Sabtu, 27 Julai 2013

APO MONDO EH NI?



Hamba pasti ramai anak mudo Generasi Y hari ni tak konal dongan mondo yang tersangkut kek ateh sebuah kodai ni. Kok sekali tengok cam timbo telago yo ghoman eh. Jaman 80an maghin mondo ni cukup banyak digunokan kek kodai-kodai runcit. Sehinggolah apobilo mesen wang diperkonalkan dongan meluas dan pekodai pun dah mampu moli mondo tu, mako tin yang macam kek dalam gambar ni pun tak laei digunokan. Apo kelas yo tak kok kodai godang macam teskoh atau jayen, tompi tompek simpan duit mokyang koman eh.
Yo, inilah tompek nyimpan duit pekodai jaman dulu. Cukup pakai tin bosa yo. Tak kigholah tin apo pun, melo ko, tin susu ko jajnji saiz eh bosa. Kok tin susu cap junjung tu nak menasabah pulak ekau nak buek simpan duit. Kok takat duit bosi buleh la. Tin duit ni disangkut kek tompek tinggi disambungkan dongan tali yang diikek dongan pemboghek. Kok nak nyimpan atau amik duit, taghik ajolah mondo ni ko bawah. Dah sudah lopeh an yo, pandailah dio naik ke dateh balik.
Ekau kok bukak kodai sok nak pakai tak tompek nyimpan duit camni?

RAJA CAMERON HIGHLAND



Hamba bukannya nak bercerita mengenai pekebun sayur di Cameron yang bernama Raja. Hamba pun tak kenal dengan mana-mana encik Raja di sana. Raja yang hamba maksudkan adalah kenderaan 4WD lama yang rata-ratanya dari jenis Land Rover yang merajai jalan-jalan di sini.

Kebanyakan kenderaan Land Rover yang ada adalah dari jenis lama yang dibaik pulih dari masa ke semasa. Di badannya biasanya tercatat huruf CH menandakan bahawa kenderaan itu yang boleh dibawa di sekitar Cameron sahaja dan mendapat keistimewaan membayar 10% sahaja cukai jalan. Ia amat lasak dan sesuai dengan keadaan muka bumi di sini yang berbukit, memudahkan para petani dan penanam untuk mengangkut hasil bumi mereka.Tapi kenderaan inipun dah semakin kurang kerana kesukaran untuk mendapatkan alat ganti. Para petanipun sudah mula beralih ke 4WD yang lebih baru dan moden. Kadang-kadang kelihatan kenderaan lama ini tersadai sahaja di tepi-tepi jalan, terbiar tidak dipedulikan lagi.







Jumaat, 19 Julai 2013

BERTAMU DI PUNCAK DESIR ANGIN pt.2


Kata orang hawa di cameron Highland tidak lagi sedingin dulu. Orang mana yang kata, ntah hamba pun tak tahu. Tapi mungkin juga benar. Kedinginan yang hamba rasa sewaktu kunjungan kali pertama tahun 1986 dahulu tidak lagi mencucuk ke tulang pada 2003 ini. Berkemungkinan besar banyak lereng yang telah dibotakkan bagi memberi laluan pembukaan ladang sayur.
Perjalanan ke Cameron kali ini kadang-kadang rasa membosankan apabila bertemu terlampau banyak dengan konvoi kenderaan. Ada konvoi MyVi, Mitsubishi Lancer, Motor besar dan beberapa kenderaan lagi. Bahkan konvoi motor klasik Honda 70 pun ada. Maaflah, kumpulan ini mungkin mengatakan aktiviti mereka memberikan faedah. Benar, faedah adalah untuk mereka tetapi untuk pengguna jalan lain adalah menyusahkan. Mereka ini hendak berderet sesama mereka sahaja dan menyukarkan kenderaan lain hendak memotong. Kalau cam lelabi bawanya, maka cam lelabi jugalah kenderaan kita. Jalan ke Cameron bukannya banyak lorong. Mereka yang dipanggil marshall ini pula seolah ada kuasa untuk menghalakan kenderaan di jalan raya. Eh, bila masa pula kalian ada kuasa begini. Setahu hamba polis sahaja yang boleh mengarahkan kenderaan untuk ke tepi. Kalau tak ke tepi kita pula dihonnya. Oh ya mungkin hamba bayar lesen kereta yang murah dan tuan hamba punya ada cap dewa-dewa, sebab itulah kami kena ke tepi.

Jem di Cameron mungkin dah hampir sama dengan KL. Dengan jalan yang kecil, pengunjung yang ramai, maka berderetlah kenderaan untuk ke satu-satu tempat. Ketiadaan kawasan parking yang teratur juga menyulitkan keadaan. Yang berkonvoi tadi patut bolehlah berkongsi kenderaan sebab anda dah kenal antara satu sama lain. Bukan ke tujuan anda nak mengeratkan hubungan sesama ahli. Kongsi kenderaanlah apa lagi.




Orang putih dahulu bangunkan tempat tinggi sebegini untuk tempat mereka berehat di samping kenang-kenangan negara mereka yang dingin. Tapi hari ini Cameron tak terasa seperti tempat untuk orang berehat menenangkan fikiran. Kerana rakyat Malaysia ini suka membeli belah, maka apa yang ada di sini hari ini adalah tempat orang kita melaburkan duit mereka. Kedai-kedai tak usah ceritalah berapa banyak yang didirikan. Mana-mana tepi jalan yang ada ruang sikit akan adalah kedai yang terpacak. Kerana itu jangan hairan apabila melihat tiang elektrik tegak menjulang di tengah-tengah beberapa kedai. Seingat hamba Karam Singh Walia dulupun pernah buat laporan tentang kedai-kedai sebegini. Waktu beliau buat laporan dulu adalah juga tindakan oleh PBT. Sekarang ni hamba rasa geng-geng ketegaq ini mula bermaharajalela semula. Apa nak buat bumi dipijak milik orang.....









HOTSHOTS : 40 YEARS OF GREAT NEWS IMAGES BY STAR PHOTOGRAPHERS


Mungkin kalau tidak kerana balang kaca ikan hamba pecah dua malam yang lalu, buku ini masih tetap cantik tersimpan di dalam plastiknya. Balang kaca yang pecah menyebabkan air di dalamnya membasahi sebuah rak buku kecil yang terletakl bersebelahannya mengakibatkan beberapa majalah hamba dibasahi air. Walaupun buku ini juga terkena sedikit air, namun ia agak bernasib baik kerana plastik balutannya masih belum berbuka sejak hamba membelinya pada 2011. Sepatutnya hamba bercadang nak membaca buku lain pada cuti hujung minggu ini, sebaliknya hamba tergerak pula untuk membaca buku ini.

Buku ini menghimpunkan gambar-gambar yang dihasilkan oleh jurugambar akhbar The Star sepanjang penubuhannya 40 tahun yang lalu. The Star bermula sebagai sebuah akhbar yang beroperasi di Pulau Pinang. Tumpuan pasarannya ketika itu hanyalah untuk pasaran di sebelah utara sahaja. Ia mula dipasarkan ke seluruh negara apabila operasinya berpindah ke Petaling Jaya.

Hamba membeli buku ini kerana minat hamba pada fotografi. Tambahan pula buku ini bukan sekadar satu seni foto tetapi juga satu rakaman sejarah memandangkan banyak gambar adalah berkait rapat dengan sesuatu peristiwa yang terjadi ketika ia dirakamkan. Antara gambar yang agak menarik pada hamba adalah rakaman ekslusif Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman di rumahnya sedang melakukan senaman ringan serta keadaan beliau yang gembira menonton televisyen sambil duduk di atas kerusi goyang.

Rupanya jurugambar dahulu terpaksa memiliki kamera sendiri jika ingin menjadi jurugambar. Ini kerana ketika itu pihak syarikat tidak menyediakan peralatannya seperti sekarang. Ia mengingatkan hamba kepada Peter Parker aka Spiderman yang juga menggunakan kamera sendiri buat merakam gambar untuk Daily Bugle. Tentunya kerja-kerja kewartawanan 40 tahun dahulu agak sukar dibandingkan dengan hari ini. Ini memandangkan teknologi pada masa itu masih belum berkembang. Teknologi komputer masih di permulaan barangkali dan internet masih belum muncul lagi. Segala gambar dan berita terpaksa dihantar secara manual ke ibu pejabat untuk di proses.

Buku ini memaparkan gambar-gambar menarik dari zaman hitam putih ke warna juga dari zaman kamera SLR manual, membawa ke autofokus hinggalah ke teknologi DSLR sekarang. Setiap gambar mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri dan dipilih dari yang terbaik untuk dipaparkan. Setiap jurugambar cuba untuk mendapatkan hasil yang terbaik agar pembaca yang melihat gambar tersebut dalam merasakan cerita yang ingin disampaikan oleh gambar tersebut. Semua orang boleh mengambil gambar tetapi bukan semua orang boleh menghasilkan imej yang berkualiti. Seseorang jurugambar itu biasanya merakamkan beberapa shot, dan hanya yang terbaik diplih dari sejumlah banyak itu. Setiap detik adalah amat berharga. Sekiranya seseorang jurugambar itu terlepas sesuatu detik yang berharga, bermakna dia telah hilang keseluruhannya kerana detik itu tidak mungkin kan berulang lagi.   

Sabtu, 13 Julai 2013

BERTAMU DI PUNCAK DESIR ANGIN



Awal bulan lepas hamba telah diarahkan untuk membentangkan satu kertas kerja pada satu konvensyen yang dianjurkan oleh sebuah kesatuan sekerja yang akan berlansung pada hujung bulan yang sama. Majlis tersebut akan diadakan di sebuah hotel di Cameron Highland. Memandangkan tarikh hamba membentangkan kertas tersebut jatuh pada hari Sabtu, maka hambapun mengajaklah ahli keluarga hamba untuk ikut bersama.

Namun manusia ini hanya mampu merancang, di tangan Allah jualah penentuan segala perkara. Dua minggu sebelum majlis tersebut penganjur memaklumkan hamba mereka terpaksa membatalkan serta menunda tarikh konvensyen tersebut. Hampalah anak-anak hamba yang sebelum ini begitu teruja untuk ke sana. Selepas itu tiadalah lagi bicara perihal Cameron ini.

Tetapi lagi dua hari sebelum tarikh yang tidak jadi itu hamba merasakan tidak ada salahnya kalau hamba pergi sendiri ke sana. Maka perkhabaran ini hamba maklumkanlah kepada semua dan berbahagialah sekalian rakyat jelata. Namun hamba tidak berkesempatan mencari sebarang penginapan gara-gara kesibukan dengan tugasan harian di pejabat. Hanya pada hari Jumaat sebelah malamnya barulah hamba sibuk melayari internet mencari penginapan yang sesuai. Satu demi satu hamba telefon namun kesemuanya memaklumkan tempat mereka telah penuh ditempah. Akhirnya satu homestay di Taman Sedia memaklumkan bahawa tempat mereka mempunyai dua buah bilik yang kosong. Hamba tidak berfikir panjang dan terus memberikan persetujuan untuk menempah sebuah bilik.

Hamba diminta untuk memasukkan wang deposit ke dalam akaun sebagai tanda setuju. Hamba memaklumkan bahawa hari telahpun malam dan hamba tak mahu keluar malam ke mesin autoteller hanya untuk memasukkan wang. Namun pemilik meminta hamba untuk menggunakan perbankan internet. Hamba khabarkan bahawa hamba ini jenis old fashion dan tak reti menggunakan kemudahan seperti itu. Hamba minta dia tidak risau dan menegaskan hamba akan menginap di homestay beliau. Akhirnya pemilik bersetuju dan meminta hamba melunaskan terus wang penginapan apabila sampai esok.

Begitulah keadaannya apabila kita ingin menempah penginapan di Cameron Highland - deposit perlu dibayar sebelum ke sana. Bagaimana pula kalau tidak jadi menginap? Sudah tentu wang deposit itu akan hangus begitu sahaja. Yang tidak cantiknya pengusaha homestay yang Muslim juga berbuat sedemikian. Adalah haram mengambil wang tanpa pemberi itu mendapat menggunakan perkhidmatan. Tidak dinafikan sekiranya deposit tidak diambil maka pemilik homestay tidak akan mendapat sebarang pulangan kerana homestaynya tidak digunakan. Tetapi itu adalah lebih baik daripada melakukan satu bentuk penindasan. Sekiranya pengusaha itu mengatakan bahawa mereka rugi kerana pelanggan membatalkan tempahan, bagi hamba mereka bukannya rugi. Bukannya homestay mereka rosak musnah kerana orang membatalkan tempahan. Homestay itu tetap begitu juga eloknya.

Oleh itu suka hamba mengingatkan pengusaha homestay yang sama agamanya dengan hamba, berhentilah dari amalan mengambil deposit ini. Kalau pengunjung tidak jadi menginap itu terang sekali bukan rezeki anda. Jangan anda mengambil kesempatan membuat keuntungan di atas angin. Kita ingin hidup kita berkat. Hamba yakin anda juga menggunakan wang dari homestay untuk berzakat.




ANAK MAT LELA GILA – Ishak Haji Muhammad (Pak Sako)

Terima kasih hamba ucapkan buat Institut Terjemahan & Buku Malaysia kerana mencetak semula buku ini. Agak sukar untuk mencari dan membaca buku-buku sastera klasik hasil tulisan penulis lama Malaysia. Buku di Malaysia tidak seperti di Negara Arab. Tajuk yang dah lama terbitpun masih lagi boleh dicari di kedai buku. Tetapi di sini kalau anda dah berkenan dengan sesebuah buku, segeralah membelinya kerana dikhuatiri ia tidak akan anda temui lagi di pasaran. Satu ketika hamba singgah di sebuah blog kepunyaan seorang penulis novel, beliau mencatatkan bahawa syarikat penerbitan bertanyakan sekiranya beliau ingin membeli baki stok buku tulisan beliau. Sekiranya beliau tidak berminant maka syarikat penerbitan akan melupuskan novel tersebut. Tulisan beliau tersebut telah menjawab mengapa sebuah novel beliau yang hamba cari tidak pernah hamba jumpa di pasaran.

Membaca Anak Mat Lela Gila membuatkan imaginasi dan khayalan hamba terpaksa dibawa ke zaman lampau sekitar tahun 50an ke 60an sesuai dengan zaman penceritaan. Tidaklah boleh hamba membayangkan Cameron Highland dan Singapura yang disebut dalam novel ini sama seperti ianya hari ini. Walaupun menggunakan gaya bahasa lama, hamba dapat mengikutinya dengan baik tanpa rasa bosan. Bahkan hamba amat gembira apabila bertemu beberapa perkataan lama yang sudah amat jarang digunakan. Hamba bahkan tertarik dengan terjemahan perkataan ‘trem’ oleh Pak Sako kepada ‘kereta berjuran’ (Mungkin kerana trem mempunyai penyangkuk seperti joran yang menyambungkan badannya dengan wayar elektrik).

Mat Lela Gila yang namanya tercatat pada tajuk novel ini tidaklah panjang penceritaannya. Beberapa perlakuan gila oleh Mat Lela sebenarnya jika diteliti tidaklah boleh dianggap gila. Cuma pada masa itu perlakuan tersebut dianggap ganjil dan tidak dilakukan orang. Contohnya beliau suka membersihkan persekitaran masjid dan membuat blok-blok batu bata dari lumpur. Kerana masyarakat kampong ketika itu yang rata-ratanya berumah papan maka pembuatan batu bata dilihat sebagai sesuatu yang tidak penting. Namun hasrat Mat Lela ialah mahu melihat anak bangsanya boleh duduk di dalam rumah batu yang selesa sama seperti orang di bandar boleh dilihat sebagai satu wawasan yang baik. Mat Lela dalam gilanya itu juga seorang pengukir yang baik, pandai membuat taman, pondok istirehat dan bangku untuk duduk.

Anak Mat Lela bukan anaknya yang sebenar, namun adalah seorang bayi yang ditinggalkan oleh seseorang di dalam pondok yang dibinanya di dalam hutan. Bayi itu telah dibela oleh Mat Lela sehinggalah usianya 12 bulan apabila bayi tersebut diambil oleh sepasang suami isteri tanpa Mat Lela sedari. Budak yang diberi nama Bulat tersebut selepas itu bermulalah perjalanan hidupnya yang panjang dan penuh dengan penderitaan sehinggalah beliau telah dewasa dan berusaha mencari ibu bapanya yang sebenar.

Walaupun merupakan sebuah novel lama, namun jikalau diteliti terdapat beberapa isu masyarakat yang dipaparkan masih relevan dengan kehidupan hari ini. Kesemuanya disampaikan dengan penuh berhemah dengan ayat-ayat cukup baik. Walaupun Pak Sako juga dikenali sebagai pejuang politik kiri, namun hamba rasa novel ini tidak menunjukkan lansung pemikiran beliau ke arah itu. Novel ini merupakan satu kritikan halus buat masyarakat. Ia masih relevan untuk dibaca dan permasalahan tersebut entah bilakan sudahnya.




Isnin, 8 Julai 2013

RENTASAN - Sharifah Mazlina


Barangkali buku ini sukar untuk dilihat di mana-mana kedai buku lagi. Hamba memperolehi buku ini sewaktu penulis menyampaikan ceramah di INTAN Executive Talk pada bulan lalu. Sayangnya hamba tak sempat meminta tandatangan beliau apabila beliau beredar untuk ke jamuan minum. Walaupun beliau ada meminta pembeli untuk ke tempat beliau minum namun hamba rasa tak elok pula untuk mengganggu masa beliau menikmati makanan.

Buku ini memaparkan kisah hidup Dr Hajah Sharifah Mazlina sejak beliau kecil sehinggalah berjaya menjalani ekspedisi solo merentasi Kutub Selatan. Walau bagaimanapun kehidupan beliau dari kecil sehingga bekerja disentuh serba ringkas sahaja dan intipati buku ini lebih kepada usaha beliau untuk menawan Kutub Selatan, bermula dari impian, latihan, rintangan sehinggalah cabaran semasa menjalani ekspedisi tersebut.

Bukan semua orang boleh atau mampu melakukan apa yang telah beliau lakukan. Tambahan pula diri beliau hanyalah seorang wanita Asia bahkan dari negara yang lansung tidak pernah merasai kesejukan salji. Sudahlah begitu tempat yang beliau pergi itu pula hanya berapa kerat manusia sahaja yang telah berjaya menempuhnya. Sesungguhnya catatan beliau bermula dari persiapan sehingglah berakhirnya ekspedisi ini memberikan semangat kepada orang lain agar tidak mudah untuk menyerah kalah. Melalui buku ini dapatlah hamba fahami bahawa kesukaran yang beliau tempuhi bukan setakat di Kutub Selatan, bahkan untuk memulakannya di dalam negara sendiri sahaja sudah cukup untuk membuatkan sesiapa yang lemah semangat akan segera menyerah kalah.

Satu bab mengenai penganugerahan pingat kepada beliau oleh Almarhum Sultan Johor (pingat tersebut telahpun ditarik semula oleh anakanda baginda selepas menaiki takhta) turut menarik perhatian hamba. Tulis beliau, "Tetapi kini, saya rasa seperti dalam mimpi. Masyarakat bercakap dengan saya begitu hormat dan bersopan santun lebih dari kebiasaan. Kalau membuat panggilan telefon kepada saya, pastinya akan meminta maaf terlebih dahulu kalau-kalau panggilan tersebut mengganggu Datin Paduka. Bunyi percakapan juga amat lemah lembut ibarat tarian Makyong. Hairan ada, nak tergelak pun ada....."

Hamba cuba melihat catatan beliau tersebut dengan alam nyata atau lebih tepat lagi interaksi orang-orang di pejabat hamba dengan orang-orang bergelar ini. Benarlah kata beliau, bila kita berhadapan dengan golongan ini kadangkala gigi kita lebih lembut daripada lidah. Padahal dengan orang lain yang setara jawatannya dengan mereka ini tetapi tidak mempunyai gelaran boleh pula kita berbicara dengan cara yang biasa. Bukanlah maksud hamba kita perlu biadap dengan golongan ini, tetapi maaflah hamba rasa kadangkala kita seperti merendahkan darjat kita di hadapan mereka. Bukannya mereka berak bertahikan emas, busuknya perat seperti najis kita juga.

Bagi yang ingin melihat gambar-gambar beliau semasa menjalani ekspedisi buku ini mungkin tidak memberikan banyak kepuasan kepada anda. Anda perlu membeli buku lain yang telah dihasilkan dalam format coffee table. Dan pastinya harganya juga bukan lagi puluh ringgit bahkan telah menjadi tiga angka. Hamba sendiri tidak dapat membelinya ketika itu kerana kekurangan vitamin 'W'.

HUD - A. Samad Ismail



Buku di tangan hamba ini adalah ulang cetak dari keluaran asal tahun 1967. Ia diterbitkan semula oleh Creative Enterprise pada tahun 1995. Barangkali tiada lagi cetakan baru yang dibuat ketika ini. Novel yang berharga asal RM8.90 hamba beli dalam keadaan baru (masih berbalut plastik lagi) dengan hanya RM2.00 atau RM5.00 sahaja kalau tak silap beberapa tahun yang lalu. Melalui carian di internet ada yang menawarkan untuk menjual novel ini dengan harga RM20.00. Novel ini kini telah bertaraf klasik.

Hud mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Yui Ma yang pulang semula ke tanah air setelah 14 tahun berada di London. Kepulangannya disertai oleh Salleh, teman sebiliknya di London. Di tanah air Yui Ma mempunyai seorang anak perempuan bernama Mei Li yang tidak pernah ditemuinya semenjak meningglkan tanah air dahulu.

Kisah di dalam novel ini hanya berlansung untuk beberapa hari sahaja. Walaupun baru sahaja pulang ke tanah air, kepulangan beliau tersebut telah dapat dihidu dan ditunggu oleh beberapa pihak. Antaranya ialah pihak polis dan kongsi gelap. Semuanya ingin tahu tentang satu perkara sahaja dari Yui Ma - wang.

Siapakah Yui Ma dan kenapakah kepulangannya itu amat dinantikan oleh ramai pihak. Itu anda perlu selami sendiri lewat pembacaan novel ini. Hamba tidak mahu spoil mood anda.

Allahyarham Tan Sri A. Samad Ismail merupakan tokoh wartawan negara yang juga dikenali dengan gerakan kiri politiknya. Latar belakangnya sebagai wartawan membuatkan penulisan dalam novel ini terlalu mudah difahami tanpa bahasa yang berbunga-bunga. Latar belakang novel ini pada tahun 60an menyebabkan para pembaca perlu membawa minda ke era sana. Keterangan Lapangan Terbang Antarabangsa Subang dalam novel ini mungkin tidak dapat dihayati oleh generasi baru yang lebih mengenali KLIA dan LCCT. Juga keadaan Puchong yang dikira hulu serta masih banyak hutan dan kebun getah.

Cuma hamba agak musykil dengan tajuk novel ini. Hud merupakan watak seorang pegawai polis dalam novel ini. Namun saya tidak melihat watak beliau sebagai seorang yang dominan, menguasai cerita berbanding Yui Ma yang menjadi pokok penceritaan novel ini. Tiada juga aksi-aksi polis yang diceritakan secara terperinci dalam novel ini. Hud lebih banyak digambarkan gemar menghisap paip. Hampir pasti ada cerita beliau mengisi paipnya dengan tembakau setiap kali watak ini muncul.

Walaupun kulit novelnya seolah membayangkan sebuah penceritaan yang penuh aksi namun ianya tidak berlaku. Tidak ada penceritaan terperinci bagaimana seseorang dibelasah samseng, pertarungan, polis memberkas penjenayah dengan adegan tembak menembak, kejar mengejar atau pergaduhan. Itulah satu kurangnya novel ini yang saya rasa sekiranya diceritakan dengan baik mampu membuatkan pembacaan lebih menarik lagi. Namun itu tidak menghairankan. Pada zaman itu belum ada lagi internet sebagai rujukan atau filem-filem yang memaparkan aksi perlawanan yang hebat. Paling mantop pun barangkali adalah siri filem James Bond.

Namun adalah tidak adil untuk mengkritik novel ini keterlaluan memandangkan penceritaannya dibuat sesuai dengan kegemaran masyarakat pada zaman itu. Hamba melihat novel Pak Samad ini mungkin lari dari kebiasaan para penulis novel pada zaman tersebut.

Novel ini hasil tangan seorang penulis besar dan telah bertaraf klasik. Ia adalah antara khazanah terbaik hamba.



Kulit novel asal tahun 1967



PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...