Isnin, 22 Disember 2014

CELAIT BOSI*



Baru-baru ini hamba menghadiri satu persidangan kementerian di sebuah Hotel lima bintang di ibukota. Hotel yang menggunakan nama seorang anak raja Melayu itu amat gah dengan rekabentuk senibina Melayu. Yang kurang gahnya adalah banyak pekerja yang terdirin daripada warga asing yang sama sekali tidak mengerti akan bahasa Melayu. Hamba rasa andainya anak raja itu masih hidup tentunya beliau tidak mahu namanya digunakan untuk hotel ini. Tambah lagi hotel ini ada menghidangkan arak serta hiburan yang melalaikan yang tidak masuk lansung dengan budaya orang Melayu.

Di dalam bilik yang hamba rasa cukup selesa dengan perhiasan dan dekorasi yang menarik, hamba terjumpa celait bosi ini. Ohh ia cukup klasik dan sentimental. Celait ini biasa dijumpai dahulu di kampung-kampung dengan saiz yang lebih besar. Masa di kampung zaman budak-budak dahulu celait bosi inilah yang membantu menerangi kegelapan memandangkan lampu jalan lansung tiada.

Hari ini orang mungkin segan nak pakai celait bosi sebab nampak olskool, lagi pula telefon bimbitpun dah ada lampu sekarang!!



*Celait bosi - Torchlight besi, mengikut dialek NS.

LEGOLAND, LAWATAN SEORANG MARHAEN



Walaupun idea nak ke Legoland telah timbul lama, tetapi hamba tidak buat persedian yang rapi sebenarnya. Hanya beberapa hari lagi nak pergi barulah hamba sibuk nak mencari hotel serta melihat harga tiket. Harga tiket ke sini sememangnya mahal. Buat rakyat seperti hamba harga yang ditawarkan adalah mahal dan di luar kemampuan kalau tidak majoritipun, kebanyakan orang. Mujurlah untuk tujuan tiket ini hamba telah mula mengumpul semenjak beberapa bulan yang lalu. Hanya bab belanja ini sahajalah yang hamba buat persediaan tidak seperti penginapan atau penempahan tiket.





Apabila hamba merujuk kepada blog-blog lain, antara tips yang mereka berikan adalah kita membuat perancangan dengan lebih awal. Antaranya ialah dengan mencari voucher ataupun kupon diskaun yang kadangkala diiklankan di akhbar atau mana-mana promosi barangan. Walaupun pengguna mykad boleh menikmati sedikit potongan, tetapi sekiranya ada kupon sebegini potongannya adalah lebih sedikit. Memandangkan hamba akan masuk bertujuh, maka kelihatannya RM yang akan keluar adalah besar juga, membolehkan hamba tukar telefon baru!!





Hamba cuba juga tanyakan rakan-rakan di fesbuk sekiranya mereka mempunyai kupon sebegitu yang tidak digunakan. Tiada respon yang hamba perolehi selain tanda 'like' yang bagi hamba tidak membantu lansung. Hamba tidak berputus asa. Hamba gunakan sebaiknya web carian di internet sehinggalah hamba bertemu dengan seorang yang mengiklankan kupon tersebut untuk dijual. Kupon yang beliau ada bernilai potongan sebanyak 30% dengan harga RM6 sekeping. Walaupun ada harga yang dikenakan, congakan hamba mendapati hamba masih lagi untung berbanding harga tiket yang sebenar. Lalu hamba hubungi beliau dan beliau berjanji untuk menyimpan untuk hamba sebnayak 6 keping dan hamba boleh mengambilnya di kawasan Legoland pada hari lawatan nanti.





Menggunakan khidmat laman booking.com, hamba tergerak untuk memilih Hotel Ariana @ Iskandar yang memberikan harga RM100 untuk bilik superior twin. Memandangkan laman tersebut menyatakan ruang biliknya agak luas, maka hamba tidak teragak-agak untuk menempah dua bilik tambahan pula sarapan pagi turut diberikan. Tapi sebenarnya hamba agak kecewa juga apabila mendapati akhirnya bilik yang dikatakan luas itu sebenarnya benar-benar sempit. Mujurlah hamba menempah dua bilik pada percutian kali ini berbanding sebuah pada percutian-percutian yang lalu. Kalau tidak siksa juga anak-anak hamba.




Seperti yang dijanjikan, hamba memperolehi kupon yang dijanjikan pada hari lawatan. Pemuda berkenaan merupakan kakitangan sambilan di situ membuatkan hamba menyangka pada mulanya bahawa kupon yang dijual adalah diperolehi daripada tempat beliau bekerja. Rupa-rupanya kupon itu beliau potong terus daripada akhbar. Tak apalah yang pentingnya kupon itu boleh digunakan. Satu yang agak siksa sebelum mula masuk adalah pelawat terpaksa berbaris panjang untuk membeli tiket. Hamba rasa sistem beratur taman tema ini boleh lagi diperbaiki. Hamba pernah melawat Universal Studio di Osaka dan hamba puji cara mereka mengatur kaunter tiket membuatkan hamba ketika itu tidak perlu beratur panjang.





Tidak perlu hamba hurai panjang mengenai permain-permainan yang ada di Legoland. Yang penting hamba menggunakan masa yang ada dengan sewajarnya. Pagi hamba masuk, dah gelap baru hamba keluar. Permainan yang ada bagi hamba biasa sahaja, lebih kurang macam yang ada di Genting Highland sahaja cuma beberapa permainan sahaja yang berbeza sedikit dengan yang di sana. Pesan hamba agar bakal pengunjung membawa baju hujan sendiri atau pakaian ganti memandangkan ada permainan yang oleh menyebabkan seluruh pakaian basah. Baju hujan yang dijual di dalam ini sudahlah nipis, harganya pula memang tidak masuk akal. Walaupun ada mesin pengering pakaian disediakan, pengunjung masih perlu membayar RM10 untuk sekali kegunaan, dan percayalah walaupun jumlah itu besar, ia tidak mampu untuk mengeringkan pakaian anda memandangkan waktu kegunaan yang amat singkat.





Sebelum masuk juga makanlah dengan sekenyangnya memandangkan harga makanan amatlah mahal, macam Yah@#$ meniaga sahaja rupanya. Makanan seperti burger boleh mencecah RM22!! Suka dinyatakan bahawa anda tidak dibenarkan membawa makanan dari luar dan beg anda berkemungkinan diperiksa sebelum masuk. Hamba tidak tahu mengapa perkara seperti makanan ini harus dijual sebegitu mahal. Tidakkah mereka kasihan dengan pengunjung. Sudahlah tiket masuk mahal, makanan juga begitu harganya. Dengan harga sebegitu berbanding yang sama di luar, mereka bukan lagi untuk 100% bahkan berpuluh kali ganda lagi. Kalaupun harga makanan dijual dengan harga yang berpatutan hamba rasa mereka masih boleh untung lagi. Atau adakah kerana target mereka adalah pengunjung luar negara maka pengunjung dalam negara harus dikorbankan?





Tapi begitulah nampaknya jikalau mahu melancong ke mana-mana taman tema pada hari ini, boleh hamba katakan tiada yang murah. Di Johor inipun ada beberapa lagi taman tema yang harga tiketnya tidak juga kalah dengan Legoland. Hamba percaya kebanyakan kita sendiri ke sini lebih kepada menunaikan keinginan anak-anak, selain sebagai pembakar semangat atau juga hadiah kerana berjaya di dalam pelajaran. Namun sampai bilakah kita terpaksa membayar harga yang mahal (Hamba percaya segelintir yang membaca para ini tentu akan berkata - kalau fikir mahal pergi sahajalah berkunjung ke dalam hutan!!). Alangkan hamba yang mampu pergi inipun terasa juga 'letih'nya, bagaimana pula bagi mereka yang tidak mampu, tidakkah mereka juga ada keinginan untuk ke tempat sebegini.




























Ahad, 14 Disember 2014

SUAMIKU HEROKU - Arysa Nasir



Novel ini sebenarnya merupakan hadiah hamba buat anak sulung sempena hari ulangtahun kelahirannya pada September yang lalu. Asalnya pemilihan novel ini hamba buat berdasarkan sinopsis di belakang novel tersebut mengenai perhubungan cinta antara dua insan yang berlainan agama. Walaupun hamba tidak suka dengan novel cinta meleleh, sinopsis berkenaan membuatkan hamba berfikir mungkin penulis dapat melahirkan siri-siri konflik yang hebat bersama penyelesaian yang mantap. Hamba melihat dari sisi dakwah kerana barangkali penulis akan menunjukkan jalan-jalan dakwah yang menarik dan berkesan serta cara mengatasi tentangan hebat mereka yang anti Islam. Novel ini mungkin baik bagi anak hamba!

Namun apabila beliau memaklumkan bahawa beliau masih belum menghabiskan lagi bacaannya dengan alasan bosan membaca novel ini, lalu hamba merasakan perlu mencari kesahihannya. Mungkin benar juga kata-kata anak hamba. Biasanya novel yang tebalnya lebih 700 mukasurat dapat hamba habiskan dalam tempoh 3 hari dengan mengambilkira lain-lain kerja yang perlu dilakukan. Untuk novel ini hamba mengambil masa lebih daripada seminggu untuk menyudahkannya. Seringkali juga hamba terlena saat membacanya. Lebih pelik lagi hamba ada lebih 10 jam masa terluang di dalam bas sewaktu ke Cherating (pergi dan balik), namun hamba gagal menghabiskan bacaan. Bahkan di satu ketika hamba berhenti membaca dan mengambil bahan bacaan yang lain.

Ekspektasi hamba tidak kesampaian nampaknya. Tiada cara-cara dakwah mendekatkan yang bukan muslim kepada Islam, tiada kisah cinta yang mengikut syariat, sama sahaja seperti karya cinta yang lain. Sungguh penat dan lelah rasanya hendak menghabiskan bacaan. Hamba rasakan seolah novel ini sengaja diperpanjang-panjangkan melalui dialog-dialog sedangkan ia boleh sahaja diringkaskan.

Kisahnya mudah, seorang wanita keturunan syed bercita dengan seorang jejaka India sekaligus mengundang bantahan kedua keluarga. Terselit juga beberapa watak lain yang diakhir cerita rupanya mempunyai hubungan keluarga sesama mereka. Terasakan seperti cerita Hindustan di zaman 70an dan 80an yang banyak kisah adik-beradik terpisah sewaktu kecil dan akhirnya bertemu apabila dewasa setelah melalui beberapa peristiwa.

Gaya penulisan moden masa kini mungkin sudah tidak menggunakan lagi asas-asas dalam sastera. Hamba cukup menyampah dengan penggunaan bahasa Inggeris yang cukup melata melalui hampir kesemua wataknya. Walaupun dalam kehidupan harian realiti ini mungkin berlaku tetapi apabila mahu menghasilkan karya sastera yang bermutu, perkara sebegini harus di ambil berat. Kerana itu kadangkala hamba merasakan seolah membaca diari seseorang sahaja.

Penulis sewajarnya mempunyai pengetahuan yang baik tentang Islam agarkaryanya tidak dipandang lekeh. Satu contoh mudah pada muka surat 31, "...........Sesungguhnya hidupku dan matiku hanya untuk ALLAH. Bukankah itu yang sering dibaca oleh orang Islam, wajib dalam solat?" Orang faham bacaan dalam solat tentunya tahu bahawa penulis cuba memetik terjemahan doa Iftitah. Bila masa pula doa Iftitah menjadi bacaan wajib dalam solat? Rukun solat yang ke berapa? Batalkah solat jika tidak melakukannya kerana dikatakan wajib? Ada beberapa perkara lagi yang hamba temui, tetapi cukup lah ini yang hamba bancuh.


MEMOIR SEORANG GURU - Azizi Abdullah



Sewaktu memilih novel ini hamba menjangkakan ia merupakan memoir Allahyarham Azizi sendiri. Rupanya ia adalah sebuah kisah fiksyen berkenaan seorang guru pencen. Namun hamba merasakan apa yang terkandung di dalam novel ini tidak dapat tidak turut menceritakan tentang diri penulis sendiri yang pernah berkhidmat sebagai seorang guru.

Novel ini berkisar mengenai watak 'Aku' seorang guru/ustaz pencen yang menentang keras hasrat anaknya, Kamariah untuk menjadi seorang guru. Penentangan itu tentunya membingungkan Kamariah memandangkan bapanya sendiri adalah bekas guru. 'Aku' sedaya upaya mahu Kamariah mencari kerja yang lain selain daripada guru kerana merasakan sepanjang usianya menjadi guru tiada keberkatan di dalam kerjayanya bahkan 'Aku' merasakan beliau gagal untuk menjadi seorang murabbi.

'Aku' mempunyai alasan tersendiri terhadap penolakan tersebut. Ia berasaskan kepada beberapa pengalaman beliau semasa menjadi guru. Kesemua cerita ini disampaikan dalam bentuk monolog. Bahkan hamba merasakan 70% penceritaan di dalam novel ini adalah dalam bentuk monolong seorang 'Aku'. Walau bagaimanapun penceritaan sebegini sekali-kali tidak mencacatkan perjalanan cerita atau menyebabkan pembaca merasa jemu. Dapat hamba simpulkan bahawa segala kisah yang diceritakan melalui monolong itu berkisarkan rasa 'benci' seorang guru kepada murid-muridnya. Bukanlah perasaan benci itu dalam erti kata yang sebenarnya, dapat hamba rasakan perasaan itu timbul kerana kasih sayang guru itu sendiri kepada anak muridnya.

Ditimpa kemalangan ketika berkereta ke Johor kerana mahu bertemu Kamariah yang 'melarikan' diri ke rumah pakciknya, 'Aku' dirawat oleh beberapa orang yang pernah menjadi muridnya, secara kebetulan juga adalah mereka yang diceritakan di dalam monolognya. Pengalaman dirawat itu akhirnya mengubah rasa protes terhadap pilihan Kamariah dan 'Aku' merasakan beliau telah menghampiri tahap murabbi. Hati 'Aku' cukup tersentuh melihat layanan yang diberikan oleh murid-murid yang pernah menjadi kebenciannya dahulu. 

Melalui novel ini secara tidak lansung penulis turut mengkritik beberapa perkara seperti kekurangan latihan perguruan yang diperolehi oleh 'Aku' yang hanya menjalani beberapa kursus sahaja. Beliau turut mengkritik cara masyarakat kampung di pedalaman yang menyelesaikan masalah mereka dengan tidak berfikir panjang seperti kisah monolog pertamanya berkenaan seorang bapa yang membunuh anaknya dengan senapang kerana tidak tahan melihat anaknya tersiksa apabila duburnya tertusuk batang pinang yang patah.  Hamba tidak pasti apakah kisah ini satu kisah yang benar hasil pengalaman penulis sendiri. Andainya ia benar maka hamba anggap ia satu kisah yang memilukan.

Bukan kisah ini sahaja bahkan hamba merasakan semua kisah 'Aku' dengan anak murid yang di'bencinya itu adalah amat memilukan juga. Ia diceritakan dengan baik sekali dengan setiap kisah mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Hamba merasakan semua para guru patut membaca novel ini untuk dijadikan iktibar terutamanya semasa menjalankan tugas. Apa yang dihadapi oleh 'Aku' adalah sesuatu yang mencabar memandnagkan latar tempat beliau bertugas tidaklah seselesa mereka yang bertugas di kawasan bandar.

Membaca tulisan seorang sasterawan tulen tidak sama seperti membaca tulisan penulis novel yang lain walaupun buku mereka termasuk dalam kategori popular. Tulisan Allahyarham Azizi mungkin tidak begitu dikenali di kalangan generasi muda hari ini, tetapi percayalah gaya penulisan beliau berpuluh kali ganda lebih baik berbanding penulis novel-novel cinta meleleh yang berlambak di pasaran. Andai pembaca tidak pernah membaca apa-apa tulisan Azizi, maka hamba sarankan agar pergi mencarinya, sementelahan tiada lagi karya beliau yang boleh kita nikmati memandnagkan beliau telah tiada lagi di dunia ini.

Al-Fatihah buat beliau.


Isnin, 8 Disember 2014

BIG BAD WOLF 2014 - SERIGALA ITU MEMANG JAHAT!!




Sebenarnya hamba dah bertekad untuk tidak ke pameran serigala busuk, eh jahat ini pada tahun ini. Ini memandangkan tahun ini telah begitu banyak buku yang hamba beli. Bahkan buku yang dibeli 2 tahun dulu di pameran ini juga masih ada yang masih cantik berbalut. Namun itu adalah perkara yang paling sukar untuk dilakukan bagi seorang ulat buku. Tambahan pula gambar-gambar promosi di laman fesbuk mereka seolah racun berbisa yang memerlukan hamba ke sana untuk mendapatkan penawarnya. Akhirnya hamba 'tewas' juga..


Kebetulan pada hari pertama pameran hamba mempunyai tugasan luar kawasan, jadi kesempatan itu hamba gunakan untuk singgah sebentar di Mines. Hamba bawa bersama seorang sahabat hamba yang sememangnya tidak pernah tahu akan pameran tersebut. Dalam kepala hamba sudah terbayang-bayang beberapa buku seperti yang ada di iklan fesbuk Big Bad Wolf.



Semasa kali pertama hadir ke pameran ini 3 tahun yang lalu (pameran tahun pertama BBW dahulu, hati hamba membuak-buak untuk hadir, malangnya ketika itu hamba berkampung di wad hospital selama 20 hari), hamba merasa hairan melihat ramai orang yang menarik beg pakaian yang besar-besar. Pada mulanya hamba menyangkakan bahawa beg berkenaan dibeli di pameran itu juga. Rupa-rupanya mereka yang membawa beg ini adalah pemborong tegar buku-buku di situ. Tahun yang berikutnya hamba hadir dengan membawa troli yang biasa dipakai oleh ibu-ibu ke pasar malam, begitu juga dengan tahun ini. Cukuplah dengan saiznya yang sederhana agar pembelian juga dapat dibuat secara sederhana. Makin besar bekasnya nanti, semakin besar nafsu hendak membeli. Walaupun membeli bahan bacaan dilihat satu perkara yang sihat, ia akan jadi sebaliknya jikalau apa yang telah dibeli tinggal terbiar tanpa dibaca.

Cubo ekau buntangkan mato dan tengok hargo dio berapo.....

Masuk sahaja di depan kawasan pameran, tangan telah mula mencapai sebuah buku berkenaan Steve Jobs. Harganya RM10 sahaja berbanding harga asal melebihi RM90. Rakan hamba mula nampak teruja. Kami berpisah untuk lebih bebas memilih sendiri. Buku yang ada dalam kepala hamba - Total Recall - Arnold Scwarnegger, kompilasi sketch oleh pelukis Alex Ross, set Hunger Games dan set Hobbit, Lord Of The Rings dapat hamba beli. Itupun dua set yang disebutkan tadi hamba 'jumpai' secara kebetulan, berada di tempat yang bukan dari genrenya, mungkin ditinggalkan oleh mereka yang tidak jadi membelinya. Ini kerana setelah beberapa kali hamba mengitari kawasan pameran, hamba tidak ketemu dengan buku berkenaan di tempat lain. Mungkin juga hamba tidak berjumpa atau mungkin juga stoknya belum ditambah yang baru. Buku Total Recall hamba memang rasa nak beli semasa mula-mula di pasaran awal tahun dahulu. Ketika itu harganya dalam RM85. Tapi hati hamba pujuk agar bersabar, mungkin boleh dapat dengan harga lebih murah di pesta buku nanti. Jadi apabila pameran ini menjualnya dengan harga RM3 sahaja, hamba rasa rugi amatlah hamba jikalau tidak memilikinya kerana hamba rasa di kedai buku tempatan harganya masih sama.


Pameran ini sebenarnya banyak menawarkan buku-buku berbahasa Inggeris. Buku-buku Melayu mula dijual pada tahun lepas dan tahun ini kuantitinya lebih banyak. Cuma berbeza dengan buku Inggeris yang tahun penerbitannya banyak yang baru, buku-buku Melayu pula dalam lingkungan 3 tahun ke atas, dan berada dalam kategori buku yang tidak laku di pasaran. Namun harganya masih murah, rata-ratanya dalam lingkungan RM5.

Seperti biasa hamba cukup suka bila berada di bahagian komik. Cuma tahun ini tidak banyak komik yang hamba beli berbanding tahun-tahun yang lalu. Komik yang dijual adalah set komik yang telah dijilid dengan kulit tebal, bukannya komik-komik nipis. Komik ini harga asalnya boleh mencecah ratusan RM, tetapi di sini dijual dalam lingkungan RM15-RM30 sahaja. Cuma selama hamba melawat pameran ini sejak beberapa tahun yang lalu, tidak pernah hamba berjumpa komik Superman. sama ada ia cepat habis ataupun memang tidak dijual. Kerana itu hamba membeli buku hasil tangan Alex Ross seperti yang disebutkan tadi memandangkan beliau antara pelukis terbaik komik Superman.





Mengitari kawasan pameran, masa lebih dua jam dirasakan amat pantas berlalu. Kalau diikutkan nafsu, rasa macam tak cukup buku yang dibeli. Apa tidaknya masih banyak lagi buku menarik dengan harga yang di luar jangkaan. Memikirkan hendak mula keluar dari dewan pameran, hamba cuba menghubungi sahabat yang turut sama tadi namun gagal. Menyangkakan beliau masih berada di dalam, maka hamba cuba mencarinya. Bergeraklah hamba ke depan dan ke belakang beberapa kali. Agak pilu dan sebak rasa hati apabila dalam aktiviti mencari ini tangan turut 'tercapai' beberapa buku lagi. Melayang lagi RM hamba....




Rupanya sahabat hamba itu telahpun keluar. Beliau juga memborong sampai penuh 3 beg plastik. Apabila hamba bertanya adakah persepsi beliau sama sewaktu hamba mula mengajak ke pameran itu, beliau mengatakan beliau sendiri seperti tidak percaya dengan apa yang telah dialami. Beliau mulanya ingatkan pameran ini biasa sahaja seperti pameran buku yang lain. Ya memang benar, biasanya kalau iklan pameran lain walaupun mengatakan mereka memberikan potongan sehingga 70%, namun ia hanya terhad kepada beberapa buku sahaja. Pameran ini boleh memberikan sehingga 95% dan terlalu banyak buku yang diberikan potongan dengan harga sebegini. Kerana itulah walaupun telah menetapkan had berbelanja setakat RM200 sahaja sebelum masuk, tapi terbabas juga akhirnya. Memang jahat sungguh serigala ini, habis dikikisnya poket hamba. Oleh yang demikian hamba nasihatkan JANGANlah ke pameran ini sekali-kali andai jiwa kita rapuh!!

Tahun depan bagaimana.......entahlah....
















PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...