Ahad, 26 November 2023

KISAH LATIFAH - Maria Kajiwa


 

Apabila membaca di bahagian sinopsis di kulit novel, Maria menggunakan latar tempat 'kem tahanan Perang Dunia Kedua di atas sebuah bukit', hamba terus teringatkan Penang War Museum yang pernah hamba lawati pada tahun 2014. Ternyata Maria juga menggunakan tempat berkenaan sebagai inspirasi penulisan. Maria melawat tempat berkenaan pada tahun 2016, hanya dua tahun selepas hamba melawatnya. Tulisan hamba mengenai Penang War Museum boleh anda lihat dengan mengklik di sini

Kehilangan anak gadis di sebuah kampung dikaitkan dengan Latifah, seorang gadis yang telah diculik dan dibawa ke kem berkenaan. Beliau kemudiannya mati kerana membunuh diri. Ayah Latifah juga dibunuh di kem tersebut.

Walaupun kes kehilangan anak gadis berjaya diselesaikan kemudian, ada sedikit plot twist di akhir cerita apabila keberadaan Latifah sebenarnya adalah kerana diseru seseorang. Dan orang itu pula daripada susur galur dukun yang membuka rahsia kebal bapa Latifah sehingga dia mudah dibunuh Jepun.

Apapun, kisah ini ditulis begitu ringkas sehingga tidak terasa benar akan keseramannya.






TEMPUR - Ahmad Erhan


 Wowwwwww!! Itu saja yang boleh hamba katakan mengenai naskhah ini. Novel ini bukanlah sebuah karya yang baharu. Ia adalah karya tahuyn 2016. Hamba membelinya beberapa bulan yang lalu dalam jualan Karangkraf. Ketika itu ia dijual begitu murah - RM5 sahaja! Dan naskhah yang hamba beli ini adalkah cetakan yang pertama. Ini mungkin bermakna ia cuma menerima sambutan yang sederhana sehingga menyebabkan tiada cetakan yang lain. (Atau terdapat cetakan yang lain dan hamba membeli naskhah yang telah di-reject?).

Walau apapun, kisah yang dipaparkan di dalam Tempur adalah amat mengujakan. Ia adalah novel aksi tempur yang memberikan kepuasan maksima kepada peminat novel sebegini. Hamba sememangnya tidak mengenali nama penulis Ahmad Erhan. Tetapi penulisan beliau lewat naskhah ini menunjukkan bahawa beliau bukan sebarang penulis.

Novel ini berkisar mengenai pembalasan dendam oleh seorang bekas bounty hunter yang mahu membunuh mereka yang pernah khianat kepadanya. Beliau ketika itu digambarkan telahpun berumur sekitar 50-60an. Tidak bersendirian melakukan geraknya, beliau turut disertai anak gadisnya yang masih muda tetapi hebat menjadi sebuah mesin pembunuh.

Satu demi satu mangsa beliau menemui ajal dalam episod yang digambarkan dengan amat dramatik sekali. Kebanyakan musuh beliau dihabiskan oleh anak perempuannya ini. Ahmad Erhan amat cekap menulis babak pertempuran. Beliau boleh menulis lebih dua bab untuk cerita berlawan sahaja! Selain senjata moden, tiga jenis senjata Melayu turut menjadi senjata utama para pemegang watak utama cerita ini iaitu sundang, badik dan parang.

Kejahatan dua beranak ini pastinya ada yang akan membanteras kegiatan mereka. Ternyata tidak semnudah itu untuk menghentikan mereka. Banyak nyawa terkorban sama ada daripadsa kalangan awam mahupun anggota keselamatan. 

Banyak elemen kejutan serta plot twist yang menjadikan nafas pembaca tertahan membaca karya ini. Ada tekaan hamba yang tersilap lantaran pandainya penulis memanipulasikan jalan cerita. Kenapalah hamba tidak berjumpa karya ini sejak dahulu lagi. Karya ini bagaikan underrated

Karya ini pastinya membuka mata akan kebolehan Ahmad Erhan di dalam penulisan. Pastinya tidak akan ragu untuk membeli karyanya di masa aklan datang!


Mari bertempur dengan KENITRA!


Rabu, 8 November 2023

CERITA DARIPADA MUTAWIF - Dato' Hj Md Daud Che' Ngah


 

Mengunjungi dua tanah suci - Makkah dan Madinah, menjadi impian besar umat Islam. Walaupun hanya dua lokasi ini yang dikunjungi, para penziarah membawa pulang pengalaman yang berbeza. Cerita Daripada Mutawif adalah himpunan cerita yang pernah tersiar di majalah Mingguan Wanita oleh mantan pengurus besar Lembaga Tabung Haji, Ustaz Dato' Hj. Md Daud Che' Ngah. Nama ini meruoakan satu nama besar dalam perkara yang melibatkan haji dan umrah dan tidak perlu diperkenalkan lagi.

Usah bayangkan cerita yang dipaparkan di dalam buku ini umpama kisah yang terpapar di dalam Mastika, seperti kisah-kisah aneh yang menimpa para pendosa. Cara penceritaan penulis juga berbeza, lebih kepada penyampaian ibrah dan tidak ke arah sensasi.

Terdapat sebanyak 24 buah kisah yang terkandung di dalam buku ini. Melalui kisah-kisah yang dipaparkan penulis cuba memberitahu akan kepentingan mempunyai ilmu untuk menunaikan haji dan umrah. Ini bertujuan agar ibadah yang dilakukan dengan sempurna. Penulis menegur sebilangan orang yang meremeh atau tidak memandang serius dengan kursus haji atau umrah yang diadakan sebelum keberangkatan mereka ke tanah suci. Kerana kecetekan ilmu banyak yang tidak melakukan ibadah dengan sempurna sehingga melanggar larangan di dalam ibadah dan terpaksa dikenakan dam.

Ada juga wanita yang kerana memikirkan kerugian, pergi menunaikan ibadah umrah walaupun di dalam tempoh edah. Ada juga yang kedatangan haid tetapi menganggap itu bukannya haid. Semua ini berlaku kerana kecetekan ilmu.

Penulis turut memaparkan kisah penipuan oleh syarikat umrah yang menawarkan pakej umrah yang murah. Akhirnya jemaah juga yang kerugian apabila mereka terpaksa mengeluarkan wang dengan lebih banyak lagi apabila di tanah suci. Ada juga syarikat yang menipu jemaah dengan mengenakan harga yang murah dengan mendakwa sebahagian perbelanjaan mereka akan ditanggung oleh hartawan Arab. Akhirnya syarikat lari dengan wang yang telah dikumpul. Tidak terkecuali penganiayaan yang berlaku terhadap agen yang mewakili syarikat penipu ini.

Tidak ketinggalan penulis memaparkan kisah mereka yang diberikan kemuliaan dan kemudahan di tanah suci. Namun ada juga mereka yang menghadapi dugan besar seperti suami isteri yang asalnya mesra, tiba-tiba bermasam muka di sana. Ada juga dipaparkan mereka yang telah menunaikan ibadah ini namun apabila pulang masih lagi mengerjakan maksiat.

Hamba melihat buku ini memberikan banyak pengajaran kepada para pembaca. Ia juga satu panduan buat mereka yang mahu mengunjungi tanah suci. Segala kisahnya boleh dijadikan iktibar agar bakal jemaah membuat persediaan rapi dsaripada segi ilmu, harta, kesihatan dan sebagainya. Perkara negatif yang diceritakan adalah sebagai sempadan agar kita sama sekali tidak akan melakukannya.

Sesungguhnya tanah suci bukanlah tempat untuk melancong dan membeli belah, ia adalah destinasi kita untuk mencari keredhaan Ilahi.



KENITRA boleh menjadi panduan 
bakal penuntut ke Timur Tengah


Sabtu, 4 November 2023

PETAKA SUKMAKU - Naim Tamdjis

Gambar ihsan FB Naim Tamdjis

 

Walaupun memperolehi buku ini seawal penerbitannya (bahkan hamba membeli terus daripada penulisnya), kesibukan bertukar kerja di tempat baharu menyebabkan buku ini tidak sempat hamba mengusiknya. Hanya apabila kini hamba telah dapat mengatur semula rentak perjalanan harian dan dapat mengadaptasi dengan kesibukan kerja semasa, maka ada kesempatan untuk hamba membaca sekaligus menyudahkannya beberapa hari yang lalu.

Kisahnya agak simple mengenai seorang penulis kisah seram bernama Nass yang mempunyai ramai peminat termasuk seorang yang agak hardcore sehingga sanggup menghadiahkan beliau barangan yang agak mewah. Dalam hal diri penulis seram ini hamba percaya bahawa watak Nass itu sendiri banyak diadaptasi daripada penulis novel ini sendiri.

Dipendekkan cerita, peminat yang bernama Sara ini akhirnya berkahwin dengan Nass. Terdapat pelbagai peristiwa berlaku sebelum berlakunya perkahwinan ini yang konfliknya umpama membaca sebuah kisah remaja biasa atau paling kurang konflik dalam drama TV pukul 7.

Nasihat yang Nass berikan kepada temannya bernama Amye (hamba pun tak tahu cara menyebutnya, Amy kah atau Am-Ye...) untuk melaporkan perbuatan tidak molek seorang lelaki bernama Rizman kepada polis telah mencorakkan perkembangan cerita selepas itu. Ibu kepada Rizman telah menggunakan ilmu hitam terhadap Nass. Tambah memburukkan lagi keadaan, bekas pekerja Nass bernama Abraham juga telah mengambil jalan yang sama apabila merasakan dirinya tidak mendapat layanan yang wajar.

Maka selepas itu pembaca akan dapat mengikuti akibat yang terjadi kepada Nass dan Sara hinggalah kepada penghujung kisah.

Secara amnya, buku ini tidaklah begitu seram. Lebih-lebih lagi sebahagian besarnya telah dipenuhi dengan kisah awal Nass bersama Sara. Elemen seram yang disuntik menjadikan konflik yang berlaku semakin sukar membuatkan pembaca tertanya-tanya akan jalan penyelesaiannya.

Walaupun sihir yang dikenakan akhirnya berjaya dipatahkan, namun hamba agak kurang berpuas hati terhadap apa yang berlaku kepada penghantarnya kerana tidak diberikan penghuraian yang panjang. Hamba lebih mahu melihat akibat kepada ibu Rizman, sebaliknya Rizman pula yang menerima akibat balikan sihir itu. Ibu Rizman dan pembantu rumahnya hanya dilihat kelam kabut mahu mencari semula bomoh tempat mereka mengadu. Tiada diceritakan apa yang berlaku kepada bomoh begitu juga dengan watak Abraham yang kisahnya tamat sebaik sahaja melakukan ritual terhadap premis penerbitan Nass.

Kisah ini sesuai dibaca oleh peminat cerita seram tetapi tidak suka membaca kisah yang terlalu seram sehingga takut nak ke bilik air di tengah malam. 



NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...