Saturday, May 25, 2013

BIKERS KENTAL



Pelakon - Ouled Kenitra
Skrip - Ouled Kenitra
Penerbit - Ouled Kenitra
Wardrobe - Ouled Kenitra
Bancuh Air - Ouled Kenitra
Jual Apam - Ouled Kenitra
Basuh Pinggan - Ouled Kenitra
Order Nasi Lemak - Ouled Kenitra
Tangkap Ayam - Ouled Kenitra
Pungut Kayu Api - Ouled Kenitra
Petik Rambutan - Ouled Kenitra

Pendek kata semua buat sendiri aka masuk bakul angkat sendiri naik moto bawak sendiri.


Sinopsis

Mengisahkan seorang pemuda yang ingin ke Thailand untuk membeli sehelai jeans Siam. Hasratnya untuk berkonvoi musnah berkecai tebabooo apabila motonya dirembat kutu dadah. Berbekalkan kepandaian mekanikal Sekolah Vokasional Harvard tingkatan tiga dia cuba mereka satu jentera berkuasa tinggi menggunakan beskal roda tiga dari tong sampah besar belakang kedai Kak Demi Moore. Berjayakah dia dengan wang simpanan empat ringgit dua posen. Saksikan di pawagam berhampiran rumah ketua darjah tiga anggur.


Ulasan penonton

1.     Saya terpaksa merembat 9 posen duit sekolah adik selain ambil upah tiup tayar beskal semata-mata bagi membeli tiket menonton filem ini. Saya ingatkan ada banyak adegan letup-letup rupanya cuma ada 39 kali tayar moto meletup kena paku dan budak pam minyak kena letup kepala oleh tokeh pam. Saya sedih sebab balik kena menapak kerana bas dah tamat perkhidmatan. Lebih sedih apabila kena tali pinggang ayah di belakang.

2.     Saya tidak pernah menyaksikan filem sesedih ini. Sekotak tisu yang saya bawa habis kerana mengelap air mata dan hingus cair kerana kepedasan membaham burger Korea Kefsi. Saya nak menonton lagi lepas dapat duit jual getah nanti.

3.     Sebagai biker gua memang kena nonton filem nih. Semangat diorang berkonvoi memang gua kagum. Takat ni gua hanya konvoi kenduri kawen anak Mak Esah dan konvoi ke balai polis kerana merempit dalam longkang. Gua ingat nak tambah lagi tiga roda kat depan moto gua bagi balancing lebih mantap.

ULASAN BUKU : MATA TAK BERHIJAB - Zulkifli Ahmad Idrus


Sekiranya anda mempunyai kebolehan untuk melihat ke alam lain yaani berkemampuan melihat makhluk-makhluk halus, adakah anda akan menganggapnya sebagai satu anugerah atau satu sumpah. Saya pernah mendengar satu siaran agama melalui radio, seorang ustaz yang bertanya soalan yang sama pada seorang tuan guru dimaklumkan oleh tuan guru tersebut bahawa perkara seperti itu adalah satu bala! Bagi tuan guru berkenaan ia bukanlah satu 'anugerah' kerana hati pastinya tidak akan tenteram kerana mata sentiasa boleh melihat rupa paras makhluk yang biasanya menakutkan. Kehidupan akan terganggu dan terjejas apabila sentiasa sahaja makhluk berkenaan jelas berada berhampiran.

Buku ini ditulis oleh seorang yang memiliki kebolehan sedemikian. Satu kebolehan yang bukan diminta oleh beliau sendiri yang telah disedari semenjak beliau kecil lagi. Walau bagaimanapun kebolehan beliau hanya setakat boleh melihat makhluk di alam lain sahaja tidak sampai kepada boleh berinteraksi atau menyentuh mereka. Melalui buku ini beliau cuba berkongsi beberapa pengalaman beliau bertemu dengan makhluk halus. Kebolehan beliau sebagai seorang penulis yang pernah berkhidmat di BERNAMA menjadikan penulisan buku ini menarik untuk dibaca.

Hamba dapat melihat kepayahan yang beliau tanggung akibat daripada 'kebolehan' ini. Walaupun setakat ini makhluk yang dilihat belum pernah membahayakan beliau, kehadiran mereka jelas mengganggu hidup penulis. Penulis juga kadangkala diselubungi ketakutan apabila melihat makhluk yang begitu mengerikan. Terdapat juga peristiwa di mana makhluk halus ini muncul dalam keadaaan yang baik dan mendatangkan kepercayaan kepada penulis. Makhluk yang muncul dalam keadaan seorang lelaki ini telah membantu penulis dan rakan-rakannya berjalan di dalam hutan sewaktu bertanding mencari arah.

Cerita bertemu makhluk di alam ghaib sebegini mungkin sesuatu yang susah diterima akal bagi sesetengah orang. Namun penulis sendiri tidak memaksa pembaca untuk mempercayai pengalamannya. Bagi hamba pula tiada sesuatu yang mustahil dalam hal ini dan kita tahu bukan kita sahaja yang hidup di alam ini!


Untuk ulasan Mata Tak Berhijab Siri 2, sila klik sini.

Sunday, May 19, 2013

ULASAN BUKU : GERGASI - Khairul Nizam Khairani



Hamba tidak perlu berfikir dua kali sebelum memutuskan untuk membeli novel penulis ini yang pernah memikat hamba lewat dua karyanya iaitu Anarkis dan Kudeta Intro (Kudeta Intro mempunyai sambungannya iaitu Kudeta Klimaks tetapi hamba masih gagal menemui novel tersebut).

Walaupun tajuknya seumpama mempersembahkan hikayat zaman dahulukala, namun gergasi adalah merujuk kepada satu sut perisai tempur ciptaan zaman akan datang. Namun kerana sesuatu sebab si pemakainya dari zaman itu tercampak ke relung masa hingga membawanya ke era serangan Portugis di Melaka. Kemunculan makhluk 'gergasi' yang membantu para hulubalang Melaka melawan Portugis menyebabkan munculnya nama Batara Waja yang akhirnya menjadi nama legenda sehingga ke zaman ini. Batara Waja sekali lagi tercampak ke relung masa sewaktu pertempuran dengan Portugis sehingga membawanya ke masa kini.

Tak perlu hamba menulis panjang tentang apa yang berlaku di masa kini kerana masa kini adalah penumpuan penceritaan novel ini. Nanti kalau hamba bercerita hilang pula mood mereka yang hendak membelinya.

Ini adalah percubaan pertama (rasanya, sebab hamba belum jumpa lagi novel beliau yang lain) penulis menulis mengenai kisah sebegini kerana novel beliau yang hamba baca sebelumnya adalah lebih kepada kisah perjuangan dan pertempuran melibatkan hero yang merupakan bekas tentera yang amat mahir dalam persenjataan dan seni pertempuran. (Hamba rasa Gergasi belum boleh 'celen' dua novel beliau yang hamba telah baca). Walaupun begitu novel ini tetap menarik untuk dibaca kerana memaparkan penceritaan yang lancar tanpa belit di sana sini dan tidak memaksa pembaca untuk banyak berfikir.

Hamba melihat potensi Khairul Nizam Khairani untuk menjadi penulis hebat seperti Ramlee Awang Mursyid amatlah besar. Tidak mustahil satu hari nanti beliau akan muncul dengan satu karya agung yang menjadi sebutan serta rujukan sepanjang zaman.

ULASAN BUKU : DI DEPAN API DI BELAKANG DURI - Zainuddin Maidin



Agak banyak hamba membuat ulasan buku di blog ini pada bulan ini. Hamba sebenarnya berkesempatan membaca apabila mendapat cuti tanpa rekod kerana isteri melahirkan anak sehari sebelum PRU13 awal bulan ini. Kesempatan bercuti ini membolehkan hamba mengkhatamkan beberapa buah buku. Kerana itulah bulan ini agak banyak ulasan yang hamba tulis kerana kesempatan membaca itu.

Buku ini adalah sasaran utama hamba sewaktu PBAKL 2013 tempohari. Tiada buku lain yang berada dalam sasaran selain daripada buku ini. Bermakna setelah memperolehi buku ini barulah lega rasa di hati dan sempurnalah misi pada hari tersebut. Hamba tidak ingat secara tepat bilakah hamba mula meminati tulisan Tan Sri Zainuddin Maidin aka Zam ini. Namun hamba amat meminati tulisan beliau melalui buku Wira Tak Didendang, Mahathir Di Sebalik Tabir dan siri tulisan Hari Itu Sudah Berlalu yang akhirnya diterbitkan dalam bentuk buku.

Walaupun Zam pendidikan awalnya tidaklah begitu tinggi namun tulisan beliau bagi hamba berada pada kelasnya yang tersendiri, lebih baik daripada sebilangan yang berpendidikan tinggi lagi. Meniti daripada bawah sebagai seorang stringer hingga kepada Ketua Pengarang Utusan Malaysia membuktikan pengiktirafan kepada beliau dalam bidang kewartawanan. Zam bagaimanapun akhirnya 'disingkirkan' daripada jawatan tersebut.

Sebagai seorang yang berpengalaman di dalam Utusan, beliau diberi kepercayaan untuk mengarang buku ini yang menceritakan sejarah penubuhan Utusan semenjak di Singapura sehinggalah ke hari ini. Sememangnya bab-bab yang menceritakan tentang Utusan Melayu khususnya sebelum Merdeka amat menarik minat hamba. Bukanlah sesuatu yang mudah untuk mengasaskan akhbar ini. Akhbar ini diwujudkan seratus peratus oleh orang Melayu, daripada pemodalnya, pemegang saham, pengarang sehinggalah kesemua tenaga kerjanya. Tidak wujud akhbar kepunyaan orang Melayu sebelum itu. Kalau adapun akhbar berbahasa Melayu yang dipunyai oleh orang Arab (Ketika itu keturunan Arab masih belum dianggap sebagai Melayu dari segi perlembagaan).

Kebanyakan tokoh yang bermula daripada kelahiran Utusan Melayu ini tidak menerima bayaran yang tinggi namun mempunyai semangat kerja serta perjuangan yang begitu hebat sekali. Bahkan kebanyakan mereka itu akhirnya menjadi tokoh-tokoh yang begitu berjaya sama ada dalam bidang politik, kewartawanan dan juga penulisan. Sebagai contoh pengasas Utusan Yusof Ishak akhirnya menjadi Presiden Republik Singapura yang pertama setelah pemisahannya dari Malaysia.

Selain itu buku ini turut banyak membicarakan mengenai A. Samad Ismail yang mula berkhidmat dalam Utusan dalam usia yang amat muda. Walaupun begitu tokoh ini mempunyai pengaruh yang besar dalam Utusan dengan tulisan yang amat mengesankan. Beliau merupakan salah seorang pengasas Parti Tindakan Rakyat (PETIR) di Singapura ataupun People Action Party (PAP) yang memerintah Singapura sehingga ke hari ini. Beliau digolongkan dalam Nasionalis berhaluan kiri serta pernah dianggap 'The Brilliant Communist' oleh British kerana kebijaksanaannya.

Kelahiran Utusan adalah di atas kesedaran bangsa Melayu terhadap masa depan mereka. Ia pada awalnya berjuang tanpa cenderung memihak kepada sesiapa (walaupun banyak unsur kiri dalam sidang pengarangnya) hinggalah terjadinya peristiwa mogok Utusan pada tahun 1961 kerana membantah campur tangan politik. Mogok tersebut berakhir setelah 93 hari yang menyaksikan ia akhirnya menjadi milik UMNO.

Sejarah jatuh bangun Utusan sebagai akhbar orang Melayu amat baik untuk dibaca serta diambil pengajaran. Hamba sehingga kini masih lagi terkesan dengan kegigihan tokok-tokoh awal Utusan yang begitu rajin serta bekerja dengan ikhlas. Masih teringat hamba akan cerita Tan Sri Mazlan Nordin yang tidur di pejabat beralaskan kertas surat khabar dan menjadikan kertas surat khabar juga sebagai tuala mandinya. Generasi awal inilah yang membuatkan Utusan tidak mati dalam usia muda. Ia menyedarkan hamba bahawa bukan semua Melayu itu malas dan tidak berkualiti. Ia ada dan begitu ramai di luar sana. Namun mereka ini begitu low profile dan bergerak di belakang tabir sahaja.

Sunday, May 12, 2013

ULASAN BUKU : LAWAK KAMPUS : FRIENDS EDITION


Jangan baca kalau anda bukan peminat komik atau kartun. Kalau anda mengatakan komik dan kartun hanya sesuai untuk kanak-kanak, bagi hamba pandangan itu salah dan merupakan satu pandangan zaman tok kaduk. Industri komik sedang berkembang pesat dan menjana perolehan yang besar. Peminatnya hari ini lebih ramai golongan dewasa berbanding kanak-kanak. Dari komik ia berkembang kepada siri animasi, wayang gambar, permainan terutamanya figura-figura adiwira. Kerana itu juga filem-filem adiwira seperti Iron Man, Superman, X-Men, Spiderman dan lain-lain lagi mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Walaupun perkembangan komik dan animasi di negara ini tidaklah sebesar negara barat namun ia adalah lebih besar berbanding 30 tahun dahulu sewaktu era Gila-Gila dan Gelihati.

Komik ini dijual secara bundle sewaktu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 yang lalu bersama komik Encore Lawak Kampus, Limited AR Card dan t'shirt Lawak Kampus edisi terhad. Ia merupakan keluaran istimewa sempena 10 tahun kewujudan siri Lawak Kampus di majalah Gempak. Melalui komik khas ini para pelukis lain termasuk dari luar negara, juga para peminat tegarnya, diberikan peluang untuk melukis komik empat petak sendiri dengan menggunakan watak-watak daripada siri Lawak Kampus. Manakala Encore Lawak Kampus pula lebih kepada ilustrasi-ilustrasi menarik watak-watak komik ini oleh pelbagai pelukis serta pelukis asalnya sendiri - Keith.

Memandangkan umurnya pun dah menjangkau 10 tahun hamba berharap agar aspek-aspek bahasa akan diperbaiki. Bukanlah bahasa pasar yang menjadi masalah hamba, tapi seperti orang tak reti berbahasa dengan bahasa Melayu yang kadangkala nampak berterabur dan tidak kena penggunaannya. Bagi hamba pelukis bukan berbangsa Melayu bukan isunya. Selagi kau mengaku kau itu rakyat Malaysia, maka bahasa itu harus kau junjung tinggi. Hamba dan peminat lain telah memberikan keuntungan kepada pelukis dan majalahnya, maka pelukis juga mesti tahu tanggungjawab nasionalnya.

Saturday, May 11, 2013

PI LAH BEKERJA YB OIII, CUKUP-CUKUPLAH BERCERAMAH TU....

Boleh terikat kat satu tiang, bila lagi boleh terikat di meja perundingan...


PRU13 dah seminggu berlalu. Tetapi kehangatannya bagaikan belum berakhir, sama sebelum berlansungnya pilihanraya tersebut. Seperti PRU-PRU yang lalu, dialog dan sketsa yang sama dan hampir sama berulang. Tidak adil, menipu, pengundi hantu, peti undi tambahan dan dengan tajuk tambahan - dakwat kekal yang tak kekal, blackout dan pengundi bangla, nepal dan myanmar.

Kamonlah wahai orang-orang yang bertanding, hamba lepas pilihanraya ni nak melihat orang yang terpilih itu menjalankan kerja mereka berbakti terhadap pengundi yang telah membuat pilihan. Bukannya buat benda yang ntahapahapantah. Bila masa nak berbakti kalau baru abih pilihanraya je dah buat roadshow baru. Hamba tak mahu la peristiwa hitam negara berpuluh tahun lalu berulang lagi. Kalau dulu ia berlaku akibat kegembiraan melampau meraikan kemenangan. Janganlah sekarang ia kerana kekecewaan melampau meratapi kekalahan. Sebenarnya tiada yang menang mahupun kalah. Yang menang kerana rakyat percaya kamu boleh bekerja untuk mereka. Yang kalah bukan bermakna kalah, cuma rakyat belum yakin dengan kebolehan anda memimpin.

Pergilah balik kawasan buat kerja. Usahlah diarak budak-budak muda untuk kepentingan diri sendiri. Budak-budak muda yang riang bersorak itupun bukan semua yang daftar mengundi. Hamba akan kagum dengan anda yang kuat bekerja. Setakat kuat ceramah dan kerja serah kat pembantu bagi hamba anda boleh jalan dah.

Kalau ada yang marah dengan tulisan ikhlas hamba ni hamba tak boleh buat apa. Cuma hamba pelik kalau yang marah itu mereka yang memperjuangkan kebebasan bersuara. Kurang-kurangnya hamba tak mencarut......

Friday, May 10, 2013

ULASAN BUKU : MAT KILAU PAHLAWAN PAHANG - Arkib Negara Malaysia



Melihat buku ini di gerai Arkib Negara Malaysia pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang lalu, hati hamba berbisik bahawa hamba mesti memperolehinya. Namun buku ini diberikan percuma kepada hamba sebagai hadiah kerana telahpun membeli buku bertajuk Batu Puteh Dokumen Terpilih dari gerai yang sama.

Buku ini mencatatkan serba ringkas mengenai pahlawan Melayu Mat Kilau, seorang pejuang bersama bapanya serta beberapa pahlawan yang lain di dalam penentangan terhadap penjajahan British di Pahang. Kekentalan serta semangat juangnya membuatkan British tidak senang dan berazam untuk menangkapnya. 1000 dollar ditawarkan jikalau pejuang-pejuang ini dapat ditangkap hidup-hidup atau 500 dollar jikalau dibawa kepalanya.

Pada November 1895, pihak Siam melaporkan mereka telah berjaya menangkap Dato' Bahaman, Awang Nong, Yusoh, Teh Ibrahim, Haji Mat wahit dan Mat Lela dalam satu majlis jamuan yang dijadikan perangkap. Mat Kilau dilaporkan meninggal dunia dalam kejadian tersebut manakala beberapa yang lain cedera. Siam kemudian membawa saki baki pengikut ini dan menempatkan mereka dalam perlindungan di Chiengmai. Susulan itu, satu penyiasatan dijalankan oleh wakil British bagi membuktikan kebenaran laporan yang diterima. Kenyataan diterima dari beberapa orang saksi termasuk Teh Ibrahim bahawa Mat Kilau telah meninggal dunia dalam kejadian tersebut.
Justeru kemunculan seorang lelaki yang mengaku bahwa dirinya adalah Mat Kilau Pahlawan Melayu Pahang pada 27 Disember 1969 telah menggemparkan negara. Satu Jawatankuasa Menyiasat Munculnya Mat Kilau telah ditubuhkan bagi melakukan penyisatan terperinci terhadap dakwaan tersebut. Berdasarkan penyiasatan tersebut, jawatankuasa akhirnya membuat kesimpulan bahawa beliau adalah Mat Kilau yang sebenarnya. Pengisytiharan Mat Siam sebagai Mat Kilau dibuat oleh YAB Menteri Besar Pahang, Tan Sri Hj. Yahaya bin Mohd. Seth pada 6 Ogos 1970.

Buku ini turut memuatkan beberapa gambar, keratan akhbar serta dokumen rujukan yang bagi hamba adalah rare dan sukar dijumpai di mana-mana. Buku ini juga turut menyenaraikan sumber bahan-bahan rujukan mengenai Mat Kilau serta kebangkitan penentangan terhadap British di Pahang. Ini bermakna pihak Arkib Negara telah menyediakan satu peluang atau kemudahan kepada para pengkaji. Segalanya telah tersedia cuma menunggu untuk dilihat, dicari dan diolah dalam bentuk penulisan dan akhirnya menjadi sebuah buku. Pihak yang berminat menghasilkan buku ilmiah ataupun novel sejarah amat wajar untuk menggunakan peluang ini. Janganlah jadi seperti segelintir penulis sejarah yang menjadikan internet sebagai bahan rujukan utama mereka. Any taker?







KERETA KECIK TAYAR PANAS & KOTAK MANCIS


Seorang sahabat hamba sejak zaman sekolah sering memuat naik gambar kereta-kereta kecil die-castnya di laman fesbuk. Pernah hamba memberikan pandangan terhadap salah satu gambar yang diambilnya itu. Selepas itu hamba lihat persembahan gambar beliau semakin menarik dan tidak lagi kaku.

Hamba juga mempunyai hobi yang sama, cuma sejak akhir-akhir ini hamba sudah mula mengurangkan pembelian kereta kecil memandangkan tiadanya tempat simpanan. Hamba lebih memilih untuk membeli dan lebih menumpukan kepada kereta kecil yang ada nilai kisah seperti kereta Batman (Batmobile) dan kereta dalam filem Back To The Future, juga kereta-kereta antik zaman 60an dan 70an serta kereta-kereta polis peronda.

Paling hamba sayang adalah koleksi lengkap kereta dari filem James Bond lengkap dengan tempat penyimpanan berbentuk briefcase yang dikeluarkan Shell beberapa tahun yang lalu. Mungkin satu hari nanti bila hamba dah bosan dengan koleksi istimewa ini hamba akan menjualnya kepada collector yang lain. Cuma harus difahami koleksi yang istimewa janganlah harap kita akan menjualnya seperti harga asal pula.



 









Wednesday, May 8, 2013

ULASAN BUKU : WONG FEI HUNG LEGENDA KUNG FU CHINA - Shafie Abd. Rahman



Sebelum ini telah pernah hamba baca di internet bahawa guru kung fu ini adalah seorang Muslim. Namun hamba sendiri tidak tahu sama ada fakta yang dibawakan tersebut benar ataupun tidak. Nama Wong Fei Hung sebenarnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Telah banyak filem yang dibuat tentang kisah beliau. Dan ia semakin popular apabila Jet Li membawakan wataknya dalam siri-siri file Once Upon A Time in China. Bahkan Jackie Chan juga pernah membawakan watak tersebut dalam Drunken Master II.

Justeru apabila hamba terjumpa buku ini hamba menjangkakan telah ada fakta baru dan lebih kukuh menyatakan bahawa beliau adalah seorang Muslim. Tambahan pula di atas novel ini ada dicatatkan Novel sejarah Jejak Mujahid. Namun hamba sebenarnya tersilap kerana penulis juga tidak ada fakta yang kukuh. Beliau mengarang novel ini berdasarkan fakta sedia ada dan menggambarkan Wong Fei Hung sebagai seorang Muslim. Bahkan rujukan penulis juga lebih banyak diambil di internet berbanding dengan buku-buku ilmiah.

Walau apapun adalah lebih baik mana-mana pihak melakukan satu kajian yang mendalam untuk menentukan kesahihan dakwaan tersebut. Ini untuk mengelakkan kita syok sendiri serta ditohmah orang.

ULASAN BUKU : BATU PUTEH DOKUMEN TERPILIH - Arkib Negara Malaysia


Salah satu gerai pameran yang hamba suka kunjungi di Pesta Buku Kuala Lumpur adalah gerai Arkib Negara Malaysia. Ini kerana mereka mempunyai beberapa penerbitan bermutu mengenai sejarah negara. Cuma hamba agak terkilan kerana gerai Arkib Negara ini dan beberapa gerai milik agensi kerajaan yang lain ditempatkan di satu ceruk yang kecil dan tersembunyi. Kawasan tersebut cukup lengang ketika hamba berkunjung berbanding lain-lain zon kawasan pameran. Apakah kerana mereka merupakan agensi yang tidak memberikan keuntungan kepada penganjur maka tempat yang diberikan kepada mereka begitu sempit dan terpencil? Hamba tidak tahu. Hamba yang berada di gerai berkenaan pada waktu hampir tengahari agak terkejut apabila dimaklumkan bahawa hamba merupakan pelanggan mereka yang pertama membeli pada hari itu. Terfikir di batu jemala hamba, para penerbit lain telahpun menjana keuntungan sejak awal pagi, namun gerai ini umpama hidup segan mati tak mahu.

Hamba tertarik kepada satu terbitan terbaru Arkib Negara iaitu Batu Puteh Dokumen Terpilih. Ia memuatkan ringkasan sejarah tuntutan Malaysia dan Singapura ke atas Batu Putih sehingga ia di bawa dan diputuskan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Semua orang tahu bahawa apa yang berlaku amatlah memeritkan kerana Malaysia kalah dalam tuntutan tersebut. Buku ini juga turut memuatkan beberapa dokumen yang digunakan semasa prosedur tuntutan tersebut berjalan.

Jika diteliti, sebenarnya dokumen yang disediakan oleh Malaysia amatlah kuat serta menjadi bukti akan kedaulatan Malaysia ke atas batuan tersebut. Namun begitu sekeping surat yang disimpan Singapura menjadi pemusnah. Ia merupakan surat balasan daripada Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor bertarikh 21 September 1953 kepada Setiausaha Kolonial di Singapura. Surat tersebut menyatakan Johor tidak menuntut hakmilik ke atas Batu Puteh. Singapura menganggap surat ini sebagai satu penafian secara rasmi oleh Johor mengenai pemilikannya ke atas Batu Puteh.

Walaupun Malaysia menegaskan bahawa surat tersebut tidak menjejaskan kedaulatan memandangkan ia bukan surat cara penyerahan hartanah dan bukan surat penafian dalam ertikata sebenar, juga kerana Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor tidak mempunyai kuasa lansung dari segi undang-undang untuk menyerah atau membuat penafian, namun ia sebenarnya menjadi pemusnah kepada tuntutan negara.

Surat tersebut berbunyi; "I have the honour to refer to your letter No.C50.11692/52 dated 12th June 1953, adressed to the British Advisor, Johore, on the question of the status of Pedra Branca Rock some 40 miles from Singapore and to inform you that the Johore Government does not claim ownership of Pedra Branca".

Surat tersebut ditandatangani oleh seorang yang bernama M. Seth bin Saaid. Timbul juga kemusykilan di hati hamba adakah pegawai tersebut tidak merundingkannya dengan sesiapa sebelum membuat keputusan. Walaupun Batu Puteh hanyalah satu kelompok batuan, tetapi ia melibatkan wilayah kedaulatan negara. Seharusnya perkara ini dibincangkan dalam satu mesyuarat dan sepatutnya ia mendapat kelulusan Sultan. Justeru hamba secara peribadi melihatnya sebagai satu kecuaian besar. Mungkin ketika itu batuan tersebut dilihat tidak memberikan manfaat dari segi ekonomi memandangkan ia tidak sesuai untuk didirikan sebarang penempatan. Namun sesuatu yang pada zahirnya dilihat tidak memberikan sebarang hasil keuntungan rupanya memberikan kesan besar kepada daerah kedaulatan sesebuah negara.

Malaysia mendapat pengajaran yang besar daripada peristiwa ini terutamanya dari segi penyimpanan rekod. Orang British amat menjaga rekodnya sejak dahulu bahkan masih menyimpannya dengan baik. Hamba tidak pasti adakah pihak istana yang ada membuat perjanjian dengan mana-mana penjajah dahulu ada menyimpan surat-surat tersebut. Bukan surat itu sahaja bahkan mana-mana surat dengan negara luar seperti China, Majapahit, Pasai, Acheh dan sebagainya adakah elok simpanannya. Bukankah di dalam kitab lama disebut surat-surat sedemikian rupa diberi kemuliaan sehingga di arak di atas gajah diiringi bunyi-bunyian. Adakah gahnya setakat itu sahaja?




Tuesday, May 7, 2013

ULASAN BUKU : AIR MATA RAJA - Shaharudin Haji Ali & Norzailina Nordin


Buku ini dihadiahkan oleh sahabat hamba Encik Nasir bin Mamat, Timbalan Pengarah (Pendaftaran Tanah) Jabatan Ketua Pengarah Tanah & Galian Kuala Lumpur sewaktu hamba berkunjung ke pejabat beliau pada 7 Mei 2012. Beliau menghadiahkan hamba buku ini kerana mengetahui tentang kecintaan hamba yang mendalam terhadap buku. Bahkan setiap kali berlansungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, beliau sering update hamba dengan maklumat terkini yang diketahuinya. Tambah beliau lagi buku ini merupakan terbitan Dewan Bahasa & Pustaka. Beliau percaya buku yang diterbitkan oleh DBP merupakan hasil yang amat bermutu memandangkan mereka mempunyai panel yang membuat pemilihan bahan-bahan yang berkualiti untuk diterbitkan. Beliau yang seronok membaca buku ini menghadiahkannya pula kepada hamba untuk dinikmati bersama. Walau bagaimanapun hanya selepas hampir setahun atau tepatnya pada 27 April 2013 yang lalu barulah hamba dapat memulakan pembacaan novel setebal 963 mukasurat ini. Hampir seminggu hamba cuba menghabiskannya dan hamba pulun terus lebih 400 mukasurat sewaktu menunggu isteri hamba bersalin dari petang 3 Mei hingga pagi 4 Mei. Disebabkan hanya kerusi besi sahaja yang ada, maka hamba tidak dapat tidur dengan selesa, maka setiap kali bangun hamba akan baca novel ini. Alhamdulillah habis juga akhirnya. Sebenarnya juga antara sebab hamba lambat memulakan bacaan adalah ketebalannya kerana hamba rasa hamba memerlukan satu waktu yang agak baik agar hamba dapat menumpukan pembacaan dengan sebaiknya.

Memanglah benar seperti kata sahabat hamba itu bahawa buku terbitan DBP amat bermutu sekali. Sememangnya hamba amat berpuas hati membaca buku ini dari mula hingga ke akhirnya. Hairan juga hamba kerana buku ini tidak begitu dikenali. Bukan buku ini sahaja, hamba rasa kebanyakan novel terbitan DBP seolah tidak dikenali oleh pembaca hari ini berbanding novel terbitan syarikat lain. Sudah tiba masanya Unit Pemasaran DBP bertindak dengan lebih agresif di dalam memasarkan produk mereka. Adakah kerana DBP ini satu badan berkaitan kerajaan maka mereka berasa selamat dan tidak perlu terlalu berusaha kerana gaji masih tetap jalan juga. Kita tahu bahawa DBP hidupnya banyak dibantu oleh percetakan buku teks. Cukuplah bekerja secara selesa begini. Amatlah rugi kerana banyak terbitan bermutu DBP tidak dikenali rakyat Malaysia bahkan beberapa penerbitan berkalanya juga kini amat sukar dijumpai di kedai majalah. Janganlah DBP ingat kita semua hendak berkunjung ke kedai DBP yang berada di bangunannya. Mungkin sudah tiba masanya DBP hidup secara korporat di mana ia bergantung sepenuhnya kepada jualan buku terbitannya tanpa lagi kebergantungan kepada kerajaan. Dengan kata lain ado kojo adolah gaji.

Novel ini mengandungi dua kisah yang diceritakan secara berselang seli. Yang pertama adalah mengenai kisah kejatuhan Melaka yang diikuti kisah waris Sultan Mahmud dengan Tun Teja yang berusaha untuk kembali mendapatkan takhta di Melaka. Bagi tujuan tersebut Tun Hamzah telah mewujudkan kumpulan Mangku Raja bagi mengawasi serta melindungi pewaris kesultanan ini. Sebagai tanda Generasi pewaris sultan diberikan keris Melela Seri Panji dan keris Tahana. Keris Tahana pula diwujudkan sebanyak empat bilah di mana 3 bilah yang lain adalah dipegang oleh kumpulan Mangku Raja. Cerita yang kedua adalah berkenaan Tun Muhammad yang lebih dikenali sebagai Tun Seri Lanang dengan usahanya mengumpulkan cerita Raja-Raja Melayu sehingga terhasilnya kitab Sejarah Melayu yang amat masyhur itu. Pada mulanya hamba fikirkan ia akan ada pertemuan di mana-mana, tapi nampaknya ia sebenarnya bergerak secara sendiri. Walau pun begitu ada juga sedikit kisah di mana Tun Seri Lanang ingin mengetahui tentang waris kesultanan Melaka dengan Kumpulan Mangku Raja.

Walaupun terdapat dua penceritaan, namun hamba dapat mengikuti perjalanan cerita ini dengan begitu baik sekali. Jalan dan gaya bahasa yang digunakan walaupun serba sedikit cuba mengikut gaya penceritaan Melayu lama amat mudah diikuti oleh pembaca. Amat wajarlah karya-karya yang bermutu sebegini dibaca oleh orang ramai. Mungkin hendak dicari di kedai buku biasa belum tentu berjumpa. Nampaknya kenalah tuan hamba mencarinya sendiri di sanggar DBP.

ULASAN BUKU : TRAVELOG SEYCHELLES SYURGA YANG HILANG BAGI SULTAN ABDULLAH DAN TENGKU MENTERI NGAH IBRAHIM - Talib Samat


Satu perkara yang mendorong hamba untuk membeli buku ini adalah kurangnya pengetahuan hamba mengenai pembuangan beberapa tokoh pembesar Melayu dan orang-orang Perak yang dikatakan terlibat dalam pembunuhan JWW Birch, Residen Perak yang pertama. Benarlah sepertimana kata penulis buku ini, perkara mengenai Pulau Seychelles ini hanya disebut dalam sebaris dua sahaja di dalam buku-buku sejarah.

Di dorong oleh kekurangan maklumat inilah maka penulis bersama seorang lagi rakannya melakukan kembara ke pulau ini bagi mencari maklumat mengenai tokoh-tokoh yang terlibat serta peninggalan mereka yang masih ada di pulau tersebut.

Walaupun buku ini dinamakan 'travelog' namun hamba tidak begitu merasakan ia sebuah travelog. Ini kerana jikalau diikutkan kisah perjalanan penulis sebenarnya hanya sedikit sahaja memandangkan beliau hanya berkunjung ke sana beberapa hari sahaja. Ia turut memuatkan kisah lain selain kisah kembaranya meliputi sejarah berkaitan, temubual, tulisan penulis di akhbar serta kisah kepulangan jenazah Raja Abdullah dan Ngah Ibrahim dari Singapura ke Tanah Melayu beberapa tahun yang lalu. Juga turut dimuatkan kisah arwah Noramfaizul, wartawan BERNAMA yang terkorban semasa bertugas di Somalia yang sebenarnya tiada kaitan dengan tujuan asal penulisan, hanya dimasukkan kisahnya kerana pesawat yang membawa jenazahnya singgah di Pulau Seychelles.

Walaupun buku ini agak tebal, hamba merasakan tidak banyak maklumat yang hamba perolehi. Ini memandangkan banyak perkara di dalam buku ini yang sentiasa diulang-ulang oleh penulis sehingga membuatkan hamba hampir bosan dengan cara penulisan sebegini. Antara perkara yang penting dalam sebuah buku berbentuk kembara adalah paparan gambar. Agak menghampakan kerana tidak banyak gambar yang dipaparkan. Yang sedia ada pula gambarnya begitu kecil dan dalam hitam putih pula. Walaupun berpeluang ke tinggalan kediaman Sultan Abdullah, hanya sekeping gambar sahaja yang dipaparkan dan lansung diabaikan penyiaran gambar rumah baginda daripada angle yang berlainan.

Membaca tulisan penulis, dapat hamba rasakan beliau tidak membuat penyelidikan serta persediaan yang rapi untuk ke Seychelles. Memandangkan beliau hanya pergi untuk tempoh tidak sampai seminggu, sepatutnya penulis sudah tahu tempat mana yang ingin ditujui serta menyediakan maklumat yang boleh membantu beliau seaktu berada di sana. Namun penulis banyak mengabaikan perkara sedemikian. Ini dapat dilihat apabila beliau tidak lansung menempah bilik hotel. Tempahan hanya dilakukan apabila dihalang oleh Imigresen bagi memasuki Seychelles memandangkan tiada tempahan dibuat. Tempat-tempat yang dikunjungi juga banyak dilakukan secara gamble atau bernasib baik terjumpa. Memandangkan ketika beliau berkunjung ke Seychelles kemudahan internet telahpun ada maka sepatutnya ia telah digunakan seoptimum yang mungkin. Beliau boleh sahaja menulis surat kepada arkib Seychelles bagi meminta mendapatkan maklumat awal sebelum melakukan kembara. Paling asas adalah penulis lansung tidak membawa sebarang makanan segera (kecuali teman kembaranya) sedangkan inilah perkara penting yang perlu diadakan apabila berjalan khususnya di tempat yang sukar dicari makanan halal. Hamba melihat dalam kembara ini penulis amat bernasib baik kerana mempunyai teman kembara yang banyak membantu. Selain kepandaian temannya berbahasa Inggeris, beliau jugalah yang bertemu seorang mualaf yang banyak menghulurkan bantuan di dalam kembara tersebut.

Satu perkara menarik yang tidak di explore sebaik mungkin oleh penulis adalah salah seorang yang turut sama dibuang ke Seychelles iaitu tukang masak Raja Abdullah bernama Suvana yang tidak ikut pulang apabila Inggeris membenarkan mereka berbuat demikian ke Singapura. Sebaliknya beliau memilih untuk berkahwin dengan rakyat tempatan dan tinggal tersu di sana. Beliau juga dikatakan telah murtad. Sehingga ke hari ini keturunan beliau masih ada di Seychelles. Apa yang hamba tulis mengenai Suvana di atas, ini sahajalah maklumat ada juga di dalam buku ini. Amatlah malang kerana penulis tidak berjaya mengembangkan lagi kisah ini menadnagkan warus Suvana masih ada dan mungkin ada menyimpan beberapa cerita. Dan hamba sendiri yakin bahawa nama Suvana ini bukanlah merupakan nama asal kerana ia lebih mirip kepada nama bukan Melayu. Dan hamba tidak tahu bahawasanya Suvana ini lelakikah atau perempuan.

Walau bagaimanapun hamba mengucapkan tahniah kepada penulis kerana hamba dapat lihat kesungguhannya di dalam memartabatkan tokoh-tokoh sejarah Melayu yang berada di negeri Perak. Adalah diharapkan penulis akan dapat menyelongkar lebih banyak lagi rahsia sejarah tanahair dan seterusnya dinukil dalam sebuah kitab yang mantop!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...