Wednesday, July 23, 2014

ISU BORANG FAKIR MISKIN MAINS - JANGAN MENJADI PENGADU DOMBA

Semalam hamba tertarik dengan dua pihak yang menyebarkan satu posting yang sama di laman facebook. Mereka memuat naik satu borang permohonan bantuan fakir miskin yang dipunyai oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS). Mereka ini mengkritik habis-habisan kriteria fakir dan miskin yang ada pada borang berkenaan. Posting ini seterusnya menghasilkan kutukan daripada orang lain yang datang melawat. Mata hamba cepat menangkap borang tersebut memandangkan hamba antara mereka yang mendraf borang tersebut pada tahun 1999. Kriteria itu pula telah ada lama sebelum kewujudan borang itu sendiri itu lagi. Ini bermakna mereka mengkritik satu perkara yang telah terlalu lama.



Hamba menghantar mesej kepada Encik Kamal Amran, Setiausaha MAINS memaklumkan tentang perkara ini. Dengan segera beliau membalas dan meminta hamba merujuk kepada kenyataan beliau di FB MAINS. 

Berikut adalah kenyataan penuh beliau"-

Penjelasan Isu Kriteria Fakir dan Miskin MAINS.

Penentuan had fakir dan miskin di NS dibuat berdasarkan had kifayah. Telah dilaksanakan sejak 2004. Kadar yg dinyatakan dlm borang adalah kadar lama pendapatan bersih setelah ditolak kadar had kifayah. Kadar had kifayah merangkumi kos perbelanjaan yg munasabah sebulan isirumah merangkumi perbelanjaan keperluan perlindungan, makanan, pakaian, pendidikan, perubatan, pengangkutan dan lain lain belanja berkaitan. Sekiranya masih berbaki kurang drpd RM150, mereka akan dimasukkan di bwh kategori fakir manakala sekiranya baki pendapatan lebih drpd RM150 tetapi kurang drpd RM300 akan dimasukkan dlm kategori miskin. Kedua dua kategori ini layak menerima bantuan bulanan dan bantuan lain yg berkaitan mengikut keperluan keluarga berkenaan. Sekiranya pemohon tdk masuk mana mana kategori berkenaan. Mereka boleh dipertimbangkan bantuan berkala atau sekali bantuan mengikut keperluan mereka. Borang berkenaan adalah borang lama wbp mungkin masih digunakan dan diedarkan bagi mengelakkan pembaziran. Kadar baru Had Kifayah juga telah dipinda seperti di sertakan. Borang baru adalah seperti disertakan. Tafsiran asnaf adalah sepertimana yg ditetapkan oleh J/kuasa Fatwa. (Utk rujukan had kifayah boleh layari http://www.baitulmalns.gov.my/hadi.asp. Di NS seramai 5,600 org menerima bantuan bulanan dan sebahagian besar mereka turut menerima bantuan bulanan JKM dan bantuan PPRT serta bantuan projek basmi kemiskinan negeri. MAINS juga sedang menjalankan kajian kali kedua had kifayah dan dijangka akan dikuatkuasakan pd 2015. Bagi 2013 shj MAINS menerima 37,678 permohonan individu dan drpd jumlah berkenaan 33,379 tlh di luluskan iaitu lebih 88.6% drpd yg di terima. Sejumlah RM32.27 juta tlh dibelanjakan utk asnaf fakir dan miskin shj (melebihi 2/8 peruntukan perbelanjaan utk asnaf fakir dan miskin). Secara keseluruhan RM80.4 juta tlh dibelanjakan utk pelbagai asnaf (individu dan institusi) di NS pd 2013 berbanding kutipan RM79.7 juta, menjadikan lebih 100% dana zakat 2013 diagihkan pd tahun lepas. MAINS juga merupakan satu satunya negeri yg mengagihkan lebih 95% zakat yg dikutip setiap tahun sejak 2004. Turut menerima Anugerah Audit Akauntabiliti 4 bintang (tertinggi) dari Ketua Audit Negara selama 6 tahun berturut turut selain mengekalkan Sijil Akaun Bersih sejak 2004. Selain itu MAINS juga mengekalkan kadar Indeks Kepuasan Pelanggan pd kadar melebihi 80% setiap bulan. Terima kasih di atas sokongan, pandangan dan cadangan serta komen yg diberikan. Usaha penambah baikkan akan terus dilaksanakan. Semoga Allah SWT memberikan ganjaran dan menerima amalan kita sebagai amalan yg soleh. Wallahualam.

Kamal Amran Kamarudin
Setiausaha
Majlis Agama Islam N.Sembilan




Apa yang hamba lihat adalah mereka yang memulakan post ini bukanlah orang asal Negeri Sembilan. Mereka juga apabila melihat ada sesuatu yang mempunyai tanda soal tidak pula pergi mencari jawapan dari sumber yang asal dan mempunyai autoriti. Sebaliknya membuatkan orang lain lebih keliru lagi di alam maya. Justeru hamba lihat tindakan ini adalah untuk menanamkan rasa kebencian kepada satu pihak atau cuba menunjukkan bahawa penulis post tersebut adalah orang yang terlalu bijak. Pihak lain yang mengongsikannya (share) pula biasanya akan menggunakan alasan mereka berkecuali dan cuma berkongsi untuk mencari jawapan, yakin rakyat Malaysia bijak berfikir dan sebagainya. Bagi hamba ia tetap salah kerana mereka masih mencari jawapan bukan dari pihak yang sewajarnya. Bertanya kepada orang yang tudak tahu akan lebih menyesatkan. Sila tinjau maksud ayat Al-Quran surah An-Nahl : 43 yang berbunyi:

“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” 

Sudahlah tidak tahu, pergi bertanya pula kepada orang yang tidak tahu, maka bagaimanakah jawapan yang akan diperolehi? Orang kita terlalu mudah untuk mencetuskan reaksi atas apa sahaja perkara. Mereka kesukaan apabila status mereka di'share' serta mendapat like yang banyak. Mereka pentingkan itu dan bukannya kebenaran. Biasanya apabila pihak yang berkenaan memberikan jawapan, pihak yang memulakan racun ini tidak pula tampil memohon maaf daripada masyarakat. Ingatlah bahawa kaedah fiqh mengajar kita bahawa matlamat tidak menghalalkan cara. 

Jika kita bangang maka janganlah cuba memperlihatkan kebangangan kita lagi. Itu memang betul-betul bangang yang dah jatuh ke tahap bungko!!


Thursday, July 17, 2014

Sunday, July 13, 2014

HARI-HARI SAYANG NABI - Nik Wafdi



Comel-comel benar kartun yang dilukis oleh saudara Nik ini. Agak berbeza dengan karakter kartun-kartun beliau yang sedia terkenal seperti Nik P.I. dan Murahguru Tandoori Payat. Hamba suka karya Nik dahulu kerana beliau kadang-kadang menulis dalam bahasa Inggeris. Kartun bahasa penjajah beliau membolehkan hamba belajar penggunaan perkataan berkenaan dengan lebih santai. Rasanya Nik tidak lagi bersama dengan majalah humor arus perdana. Yang hamba lihat karyanya kini berunsurkan agama dan pendidikan berkoloborasi bersama dengan beberapa orang tokoh agama.

Buku ini sebenarnya adalah merupakan sebuah komik. Nik mengumpulkan hadith-hadith yang menjurus kepada pembentukan akhlak yang mulia dan disampaikan dalam bentuk kartun. Hamba tidak pasti sekiranya kelompok sasaran komik ini adalah kanak-kanak sahaja kerana lukisan kartunnya umpama karakter kartun majalah kanak-kanak. Lagipun bagi hamba kandungannya sesuai untuk semua. Nik boleh sahaja melukis seperti dahulu, gaya yang disenangi dan sudah dimesrai oleh para peminatnya.

Murahguru Tandoori Payat
Murahguru Tandoori Payat oleh Zaidi Zainal
di http://zaidizainal.deviantart.com/art/murahguru-tandoori-payat-268032599

TANGISAN BANGSAKU - Arifin Ngah



Pengalaman membaca tulisan daripada seorang yang benar-benar merupakan penggiat sastera dengan seorang penulis yang muncul entah dari mana memang berbeza. Tulisan seorang sasterawan adalah begitu teratur bahasanya. Pemilihan perkataan dibuat dengan teliti dan berada pada tempatnya. Tiada perkataan slanga mahupun bahasa kutu jalanan yang digunakan. Begitulah yang dirasakan apabila membaca novel ini. Tentunya ramai pembaca yang tidak pernah mengenali buku ini mahupun penulisnya. Maklumlah buku ini bukan kategori jiwang karat atau cintan hingus meleleh. Ia adalah sebuah kisah berdasarkan sejarah karangan seorang penulis hebat yang mencintai bangsanya. Novel ini juga merupakan pemenang Anugerah Sastera Darul Iman IV.

Novel ini berkisar mengenai perjuangan seorang ulama' Melayu di Terengganu bernama Tuan Guru Abdul Rahman Limbong bersama penduduk Alor Limbat yang menentang penjajahan Inggeris di Terengganu. Semasa sekolah rendah hamba ada belajar mengenai Abdul Rahman Limbong. Namun sangat sedikit fakta yang diberikan. Apa yang hamba masih ingat lagi ialah akibat penentangan tersebut beliau telah dibuang negeri ke Mekah.

Kampung-kampung di Terengganu, khususnya di Alor Limbat, sama sahaja dengan lain-lain kampung di serata Tanah Melayu. Penduduknya kebanyakannya mengusahakan pertanian dan penternakan. Tanah-tanah dibuka dengan secara bersendirian atau bergotong royong. Segala hasil mahsul bumi digunakan sebaiknya sama ada untuk pembangunan rumah dan masjid atau pencarian hasil untuk dijual.

Cara hidup sebegitu yang menjadi amalan sejak zaman nenek moyang sejak sekian lama tergugat apabila penjajah Inggeris mahu mempekenalkan cukai tanah serta larangan untuk membuka tanah tanpa keizinan kerajaan. Akibatnya rakyat bangun menentang Inggeris. Tuan Guru Abdul Rahman Limbong yang terkenal dengan ketokohannya telah menjadi tempat rakyat untuk bersandar kepada kepemimpinannya.

Namun kita tahu melalui bacaan buku-buku sejarah betapa semua pejuang kemerdekaan negara tidak senang hidup mereka. Perjuangan mereka mendapat tentangan yang begitu hebat sama ada oleh penjajah atau oleh orang tempatan sendiri. Perjuangan mereka ini akhirnya telah dipatahkan oleh Inggeris. Tuan guru ditangkap, dibicarakan di Istana Maziah dan dihukum buang negeri. Apa yang berlaku selepas itu adalah sejarah.

Membaca kisah-kisah pejuang lampau hamba cuba membandingkannya dengan kehidupan kita hari ini. Apabila pejuang dahulu bangun menentang, mereka dianggap penderhaka, dibenci penjajah, para pembesar negeri serta segelintir anak bangsa yang lupa diri. Namun setelah mereka pergi dan zaman beredar, perjuangan mereka disedari dan diberi penghargaan. Cuma semua itu sudah agak terlambat. Begitu juga pada hari ini ada segolongan yang cuba memperjuangkan sesuatu. Mereka juga dianggap sebagai penderhaka kadang kala. Mereka juga dibenci segelintir manusia. Apakah suatu hari nanti perjuangan mereka ini akan dikenang semula.

Sejarah itu bagaikan roda. Ia akan berpusing semula ke tempat asalnya!!


MATA TAK BERHIJAB SIRI 3; TANGISAN & JERITAN - Zulkifli Ahmad Idrus



Ini merupakan siri ketiga daripada siri Mata Tak Berhijab. Ulasan hamba terhadap Mata Tak Berhijab siri 1 serta Mata Tak Berhijab Siri 2 merupakan antara entry yang mendapat hit yang tertinggi di blog ini. Nampaknya orang kita amat suka dengan kisah-kisah seram dan misteri. Walau apapun hamba percaya penulisan buku ini bukanlah untuk menonjolkan elemen seram mahupun menakutkan orang. Adapun ia tidak lebih daripada perkongsian penulis yang diberikan kebolehan oleh Allah untuk melihat sesuatu yang di luar jangkauan pengelihatan insan biasa.

Hamba berpuas hati dengan persembahan penulis dalam buku kali ini. Tulisan beliau adalah lebih tersusun serta lebih santai berbanding dengan dua siri yang sebelumnya. Terlihat rasa rendah diri penulis yang tidak melihat kebolehannya itu sebagai sesuatu yang boleh dibanggakan. Penulis juga berterus terang bahawa beliau hanya mempunyai kelebihan untuk melihat tidak untuk mengubat. Namun hamba percaya penulis sedikit sebanyak ada juga belajar serba sedikit amalan untuk berhadapan dengan makhluk halus ini berdasarkan beberapa cerita yang memerlukan beliau membaca ayat-ayat yang dipelajari dalam ilmu persilatan. Begitu juga apabila beliau ternampak makhluk yang mempunyai wajah yang hodoh serta menakutkan, penulis tidak berselindung dan berterus terang bahawa beliau juga sedikit takut apabila berhadapan dengan mereka, tidak seperti kisah hantu yang sering kita baca iaitu apabila orang berkenaan mempunyai ilmu tertentu beliau begitu berani sekali.

Sesuatu yang menarik perhatian ialah apabila penulis memulakan buku ini dengan kisah di tanah perkuburan. Tidak seperti pemikiran ghalib masyarakat yang menyangka tanah perkuburan adalah tempat makhluk yang berwajah mengerikan serta hodoh, penulis pula mempunyai pengalaman yang lebih menarik apabila tidak pernah bertemu makhluk sedemikian, sebaliknya melihat wajah-wajah manusia yang tenang dengan memakai jubah. Hamba berpandangan apa yang dilihat oleh penulis itu bukanlah makhluk yang mendiami tanah perkuburan bahkan mereka juga berziarah seperti kita. Apabila kita membaca surah al-Jin kita ketahui bahawa Nabi telahpun berdakwah kepada golongan jin. Justeru ada di kalangan mereka yang beriman kepada Allah dan ada yang tidak. Dan golongan jin ini tentunya makhluk yang tidak dapat kita lihat dengan mata kasar.

Kisah Ulat Mayat & Lendir Sihir agak panjang berbanding kisah-kisah lain. Ia sebuah lagi kisah yang hamba suka mengenai pengalaman penulis sewaktu bertugas di Ipoh melihat seorang pemuda yang disihir. Dapat hamba ambil iktibar daripada kisah ini bahawa kita dalam pergaulan seharian hendaklah sentiasa beradab dan elakkan perlakuan yang menyakiti hati orang lain. Ini kerana manusia itu tidak sama. Ada yang dapat menerima perlakuan kita dan ada yang tidak. Dan lebih buruk lagi apabila yang tidak dapat menerima berkenaan cuba menghancurkan kita melalui cara yang amat keji sekali. Pemuda yang disihir berkenaan apabila telah sembuh cuba untuk mengembalikan stamina diri dengan bermain bola. Namun beliau akhirnya rebah dan setelah diselidiki di hospital adalah didapati bahawa keupayaan jantungnya adalah tidak ubah seperti oarng yang berumur 80an. Jelas pada hamba iaitu apabila makhluk jahat ini mendiami badan kita, ia bukan sahaja membuatkan kita meracau bahkan turut merosakkan organ-organ badan. Dari itu berhati-hati dalam pergaulan dan perbanyakkan amalan bagi mengelakkan gangguan syaitan.

Ada lebih kurang 19 buah kisah yang boleh kita ambil iktibar dalam buku ini. Hamba tidak tahu apakah akan ada lagi sambungan buku ini. Jikalau ada hamba harap buatlah tebal sedikit sehingga 300 mukasurat. Yang sekarang ini nipis sangat, sekejap sahaja masa untuk menghabiskannya.

Bulan ini bulan puasa, apakah penulis ada melihat apa-apa?


Friday, July 11, 2014

We Will Not Go Down (Song For Gaza)

                                             "We Will Not Go Down (Song For Gaza)
                                                                   - Michael Heart

A blinding flash of white light
Lit up the sky over Gaza tonight
People running for cover
Not knowing whether they're dead or alive

They came with their tanks and their planes
With ravaging fiery flames
And nothing remains
Just a voice rising up in the smoky haze

We will not go down
In the night, without a fight
You can burn up our mosques and our homes and our schools
But our spirit will never die
We will not go down
In Gaza tonight

Women and children alike
Murdered and massacred night after night
While the so-called leaders of countries afar
Debated on who's wrong or right

But their powerless words were in vain
And the bombs fell down like acid rain
But through the tears and the blood and the pain
You can still hear that voice through the smoky haze

We will not go down
In the night, without a fight
You can burn up our mosques and our homes and our schools
But our spirit will never die
We will not go down
In Gaza tonight

We will not go down
In the night, without a fight
You can burn up our mosques and our homes and our schools
But our spirit will never die
We will not go down
In the night, without a fight
We will not go down
In Gaza tonight


Tuesday, July 8, 2014

AWAN ITU KALAU DAPAT DICAPAI, MAKA SAKTILAH HAMBA



Antara perkara yang tidak pernah hamba terfikir ketika zaman kanak-kanak serta persekolahan hamba ialah untuk menaiki kapal terbang. Kapal terbang bagi hamba ketika itu adalah pengangkutan untuk orang yang berduit, orang kaya, ataupun yang mengumpul sekian lama untuk ke tanah suci. Keluarga hambapun tidak pernah menaikinya, ke lapangan terbang pun tidak pernah. Hanya atok dan uwan yang pernah naik untuk ke Mekah. Lantaran itu menaiki kapal terbang tidak pernah ada dalam angan-angan hamba.



Impian yang tidak pernah ada itu tertunai apabila hamba mendapat peluang belajar di luar negara (Belajar di luar negara pun tidak pernah ada dalam impian hamba). Lebih hebat lagi perjalanan pertama ini diberikan keistimewaan menaiki kelas perniagaan. Maka kekenyangan yang amatlah hamba sepanjang perjalanan dari Subang ke Charles de Gaulle di Peranchis itu.



Apabila memasuki alam pekerjaan, peluang menaiki pengangkutan ini lebih luas lagi, terutamanya apabila menghadiri mesyuarat, kursus , lawatan dan sebagainya. Cuma akhir-akhir ini keterujaan itu tidak seperti dulu lagi. Kadang-kadang rasa takut menaiki pengangkutan udara ini. Kapal terbang bergegar sedikit sudah mula terasa risau, perasaan yang sama sekali tidak ada satu ketika dahulu. Apakah ini fitrah semulajadi? Wallahu aalam.



Kini kapal terbang sudah menjdai seperti bas. Lapangan terbang sentiasa penuh dengan manusia. Lebih-lebih lagi semenjak perkhidmatan penerbangan tambang murah diperkenalkan. Kalau dulu orang yang menaiki penerbangan akan berpakaian kemas. Hari ini dengan selipar jepun dan seluar katok pun orang naik dengan selamba sahaja. Nilai ekslusif itu sudah hilang. Lapangan terbang juga sudah jadi pusat membeli belah. Mungkin satu hari nanti akan ada pasar tani di dalamnya...







Wednesday, July 2, 2014

4X4 ADVENTURE BELAKANG RUMAH








MENALAR MAKNA DIRI, KEMBARA MENJEJAK IMAM BIRGIVI - Hasrizal Abdul Jamil



Dalam puluhan ribu buku di rak pemeran Karangkraf sewaktu PBAKL yang lalu, mata hamba tertancap pada buku ini. Hmm dah keluar sebuah buku lagi sahabat hamba ini (serba salah hamba hendak menggunakan kalimah sahabat ini. Hamba mengingati beliau sebagai seorang teman sepersekolahan, teman sepengajian bahasa Arab sebelum beliau ke Jordan. Tidak pasti jikalau beliau masih ingat akan hamba. Yang pasti hamba tidak tergolong dalam liga sahabat-sahabat yang rapat dengan beliau sama ada dalam dakwah atau pengajian). Serentak itu juga hamba terdengar satu suara sayup-sayup memenuhi dewan pameran melalui corong-corong pembesar suara. Tidak syak lagi, penulis buku ini sedang bercerita tentang buku yang hamba pegang ini.



Hamba dekati ruang diskusi buku itu. Semua kerusi telah penuh bahkan ramai yang berdiri memenuhi ruang. Hamba berdiri dari jauh di satu sudut di laur jangkauan pengelihatan beliau. Tika itu sesi diskusi beliau hampir tamat. Beliau sedang bercerita sedikit mengenai Ahmad Ammar yang ada di sentuh pada bab akhir buku ini. Hamba beredar bagi mencari buku. Harapannya dapat bertemu beliau usai majlis. Buku beliau yang hamba capai tadi dipegang erat di tangan. Namun hamba tidak berpeluang bertemu beliau. Dalam kebanjiran manusia di dewan itu hamba meninjau-ninjau sekiranya kelibat beliau masih ada. Tapi beliau telah ghaib dari persada.

Hamba tidak pasti sama ada tajuk beliau itu tepat atau tidak. Ini kerana menalar bermaksud tidak menghalang, membiarkan (Kamus Dewan Edisi Keempat). Hamba rasakan yang tepat adalah 'menala' tanpa huruf R. Menala pula bermaksud menentukan bunyi (alat muzik,gamelan, dll) dgn nada yg betul, membetulkan bunyi (alat muzik); 2. melaraskan pergerakan enjin (motor dsb) supaya berjalan dgn lancar dan efisien (Kamus Dewan Edisi Keempat), atau dalam bahasa mudahnya - tuning. Hamba berpandangan perkataan 'menala' adalah lebih tepat apabila melihat konteks tajuk keseluruhan juga isi penyampaian di dalam buku ini. Namun penulis mungkin ada alasannya yang tersendiri. Buku ini hadir dengan penuh warna warni, gambar dan grafik yang menarik, sesuatu yang belum pernah ditemui dalam buku Hasrizal Abdul Jamil sebelum ini.

Perjalanan penulis ke Turki adalah bagi menjalankan penyelidikan mengenai Imam Birgivi. Saya sendiri tidak mengenali siapa tokoh berkenaan. Inilah kali pertama saya mendengar namanya. Lantaran itu saya merasakan boleh mendapat sedikit maklumat baharu. Perjalanan penulis tidak setakat membuat kajian tetapi juga untuk merenung keadaan diri sendiri serta arah tuju di kala usia memasuki 40an. Hamba sebaya dengan penulis. Justeru hamba mungkin mempunyai suara hati yang sama seperti beliau. Apa yang penulis coretkan kebanyakannya juga sentiasa berlegar di minda hamba. Di usia hamba ini sering berlegar betapa masa yang berlalu dulu berapakah yang telah dimanfaat serta berapa banyak yang telah dibazirkan.

Walau bagaimanapun hamba berasa tidak puas membaca kisah pencarian maklumat mengenai Imam Birgivi ini terutamanya sewaktu beliau dalam kembara di Turki itu. Mungkin apabila penulis banyak berbicara mengenai rasa hatinya maka beberapa maklumat tidak dimasukkan. Selain itu ada juga beberapa maklumat baru atau komentar mengenai beberapa orang Sultan Othmaniah yang pada hamba merupakan satu maklumat baru yang amat baik sekali.

Sebenarnya mereka yang melakukan kajian dengan susah payah ini patut kita hargai dan berterima kasih. Ini kerana setelah mereka bersusah payah tinggal giliran kita untuk membacanya sahaja. Membaca bukanlah sesuatu yang payah (kecuali di dalam bahasa yang tidak anda fahami), namun budaya membaca itulah yang palingkurang sekali dalam masyarakat kita. Dan yang minat membaca pula bila dikenalpasti bahan bacaan yang dipilih, pastinya lebih banyak yang menuju ke arah novel picisan ataupun yang bertemakan cinta yang kebanyakannya terlalu melalaikan.


Hamba mungkin tidak berkebolehan mengkaji sejarah Othmaniah. Justeru kehadiran kajian penulis nanti amat hamba alu-alukan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...