Thursday, November 26, 2015

GG #777 V2.0 KEMBALINYA EKSPENDEBEL



Walaupun merupakan isu keluaran bulan November, ia agak lambat berada di pasaran. Sudahlah lambat berada di pasaran, bukan semua kedai majalah ada menjual majalah ini sekarang. Tidak setakat itu, edarannya juga agak terhad memandangkan sambutan terhadap majalah ini yang telah menurun sejak sekian lama. Namun yang pasti ia merupakan satu-satunya majalah humor yang mampu bertahan semenjak dilahirkan pada 1 April 1978. Apa yang membuatkan hamba mencari-cari majalah ini di pasaran adalah kerana dikatakan sekumpulan kartunis otai yang menggelarkan diri mereka the ekspendebel akan bersatu memeriahkan semula dunia kartun tempatan menggunakan wadah majalah ini. Selain itu nombor keluaran majalah ini agak istimewa iaitu #777 V2.0. Ini kerana sebelum ini telah terbit sebuah keluaran khas sempena Pameran Lagi Lagi Gila-Gila di Galeri Petronas beberapa bulan yang lalu yang menggunakan nombor #777. Justeru ini kali pertama Gila-Gila mengeluarkan dua buah majalah yang menggunakan nombor yang sama. Pastinya keluaran ini bersama kembarnya yang merupakan keluaran istimewa akan menjadi satu koleksi berharga buat para pengumpul komik tempatan.

Mengenangkan berita kembalinya para kartunis otai dalam keluaran ini hamba merasakan majalah Gila-Gila akan melakar semula kegemilangannya yang suram. Hamba membayangkan akan ada karya hebat sepertimana di era 80an dahulu. Namun entahlah, setelah mengikuti dari kulit ke kulit, muka ke muka hamba rasakan persembahannya sama sahaja dengan isu-isu malap sebelum ini. Mujurlah kartunis Nik dan Tembakau berjaya menceriakan sedikit hati hamba melalui persembahan mereka.

Hamba membaca dengan teliti akan rencana pengarang - Geromal oleh Mansasau. Hamba faham akan pendirian Gila-Gila yang tidak mahu mengikuti pandangan ramai agar ia mengikuti rentak popular semasa. Hamba hormati pendirian tersebut. Tetapi hamba tetap mahu Gila-Gila melakukan perubahan. Bukan mengikut pandangan ramai yang mahukan ia mengikut rentak popular semasa. Tetapi hamba mahukan Gila-Gila menukar rentak dengan lebih baik lagi, memperbaiki mana yang kurang, menampal mana yang bocor tanpa menghilangkan identitinya yang menghidangkan 'kartun berbau Malaysia' bak kata Mansasau. Gaya persembahan perlu diubah seperti penggunaan panel kartun yang pelbagai. Tidaklah kotak empat segi sama dari mula hingga akhir persembahan. Ruangan berwarna juga harus ditambah. Jikalau ditinjau Gila-Gila era 80an dahulu, biasanya di muka-muka awal akan ada kartun 4 ke 6 muka sebagai pembukaan yang dianggap sebagai killer seperti yang pernah ditampilkan oleh Ujang dan Ambo. Tetapi kini ia dimulakan dengan kartun rencana (Dalam isu ini ia bertajuk Ada Beranikah Anda Kalau...)yang bagi hamba tidak sepatutnya ia berada di situ. Terus terang Gila-Gila memerlukan artis grafik yang hebat untuk melakukan rekaletak yang mantap serta membawa sesuatu yang segar di mata pembaca.

Gila-Gila seharusnya menampilkan cerpen-cerpen jenaka yang baru daripada penulis-penulis humor yang hebat. Tidaklah salah meletakkan kembali tulisan serta kartun yang lama, tetapi penumpuan seharusnya diberikan kepada sesuatu yang baru. Mungkin kemasukan Azzam Supardi akan memantapkan lagi majalah ini, sementelahan beliau sememangnya dikenali antara penulis di majalah humor yang baik di beberapa penerbitan sebelum ini. Tidaklah pasti andainya beliau dapat mengulangi khebatan tulisannya seperti Aku Hidup Dalam Blues. Tetapi dalam 'Aku Dan Jalan Robinson' dapat hamba rasakan sedikit perubahan nadanya. Cuma dalam tulisan ini Azzam masih lagi mahu memasukkan unsur-unsur 'Seattle' yang juga ada dalam AHDB.

Tidak dapat hamba nafikan, beberapa kartun baru daripada geng ekspendebel ini telah memberikan sedikit warna kepada Gila-Gila berbanding dengan isu sebelum ini. Tahniah kerana meneruskan bakat anda di majalah otai ini. Tetapi hamba percaya ia masih belum cukup. hamba juga percaya para peminat lama yang mengikuti majalah ini semenjak dahulu juga mahukan perubahan, bukan perubahan dari segi intipatinya, tetapi perubahan corak persembahannya! Percayalah Mansasau kita perlukan perubahan. Umpama lagu, ia adalah sama sahaja yang berubah adalah alatannya dari vinyl ke katrij, kemudian ke kaset, meningkat ke CD hinggalah menjadi MP3 sekarang ini. Gila-Gila perlu berubah - berubah kepada yang lebih baik lagi!


Saturday, November 21, 2015

SUNAN CINTA NAN SAKTI - Ramlee Awang Murshid


Novel ini mula berada di pasaran, secara ekslusif pada Jualan Gudang Karangkraf beberapa minggu yang lalu. Walau bagaimanapun ia hanya muncul 3 hari sebelum acara jualan tersebut melabuhkan tirainya. Hamba pula telah pergi pada hari kedua dan tidak bercadang untuk mengulang pergi walaupun kelab peminat penulis ini telah mengumumkan tarikh jualan serta keberadaan penulis untuk bertemu peminat pada hari berkenaan. Walaupun tempat hamba bertugas tidaklah jauh mana dengan lokasi jualan, tetapi adalah tidak wajar rasanya hendak menginggalkan pejabat semata-mata untuk mendapatkan sebuah buku beserta tandatangan penulisnya. Khabarnya jualan pada hari tersebut 'laku keras' dan habis pada hari yang sama.

Secara kebetulan pada hari esoknya hamba mempunyai temujanji untuk servis kereta yang mana lokasinya juga tidak jauh dari Karangkraf. Memandangkan urusan servis selesai awal, hamba ambil keputusan untuk ke tapak jualan bagi melihat sekiranya masih ada buku ini dijual. Alhamdulillah pada pagi berkenaan pihak Karangkraf telah mengeluarkan stok baru. Hamba capai buku berkenaan, pergi membayar dan terus memandu pulang. Hamba tidak menunggu untuk melihat-lihat buku lain yang dipamerkan. Agak bahaya sekiranya hamba berada lama di situ kerana kaki buku seperti hamba akan sentiasa gatal tangan mencapai dan memasukkan buku ke dalam bakul sehingga penuh. Sedangkan bajet bulanan telah berkurangan dan bulan Disember ini ada pameran lain yang lebih besar lagi.

Sunan Cinta Nan Sakti adalah sambungan kepada Sunan Nanggroe Sang Kembara yang terbit pada tahun lepas. Dalam blog hamba ini, entry Sunan Nanggroe Sang Kembara merupakan entry yang paling popular sehingga hari ini, bukan sahaja mencatatkan hits paling tinggi berbanding keseluruhan entry bahkan mencatatkan hits paling tinggi setiap minggu. Sehingga artikel ini ditulis, ia telah mencatatkan sebanyak 10766 hits dan terus meningkat. Lawatan ke entry ini juga mengatasi lawatan ke lain-lain novel tulisan RAM yang pernah hamba buat. Barangkali ada sesuatu yang peminat RAM cari melalui novel berkenaan.

Menyambung kembali kisah dalam novel sebelumnya, Sunan meneruskan misi untuk menghantar pulang Engku Aminah ke Pagar Ruyung. Malangnya Engku Aminah akhirnya mati di tangan Ratna sang ratu. Kisah kemudiannya berlanjutan dengan Sunan berada dalam tawanan orang kenit bersama dua orang lagi sahabatnya sehinggalah episod pengembaraan menuju ke Pagar Ruyung bagi menyampaikan perkhabaran duka kedudukan Engku Aminah. Bab pengembaraan inilah yang memakan sebahagian besar penceritaan di dalam novel ini dengan pelbagai kisah suka duka pengembaraan terutamanya apabila berhadapan dengan Raja Tambuakar, pemerintah Tanah Mati.

Pengarang melalui novel ini cuba menonjolkan perasaan cinta yang wujud di antara Sunan dan Ratna. Dalam masa yang sama juga kedua-dua penjaga mereka iaitu Wali Sufi bagi diri Sunan dan Maharani Pulau Utara bagi Ratna cuba menyingkirkan perasaan cinta ini atas alasan yang tersendiri. RAM akhirnya menamatkan perasaan cinta ini apabila keduanya tidak dapat lagi mengingati kisah silam antara mereka melalui tindakan berasingan oleh Wali Sufi dan Maharani. Kerana itu dalam novel yang terdahulu (yang juga sebenarnya sekuel kepada novel ini) kelihatan seolah mereka tidak pernah bertemu sebelum ini. 

Secara sampingan, RAM cuba untuk mengembangkan kisah percintaan Megat dan Seroja, asal usul Tanah Mati dan Raja Tambuakar, Nyi Burga Kelara dan Beragas dan beberapa watak lain. Kewujudan watak FongSai Lam hamba liha lebih kepada hendak menyedapkan cerita sahaja. Membaca nama watak ini hamba percaya para peminat kung fu tidak dapat lari daripada mengingati nama Fong Sai Yuk serta nama markas Wong Fei Hung iaitu Po Chi Lam. Apatah lagi watak ini turut mempunyai kepakaran dalam seni mempertahankan diri kung fu serta ubatan tradisi Cina.

Ada juga beberapa perkara kecil yang hamba rasa Ramlee mungkin terlepas pandang atau memang sengaja melakukannya seperti pada mukasurat 36; '...Lelaki yang semakin digulir usia itu pun berhenti di tepian pantai . Melihat-lihat ke arah lautan. Atau lebih tepat lagi ke arah matahari bangkit.....' Watak lelaki berkenaan ketika itu berada di wilayah Melaka dan mengadap ke arah pantai. Apabila kita berada di kawasan pantai barat dan mengadap ke pantai kita akan melihat matahari terbenam dan bukannya bangkit atau terbit. Tetapi hamba tidak tahu sekiranya Ramlee ada maksud lain bagi perkataan matahari bangkit. Tetapi kalau berada di wilayah Aceh dan memandang ke arah Selat Melaka, maka menang harus matahari bangkit dari arah berkenaan, walLahuaalam.

Pada mukasurat 50 apabila melewati dialog "Benar...hambo pun samo!" pada mulanya hamba beranggapan RAM cuba menampilkan dialog watak seseorang dari Pantai Timur. Rupa-rupanya ia adalah watak lelaki Minangkabau. Entahlah, hamba yang berasal dari negeri adat perpatih inipun tidak rasa macam dialog dari sebelah sana. Namun yang ini bukanlah satu kesalahan dalam penulisan. Kalau RAM mengatakan itu dialog watak pedagang Jerman pun ikut suka hati beliaulah.

Kisah dagangan kain Pak Usu yang tidak berapa laku kerana coraknya dianggap outdated walaupun baru sepurnama di pasaran terus membawa hamba kepada kisah Sumpah Orang Minyak oleh P.Ramlee yang turut menampilkan adegan yang lebih kurang serupa. Cuma apabila dalam masa sebulan sahaja kain corak kain berkenaan telah 'basi' kerana telah dimiliki oleh semua wanita di Melaka seolah memberitahu kita dalam jualan yang pertama, kain Pak Usu telah 'laku keras' sehingga rata-rata wanita di Melaka mempunyai koleksi kain bercorak oleh Pak Usu. 

Hamba tidak tahu sama ada ini novel berkenaan Sunan yang terakhir atau masih ada lagi novel berkaitan beliau yang akan keluar. Cuma secara peribadi novel yang mutakhir ini tidaklah sehebat novel-novel Sunan yang lalu. Ramlee telah mengambil risiko (kalau boleh dikatakan risiko) yang tinggi untuk menghasilkan novel prekuel yang pastinya sukar berbanding menghasilkan novel yang membawa kisah-kisah yang kemudian. Namun tidak usah risau dengan pandangan hamba kerana hamba percaya novel ini akan laku dalam jumlah yang besar sama seperti novel-novel RAM sebelum ini.

Hamba mendambakan RAM akan menulis novel yang alirannya sama dengan trilogi Tombiruo Penunggu Rimba serta yang adventurous seperti ADAM dan Hatiku Di Harajuku. Cukuplah dahulu kisah Sunan ini, bagi hamba RAM lebih hebat beraksi dalam novel kisah masa kini.


MATA TAK BERHIJAB SIRI 4 : JELMAAN TERAKHIR - Zulkifli Ahmad Idrus



Tajuk buku serta sinopsis di belakang buku terkini oleh saudara Zulkifli ini sememangnya satu tarikan pemasaran yang kreatif oleh pihak pemasaran. Maklumatnya betul, tetapi gaya penyampaiannya seolah memberitahu - 'inilah siri Mata Tak Berhijab yang terakhir, Zulkifli tidak lagi dapat menulisnya kerana satu sebab besar, oleh itu cepatlah membelinya!'. Tapi ini bukanlah sebab hamba membeli buah tangan yang mutakhir ini. Jenis hamba apabila telah selesa dengan seseorang penulis, hamba akan cuba untuk terus mendapatkan hasil karya terbaru mereka. Tetapi sekali hasil tangan mereka mengecewakan hamba, mungkin hamba tidak akan menunggu lagi karya mereka yang selanjutnya.

Membaca keseluruhan isi kandungan buku ini dapat hamba rasakan bahawa tempoh kejadian pengalaman penulis ini amat baharu dan mungkin di antaranya berlaku beberapa bulan sahaja sebelum buku ini berada di pasaran. Cara penulisannya juga ada sedikit kelainan apabila hamba lihat penulis seolah cuba menjawab beberapa soalan yang dikemukakan oleh peminat beliau melalui jalan penceritaan. Contohnya apabila ada yang bertanya tentang penampakan di hospital, beliau menceritakan pengalaman tersebut.

Sejak siri yang pertama lagi sekiranya pembaca meneliti tulisan saudara Zulkifli, kita akan dapati bahawa beliau jujur dalam penulisan. Secara terus terang beliau mengakui bahawa bukan bermakna disebabkan beliau boleh melihat sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar orang lain, maka beliau mempunyai pengetahuan untuk mengubat dan sebagainya. Bahkan beliau berterus terang dalam banyak tempat walaupun biasa melihat penampakan sedemikian, beliau tidak terlepas daripada merasa seram dan 'tidak lalu' untuk melihat penampakan yang mengerikan. Tiada cakap besar, meninggi diri atau sombong. Ia umpama luahan jujur terhadap apa yang berlaku - tidak lebih daripada sekadar perkongsian, di samping pengajaran yang diselit di sana sini.

Kisah pengalaman kali ini berjaya disampaikan dengan baik, dengan bahasa yang mudah dan tidak menyukarkan pembacaan. Walaupun begitu terdapat juga sedikit kesalahan taipan yang pada dasarnya boleh dimaafkan tetapi ada juga yang membawa erti yang lebih buruk. Cotohnya pada muka surat 208 bab Ultimate Kinabalu penulis mencatatkan Pesekutuan Seni Silat Cekak Puaka Hanafi. Perkataan puaka yang sepatutnya ditulis pusaka tentunya membawa perubahan besar dari segi erti dan makna. Lebih-lebih lagi apabila ini merupakan sebuah nama khas tentunya kesilapan kecil ini boleh membawa rasa tidak senang kepada segelintir individu.

Di akhir persembahan buku ini penulis memberikan sebab-sebab beliau tidak mahu melanjutkan siri ini. Tidak ada kena mengena dengan gangguan dan sebagainya tetapi dari sudut pandangan seorang penulis alasan beliau itu boleh diterima. Ia bukan sahaja alasan melibatkan idea tetapi juga dari sudut emosi beliau yang begitu terasa apabila seorang remaja yang tidak diberikan elaun poket oleh bapanya semata-mata kerana membeli buku beliau. Pada orang lain alasan ini mungkin 'biasa-biasa' sahaja tetapi penulis menzahirkan rasa kesal dan terasa seolah-olah beliau yang bersalah. Buat saudara Zul, perkara berkenaan adalah di luar kawalan saudara. Jangan kerana peristiwa itu saudara menggantung pena. Individu berkenaan hanyalah salah seorang peminat saudara yang saya percaya tindakan bapanya adalah yang terbaik pada masa itu di mana bapa berkenaan sahaja yang tahu apa yang sebenarnya terjadi serta apa yang terbaik buat anak beliau. Tentunya ada alasan lain lagi dan pembelian buku saudara hanyalah melengkapkan alasan penarikan elaun poket tersebut. Saudara masih ada ramai lagi peminat yang lain dan mereka telah ketagih dengan karya saudara dan resah menunggukan yang terbaharu!


Monday, November 9, 2015

BATU UBAN SEJARAH AWAL PULAU PINANG - Ahmad Murad Merican



Kadang-kadang membaca buku yang serius boleh membuatkan hamba mengantuk. Apatah lagi apabila fakta yang sama diulang beberapa kali pada tempat yang berlainan. Kadang-kadang terlalu banyak masa yang diambil untuk mengkhatamkannya walaupun tebalnya tidaklah seberapa. Begitulah hamba dengan buku ini. Dalam pada membacanya, hamba sempat berhenti dua kali untuk membaca dua buah buku lain yang salah satunya lebih tebal daripada buku ini. Setelah tamat kedua buku berkenaan barulah hamba menyambung kembali pembacaan buku ini.

Kata orang sejarah ditulis oleh pihak yang menang. Entahlah, mungkin benar dan mungkin juga tidak. Tetapi dalam hal Pulau Pinang, rata-rata buku sejarah mencatatkan sejarah Pulau Pinang hanya bermula setelah kedatangan Inggeris ataupun Francis Light itu sendiri. Penulisan sedemikian membuatkan seolah-olah Pulau Pinang sebelum itu tidak mempunyai sejarahnya yang tersendiri atau dalam erti kata lain sebelum kedatangan Inggeris, Pulau berkenaan belum dihuni sesiapa, Inggeris yang membuka dan memakmurkannya. Tetapi hamba tidaklah berasa hairan sangat apabila melihat kepada penulis-penulisnya yang bukannya orang Melayu sendiri. Amat malang apabila seolah ada pakatan untuk menyembunyikan sejarah Pulau Pinang sekaligus menafikan kedudukan orang Melayu di sana. Tidak menghairankan apabila hamba sendiri berada di sana kadang-kadang tidak berasa seperti berada di Tanah Melayu. Apa yang Melayu ada yang luasnya sekangkang kera itupun kalau boleh mahu direbutkan jua.

Inilah yang cuba diperjuangkan oleh penulis buku ini, cuba untuk menyusun dan mengutip kembali sejarah bangsanya. Ia bukanlah satu kerja yang mudah memandangkan kurangnya catatan di dalam hal ini. Lebih-lebih lagi orang dahulu tidak mementingkan penyimpanan rekod dan lebih bergantung kepada penyampaian secara lisan. Namun apa yang diusahakan oleh penulis ini sebenarnya memberikan kita maklumat yang penting akan sejarah Pulau Pinang itu sebenarnya telah bermula sebelum kedatangan Inggeris itu lagi.

Hamba percaya nama-nama penghuni awal pulau mutiara ini yang berasal dari alam Minangkabau seperti Dato Jebaton, Nakhoda nan Intan, Dato' Setia dan sebagainya mungkin baru kita dengar dan mungkin orang Pulau Pinang sendiri tidak mengetahui tentangnya sedikitpun. Bahkan apabila Francis Light menjejakkan kaki di Pulau Pinang itu sendiri, beliau dan rombongannya disambut oleh orang Melayu. Oleh yang sedemikian Pulau berkenaan telahpun sedia berpenghuni dan tidaklah wajar menisbahkan Pulau Pinang kepada encik light sahaja.

Selain mengkisahkan tentang penduduk awal Pulau, penulis sedikit sebanyak menukilkan juga tentang alam minangkabau serta konsep merantau di kalangan anak-anak Minang, perkahwinan campur dengan keturunan Arab yang melahirkan generasi awal peranakan juga tentang isu status pajakan Pulau Pinang setelah Malaysia merdeka. Ada pandangan mengatakan bahawa Pulau Pinang harus diserahkan kembali kepada Sultan Kedah kerana perjanjian pajakan hanya dibuat diantara Inggeris dan baginda Sultan. Apabila Inggeris balik kampung, Pulau Pinang dan Seberang Perai harus kembali kepada pemiliknya yang asal. hamba berpandangan perkara ini bukan diperingkat hamba untuk membincangkannya, ia harus berlaku di antara kerajaan Kedah sekarang dengan kerajaan Persekutuan itu sendiri. Hamba melihat hujah-hujah yang dikemukakan oleh pihak yang mahukan negeri ini kembali semula kepada Sultan Kedah ada pemberatnya dan wajar di bawa ke meja perbincangan dan ditinjau dari sudut undang-undang.

Buku ini harus dibaca oleh sekalian masyarakat terutamanya anak Pulau Pinang itu sendiri. Hamba harap buku ini akan menjadi kunci yang akan membuka lebih banyak lagi pintu.

LENGLOI -Maria Kajiwa


Pengalaman membaca novel penulis yang bertajuk Puja sebelum ini membuatkan hamba tidak ragu-ragu untuk memasukkan naskhah tersebut ke dalam bakul belian. Dalam masa yang sama hamba berharap agar Lengloi dapat memberikan rentak pembacaan yang serupa sepertimana ketika hamba membaca Puja beberapa bulan yang lalu.

Maria kali ini memilih kisah misteri yang menghantui sebuah bangunan lot rumah kedai bernombor 55 apabila beberapa penyewa yang menjalankan perniagaan/usaha mengubahsuai kerap diganggu oleh entiti yang tidak diketahui. Bahkan lebih mengerikan lagi apabila ada sahaja kemalangan yang mencederakan juga kematian pada setiap individu yang menyewa. Punca utama 'puaka' berkenaan mengganggu tidak lansung diketahui oleh para penyewa ini dan hanya menyifatkannya sebagai saingan tidak sihat dalam perniagaan atau dalam ertikata lain dengki.

Walau bagaimanapun hamba dapat meneka puaka berkenaan ada kaitan dengan watak Suzy yang pada awal novel lagi telah diceritakan sebagai hilang secara tiba-tiba. Begitu juga tekaan hamba tentang siapa dalang yang melakukan kerja terkutuk ini juga tepat kerana di awal penceritaan juga penulis telah jelas melakarkan persaingan perniagaan di antara dua buah kedai makan. Cuma penulis bijak melanjutkan cerita. Walaupun kedua-dua pesaing perniagaan berkenaan mati di awal cerita namun bangunan tersebut terus lagi dihuni puaka berkenaan sekaligus menimbulkan persoalan kenapa masih berlaku gangguan.

Walaupun penulis menceritakan tentang gangguan puaka kepada beberapa pihak penyewa, perjalanan cerita tidaklah membosankan. Tidak seperti penulis lain yang kadangkala kerap mengulangi penceritaan yang sama walaupun pada tempat yang berbeza, Maria dilihat tidak berbuat demikian. Kisah gangguan cuba dipelbagaikan persembahannya membuatkan pembaca dapat melekat dengan novel ini tanpa merasa bosan. Benar, hamba tidak bosan membacanya dan inilah kali pertama hamba dapat menyelesaikan novel yang tebal ini dalam masa dua hari sahaja berbanding dengan novel tebal lain yang kadangkala mengambil masa seminggu (Kenapa tidak tamat dalam masa dua jam sahaja? Well, sebagai ketua keluarga yang berkerjaya hamba tidak boleh memperuntukkan seluruh masa untuk membaca sahaja. Kerja di pejabat dan di rumah perlu diutamakan terlebih dahulu. Hanya apabila telah selesai semuanya barulah kita menyambung pembacaan semula).

Sesuatu yang menarik mengenai novel ini juga adalah paparan perpaduan kaum yang ada di negara kita. Maria tidak memusatkan seluruh cerita pada satu kaum sahaja malah melibatkan semua kaum terbesar di Malaysia dalam penceritaan yang agak seimbang. Watak-watak utama tersebut memperlihatkan sifat tanggungjawab serta mengambil berat di antara satu sama lain. 

Novel ini walaupun dilabelkan sebagai seram tetapi bagi hamba tidaklah terasa sangat keseramannya. Namun disebabkan teknik penulisannya yang baik, penceritaan yang tidak tergesa-gesa, setiap persoalan yang timbul dapat diberikan jawapan dengan baik, menjadikan pembacaan hamba begitu lancar sekali dan tidak sabar mahu menamatkan pembacaan bagi mengetahui pengakhirannya. Cuma tertanya-tanya juga hamba apabila tiada penulis tidak memasukkan usaha menghapuskan gangguan oleh perawat Muslim (kecuali nasihat oleh Pak Imam selepas satu majlis bacaan Yaasin serta ikhtiar ringkas oleh Pak Kasim apabila ada individu yang diganggu) berbanding apabila pengkisahan watak bukan Muslim seperti apabila Muthu meminta bantuan sami dan Lim yang mendapatkan bantuan seorang sifu. Amat jelas sekali apabila kedai tersebut di sewa oleh Ain juga sewaktu Jiyad dan rakan-rakannya melakukan kerja pengubahsuaian, tiada terdetik untuk mendapatkan bantuan perawat Muslim atau ustaz untuk membantu mereka menghalau gangguan tersebut walaupun amat jelas gangguan tersebut telah mencapai tahap kritikal. Apapun hamba percaya penulis mempunyai alasan yang tersendiri untuk tidak menumpukan penceritaan kepada hal berkenaan.

Lengloi merupakan sebuah novel yang menarik dan akan memberikan kepuasan kepada pembaca. Tapi jika dibandingkan dengan Puja, hamba masih merasakan novel berkenaan lebih baik berbanding dengan Lengloi, walLahuaalam!!


Thursday, November 5, 2015

TRAGEDI LUBUK MANDI - Mohamed Jusoh



Kisah sebuah tempat yang bernama Lubuk Mandi di Terengganu ini tiba-tiba menjadi heboh di penghujung tahun 80an apabila beberapa orang penduduk menemui emas. Pada mulanya hanya beberapa orang sahaja yang mengetahui rahsia berkenaan dan mereka berjaya menyimpannya buat beberapa ketika. Setiap kali orang bertanya akan kerja mereka masuk kehutan, jawapan yang sering diberikan adalah untuk mencari madu lebah. Namun bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru. Rahsia berkenaan akhirnya tersebar. Lubuk Mandi yang satu ketika dahulu tenang telah bertukar menjadi sebuah tempat yang dikunjungi ramai. Semuanya mempunyai matlamat yang sama - untuk mencari emas!

Penulis buku ini merupakan saksi penting sejarah Lubuk Mandi ketika itu. Ini memandangkan hadapan rumah beliau menjadi laluan untuk ke destinasi berkenaan. Kerjaya beliau sebagai seorang wartawan menjadikan buku ini lebih menarik untuk dibaca serta dihayati.

Gara-gara emas, para pencari sanggup menyabung nyawa untuk mendapatkannya. Mereka hanya menggunakan cara tradisional yang agak primitif untuk mendapatkannya. Tanah-tanah yang dipercayai mengandungi emas akan disaring dengan air atau dipanggil mendulang. Terdapat sebilangan penggali yang sanggup menggali hingga bermeter dalamnya ke bawah tanah serta menggali pula terowong yang boleh pula bersambung dengan lubang-lubang yang lain. Pembinaan terowong ini pula tidaklah teratur dan tidak mengutamakan keselamatan. Ini gara-gara para penggali tidak mempunyai pengalaman di dalam kerja-kerja berkenaan.

Faktor inilah yang menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh sehingga mengorbankan beberapa nyawa. Walaupun telah ada beberapa nyawa yang terkorban, tetapi para penggali ini ada yang masih berdegil dan meneruskan kerja-kerja mereka. Penulis turut menyentuh tentang tindakan-tindakan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri seperti peraturan melombong, pemberian lesen, waktu had melombong, kawalan penguatkuasa dan sebagainya. Namun walaupun segala macam perkara telah dicuba oleh kerajaan negeri, mereka seakan 'kalah' dengan para pelombong yang dilihat agak rakus. Bayangkanlah kerajaan negeri telah mengambus lubang-lubang yang dianggap merbahaya, tetapi para pelombong ini menggalinya semula. Bahkan lubang yang telah digali ditutup semula dengan batang-batang kayu, dialas dengan kanvas serta diletakkan tanah di atasnya bagi meneglabui mata penguatkuasa. Larangan melombong pada waktu malam tidak dipatuhi walaupun kerajaan meletakkan penguatkuasa untuk mengawal. Paling kurang mereka akan mencangkul tanah, membawanya keluar ke tempat lain untuk proses pencarian emas.

Ketika itu banyak perubahan yang berlaku di kawasan Lubuk Mandi. Tempat yang asalnya damai kini telah mula meriah dengan penerokaan tanah. Alat-alat melombong seperti kuali dan cangkul naik mendadak harganya. Para pelombong mendapat keuntungan besar sehingga ada yang mampu ke Mekah. Tanah kerajaan serta tanah persendirian turut diceroboh untuk dikaut hasilnya sehinggakan kerajaan negeri serta tuan tanah tidak mampu untuk mengawalnya. Kerana emas juga ada kawasan rumah yang berhampiran turut digali persekitarannya. Bahkan di kawasan rumah penulis sendiri apabila beliau mahu mendirikan jamban, tanah yang digali turut mengandungi butir-butir emas!

Pada penghujung bukunya penulis menumpukan kepada kemalangan yang berlaku serta usaha-usaha pencarian dan penyelamatan. Melalui gambar yang dipaparkan adalah jelas betapa dalamnya lubang yang digali serta kurangnya perkara keselamatan dititikberatkan. 

Buku ini amat menarik kerana penulis mendapatkan maklumatnya secara lansung. Gambar-gambar yang dimasukkan di dalam buku ini amatlah berharga kerana ia menceritakan keadaan sebenar di lokasi. Hamba tidak pasti apa yang berlaku di Lubuk Mandi hari ini. Dengarnya orang ramai tidak lagi dibenarkan melombong emas. Segala usaha pelombongan kini dijalankan oleh sebuah syarikat.

Tragedi Lubuk Mandi adalah sebuah kisah yang penuh iktibar. Ia memberitahu akan sifat tamak manusia untuk mencari kekayaan. Sedikit kekayaan yang diperolehi menjadikan manusia lebih tamak lagi untuk mengaut kekayaan dengan lebih banyak lagi. Bahkan kematian yang berlaku tidakpun menginsafkan mereka. Mara bahaya di tolak ketepi demi mencari rezeki di perut bumi.

Wednesday, November 4, 2015

EKAU NAK KONO PANAH?

Hamba lihat secara mendadak dalam setahun dua ini kemunculan kelab-kelab memanah di serata negara. Penampilan kebanyakan mereka dengan mengenakan busana Melayu atau Arab menampakkan lagi kehebatan si pemakainya. Begitu juga dengan aksesori yang mereka kenakan sama ada dari segi pelapik tangan ataupun peralatan itu sendiri mempunyai keunikan yang tersendiri.

Hamba berpeluang untuk menembak di satu pertandingan memanah yang diadakan di Johan Setia, Klang baru-baru ini di mana sahabat baik zaman persekolahan hamba menjadi salah seorang pesertanya. Cuma cuaca yang agak berjerebu menjadikan gambar juga berjerebu, kelam dan tidak menarik warnanya. Hamba juga malas nak membuat suntingan disebabkan waktu yang terhad.

Peralatan memanah ini walaupun kelihatan ringkas tetapi harganya boleh tahan juga. Ada juga peralatan yang dibuat secara tempahan khas (custom made) yang memberikan identiti tersendiri buat pemakainya. Ada juga yang membawa imej kelab yang diwakili. Ditempat tinggal hamba sendiri sejak dua minggu lepas hamba terperasan sudah ada kelab memanah yang berdekatan. Tengoklah kalau ada rezeki masuk, boleh juga beli satu set lengkap panah untuk main di belakang rumah.


















Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...