Isnin, 25 Oktober 2021

KEMBARA DARUS SENAWI 1963 - Darus Senawi & Izzat Ibrahim


 

Hamba tidak dapat menahan diri daripada mencapai buku ini dan melihat isi kandungannya. Lagipun ini kali pertama hamba memasuki kedai buku selepas berbulan-bulan kita berada dalam PKP. Memasuki kedai buku dan membelek-belek buku yang dipamerkan di atas rak jualan adalah satu nikmat yang hanya penggemar buku sahaja yang tahu.

Hamba tidak kenal siapa di sebalik nama Darus Senawi. Nama yang kelihatan klasik ini begitu memanggil-manggil, apatah lagi kisah kembaranya berlaku pada tahun 60an, satu zaman yang hamba masih belum lagi dilahirkan. Tentunya mempunyai kisah dan pemandangan yang amat berbeza dengan suasana hari ini. Apatah lagi sebuah kembara yang berlaku di zaman manusia tidak semudahnya mendapatkan pelbagai maklumat kembara seperti di hari ini.

Ini adalah sebuah kembara luar biasa seorang pemuda bernama Darus Senawi dalam usaha untuk menuntut ilmu di Universiti Al- Azhar, Mesir. Kisah pengembaraan ini lebih banyak tertumpu di awal kembara, dan sesudah beliau menamatkan pengajian. Di samping itu sedikit kisah sewaktu belajar di Perlis dan di Universiti Al-Azhar sendiri turut dipaparkan.

Ustaz Darus Senawi amat meminati bahasa Arab. Apabila beliau menulis sewaktu di peringkat persekolahan lagi beliau telah membaca beberapa buah buku bahasa Arab, ia memberikan gambaran kepada hamba bahawa mutu pendidikan bahasa Arab pada zaman itu amat tinggi sekali. Sebab hamba yang bersekolah menengah agama di tahun 90an lansung tidak pernah membaca buku di dalam bahasa berkenaan apatah lagi mengkhatamkannya - kecuali buku teks persekolahan!

Penulis memulakan perjalanan menuntut ilmunya menggunakan kapal laut menuju ke India sebelum menyambung perjalanan menggunakan cara lain. Jangan bayangkan beliau menaiki kapal mewah atau yang mempunyai kabin penginapan yang bagus. Sebaliknya itu cuma kapal kargo yang penumpangnya duduk bersepah di merata-rata. Ustaz Darus memilih tempat di bawah tangga! Ini bukan pengembaraan yang mewah. Beliau bahkan tidak membawa wang belanja yang banyak. Makanan yang dibawa hanyalah setin biskut untuk tempoh tiga hari bersama sebalang kecil jem durian. Namun sedikit gendala menjadikan perjalanan melebihi tiga hari menyebabkan beliau keputusan makanan. Bacalah bagaimana ustaz mengatasi masalah perut ini.

Ustaz Darus tidak dapat meneruskan perjalanan dan tersadai di India selama empat bulan. Hidup amatlah sukar dan tersadai dalam waktu yang lama memberikan cabaran besar kepada beliau hingga hampir terjejas akidahnya. Hinggalah pada suatu hari beliau terjumpa seorang sahabatnya yang dalam perjalanan ke Mesir juga.Baharulah terbuka sedikit jalan untuk beliau meneruskan kembara.

Ustaz Darus menceritakan serba sedikit kehidupannya sebagai pelajar di Mesir yang banyak boleh kita ambil iktibar sebagai penuntut ilmu. Sebagai penuntut yang hanya mendapat sedikit biaya daripada wakaf Al-Azhar, kita boleh pelajari bahawa duit bukanlah penghalang untuk menuntut ilmu. Hidup perlu sentiasa berfikir bagi mengatasi masalah. Lebih-lebih lagi apabila berada jauh dari tanah air. Laluan sukar yang beliau tempuhi hamba lihat memberikan banyak kelebihan kepadanya di dalam mempelajari bahasa Arab.

Selepas tujuh tahun di Mesir, beliau akhirnya menamatkan pengajian. Namun bukanlah tanah air yang menjadi niat tujuan, bahakan beliau mahu melanjutkan pengajian ke Kanada pula. Sementara menunggu untuk mendapatkan tempat belajar, beliau berkelana ke Belanda bagi mencari pengalaman dengan bekerja di restoran dan kilang roti. Apabila tidak mendapat tempat di Kanada baharulah Ustaz Darus memutuskan untuk pulang ke tanah air. Ustaz darus memilih jalan darat dari Belanda hingga ke Pakistan sebelum menyambung dengan kapal terbang. Pemilihan kapal terbang itupun dibuat disebabkan adanya pergolakan di Burma ketika itu.

Satu lagi sebab hamba membeli buku ini adalah kerana hamba sendiri telah menyiapkan sebuah buku kembara hamba sendiri ketika menuntut ilmu. Ketika ini buku berkenaan telahpun berada dalam peringkat akhir penyemakan oleh pihak penerbit dan menunggu masa untuk dicetak. Harapannya buku hamba juga akan menjadi pilhan pembaca.


Khamis, 21 Oktober 2021

MANUSKRIP MELAYU YANG HILANG - Naim Tamdjis


 

Bangsa yang maju adalah bangsa yang mempunyai tulisan dan tradisi pembudayaan ilmu yang tersendiri. Ilmu-ilmunya dicatat dan disusun dalam sebuah buku. Melaluinya, ilmu terus berkembang merentasi masa dan zaman.

Walaupun menggunakan tajuk manuskrip Melayu yang hilang, penulis tidaklah membicarakan tentang manuskrip yang benar-benar hilang. Manuskrip yang dibicarakan penulis itu ada sahaja. Cuma sebahagian besarnya masih berada dalam keadaan teks dan fizikal yang asal. Namun tajuk buku ini sebenarnya mahu mengajak kita untuk merenung betapa disebalik manuskrip yang dibincangkan, terdapat puluhan ribu lagi khazanah ilmu bangsa kita yang 'hilang dari simpanan' anak bangsa, berada di tangan bangsa asing yang terus menerus mengkajinya sehingga kelihatan kebijaksanaan itu datang daripada bangsa mereka. Padahal kita tahu betapa rakusnya mereka membawa pulang kitab-kitab daripada negara yang pernah mereka jajahi. Mereka memang bangsa yang cerdik. Mereka tidak hanya mencuri hasil bumi negara yang mereka jajah, tetapi mereka juga mencuri pelbagai ilmu pengetahuan yang berada di dalam kitab-kitab. Mereka tahu akan kepentingan ilmu terhadap sesuatu bangsa. Ilmulah yang menaikkkan taraf sesuatu bangsa. Apabila mereka mencuri segala ilmu pengetahuan, anak peribumi terkapat-kapai terpaksa merangkak mencari semula ilmu pengetahuan dari garis mula, sedangkan mereka mencedok sehabis-habisnya, mengkaji dan akhirnya mengajarkan semula kepada kita.

Buku ini bolehlah dikatakan sebagai mukaddimah atau ilmu pengenalan dan asas kepada kitab-kitab orang Melayu. Apabila disebutkan kitab-kitab Melayu ini, ia adalah merujuk kepada seluruh pelusuk nusantara yang orang Melayu merantau di antara kepulauannya dan tidak terhad kepada Semenanjung Tanah Melayu sahaja.

Penulis ketika membincangkan tentang perihal manuskrip alam Melayu ini telah membahagikannya kepada beberapa bab seperti sastera, agama, ilmu pelayaran, sains dan teknologi, undang-undang dan sebagainya. Pada tiab-tiap perkara ini akan diberikan beberapa contoh manuskrip atau kitab beserta keterangan isi kandungannya secara ringkas. Kitab-kitab pada zaman dahulu tersebar melalui aktiviti penyalinan. Ini memandangkan ketika itu teknologi percetakan masih belum lagi wujud. Aktiviti penyalinan ini menunjukkan kerajinan orang kita, memandangkan bukanlah satu kerja yang mudah untuk menyalin sesebuah kitab, terutamanya jikalau kitab itu tebal. Apatah lagi segala alat seperti kertas dan peralatan menulis perlu dihasilkan sendiri menggunakan bahan-bahan semulajadi. Ada di antara kitab-kitab ini yang dihiasi dengan pelbagai corak pada helaian mukasuratnya, satu kerja yang sebenarnya menuntut waktu yang banyak.

Kita tahu bahawa terdapat ribuan manuskrip kita berada di luar negara. Namun yang ada di dalam negara inipun masih banyak berada dalam keadaan asal. Teks-teks ini perlu dikaji, disalin semula dan diubah gaya bahasanya mengikut gaya bahasa pertuturan pada hari ini bagi memudahkan pemahaman seterusnya meluaskan lagi sesuatu ilmu berkenaan. Di negara-negara Arab, kajian terhadap teks manuskrip ini ada yang dijadikan pengajian di peringkat master dan PhD. Sekiranya pusat pengajian di negara kita memberikan pengiktirafan sebegini kepada para pengkaji manuskrip, hamba percaya ia akan menjadi pendorong yang besar untuk ilmuwan kita untuk membuat kajian yang mendalam. Justeru kita akan dapat mengambil dan memahami kembali ilmu-ilmu bangsa kita. Jika ini terjadi, biarpun manuskrip itu hilang, ilmunya akan tertanam di dalam diri kita.


Sabtu, 9 Oktober 2021

DAMAI - Jaafar Taib


Jaafar Taib bukanlah satu nama asing bagi peminat kartun dan seni lukisan di negara kita. Terkenal dengan tenaga penting di sebalik Gila-Gila, Jaafar Taib di antara pelukis yang memiliki tangan emas di dalam penghasilan karya-karya terbaik.

Dari segi penceritaan, buku ini mungkin sesuai untuk pembacaan kanak-kanak. Tetapi dari segi persembahan visual dan grafiknya, ia tentunya lebih kepada golongan dewasa khasnya peminat seni lukisan. Damai mengandungi 213 ilustrasi berwarna yang menggunakan media campuran. Watak-wataknya dilukis seperti kartun, tetapi pemandangan hutannya dilukis dengan teliti seperti keadaan hutan yang sebenar.

Damai adalah kisah seekor anak gajah yang telah kematian ibu dan bapanya. Kawasan Hutan Simpan Lesong secara tiba-tiba dilanda satu wabak yang menyebabkan banyak haiwan mati secara tiba-tiba. Ini termasuklah pemimpin sekalian binatang ini, seekor gajah bernama Wirasaka. Sebelum mati, Wirasaka sempat meninggalkan amanah agar semua haiwan berpindah dengan segera ke Taman Negara untuk mengelakkan lebih banyak kematian.

Maka berpindahlah segala haiwan yang ada. Memandangkan isteri Wirasaka yang bernama Inoi sedang mengandung, maka dia tinggal di Hutan Simpan Lesong dan hanya akan menyusul selepas melahirkan anaknya nanti. Inoi ditemani oleh seekor monyet bernama Pak Mai yang mempunyai pengetahuan di dalam perawatan penyakit menggunakan herba rimba.

Setelah melahirkan Damai, tidak lama kemudian Inoi juga menemui ajal, sama seperti keadaan Wirasaka. Maka berkelanalah Damai dengan ditemani Pak Mai menuju ke Taman Negara bagi bersatu dengan keluarganya yang lebih dahulu ke sana.

Di dalam perjalanan ini Damai dan Pak Mai menempuhi pelbagai pengalaman dan cabaran sebelum akhirnya sampai ke tempat yang ditujui. Aral yang melintang ini juga telah menyebabkan kematian Pak Mai yang begitu gigih menjaga keselamatan Damai.

Melalui naskhah ini, di samping himpunan lukisannya yang menarik, Jaafar Taib cuba menyampaikan mesej-mesej mengenai kepentingan menjaga khazanah hutan negara. Binatang-binatang ini mati adalah disebabkan oleh perbuatan manusia yang membuang bahan kimia dan merbahaya ke dalam sungai. Terdapat juga manusia dan pemburu haram yang menjerat binatang secara haram untuk dijual beberapa bahagian berharga tubuh mereka. Kegiatan menjerat secara haram ini juga telah menyebabkan berlakunya kecacatan kepada haiwan seperti kudung kaki akibat terkena jerat dawai kabel. Damai juga melahirkan penghargaan kepada para petugas PERHILITAN yang berusaha menjaga kebajikan dan keselamatan para haiwan di rimba.

                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                         

Khamis, 7 Oktober 2021

DIA AKAN JADI MUFTI - MEMOIR HARUSSANI ZAKARIA


Kita mengenali bekas Mufti Perak, Allahyarham Tan Sri Dr Harussani Zakaria sebagai seorang ulama yang tegas dan berkaliber. Namun tahukah anda bahawa beliau pernah menjadi seorang polis rahsia di bawah unit yang bernama Top Secret and Cicero. Pejabatnya juga kelihatan usang, tidak ubah seperti sebuah rumah salai getah! Tetapi tugasnya seperti dalam filem perisik yang boleh memantau perbualan di sesebuah lokasi. Perkara ini adalah antara kisah yang menarik di dalam buku bertajuk Dia Akan Jadi Mufti ini.

Frasa Dia Akan Jadi Mufti 'dia akan jadi mufti' adalah kata-kata yang pernah dilafazkan oleh bapa Tan Sri Dr Harussani sewaktu beliau masih kanak-kanak. Masin mulut ayahanda beliau, menjadi satu doa yang dimakbulkan Allah S.W.T., Harussani akhirnya benar-benar menjadi seorang mufti.

Allahyarham menyifatkan dirinya sebagai nakal sewaktu remaja. Tetapi jika diteliti, kenakalan beliau itu adalah kenakalan seorang yang berilmu dan memberikan manfaat, bukan kenakalan kerana sifat jahat. Contohnya sewaktu belajar dengan giru-guru berketurunan Arab, beliau sering sahaja mengangkat tangan dan mengatakan bahawa beliau tidak faham dengan apa yang diajarkan. Ini menyebabkan ustaz terpaksa mengulang semula dan kadangkala membebel. Inilah yang ditunggu oleh Allahyarham. Ketika itu beliau akan mencatat perkataan-perkataan baharu, ataupun mencatat cara sesuatu perkataan itu digunakan. Tidak hairanlah penguasaan bahasa Arab Allahyarham menjadi baik.

Allahyarham adalah seorang yang tegas dan taat pada agama. Beliau telah menghapuskan beberapa amalan atau adat yang membawa kepada syirik di istana. Dalam hal ini hamba dapat lihat bahawa Raja atau Sultan bukanlah halangan utama untuk menghapuskan perkara sebegini, tetapi para pembesar istanalah yang menjadi penghalang yang terbesar. Mereka yang telah sebati mengadakan upacara tertentu masih mahu perkara sedemikian diteruskan. Antara amalan atau adat yang berjaya dihapuskan oleh Allahyarham adalah adat menabal jin.

Sebagai seorang yang puluhan tahun berada dalam perkhidmatan, Allahyarham banyak mengalami peristiwa-peristiwa penting bersama dengan pelbagai tokoh yang dikenali di negara ini. Dalam buku ini ada diungkapkan kisah beliau bersama Almarhum Tunku Abdul Rahman, Tun Dr. Mahathir, Dato' Seri Najib, Almarhum Tuan Guru Nik Aziz dan lain-lain. Kebanyakan peristiwa yang berlaku bersama dengan tokoh-tokoh ini adalah kali pertama hamba dengari dan amat menerujakan untuk membacanya.

Allahyarham Tan Sri Dr Harussani Zakaria telah pergi meninggalkan kita pada 30 Mei 2021 akibat Covid-19. Kehilangan beliau adalah merupakan kehilangan besar kepada ummah. Ia membenarkan maksud kata Nabi bahawa Allah tidak mencabut ilmu itu daripada umat sekali gus daripada dada mereka, tetapi Allah mencabutnya dengan mematikan ulama. Kematian ulama adalah satu bala kepada ummah. Dalam zaman fitnah ini mereka yang tidak pernah atau cetek ilmu ugamanya pun sudah mula berbicara seperti mufti. Inilah perkara yang menakutkan kita. Justeru ambillah ilmu ini daripada yang ahlinya, bukan daripada sesiapa yang kamu temui di tepi jalan!

Sabtu, 2 Oktober 2021

DARAH DI TANDUO - Dhuha Steffa


 

Peristiwa pencerobohan kedaulatan negara oleh sekumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Angkatan Keselamatan Diraja Kesultanan Sulu dan Borneo Utara pada tahun 2013 masih lagi segar di dalam ingatan. Tidak ada siapa yang menduga negara yang begini aman akan didatangi oleh tetamu tidak diundang yang melakukan keganasan bersenjata. Peristiwa yang berlansung dari 11 Februari 2013 sehingga 24 Mac tahun yang sama ini telah menyebabkan kerajaan melancarkan Ops Daulat demi mempertahankan kedaulatan tanah air.

Seramai 235 orang militan yang terlibat dalam pencerobohan ini. Sebilangannya mendakwa telah diperdaya oleh militan yang sebenar yang mengatakan mereka mendapat tawaran pekerjaan di sana. Kumpulan ini dihantar oleh Jamalul Kiram II yang mendakwa sebagai pewaris kerajaan Sulu. Sebenarnya Jamalul Kiram III bukanlah satu-satunya manusia yang mengaku sebagai Sultan Sulu. Terdapat beberapa individu lagi seperti Datuk Mohd Akjan Bin Datu Ali Muhammad,  Fuad Kiram dan Muedzul Lail Tan Kiram.

Isu tuntutan ke atas Sabah oleh Filipina atau Kerajaan Sulu ini adalah isu besar yang menjadi duri dalam daging dalam perhubungan kedua-dua negara. Kesultanan Sulu sendiri sebenarnya sudah tidak wujud semenjak 1915 apabila Sultan Jamalul Kiram II menandatangani Perjanjian Carpenter pada 22 Mac 1915 apabila baginda menyerahkan semua kuasa politik baginda kepada penjajah Amerika Syarikat. Justeru, apa sahaja tuntutan yang berlaku pada hari ini adalah tidak sah dan batal.

Pencerobohan dan keganasan pengganas Sulu ini bukan sahaja mengorbankan nyawa di pihak mereka, bahkan daripada anggota keselamatan kita sendiri. Pengorbanan mereka ini menyedarkan rakyat Malaysia betapa tingginya harga yang perlu dibayar untuk sebuah negara yang aman dan merdeka. Insiden berdarah ini pada akhirnya telah mencetuskan pewujudan  Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) pada 7 Mac 2013 dan  Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) pada 25 Mac 2013.

Darah Di Tanduo adalah kisah pencerobohan kumpulan Jamalul Kiram III dari kaca mata pandangan penduduk kampung terutamanya keluarga Haji Rahman, Ketua Kampung Tanduo. Ketika pencerobohan berlaku anak Haji Rahman Azali yang bertugas sebagai seorang guru sedang membawa pasukan bola sepak sekolahnya untuk bertanding. Manakala seorang lagi anaknya yang bernama Razak bertugas sebagai wartawan. Keberadaan kedua-dua mereka di luar daerah ketika kejadian pencerobohan berlaku menyebabkan timbulnya perasaan bimbang akan keselamatan keluarga.

Orang-orang dari Filipina dari suku Tausug ini telahpun hidup dan berasimilasi dengan masyarakat tempatan sejak sekian lama. Kehadiran mereka tidak mendatangkan rasa syak kepada penduduk tempatan. Tetapi segelintir mereka adalah umpama api di dalam sekam. Ternyata mereka mempunyai agenda yang tersendiri. Perlakuan ini mengingatkan kita kepada orang-orang Jepun yang berada di Tanah Melayu sebelum pendudukan mereka pada tahun 1941. Orang-orang Jepun ketika itu berada di Tanah Melayu dan menjalankan pelbagai pekerjaan untuk melindungi identiti mereka yang sebenar sebagai perisik tentera. Dalam tempoh itu mereka melakukan 'kerja rumah' bagi mengumpulkan maklumat untuk disalurkan kepada atasan mereka. hal yang sama nampaknya terjadi di Tanduo. Watak Pak Tiram mewakili perilaku talam dua muka, pepat di luar, rencong di dalam ini. Beliau yang nampak mesra serta kerap bergaul dengan orang kampung sebelum itu, bertukar ganas dan merendah-rendahkan orang tempatan. Pak Tiram akhirnya berjaya dibunuh penduduk kampung.

Selain daripada keluarga Haji Rahman, penulis turut melakarkan kesusahan yang dihadapi oleh penduduk kampung yang lain dalam usaha mereka untuk melarikan diri daripada kawasan pertempuran. Digambarkan juga beberapa penduduk tempatan yang tidak mahu meninggalkan kawasan kampung dan mahu bersama-sama berjuang untuk mempertahankan tanah tumpah darah mereka.


Nota - Ulasan ini telah tersiar di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 1 Oktober 2021 (Jumaat) di bawah ruangan Resensi Gaya.



NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...