daripada generator yang hanya dibuka pada waktu malam untuk beberapa jam. Kipas siling di klinik tidak lebih dari sekadar hiasan kerana tidak dapat digunakan. Baru beberapa ketika di sini hamba sudah dapat merasakan kebosanan kakitangan yang bertugas di sini. Sudahlah tiada alat perhubungan, hendak keluar dari situ pula memakan masa yang panjang. Mujurlah hubungan mereka dengan penghuni rumah panjang agak baik dan memudahkan mereka untuk menumpang bot penghuni rumah panjang sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

Ziarah ini sedikit sebanyak menginsafkan hamba. Bukan senang untuk mencari kakitangan yang sanggup bertugas di pedalaman. Sehubungan itu tanggungjawab orang seperti hamba untuk memastikan kebajikan mereka ini terpelihara agar perkhidmatan yang mereka sampaikan tetap berada pada tahap yang terbaik.
Sesi meluahkan perasaan

Isnin, 8 Oktober 2012

THE HIPLIST WEDDING PHOTOGRAPHERS

Semasa sekilas hamba membaca tajuk majalah ini, hamba hampir sahaja tidak memperdulikannya. Ini memandangkan hamba cuba mengelak untuk membeli bahan bacaan berkenaan fotografi buat seketika. Majalah-majalah fotografi yang hamba beli, yang dah dua tiga tahun dulu pun ada yang masih tak berbaca lagi. Namun bila lirikan mata tertancap pada kalimat seterusnya – Celebrating The Art Of Malaysia’s Wedding Photographers – hamba rasa hamba perlu memilikinya.

Semasa di kedai, buku ini berbalut rapi dengan plastik membuatkan hamba tidak dapat menyelak untuk mengetahui isi kandungannya. Namun hamba membayangkan ia dipenuhi karya-karya hebat jurugambar perkahwinan di Malaysia. Sememangnya telahan hamba ini benar. Gambar-gambar yang dilampirkan dalam edisinya yang ke-enam ini memang amat menarik perhatian. Cuma satu sahaja yang hamba perasan, rata-rata karya jurugambar yang dipaparkan adalah berbangsa cina. Hamba rasa hamba tertipu oleh tajuk majalah ini tadi. Jurugambar Perkhawinan di Malaysia adalah terdiri daripada pelbagai bangsa. Tetapi tidak ditonjolkan oleh majalah ini.

Jurugambar yang terpilih adalah mereka yang mempunyai syarikat yang bergerak dalam skala yang besar. Tiada rasanya tempat untuk mereka yang bekerja secara solo. Setiap mereka meninggalkan nombor telefon untuk memudahkan pelanggan menghubungi. Sekali lagi hamba merasa yang hamba telah membuang RM15.00 untuk membeli sebuah majalah iklan. Biasanya orang membayar pada majalah agar iklan mereka tersiar tetapi hamba seolah membayar pula untuk melihat iklan para jurugambar ini.

Ekspektasi hamba untuk melihat jurugambar ‘Malaysia’ yang berbilang kaum dalam majalah ini nampaknya tidak kesampaian. Bahkan pasangan pengantin berbusana Melayu juga hanya beberapa keping sahaja boleh dilihat di majalah ini. Rata-rata di hampir di setiap muka adalah pasangan pengantin yang berbusana barat.  Kalau orang asing membaca majalah ini hamba yakin mereka akan mengatakan bahawa gambar-gambar berkenaan sama sahaja dengan pengantin di negara mereka.  Hamba rasa tiada citarasa Malaysia dalam majalah ini kecuali pada beberapa keping gambar. Entahlah hamba rasa hamba cuma membazir pitih sahaja membeli majalah tersebut. Lain kali duit itu hamba beli karipap sadin aje!

Jumaat, 5 Oktober 2012

PEDALAMAN SARAWAK – KUALA TATAU

Sudah 9 bulan hamba bertugas di kementerian ini. Boleh katakan ruang lingkup penugasan hamba hanya berlaku di pejabat. Amat jarang sekali untuk hamba keluar dari pejabat sama ada berkursus atau melakukan tugasan luar. Paling jauh pernah hamba pergi dari Putrajaya inipun hanyalah ke Hospital Selayang.

Namun bulan lepas hamba beroleh peluang untuk keluar agak jauh – Sarawak, dan lebih istimewa lagi ke kawasan pedalaman. Bagi hamba ini merupakan peluang baik untuk hamba meninjau kampung halaman orang. Bukannya mudah untuk ke kawasan pedalaman Sarawak kalau sekadar pergi untuk saja-saja. Lagipun kawasan pedalaman Sarawak kebanyakannya agak sukar perjalannya serta mengambil tempoh yang lama. Kebanyakannya juga tidak mempunyai akses jalan raya atau jalan darat untuk sampai.

Kerja luar hamba ini sebenarnya adalah untuk meninjau keadaan klinik kesihatan dan klinik desa di sana serta menjalankan naziran untuk pemberian elaun. Pada hari pertama, sebaik sahaja selesai urusan kemasukan hotel serta menunaikan solat Zuhur, maka hamba dan kumpulan dibawa ke KK Kuala Tatau. Dari Bintulu mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk sampai ke jeti Kampung Kuala Tatau. Jalan rayanya tidak begitu baik serta tidak rata. Dari jeti tersebut perlu pula menaiki bot selama lima minit untuk menyeberang sungai yang luas sebelum tiba ke destinasi.

Klinik ini amat hampir dengan sungai. Justeru ia sering terdedah kepada banjir. Kerana itulah binaan klinik dan kuartersnya dibuat agak tinggi dari tanah. Klinik ini tidak mempunyai bekalan air bersih. Ia cuma menggunakan sumber tadahan air hujan. Merasalah kami petang itu dijamu dengan teh o air hujan. Sekitar klinik terletak sebuah kampung yang pada pandangan saya amat terjaga kebersihannya. Kebanyakan rumah dicat dengan warna menarik. Berkemungkinan juga ia baru dicat kerana sebelum itu dimaklumkan ada lawatan VIP ke kampung tersebut bagi sumbangan tong tadahan air 1Malaysia.

 
Walaupun dikategorikan pedalaman, namun bagi saya penduduk di sini masih lagi agak mudah untuk ke kawasan bandar. Hanya sungai sahaja yang membuatkan mereka agak susah untuk ke sana. Tetapi itupun tidak mengambil masa yang lama untuk menyeberang. Destinasi selepas ini ternyata lebih mencabar lagi.



 

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...