Sabtu, 31 Ogos 2013

MALAYSIAKU BERDAULAT : TANAH TUMPAHNYA DARAHKU



Malam 30 Ogos 2013, jam 11 malam, ketika ada segolongan menuju ke tempat tertentu untuk meraikan ambang merdeka, hamba pula baru meninggalkan kawasan pejabat untuk pulang ke rumah. Minggu ini tiga kali hamba pulang ke rumah. Dua kali itu hamba sampai ke rumah jam 10 malam dan malam tadi beberapa detik sahaja sebelum jam 12. Biasanya hari-hari biasa sebelum jam 8 hamba dah tiba di rumah. Keluar sahaja kompleks pejabat dan kenderaan baru nak memasuki jalan besar, kelihatan kereta berbaris tidak bergerak memenuhi jalan. Arghh semua orang ini menyesakkan jalan dan kepala otak hamba untuk melihat acara bunga api. Tak larat nak menyumpah. Dengan susah payah hamba cuba menyelit ke dalam barisan. Dalam kepala terbayang wajah-wajah yang menyebabkan hamba lambat pulang....

Bukanlah hamba suka-suka hendak pulang lambat dari pejabat. Hamba cukup menyampah sebenarnya. Hamba hilang masa berharga bersama keluarga. Semalam pun sepatutnya hamba akan keluar makan bersama-sama keluarga. Tetapi hamba hanya boleh merancang. Sebaik hamba usai menunaikan solat qabliah Jumaat di masjid semalam, di telefon bimbit hamba sudah ada mesej dari boss memaklumkan hamba dan staf yang ada perlu stayback. Sudahlah semalam unit hamba hampir lumpuh. Seorang pegawai pergi pemeriksaan perubatan, seorang EL kerana migraine, CC EL kerana ada kematian dan seorang kerani juga EL kerana masalah anak.  

Kepala tertinggi kementerian hamba terkenal kerana sifat telitinya. Maaflah, sifat teliti ini baik namun kekadang teliti tak bertempat itu amat menjengkelkan kami yang di bawah ini. Apabila diminta menyediakan sesuatu maklumat, maka berhempas pulaslah kita melakukannya. Tetapi amat menghampakan apabila maklumat yang tebal itu hanya diselak semuka dua sahaja. Bagi kita yang menguruskan sesuatu perkara itu, kita telah tahu tentang perjalanannya, contohnya pengurusan mesyuarat. Kita tahu dalam mesyuarat berkenaan setakat mana kepala besar punya peranan. Jadi apabila pengetahuan kita ini tidak diambil kira dan hanya mahu sesuatu untuk memuaskan dirinya sahaja, maka jadilah kebanyakan pekerjaan hanya sia-sia sahaja.

Hamba pulang dalam keadaan lapar kerana sejak habis solat Jumaat sehinggalah ke amalam, diri hanya terperuk di pejabat bersama seorang rakan pegawai, kerani dan juga immidiate boss. Pulang pula ke rumah, bekalan air pula terputus. Ahh terasa panas betul hati hamba dengan kehendak kepala kementerian ini.

Tanah airku telah merdeka, tapi cara pemikiran kepala kementerian mernjadikan ramai warganya terpenjara.


(Google hari ini turut meraikan kemerdekaan tanah air apabila paparan cariannya turut memasukkan imej bendera Malaysia)



Khamis, 29 Ogos 2013

BILA KSN TURUN PADANG


Minggu lepas YBhg Tan Sri KSN turun padang ke kementerian hamba bagi beramah mesra sekaligus berdialog dengan penjawat awam yang hadir. Pendekatan turun padang yang diamalkan beliau sememangnya disambut baik oleh para penjawat awam kerana bukannya mudah untuk dapat berdialog secara lansung dengan kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam ini. Justeru kehadiran pada hari tersebut adalah tinggi dan kesemua kerusi yang disediakan penuh dengan tetamu.


Tujuan aktiviti turun padang ini adalah bagi kepimpinan mendengar sendiri masalah yang berlaku di peringkat akar umbi. Ini memandangkan segelintir mereka yang mempunyai masalah dalam perkhidmatan tidak tahu saluran yang perlu digunakan atau tidak tahu cara yang tepat untuk mengadukan masalah mereka.

Pendekatan turun padang oleh seseorang pemimpin sebenarnya merupakan satu perbuatan yang memerlukan keberanian. Bukan semua pemimpin suka bertemu dengan orang bawahan apatah lagi kehadiran mereka hanya untuk menyampaikan masalah atau juga memberikan masalah. Ini kerana ada juga yang menggunakan peluang seperti ini untuk 'menembak' atau menyalahkan mana-mana pihak atas sesuatu isu atau masalah yang menimpa mereka. Kebolehan komunikasi serta keupayaan menjawab semua persoalan secara on the spot adalah diperlukan, dan kebolehan seperti ini tidak semua orang memilikinya. Apatah lagi apabila berhadapan dengan mereka yang bercakap lebih mengikut emosi serta nada penuh amarah. 

Seperti yang dinyatakan tadi ramai yang cuba mengambil kesempatan untuk mengemukakan soalan atau mengadukan masalah. Ada yang mengadukan masalah secara umum meliputi banyak skim perkhidmatan. Ada juga yang aduan yang lebih bersifat peribadi atau khusus untuk yang bertanya sendiri. Yang bertanya untuk diri sendiri ini ada juga yang tanpa segan silu menyatakan telah lama berada di pangkatnya sekarang dan meminta agar KSN 'tengok-tengoklah' akan keadaan beliau. Ada juga yang meminta perkara yang bagi hamba seolah menunjukkan penjawat awam masih memiliki mentaliti kelas ke-tiga. Seseorang meminta agar kerajaan melihat semula waktu bekerja sedia ada khususnya untuk kebajikan wanita. Beliau meminta agar penjawat awam wanita yang lewat masuk ke pejabat, contohnya masuk pada jam 8.03, agar tidak dikenakan tindakan dan dibenarkan pulang pada jam 5.03 iaitu beliau 'mengqadha'kan' semula waktu yang tertinggal. Alasannya kaum wanita yang berkeluarga setiap pagi akan 'berperang' untuk menyediakan kemudahan suami dan anak-anak, sarapan, mengemas rumah dan sebagainya. Orang ini mungkin terlupa bahawa kita berkhidmat untuk rakyat. Dan rakyat sudah mengetahui waktu bila seseorang penjawat awam itu harus berada di tempatnya untuk menjalankan tugas. Lagipun sekiranya perkara seperti ini dibenarkan maka ramailah orang yang akan mengambil kesempatan untuk datang lewat. Waktu bekerja sedia ada serta peraturan yang dikenakan terhadap mereka yang datang lewat adalah bertujuan untuk mendisiplinkan penjawat awam. Janganlah peraturan yang sedia elok ini hendak dicacatkan dengan permintaan remeh. lainlah kalau ada cadangan yang lebih baik mengatasi peraturan semasa yang berkuatkuasa. Cukup-cukuplah orang ramai mengutuk penjawat awam, usahlah ditambah lagi dengan cadangan seperti ini. KSN secara sinisnya cuma meminta agar kaum suami turut membantu para isteri di rumah. KSN pun tahu perkara ini tidak ada merit untuk dilaksanakan.






Ahad, 25 Ogos 2013

ZAMAN-ZAMAN YANG BERUBAH - Datuk Mohd Yusoff Hj. Ahmad


"Ini aku langsaikan hutang aku pada kau", kata sahabat hamba Pak Tua sambil menghulurkan dua buah buku yang tebal. Ketika itu hamba dan keluarga datang menziarahi beliau pada 3 Syawal sebelum bertolak pulang ke Klang. Hamba membelek-belek buku yang diberikan. Satu berjudul 'Zaman-Zaman Yang Berubah' manakala satu lagi berjudul 'Decades Of Change'. Kedua-duanya adalah merupakan buku yang sama. Buku asal adalah dalam Bahasa Inggeris dan diterjemahkan semula ke Bahasa Melayu. Buku ini merupakan tulisan Allahyarham Datuk Mohd Yusoff Hj Ahmad, seorang anak Melayu yang ikhlas berkhidmat untuk negaranya.

Ada dua perkara yang memberikan tarikan kepada hamba untuk membaca buku ini di awal Syawal yang lalu walaupun pada asalnya hamba sudah merancang untuk mentelaah beberapa tajuk yang lain. Pertama adalah kerana penulis merupakan seorang anak Minang - orang kampung biasa yang kehidupannya amat susah namun berjaya mengubah nasib dirinya. Keduanya ia adalah kerana penulis merupakan bekas seorang pegawai dalam perkhidmatan Malay Administrative Service (MAS) dan seterusnya dinaikkan pangkat ke dalam perkhidmatan Malayan Civil Services (MCS), yang boleh dianggap 'moyang' perkhidmatan hamba hari ini. (Pada masa dahulu seseorang pegawai tidak boleh terus menyertai MCS dan terpaksa melalui MAS dahulu. Keanggotaan MAS pula hanya terhad kepada anak kelahiran negeri-negeri Melayu Bersekutu). Lama kemudiannya barulah kedua perkhidmatan ini disatukan dan graduan daripada universiti boleh terus menyertai MCS).

Pak Tua atau nama sebenarnya Ezashahdy adalah merupakan sahabat lama hamba semenjak di sekolah menengah lagi. Berkemungkinan hamba boleh ngam dengan beliau kerana kami mempunyai beberapa kegemaran yang agak sama iaitu masing-masing minat membaca, suka kepada sastera dan pernah sama-sama terlibat dalam kegiatan drama serta suka kepada fotografi. Kami juga pernah berada dalam satu pasukan ragbi sekolah. Pak Tua kini bekerja sendiri sebagai seorang videografer. Beliau pernah menghasilkan beberapa video korporat jabatan kerajaan, menghasilkan dokumentari dan video muzik, membuat liputan beberapa majlis besar seperti pertabalan Yam Tuan Negeri Sembilan dan lain-lain projek besar dan kecil. Sebagai seorang yang makan gaji hamba cukup respek dengan mereka yang bekerja sendiri. Ini kerana golongan ini adalah amat rajin dan kreatif untuk mencari rezeki. Orang seperti hamba mungkin tidak perlu risau kerana setiap akhir bulan akan ada duit yang masuk ke dalam akaun. Tetapi bagi mereka yang bekerja sendiri, tidak bekerja bererti tiada pendapatan. Justeru untuk survival mereka terpaksa menghadapi segala rintangan dan cabaran dengan beraninya.

Buku ini ditulis dengan susunan yang amat cantik sekali. Bermula dari sewaktu beliau masih kanak-kanak, disusuli dengan alam persekolahan, pekerjaan sehinggalah waktu beliau bersara. Amatlah menakjubkan apabila penulis dapat mengingati dengan baik alam kanak-kanak beliau di kampung sekitar tahun 1920an dahulu. Kadangkala khayalan hamba sendiri tidak terjangkau ke zaman itu memandangkan zaman tersebut terlalu lama, hampir seratus tahun dari hari ini. Kadangkala hamba cuba mengingati kedaan zaman dahulu seperti yang dipaparkan dalam filem-filem Melayu lama (Filem Melayu lama kebanyakannya memaparkan zaman 50 dan 60an) atau hamba cuba dengan melihat keadaan kampung halaman hamba di Jelebu dan Kuala Pilah. Namun hamba dapat rasakan apa yang penulis coretkan melebihi daripada apa yang hamba bayangkan.

Penulis lahir di Brisu, Melaka, sebuah penempatan Melayu yang kebanyakannya datang daripada masyarakat Minangkabau. Mereka mengamalkan adat perpatih di mana golongan wanita mempunyai suara di dalam kehidupan. Penulis menceritakan dengan amat terperinci akan keadaan kampungnya, keindahan, dusun-dusun buah, adat, perkahwinan dan lain-lain. Amatlah mengujakan membaca betapa kuatnya perpaduan masyarakat berlainan kaum ketika itu. Ketika orang Melayu membuat kenduri, orang India turut membantu mencari kayu api dan menurunkan buah kelapa. Bahkan mereka turut mempersembahkan gendang India sewaktu majlis perkahwinan. Begitulah pula halnya dengan orang Cina. Orang Melayu juga akan membantu masyarakat India untuk menangkap biawak untuk makanan mereka. Generasi hari ini patut membaca buku ini untuk mengingatkan mereka bahawa masyarakat dahulu amat bahagia kehidupan mereka dan boleh bekerjasama. Oleh itu tidak perlulah berlagak besar lebih sudu daripada kuahnya pula. Amatlah hormatnya mereka kepada orang Melayu dahulu berbanding segelintir hari ini yang boleh hamba gelarkan pepat di luar rencong di dalam.

Hamba amat teruja membaca pengalaman beliau, rakan dan neneknya berkereta lembu ke bandar Melaka. Perjalanan dari Brisu ke bandar Melaka ketika itu mengambil masa selama 3 hari! Sedangkan perjalanan berkereta pada hari ini mengambil masa beberapa minit sahaja. Namun itulah pengalaman yang paling berharga untuk penulis. Perjalanan yang lama itu membuatkan mereka terpaksa berhenti beberapa kali, bermalam di kawasan lapang yang boleh didirikan khemah dan sebagainya. Kawasan lapang tersebut bolehlah dianggap sebagai RnR hari ini memandangkan bukan mereka sahaja yang berkereta lebu bahkan terdapat lagi beberapa orang yang menggunakan kenderaan yang serupa untuk bermusafir. 

Di zaman persekolahannya hamba dapat melihat akan kegighan beliau di dalam pelajaran dan kehidupan. Persekolahan beliau di Seremban membuatkan beliau terpaksa meninggalkan Brisu dan hamba menganggap ia sebagai satu titik tolak untuk beliau mengenali dunia luar. Bagi meringankan beban persekolahan beliau pernah menjadi caddy untuk beberapa mat salleh. Walaupun pernah perlakukan dengan tidak sewajarnya namun beliau masih dapat bersabar. Ada juga yang suka dengan perkhidmatannya sehingga menghadiahkan satu set pemukul kepada beliau dan akhirnya menjadi teman sepermainan bahkan boleh bermain dengan lebih baik lagi daripada mat salleh tersebut. Dengan duit upah menjadi caddy itulah beliau dapat membeli sehelai kemeja yang ketika itu berharga 20sen sahaja - satu harga yang amat mustahil untuk ditemui hari ini bagi mana-mana pakaian baru.

Penulis merupakan antara generasi awal yang menuntut di Raffle's College, Singapura dan berjaya lulus dengan cemerlang. Beliau mula berkhidmat sebagai seorang guru di Sekolah Tunku Muhammad, Kuala Pilah (sekolah tempat bapa hamba belajar juga). Beliau cuba memohon untuk memasuki MAS namun ditolak dengan alasan beliau lahir di Melaka yang merupakan satu daripada negeri-negeri selat. Hanya 7 tahun selepas itu barulah beliau diterima masuk. Ini berkemungkinan ketika itu dunia sedang menghadapi peperangan dan Pejabat Tanah Jajahan di London tidak dapat menghantar pegawai.

Turut disentuh adalah pengalaman sewaktu berada di zaman Jepun di mana penulis turut ditangkap dan dipenjarakan. Di penjara penulis telah mendapat penyakit cirit birit dan malaria di mana ketika itu kedua penyakit ini bolehlah dianggap pembunuh memandangkan pemerintah Jepun tidak menyediakan sebarang kemudahan perubatan di dalam penjara. Selepas Jepun menyerah penulis mencatatkan pengalaman beliau menyambung semula perkhidmatan. Banyak perkara yang terpaksa dimulakan dari awal semula memandangkan Jepun telah banyak membawa kerosakan. Semua rekod pejabat yang kebanyakannya telah berusia lebih seratus tahun telah dimusnahkan oleh mereka. Dalam hal pengurusan tanah hal ini memang amat sukar kerana untuk memulakan dari A adalah amat melelahkan.

Perkhidmatan pegawai MAS/MCS ketika itu adalah amat besar sekali kepada masyarakat. Hamba melihat pekerjaan mereka itu adalah mirip kepada apa yang dilakukan oleh ADUN atau wakil rakyat pada hari ini. Mereka dalam menjalankan tugas perlu turun ke padang untuk menyelami masalah rakyat dan memberikan bantuan kepada mereka. Bezanya perkhidmatan mereka itu adalah tulus bukan untuk mencari sokongan undi. Penulis telah berkhidmat dengan kerajaan selama 32 tahun. Dan dalam masa tersebut telah berpindah sebanyak 23 kali. Bahkan pada satu tempat itu beliau terpaksa berpindah ke beberapa rumah. Ini memberikan mesej kepada hamba bahawa beliau akan pergi ke mana sahaja yang diarahkan oleh majikan. Ia berbeza dengan segelintir pegawai pada hari ini yang sering mengelak untuk ditukarkan ke sesuatu tempat terutamanya di pedalaman (sedangkan semasa di temuduga pegawai akan menjawab sanggup untuk dihantar walau ke mana sahaja). Penulis juga pernah menghadapi beberapa kekecewaan dalam perkhidmatan, namun tetap dianggap sebagai asam garam dalam perkhidmatan.

Buku ini patut dibaca oleh ramai pihak yang berminat dengan sejarah sama ada sejarah masyarakat Melayu lampau, keadaan tanah Melayu ketika dahulu, sejarah perkhidmatan MAS/MCS, sejarah pendudukan Jepun, Inggeris dan sebagainya. Sebagai penjawat awam saya melihat ia sebagai satu dorongan untuk berusaha dengan lebih gigih. Hamba tidak pasti sama ada buku iniboleh dicari di perpustakaan yang besar, namun hamba percaya pihak perpustakan serta pihak berkepentingan seperti INTAN dan PPTD patut mempunyai senaskhah buku ini. Walaupun ada beberapa perkara dan perlakuan yang tidak hamba gemari dan persetujui dalam buku ini, namun hamba tidak mahu mencatatnya di sini. Biarlah orang ramai yang membacanya sahaja yang tahu. Lagipun penulis telahpun lama kembali ke Rahmatullah (penulis meninggal dunia dalam tahun 1985 selepas dua tahun menyiapkan buku ini) dan tidaklah manis untuk hamba menyebut perkara-perkara tersebut. Yang penting setiap penulisan adalah datang dari diri penulis sendiri.

Buku ini sekiranya anda mencarinya di pasaran pastinya tidak akan bertemu lagi. Namun saya suka untuk memberikan peluang kepada anda yang berminat untuk memilikinya. Pak Tua, sahabat yang hamba sebutkan di atas tadi masih mempunyai beberapa naskhah lagi buku-buku tersebut dan bermurah hati untuk menghadiahkannya kepada sesiapa yang berminat. Sehubungan itu mereka yang berminat bolehlah menghubungi beliau di talian 012-6512531. Khabarkan pada beliau bahawa anda memperolehi maklumat buku ini daripada blog hamba dan pintalah buku tersebut daripadanya. Stok adalah terhad - siapa cepat dialah yang dapat!! 

 

Sabtu, 24 Ogos 2013

MATA TAK BERHIJAB SIRI 2 - Zulkifli Ahmad Idrus



Baru benar rasanya hamba membuat ulasan ke atas buku Mata Tak Berhijab beberapa bulan yang lalu. Dalam kehangatan bulan Syawal ini tiba-tiba siri keduanya muncul di pasaran. Hamba sendiri agak terperanjat apabila carian Mata Tak Berhijab di blog ini mencatatkan kunjungan yang tertertinggi (sehingga 24 Ogos 2013)) Nampaknya ramai yang menggemari buah tangan Zulkifli Ahmad Idrus ini.

Meneruskan lagi pengkisahan pengalaman hidup beliau yang boleh melihat makhluk halus di sekeliling, penulis mencoretkan pengalaman beliau ketika mendaki beberapa buah gunung atau boleh juga hamba sebutkan pengalaman berada di dalam hutan, makhluk yang kelihatan di beberapa tempat yang kita kenali seperti Highland Towers, Jalan Tun Razak, MATIC dan Hutan Lipur Berkelah. Turut diceritakan adalah gangguan yang beliau alami ketika menyiapkan buku siri kee-2 ini apabila catatan beliau di komputer hilang begitu sahaja sehingga terpaksa memerah semula otak untuk membuat catatan yang baru (Hamba sendiri berasa amat tersiksa apabila tulisan yang berada dalam komputer hilang atau terdelete tanpa sengaja. Ini kerana untuk mendapatkan kembali penceritaan serta mood cerita yang serupa adalah sukar sekali). Nampaknya makhluk halus di zaman moden ini juga telah cekap menggunakan perkakasan IT. Begitu juga pen drive yang beliau gunakan untuk tujuan penulisan tersebut tiba-tiba hilang dan terjumpa di tempat yang tidak masuk akal seperti di dalam peti ais serta di bawah tempat makan kucing.

Penulis turut mencatatkan pengalaman bertemu dengan lembaga kanak-kanak sewaktu menyiapkan tugasan pejabat di sebelah malam pada bulan puasa. Timbul persoalan dalam diri beliau kerana apa yang beliau tahu makhluk halus dirantai dibulan puasa. Hamba berpandangan bahawa yang dirantai itu adalah iblis dan syaitan. Sedangkan golongan jin teutamanya jin Islam, mereka mungkin tidak dirantai. Ini memandangkan golongan tersebut juga mukallaf dan perlu menunaikan ibadat kepada Allah. Andai mereka dirantai tentulah mereka tidak dapat menunaikan ibadah. WalLahuaalam, para ustaz mungkin boleh beri pandangan.

Memandangkan penulis mempunyai kegemaran mendaki gunung serta berpengalaman di dalam hutan, beliau serba sedikit mengetahui pantang larang yang perlu diikuti ketika berada di hutan. Justeru satu cerita di dalam buku ini memperlihatkan kejengkelan penulis terhadap seorang peserta perempuan yang mengikuti ekspedisi mendaki gunung. Ini kerana beliau melanggar beberapa pantang larang seperti berbuat bising serta mengambil beberapa barangan hutan seperti tumbuhan dan batuan. Walaupun perempuan tersebut telah mendapat pengajarannya yang pertama namun seolah tidak serik beliau masih lagi mengulangi perbuatan yang sama dalam ekspedisi berikutnya. Ini menjadikan penulis amat marah dan hamba dapat merasakan perasaan tersebut. Perkara tersebut menjadikan penulis akan mengelak untuk menyertai mana-mana aktiviti pendakian sekiranya nama perempuan tersebut ada di dalam senarai peserta.

Pada bab yang terakhir penulis membayangkan bahawa buku ini akan ada sambungannya. Harapan hamba agar gaya penulisan beliau dan cara persembahannya akan dapat dipertingkatkan lagi memandangkan beliau telah berjaya untuk menarik perhatian ramai pembaca untuk mengikuti kisah kehidupannya.

Rabu, 21 Ogos 2013

KAMPUNG TAMAN SEDIA CAMERON HIGHLAND


Kampung Taman Sedia, kawasan tempat hamba menginap di CH dahulu merupakan sebuah penempatan orang Melayu yang terletak di antara Tanah Rata dan Brinchang. Perkampungan ini dibuka secara rasminya pada tahun 70an oleh Sultan Pahang. Nama Taman sedia ini ada tercatat di dalam buku Anak Mat Lela Gila karangan Pak Sako yang diterbitkan dalam tahun 1960. Hamba percaya Taman Sedia yang tercatat di dalam buku Pak sako tersebut adalah merupakan tempat yang sama dengan sekarang walaupun tempat yang disebutkan dalam buku tersebut bukanlah satu kawasan penempatan. Hamba merujuk kepada Legenda Taman Sedia seperti yang disebut oleh Wikipedia - 'Nama "Taman Sedia" diperolehi daripada keadaan asal tempat kampung tersebut sebelum diterokai. Menurut penduduk asal Camaron Highlands, kawasan tersebut penuh dengan bunga-bungaan liar yang cantik dan dipercayai merupakan tempat taman permainan puteri bunian. Maka, dengan kerana itulah kampung ini dinamakan Kampung Taman Sedia yakni "Taman yang telah tersedia ada".'

Di tepi kampung ini terdapat satu aliran lesu sebuah sungai yang dikenali dengan nama Sungai Bertam. Sungai ini nampak cantik tetapi hamba dapat mengesan beberapa sampah sarap di kawasan tertentu sungai yang pastinya mencemarkan keindahan sungai tersebut. Di kampung ini ramai pemilik rumah yang menjadikan premis mereka sebagai homestay untuk pelancong yang datang. Difahamkan bahawa Kementerian Pelancongan Malaysia telah mengiktiraf 20 buah rumah di kampung ini bagi menyediakan perkhidmatan homestay. Bagi hamba kadar sewa homestay yang dikenakan kadangkala agak mahal setanding dengan harga di hotel. Perlu diingat bahawa hotel ini di samping menyediakan kemudahan bilik, mereka juga menyediakan perkhidmatan lain, namun di sini biasanya pelancong hanya disediakan kemudahan bilik sahaja. Namun hamba percaya pemilik homestay pasti merasakan bahawa harga mereka adalah bersesuaian. Cuma kalau diberikan harga yang lebih baik sudah pasti akan menarik minat lebih ramai pelancong untuk menginap di homestay tersebut juga akan mendapat komen yang baik dari pengunjung di alam cyber. Di samping homestay, beberapa penduduk juga  membuka kebun strawberry dan kedai minuman yang pastinya lebih untuk tujuan pelancongan.

Kampung ini nampak sangat cantik, bersih dan teratur, memang sesuai untk kita berehat. Sekiranya hamba mempunyai rumah sendiri di sini pastinya akan hamba gunakan untuk berehat daripada kesibukan kota di samping tenang untuk membaca buku-buku pilihan. Sebaiknya pemilik-pemilik homestay di sini mengatur beberapa program yang sesuai untuk pelancong seperti yang terdapat pada beberapa homestay lain di negara kita ini seperti pertunjukan kebudayaan atau demonstrasi masakan tempatan. Pastinya akan memberikan lagi nilai tambah kepada tempat yang menarik ini.  


Isnin, 19 Ogos 2013

AKTA 3 KURUNGAN 13



Al Farabi Band baru keluarkan lagu baru yang boleh ditontoni di You Tube video muziknya. Hamba tak mahu komen dulu. Apa pandangan anda.....?

HOT WHEELS CAR - BACKYARD PHOTOGRAPHY


Tinggal di kawasan kampung, rumah hamba mempunyai sedikit kawasan lapang yang kerap hamba manfaatkan untuk tujuan fotografi. Salah satunya juga beberapa tahun lalu pernah memenangi hadiah dalam peraduan fotografi Cuci-Cuci The Musical di mana majlis penyampaian hadiahnya turut dihadiri para pelakon utama teater tersebut. Kali ini hamba membawa beberapa gambar yang hamba ambil sebelum raya haritu dengan beberapa kereta kecil hamba. Hamba cuba menggunakan beberapa prop sedia ada seperti rumput kering, ranting kayu dan tanah yang berbatu untuk menghasilkan suasana seolah di kawasan yang tandus. Bagi menambahkan umphh dalam satu gambar, hamba bakar rumput kering tersebut. Cuma ia tak cukup marak. Hamba ingat lain kali hamba kena pakai minyak tanah pula!!








Selasa, 13 Ogos 2013

PEMANDU VAN JENAZAH


Sekali lagi Produksi Mastika menampilkan sebuah lagi buku dalam siri Kisah Aneh Dan Iktibarnya. Sempat juga hamba menghabiskan bacaan sebelum menjelang raya minggu lalu. Kisah-kisah dalam buku ini adalah merupakan pengalaman para pemandu van jenazah sama ada ketika mereka membawa jenazah pulang ataupun ketika menguruskannya. Cuma kisah yang terakhir buku ini hamba yakin benar bukan daripada pemandu van jenazah tetapi merupakan pengalaman seorang pengurus jenazah wanita. Tidaklah hamba pasti kenapa ia turut dimasukkan dalam kompilasi ini.

Terdapat sejumlah 30 kisah yang dipaparkan. Walaupun bila disebutkan pemandu van jenazah, pastilah ceritanya tidak boleh lari daripada kisah perjalanan membawa mayat itu sendiri. Namun walaupun memaparkan pengalaman daripada profesyen yang sama, gaya penulisan setiap cerita tidaklah sama sahaja pesennya sekaligus tidak membuat pembaca berasa bosan.

Walau apapun cerita yang dipaparkan, hamba berkeyakinan tujuan penerbitan buku ini adalah untuk mengingatkan kita bahawa kematian itu ada di mana sahaja. Kesempatan kita hidup inilah yang perlu digunakan untuk menentukan tempat tingal akhir kita di sana nanti. Selain itu, walaupun profesyen ini nampak tidak ada unsur-unsur glamour, tetapi percayalah bukan semua orang mampu atau mahu melakukannya. Bahkan pihak herajaan sendiri mungkin sukar untuk mencari mereka yang mahu bertugas di bilik mayat. Sekurang-kurangnya kita perlu berterima kasih kepada golongan ini yang secara tidak lansung membantu para waris di dalam pengurusan jenazah. Oleh itu tidak perlulah rasa kedekut untuk menghulurkan sedikit saguhati kepada golongan ini.

Cerita yang dipaparkan sesungguhnya memberikan rasa keinsafan. Hayatilah beberapa kisah seperti banduan yang digantung namun jenazahnya cukup elok keadaannya serta paparan keadaan waris yang tidak menghormati jenazah, jijik dengan mayat ibu sendiri dan sebagainya.

Ya Allah matikanlah kami dalam keadaan husnul khatimah (kesudahan yang baik), dan janganlah dimatikan kami dalam keadaan suul khatimah (kesudahan yang buruk).


Selasa, 6 Ogos 2013

MINAL A'EIDIN WAL FAIZIN




Salam Aidul Fitri buat semua pengunjung
 Alam Terkembang Jadikan Guru

Mohon maaf atas segala kesalahan
Jadikan Hari Raya ini perayaan yang berpahala
Jauhkan membuat dosa
Sayangilah diri kita




SALAM AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN




Hari Raya Aidul Fitri berkemungkinan disambut dalam dua hari lagi. Perjalanan pulang ke kampung halaman mungkin agak lancar memandangkan orang ramai telah bercuti awal danboleh merancang perjalanan dengan sebaiknya. Walau bagaimanapun agak mendukacitakan juga kerana masih berlaku beberapa kemalangan jalan raya dalam keghairahan untuk pulang berhari raya. Sama-samalah kita berdoa agar perjalanan kita nanti selamat sejahtera adanya serta mendapat lindungan dan keberkatan Allah.

Hamba ketika ini masih lagi di rumah walaupun telah beberapa hari bercuti. Alhamdulillah tahun ini hamba dapat cuti yamg panjang walaupun boss berat nak meluluskannya. Inilah kali pertama hamba mengambil cuti raya agak panjang berbanding sebelum ini. Bukanlah hamba nak beraya saka tapi sebenarnya nak berehat sakan. Sebenarnya berulang alik ke pejabat yang jauhnya lebih kurang 55km dengan perjalanan yang mengambil masa 1 ke 2 jam bergantung kepada kesesakan ini amatlah memenatkan. Tambahan pula sudah lebih 13 tahun hamba travel begini. Nak minta tukar berdekatan tempat tinggal dikatakan hamba ini bukan anak negeri Selangor. Bila memohon, ke Putrajaya juga dihantarnya. Bila naik pangkat pun ke Putrajaya juga. Bukan tak boleh hamba pindahkan keluarga hamba ke Putrajaya, tapi kesianlah isteri hamba terpaksa berhenti kerja memandangkan beliau bertugas dengan syarikat swasta.

Insya Allah hamba akan beraya di Negeri Sembilan dahulu pada tahun ini. Agak menyeronokkan beraya di kampung sendiri. Lemang, rendang dan ketupat pasti ada di meja rumah yang dikunjungi. Kalau di belah isteri hamba benda tu bukannya tak ada tapi kebanyakan tuan rumah simpan untuk makan anak beranak. Balik-balik air gas balik balik air gas. Betullah kalau dikatakan tujuan raya ini bukanlah untuk memenuhkan tembolok, tapi adanya perkara yang disebutkan tadi akan menceriakan lagi hari raya. Tambahan pula di negeri hamba rasa rendang itu ada yang berlainan mengikut daerah. Pilah punyo lain, Ghombau punyo pun lain.

Kalau berjalan ke Kuala Pilah aka Pilahpheldia pada raya pertama, akan kelihatan masih ada lagi orang yang berjual lemang. Tak beraya ke mereka ni. Apakah berjualan lemang itu lebih penting dari berziarah pada raya pertama ni. Memang benar bahawa ketika raya pertama ini masih ada lagi orang yang mencari lemang. Tapi....entahlah, kok dikomen lobih-lobih maghah pulak woghieh woghieh penjual lomang nanti.

Apapun 10 jari hamba hulurkan memohon maaf atas segala salah dan silap sepanjang penulisan hamba di blog ini. Hamba menulis mengikut pandangan hamba yang ikhlas. Tidak ada niat hamba untuk menyakitkan hati sesiapa. Yang elok itu ambillah, yang tidak itu tinggalkanlah.

Doa hamba semoga hari raya ini menguatkan lagi ukhuwah sesama kita dan memperkukuhkan lagi keimanan kita kepada Allah Yang Maha Esa.

PASAR MALAM CAMERON HIGHLAND




Menuju ke pasar malam CH adalah satu perkara yang amat menyiksakan. Jalan yang kecil di CH, satu lorong sehala, kereta yang terkira banyaknya, membuatkan perjalanan kereta umpama lelabi. Tuan hamba mungkin boleh menghabiskan beberapa bab bacaan sebuah novel sebelum tiba ke destinasi. Mencari tempat parking juga umpama satu bala yang berpanjangan.

Kawasan pasar malam CH sebenarnya tidaklah besar mana tetapi pengunjungnya amatlah ramai, seolah dah tiada lagi tempat lain nak ditujui. Keseronokan membeli barangan mungkin terganggu kerana ramainya umat ini. Pergerakan perlahan dan amat rapat antara satu sama lain. Yang gembira sekali tentulah orang yang menjual barangan. Cuma yang hamba perasan kebanyakan peniaga bukan orang tempatan berdasarkan loghat mereka. Bunyinya ala-ala dari seberang. Barangkali peniaga orang kita hampir pupus, atau mereka kini jadi tokey sahaja.

Kalau nak dikira harga barangan di sini tidaklah murah mana, lebih kurang macam di tempat lain juga. Nak cari barangan atau makanan yang berbeza dari tempat kita pun mungkin tak berapa nak jumpa. Cuma mungkin pasar malam tempat kita tak berapa senang nak cari penjual stroberi coklat. Stroberi coklat ni seingat hamba taklah sepopular mana. Tapi bila seorang penyanyi ni sebut laki dia minat makan menda tu, maka orang pun minat nak mencubanya.

Dalam dok ramai orang berjual ada pula seorang badut yang menjual belon. Biasanya hamba jumpa badut yang bagi belon percuma di pasaraya. Ye lah asalkan boleh cari rezeki, maka macam-macam cara digunakan nak tarik pelanggan. Tu lah rupanya susah nak mencari rezeki yang banyak orang kita tak sedar terutamanya kebanyakan anak-anak kita. Tahunya minta duit sahaja. Kalau tak dapat melalak.










PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...