Ahad, 24 Mac 2013

BUJAL


Andai anda merupakan generasi yang sama dengan hamba, lahir dan membesar sekitar tahun 70an, tentunya pernah bertemu atau kenal dengan majalah kanak-kanak ini. Majalah ini bertajuk Bujal keluaran RAZ Studio. Majalah yang hamba paparkan ini bertarikh Januari 1984. Bermakna ia telah berusia 29 tahun, bukan lagi usia seorang kanak-kanak. Majalah Bujal telah lama tiada di pasaran. Hamba sendiri tidak ingat bilakah tarikh berkuburnya majalah ini. Syukur majalah ini masih elok tersimpan di rumah ayah hamba. Maka hamba ambil dan bawa pulang ke rumah untuk disimpan sebagai sebahagian koleksi hamba.
Majalah ini merupakan antara majalah yang sering dibeli oleh ayah hamba ketika kecil. Antara majalah lain yang pernah mengisi zaman kanak-kanak hamba ialah Kuntum, Bambino, Dewan Pelajar dan Mingguan Kanak-Kanak. Mingguan Kanak-Kanak tidak hadir dalam bentuk majalah tapi dalam bentuk akhbar tabloid. Kesemua ini ayah hamba belikan untuk menanam sifat suka membaca ke dalam diri hamba.
Majalah kanak-kanak ketika itu tidaklah begitu cantik paparannya seperti majalah pada hari ini. Ketika itu penggunaan komputer tidaklah seperti hari ini yang begitu canggih sehingga kita sendiri boleh melakukan rekaletak dari rumah sahaja. Paparannya lebih banyak hitam putih dari warna. Kotak-kotak dialognya juga menggunakan tulisan tangan. Pendek kata lebih banyak menggunakan kemahiran tangan berbanding jentera.
Majalah Bujal ini harganya Cuma RM1.00, satu harga majalah yang payah untuk dijumpai ketika ini. Kalau adapun mungkin ia hanya majalah lama yang dijual murah. Ada satu komik yang agak ke hadapan dalam majalah ini iaitu ‘Kisah Trajis Di Rara Avis’ oleh S.Zain yang bertemakan angkasa lepas. Hamba katakan agak kehadapan kerana tidak ramai pelukis ketika itu yang memilih sesuatu yang bertemakan sains dan angkasa lepas ketika itu (rasanya hari inipun lebih kurang juga). Juga ada satu komik jawi yang bertajuk Bujil, terkenal kerana pusatnya yang terjojol keluar. Kerana itu kalau anda hari ini ada terdengar orang menyebut pusat bujul, ia sebenarnya merujuk kepada watak utama komik ini – dan tentunya orang itu satu generasi dengan saya!

Sabtu, 16 Mac 2013

YA HANA NA - HABIB SYECH BIN ABDUL QADIR ASSEGAF



Sehari dua ni agak berminat pulak mendengar qasidah Ya Hana Na lantunan Habib Syech Abdul Qadir Assegaf dan kumpulannya. Iramanya rancak, bertenaga dan bersemangat. Liriknya penuh pujian terhadap junjungan besar Nabi S.A.W. Hamba sememangnya berminat dengan qasidah berbahasa Arab ini lebih-lebih lagi apabila hamba dapat menangkap dan seterusnya memahami liriknya.

Yang nak berlagu sama tu moh kita layan lagunya sambil ikuti lirik di bawah. Credit buat  ab-ab.blogspot.com.








MADIHAH & SUPER GIGI


Satu hari anak ketiga hamba yang berusia 6 tahun mengunjukkan buku nota kecilnya kepada hamba meminta melihat apa yang dilukisnya.

"Gambar apa ni?"

"Hero Gigi" katanya sambil tersenyum.

"Apa kerja Hero Gigi"

"Membantu orang membetulkan gigi"

"Cuba buat gambar Hero Gigi terbang", pinta hamba.
Maka diapun melukis versi baru Hero Giginya dalam keadaan terbang di udara. Kini nama Hero Gigi telahpun ditukar kepada Super Gigi. 

Mungkin lukisan anak hamba yang masih belum masuk sekolah ini biasa sahaja dan tiada apa keistimewaannya. Tapi hamba agak teruja apabila dia melukis sesuatu yang lain. Dulu kakak-kakaknya lebih ghairah melukis bunga, puteri atau apa-apa yang disukai oleh kanak-kanak perempuan. Tetapi dia melukis gambar superhero yang biasanya disukai oleh anak lelaki. Seingat hamba seusia dia hamba juga suka melukis gambar superhero terutamanya Incredible Hulk.

Hamba dulu minat melukis. Tetapi hamba telah lama berhenti melukis secara serius sehingga hamba rasa skill itu telah hilang. Jadi apabila melihat ada anak-anak yang cenderung minatnya ke arah lukisan hamba merasa amat sukacita dan menggalakkannya. 

Belum ada lagi karakter Super Gigi di mana-mana komik tempatan dan antarabangsa. Maka sukacita hamba isytiharkan karakter Super Gigi yang pertama dihasilkan oleh Madihah!!

BUKAN SATU TAPI TIGA SEKALIGUS



14 Mac baru ini, rakyat-rakyat di kementerian hamba sudah maklum akan hari akhir kepala nombor satu. Tapi suasana hari itu biasa-biasa sahaja seperti hari-hari yang lain. Tiadalah mana-mana fulan yang meraung atau berteriak kesedihan sambil mencarik-carik baju. Hinggalah lebih kurang jam sepuluh seorang sahabat bertanya, "sudah dengar ke rumors yang baru....?" Hmm apa lagi khabar-khabar angin yang banyak betul berterbangan semenjak dua menjak ini.

Boss kita dengan kepala nombor dua nak kena tukar!! Ini betul-betul khabar angin yang memeranjatkan kerana khabar angin ini tidak pernah terbang ke telinga sebelum ini. Balik ke meja anak buah hamba mereka maklumkan tarikh mesyuarat bersama kepala nombor dua minggu depan tidak dapat dimuktamadkan apabila PAnya memaklumkan, "boss akak last hari ni!!"

Lalu hamba ke bilik boss hamba bagi mengesahkan cerita tersebut. Hamba minta lihat salinan surat pertukaran beliau dari PAnya. Lalu benarlah cerita-cerita ini. Ia bukan lagi khabar-khabar angin yang layangnya belum tentu membawa haluan yang benar. Nampaknya bukan satu yang akan keluar pada hari ini tetapi tiga sekaligus. Hebat lah juga apabila surat tiba petang semalam, hari ni orang baru mula nak tahu, esok pula dah tiada. Yang kepala nombor dua pula pagi hari yang terakhir baru terima surat.

Hamba tidak mahu mempertikaikan tujuan pihak yang menukar kerana mereka mungkin ada alasan yang mewajarkan tindakan tersebut, terutamanya apabila keluar frasa 'demi kepentingan perkhidmatan'. Namun mengeluarkan dua orang yang mempunyai banyak pengetahuan tentang kerja kementerian sekarang secara serentak bukanlah sesuatu yang indah rupa parasnya. Sebaiknya lakukanlah satu persatu, yaani apabila ilmu mereka itu telah diperturunkan kepada kepimpinan yang baru. Hamba yakin mereka yang terlibat tidak terlalu berasa hati kerana mungkin di tempat baru bintang mereka kan lebih bersinar.

Walau apapun yang berlaku, hamba cuma mentimun - digelek luka, menggelekpun luka.

Sorry boss, tak sempat buat majlis....

Isnin, 11 Mac 2013

SOLAT KEBAIKAN DARI PERSPEKTIF SAINS - Fatimah Ibrahim, Wan Abu Bakar Wan Abas & Ng Siew Cheok


Buku ini cuba menyingkap kebaikan yang ada pada pergerakan solat dari perspektif sains. Ia di tinjau pada beberapa perkara seperti komposisi badan, denyutan jantung, sakit pinggang, otak, otot dan disfungsi ereksi. Bagi menjalankan kajian ini penyelidik telah memilih beberapa responden yang diuji dengan menggunakan peralatan moden bagi melihat kesan solat pada semua perkara yang disebutkan di atas. Pemilihan responden hamba lihat tidaklah dibuat secara semberono. Contohnya bagi ujian disfungsi ereksi, responden yang dipilih adalah mereka yang telah disahkan oleh Hospital Iniversiti Kebangsaan Malaysia dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Hasil daripada kajian jelas menunjukkan kebaikan pada gerakan solat dengan syarat ia perlu dilakukan dengan betul, tertib dan sempurna. Contohnya kedudukan sujud. Semasa bersujud nilai denyutan jantung adalah rendah sekaligus menunjukkan jantung seolah-olah berehat kerana tidak berlu bekerja keras untuk mengepam darah ke otak. Dalam keadaan sujud juga kepala berada pada paras terendah. Keadaan ini sesuai dengan terikan graviti yang akan mengakibatkan lebih banyak darah mengalir di otak. Dinding dan dan urat-urat nadi otak menerima lebih banyak darah berbanding keadaan biasa. Otak memerlukan bekalan oksigen yang dibekalakan melalui darah secara berterusan. Otak akan bertambah sihat dan cergas kerana mendapat bekalan oksigen yang mencukupi.

Walau bagaimanapun ini tidak bermaksud kita memadai dengan menunaikan solat lima waktu sahaja. Perlu juga kita tambah dengan melakukan solat-solat sunat kerana semakin banyak solat yang kita kerjakan ia akan kembali memberi manfaat kepada tubuh badan. Maka amatlah cantik aturan solat itu kerana terkandung kebaikan untuk diri kita disebalik pergerakannya. Maha Suci Allah daripada menyuruh kita melakukan sesuatu yang sia-sia.

MOHD SABU AIR MATA DI BUMI MEMALI – CN Al-Afghani



Semasa hamba membaca buku ini serta buku Kafirkah Aku?, hamba sebenarnya sedang membaca sebuah buku yang lain. Namun tarikan kuat yang ada pada kedua-dua buku ini membuatkan hamba menangguhkan sebentar pembacaan buku tersebut dan membaca buku ini terlebih dahulu sehingga habis. Sebenarnya sudah bertahun-tahun juga hamba tidak membaca buku politik. Bukannya apa buku politik selalunya berkisar mengenai isu semasa dan kebanyakannnya sesuai dibaca pada masa tersebut sahaja. Ia akan basi setelah beberapa lama. Makanan sendiripun apabila telah basi nak diperhangatkanpun tak guna.


Buku ini menyingkap banyak perkara yang mengejutkan hamba, terutamanya mengenai penyelewengan Tabung Mangsa Memali serta nasib waris Memali. Pada fikiran hamba pihak PAS tentunya mengambil berat akan nasib waris-waris Memali ini memandangkan kutipan derma untuk mangsa selalu diiklankan. Begitu juga dengan majlis-majlis memperingati syuhada’ Memali yang kerap diadakan bagi mengenang kembali perjuangan mereka. Namun apabila membaca kandungan buku ini, kadang-kadang hamba merasakan nasib waris Memali  umpama sudah jatuh ditimpa tangga. Mungkin mereka terbela apabila kejadian Memali baru sahaja berlaku. Namun semakin masa berganjak, mereka seperti dilupakan.
Walaupun tajuk buku ini memaparkan nama Mohd Sabu, namun hamba melihat isu kandungan buku ini bukanlah sepenuhnya mengenai beliau. Boleh hamba katakan bahawa seluruh isi kandungan buku ini adalah satu kritikan atau pendedahan terbuka buat seorang senator PAS yang semsa berlakunya tragedi Memali turut bersama berada dengan kumpulan yang mempertahankan As Syahid Ibrahim Libya. CN Al-Afghani seolah cuba menyingkap sisi gelap individu tersebut yang boleh diibaratkan umpama musang berbulu ayam atau pepat di luar, rencong di dalam.

Penulis seolah meletakkan individu tersebut sebagai penyebab terbesar berlakunya penyelewengan tabung Mangsa Memali. Namun kerana ‘kebijaksanannya’ beliau dapat meyakinkan pucuk pimpinan bahwa beliau tidak bersalah bahkan kesalahan itu kembali pula kepada penulis. Namun hamba melihat bahawa penulis mempunyai hujah yang kukuh untuk melindungi diri beliau. Walau apapun hamba melihat bahawa apa yang beliau kritik perlu dilihat secara adil dan dilakukan siasatan demi kepentingan bersama. Penulis turut melahirkan kehairanan apabila laporan polis yang dibuat mengenai penyelewengan tabung tersebut seolah-olah lenyap tanpa sebarang tindakan. Penulis lebih pelik apabila kes tersebut tidak dapat disiasat oleh polis tempatan sebaliknya dipindahkan ke Bukit Aman.

Sebagai seorang yang berada di luar parti PAS hamba ingin melihat kebenaran muncul di depan mata. Perkara ini perlu disiasat agar pihak yang benar berada di tempatnya dan mangsa yang tertindas akan mendapat pembelaan. Sebagai sebuah parti yang meletakkan Islam sebagai cara hidupnya, hamba harap mereka telus bukan seperti tuduhan yang selalu mereka lontarkan pada parti lawan.

KAFIRKAH AKU ? – CN Al-Afghani



Dah lama hamba mencari buku ini semenjak ia diwar-warkan oleh akhbar tempatan. Namun mencarinya bukanlah mudah kerana ia tidak kedapatan dijual di kedai-kedai buku biasa. Ia hanya kedapatan di gerai-gerai kecil yang ada di majlis-majlis ceramah politik. Hamba pula tidak pergi ke majlis-majlis sedemikian.

Satu hari sewaktu pulang dari kerja hamba melihat satu banner mengenai ceramah politik, yang mana salah seorang penceramahnya adalah penulis buku ini. Lalu hamba yakin buku ini juga berkemungkinan besar akan dijual di sana. Hambapun memasang azam untuk hadir ke majlis tersebut. Tetapi pada hari berlansungnya ceramah tersebut hamba lambat sampai ke rumah. Ini kerana selepas waktu pejabat hari tersebut hamba bersama rakan pergi beriadah mengitari tasik Putrajaya yang terletak di belakang bangunan  pejabat-pejabat kerajaan. Pukul 9 malam barulah hamba sampai ke rumah. Secara kebetulan abang ipar hamba ingin ke majlis tersebut maka bolehlah hamba kirimkan sahaja untuk beliau mencari buku tersebut.


CN Al-Afghani aka Zainon Ismail aka Cikgu Non merupakan bekas ahli seumur hidup PAS yang telah dipecat beberapa tahun yang lalu ekoran pendedahan berani beliau mengenai Tabung Mangsa Memali. Kadang-kadang hati kecil saya musykil juga kenapa beliau dipecat sedemikian rupa sedangkan beliau begitu setia dengan parti bahkan sanggup meninggalkan jawatan beliau sebagai seorang guru demi berjuang bersama parti. Orang juga kenal beliau sebagai pembela waris-waris tragedi berdarah Memali. Dan biasalah dalam politik apabila ada ahlinya yang membawa pemikiran atau haluan yang lain, akan dituduh oleh segelintir orang menerima sekian sekian bayaran untuk mengkhianati parti. Hamba tidak tahu betul atau tidak dan hamba yakin orang yang menuduh juga tidak mempunyai sebarang bukti memandangkan tiada apa bukti yang pernah dikemukakan. Namun hati kecil hamba cenderung mengatakan bahawa pendedahan yang beliau buat adalah kerana kebenaran setelah segala saluran yang ada di dalam parti digunakan dan lansung tidak mendapat maklubalas yang memberansangkan.

Buku ini berkisar mengenai impak Amanat Haji Hadi yang dilafazkan lebih 30 tahun yang lalu. Ia ibarat satu surat terbuka daripada penulis kepada Presiden PAS YB Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengandungi beberapa kritikan-kritikan terbuka terhadap PAS dan kepimpinannya. Antaranya adalah mengenai kerajaan PAS Kedah yang dilihat tidak berperanan dengan sebaiknya seperti penjualan arak masik lagi berleluasa seperti di Langkawi, patung besar helang di Langkawi yang masih tersergam, tidak seperti patung penyu di bulatan Kuala Terengganu yang dimusnahkan apabila PAS memerintah Terengganu. Berkemungkinan penulis mengeluarkan sendiri duit poketnya untuk mencetak buku ini memandangkan kualiti buku tersebut agak rendah, bahkan tidak tercatat nama penebitnya.

Sebagai ahli parti yang bergerak di peringkat akar umbi, hamba percaya bahawa penulis mempunyai harapan yang amat tinggi untuk melihat tertegaknya Islam di Negara ini. Lantaran itu segala arahan serta ajaran dan tarbiah yang diterima cuba dilaksanakan sebaik mungkin. Kerana amanat itu juga penulis menjarakkan diri daripada ahli keluarga yang tidak sehaluan sehingga tidak solat Jumaat ditempat imam UMNO, tidak hadir kenduri mereka bahkan kematian mereka juga tidak diziarahi. Penulis seterusnya meminta Presiden PAS untuk bertanggungjawab ke atas amanat tersebut yang dakwa beliau telah menyebabkan berlakunya perpecahan yang besar di kalangan umat Islam.

Bagi diri hamba yang tidak menyertai sebarang parti, namun mempunyai impian melihat Islam yang hakiki memerintah bumi ini, amat berharap agar perkara ini diselesaikan dengan segera dan sebaiknya. Suka hamba mengajak seluruh umat Islam untuk sama-sama bersatu di bawah panji La ilaha illalLah Muhammadur rasululLah. Ingatlah kembali bahawa perpecahan awal umat Islam selepas kewafatan Nabi dahulu asalnya berpunca daripada masalah politik yang seterusnya membentuk beberapa kumpulan. Maka lahirlah Syiah, Mu’tazilah, Khawarij dan sebagainya. Daripada kumpulan yang berpecah kerana masalah politik ia semakin parah apabila ia berjangkit kepada perkara aqidah.

Masih belum terlambat untuk kita kembali bersatu….

Rabu, 6 Mac 2013

MENJAWAB TUDUHAN TANPA NAMA

 
 
Pada entry hamba lalu yang bertajuk ALWAYS LEAVE OFFICE ON TIME ada seorang hamba ALLAH yang tidak meninggalkan namanya – anonymous/tanpa nama menulis satu komen pada entry tersebut. Membacanya hamba tidak tahu sama ada ingin menangis ataupun ketawa. Lalu hamba memutuskan untuk menjawabnya dalam satu entry khas ini. Berikut adalah komen beliau.

"Ketika peristiwa ini ketua jabatan hamba adalah seorang ustaz sedangkan tiga ketua pengarah sebelum itu adalah dari skim PTD" kira awak ni nak cerita yang attitude PTD lagi bagus dari skim lain la ye? M lagi bagus dari S, M lagi bagus dari J? M lagi bagus dari L dan sebagainya? sudah-sudah la tu menjadi TIPIKAL PTD. awak tu baru saja diuji dengan ujian, masih lagi nak membangga-banggakan dengan skim perkhidmatan awak yang hanya gah pada nama saja tu. akhlak seseorang itu terletak kepada orang itu sendiri, bukannya jawatan atau skim perkhidmatan yang dipilih. KEBETULAN, diulang, KEBETULAN sahaja ketua pengarah sebelum itu yang datang dari skim M tu memang bagus dan KEBETULAN jua ketua baru yang datang dari skim lain itu tidak bagus. sebenarnya pada diri sendiri juga. kalau taksub dengan sesuatu, mereka akan menangkan habis apa yang dia taksubkan itu. anda taksub dengan PTD, anda akan kata semua PTD itu bagus dan sebaliknya anda akan lihat orang dari skim lain itu tidak bagus.

Hamba percaya para sahabat yang telah membaca entry tersebut faham akan kandungan serta maksud yang ingin hamba sampaikan. Sementelahan pula gaya bahasa yang hamba gunakan juga adalah mudah serta tidak memerlukan kelulusan PhD untuk memahaminya. Namun agak mengejutkan apabila TANPA NAMA boleh melangkau jauh kepada satu yang lansung tidak hamba fikirkan apatah lagi cuba menyampaikan. Oleh yang demikian hamba memandang ini sebagai satu tohmahan yang boleh menjadi fitnah yang besar terhadap diri hamba. Sehubungan itu, berdasarkan pandangan seorang ulama’ tersohor, Al ‘Allamah Fadhilatu As Sheikh Yusuf Al Qaradhawi, hamba memutuskan untuk menjawab komen tersebut secara terbuka. Kata As Sheikh:-



Hak seseorang yang dituduh dengan tuduhan melibatkan agama, maruah serta moral adalah dibenarkan membela dirinya secara lisan, menulis di surat-surat khabar dan berucap di radio dan televisyen. Terutama jika pandangan umum akan memberi kesan yang cukup besar dalam kes tersebut.
 
Entry hamba itu adalah menceritakan satu pengalaman lalu hamba berdasarkan petikan ‘If you fail in life your boss or client will not be the person to offer a helping hand but your family and friends will do’.  TANPA NAMA telah mentohmah hamba memperkecilkan skim perkhidmatan yang lain, rasa lebih bagus dan yang lebih berat lagi beliau menuduh hamba taksub dengan skim perkhidmatan hamba. Puas hamba membaca kembali entry hamba tersebut mencari ayat-ayat yang ada unsur seperti yang ditohmah oleh TANPA NAMA. Namun tidak sekali hamba bertemu perkara tersebut. Lantaran itu hamba amat hairan mengapakah TANPA NAMA boleh berfikiran sedemikian rupa seolah beliau boleh membaca fikiran orang lain. Sedangkan tanpa disedarinya beliau telah melakukan satu fitnah yang amat besar ke atas hamba.



Kata TANPA NAMA, "Ketika peristiwa ini ketua jabatan hamba adalah seorang ustaz sedangkan tiga ketua pengarah sebelum itu adalah dari skim PTD" kira awak ni nak cerita yang attitude PTD lagi bagus dari skim lain la ye? M lagi bagus dari S, M lagi bagus dari J? M lagi bagus dari L dan sebagainya?”

Apabila hamba mengungkapkan ‘Ketika peristiwa ini ketua jabatan hamba adalah seorang ustaz sedangkan tiga ketua pengarah sebelum itu adalah dari skim PTD’ ia adalah untuk menunjukkan fakta ketika peristiwa itu berlaku serta memaklumkan sahabat rapat hamba agar mereka boleh mencari sendiri maklumatnya tanpa perlu hamba menyebut nama. Apakah satu kesalahan apabila hamba menulius sesuatu yang berbentuk fakta. Bukannya hamba berbohong. Namun TANPA NAMA mentafsirkan lebih dari itu. Tiada lansung dalam entry itu hamba menceritakan kebagusan skim perkhidmatan hamba sekarang berbanding skim perkhidmatan lain. Cubalah para sahabat baca semula keseluruhan entry tersebut dan khabarkan pada hamba sekiranya ada ungkapan hamba menghina perkhidmatan lain. Sekiranya ada, hamba tanpa segan silu akan memohon kemaafan.

Lagipun hamba tidak nampak kenapa hamba perlu menghina skim ustaz kerana hamba sendiri seorang ustaz! Bahkan hamba pernah berkhidmat dalam skim S lebih 13 tahun yang lalu dengan tugas hamba menjaga satu negeri. Dan andainya hamba hendak memberi komen tentang ustaz pun hamba tidak nampak apa salahnya. Ini kerana hamba berada dalam kasut mereka, hamba kenal karakter mereka, hamba bekerja bersama mereka dan yang paling penting hamba adalah sebahagian daripada mereka. Bukan sahaja dalam skim S, hamba pernah juga menjadi Pembantu Perangkawan (Skim N) dan Guru sekolah rendah (Skim DG). Hamba rasa amat beruntung kerana pernah berkhidmat dalam empat skim yang berbeza. Hamba rasa TANPA NAMA sendiripun tidak mempunyai pengalaman sedemikian.

Pernah memakai empat kasut yang berbeza membuatkan hamba tahu mendalam perkhidmatan yang hamba pernah jejaki ini. Tetapi tidak pula hamba rasa best bila berada di perkhidmatan sekarang sepertimana tuduhan TANPA NAMA. Bahkan di tempat kerja sekarang hamba menguruskan lebih 120 skim perkhidmatan yang ada di kementerian hamba di mana tidak ada kementerian lain yang mempunyai skim perkhidmatan sebanyak itu. Andainya hamba bersikap prejudis, tentunya hamba tidak boleh bekerjasama dengan mereka. Namun sebaliknya hamba mendapat kawan yang ramai. Mereka boleh bekerja dengan hamba dan hamba juga boleh bekerja dengan mereka.  Hamba telah ada rakan dari skim yang mungkin TANPA NAMA pun jarang-jarang dengar. Hamba bukan sahaja berkawan dengan doktor perubatan tetapi juga juruteknologi makmal perubatan, pembantu pembedahan pergigian, penyelia asrama, pegawai dietetik, tukang masak, pegawai penyediaan makanan dan pelbagai lagi. Apa dalil TANPA NAMA menuduh hamba sebegitu rupa?

Seingat hamba dulu apabila mengisi borang SPA8, hamba tidak tahupun apa kerja PTD, Akauntan, Pegawai Arkib dan sebagainya. Yang hamba tahu hamba mahu mencari pekerjaan. Bahkan dalam pemilihan jawatan itupun di kedudukan yang teratas hamba memilih Pegawai Arkib dan PTD jatuh nombor 7 atau 8. Namun apabila takdir menunjukkan kita ke skim ini, maka di situlah hamba berjuang dengan sebaik mungkin. Bukan kuasa hamba untuk menentukan perkhidmatan hamba. Semuanya perancangan ALLAH. Hamba percaya TANPA NAMA pernah belajar qadha' dan qadar masa sekolah dahulu. Tuan guru hamba juga pernah ajar mengenai konsep sukarela. Lebih kurang katanya sukarela itu adalah sebelum kita masuk ke dalam sesuatu, yaani kita ada pilihan untuk turut serta atau tidak. Namun apabila kita telah menyertainya, maka kita wajib mengikut segala perauran yang ada di dalamnya, dan pada ketika itu ia bukan sukarela lagi. Jadi tanggungjawab hamba ialah untuk bekerja sebaik mungkin, termasuk juga TANPA NAMA. Buat apa difikir tentang skim orang lain, lebih baik fikir untuk memajukan skim anda. Kalau fikir skim orang lain tentang kebaikan tidak mengapalah juga, tapi apabila fantasi anda itu menerawang jauh, ia telah tersasar sehingga timbul prasangka.

Apabila hamba mendapat tawaran sebagai PTD juga, hamba mengambil masa yang agak lama memikirkannya sehingga terpaksa menangguhkan tarikh lapor diri. Mungkin hamba juga dijangkiti perasaan 'tipikal' seperti yang TANPA NAMA maksudkan, merasakan keburukan skim yang ditawarkan. Lalu hamba merujuk gelodak jiwa hamba kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan, YBhg Dato' Mohammad bin Hussin serta Sohibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Sohibul Fadhilah Sheikh Dato' Haji Murtadza bin Haji Ahmad. Hamba rujuk kepada ulama' yang mempunyai ilmu yang banyak agar pilihan hamba tidak silap dan mendapat keberkatan. Lalu mereka menggalakkannya, bahkan antara kata Dato' Mohammad - Mungkin di sana peluang dakwahnya lebih luas lagi. Andai buruk benarlah skim hamba itu, nescaya seawal lagi mereka telah menghalangnya.

Kata TANPA NAMA lagi, “sudah-sudah la tu menjadi TIPIKAL PTD.” Apa dia tipikal PTD tu? Hamba pun tak tahu. PTD bukannya 2-3 orang tapi beribu. Mustahil semuanya mempunyai pemikiran dan aliran yang sama, apatah lagi dalam konotasi TANPA NAMA yang menjurus ke arah negatif. Tapi satu perkara yang hamba pasti sifat menuduh, mentohmah, memberikan tafsiran yang buruk – itu satu sifat tipikal orang yang suka bersangka buruk dan mempunyai hati yang bermasalah.

Kata TANPA NAMA lagi, “awak tu baru saja diuji dengan ujian, masih lagi nak membangga-banggakan dengan skim perkhidmatan awak yang hanya gah pada nama saja tu”. Cubalah TANPA NAMA tunjukkan para di mana hamba berbangga-bangga dengan skim perkhidmatan hamba itu. Bagaimana boleh dikatakan hamba berbangga dengan skim perkhidmatan sekiranya hamba tidak menulisnya lansung. Hendak menuduh pun biarlah berpada, biarlah ada bukti. Entry ini dibaca oleh ramai orang. Sekiranya hamba menulis sesuatu yang negatif sudah tentu sahabat hamba yang berlainan skim sudah memberikan teguran. Namun mereka tahu bahawa apa yang hamba bincangkan adalah jelas. Mereka tak perlu paksa diri mereka untuk mentafsir sesuatu yang tidak ada kena mengena. Ujian yang Allah berikan pada hamba bak kata pepatah berat bahu memandang, berat lagi bahu yang memikul. Mungkin bagi TANPA NAMA ia ujian yang biasa sahaja. Hamba berdoa agar ALLAH mengurniakan TANPA NAMA ujian yang setara. Hamba tidak paparkan sepenuhnya ujian yang menimpa hamba kerana hamba hanya mahu menceritakan atau menghuraikan para berbahasa Inggeris di atas sahaja. Namun percayalah cerita ujian itu belum berakhir di situ dan nyawa hamba juga menjadi taruhan.

Katanya lagi, “akhlak seseorang itu terletak kepada orang itu sendiri, bukannya jawatan atau skim perkhidmatan yang dipilih. KEBETULAN, diulang, KEBETULAN sahaja ketua pengarah sebelum itu yang datang dari skim M tu memang bagus dan KEBETULAN jua ketua baru yang datang dari skim lain itu tidak bagus.’ Betullah tu, hamba pun tak sebut apa-apa, siapa bagus atau tidak. Yang sebut adalah TANPA NAMA. Tiada di mana-mana para pun hamba menyebut skim ini buruk, skim itu buruk. Hanya TANPA NAMA yang melampau fantasinya. Dan hamba suka menggunakan kembali perkataan yang TANPA NAMA gunakan seperti di atas, hanya KEBETULAN, diulang KEBETULAN TANPA NAMA bertemu atau berurusan dengan PTD yang kurang akhlaknya, habis semua PTD mahu dicop sedemikian rupa juga. Sekarang ni siapa yang berfikiran ‘tipikal’ ni. Betullah kata pepatah, mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih!

Sambung TANPA NAMA, “sebenarnya pada diri sendiri juga. kalau taksub dengan sesuatu, mereka akan menangkan habis apa yang dia taksubkan itu. anda taksub dengan PTD, anda akan kata semua PTD itu bagus dan sebaliknya anda akan lihat orang dari skim lain itu tidak bagus” Belah mana yang hamba taksub, para mana yang hamba cuba menangkan apa yang hamba taksubkan itu, perenggan mana yang membayangkan hamba melihat skim lain tidak bagus. Tolonglah TANPA NAMA, berkhidmat dalam 4 skim membuatkan hamba merasa lebih rendah diri dan memahami setiap skim ada fungsinya yang tersendiri. Bukan hamba yang melihat skim lain buruk tapi tanpa anda sedar andalah yang memandang skim hamba buruk. Hari ini ketika orang cuba melakukan transformasi, mencari jalan untuk bersatu padu, anda pula datang untuk mengeruhkan suasana.

Hamba mempelawa anda untuk dibawa ke jabatan yang dipimpin ustaz tersebut. Hamba tak akan bawa TANPA NAMA bertemu PTD. Hamba akan bawa bertemu Pegawai Hal Ehwal Islam, Penolong Akauntan, Pembantu Pustakawan dan lain-lain agar anda dapat mendengar sendiri daripada mulut mereka. Hamba memberi anda tempoh 7 hari dari tarikh entry khas ini tersiar untuk memberi maklumbalas. Jika anda awalnya berniat untuk menongkah hamba, anda sebenarnya melawan seluruh umat Islam yang cintakan kebenaran. Sila PM hamba di
mizharmazlan@gmail.com untuk temujanji.

Wahai TANPA NAMA kita tak pernah bersahabat dan anda datang seolah untuk berseteru walaupun niat hamba di blog ini untuk mencari sahabat seramai mungkin. Bila kita tidak pernah bersahabat, bermakna anda tak pernah kenal peribadi hamba. Kerana itulah bermacam tuduhan yang anda lemparkan. Suka hamba mengingatkan, walau apapun skim perkhidmatan yang ada, semuanya berkhidmat untuk kerajaan dan rakyat yang sama. Setiap apa yang ada itu ada fungsinya masing-masing. Yang aulanya adalah kesatuan dan bekerjasama. Andai satu orang yang membawa keburukan, tidaklah pantas untuk anda itlaqkan semuanya begitu juga. Tentunya anda sendiri tidak suka sekiranya hamba bertemu seorang daripada skim anda yang buruk akhlaknya lalu hamba itlaqkan skim anda kesemuanya begitulah juga.

Andainya TANPA NAMA mahu terus memandang buruk pada PTD atau hamba, hamba tidak dapat berbuat apa-apa. ALLAH menyebut dalam Al Quran pun bahawa DIA tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang mengubahnya. Kalau TANPA NAMA memilih untuk berfikiran begitu sepanjang hayat, apa yang boleh hamba lakukan. Yang penting hamba akan tunaikan apa amanah yang dipikulkan ke atas diri hamba. Yang menilai nanti bukan TANPA NAMA tetapi ALLAH jua.

Ilmu itu cahaya, jahil itu merbahaya!

Sabtu, 2 Mac 2013

BICARA SEBUAH DIARI - Zaifuzaman Ahmad

\

Ini bukanlah kali pertama hamba membaca tulisan Zaifuzaman Ahmad. Lantaran itu hamba tidak ragu-ragu untuk mencapai buku terbaru beliau sewaktu di Karnival Karangkraf yang lalu. Beliau hamba kenali gemar menulis mengenai sesuatu yang berunsur misteri.

Novel beliau kali ini agak tebal berbanding novel yang terdahulu. Barangkali kisah kali ini penghuraiannya lebih menarik serta plotnya lebih mencabar. Tetapi terus terang hamba katakan kali ini hamba seperti tersiksa untuk menghabiskan bacaan buku ini. Nampak seolah-olah penulis hanya cuba untuk menjadikan cerita ini panjang serta meleret. Bayangkanlah novel setebal 594 mukasurat ini hanya terasa saspennya setelah melewati 400 mukasurat. Itupun perjalanannya masih lagi dirasakan perlahan. Hanya pada 50 mukasurat terakhir itu sahajalah baru terasa sedikit rasa suspen itu. Dan memandangkan cerita yang sengaja seperti dipanjang-panjangkan, hamba boleh mengagak pengakhiran cerita ini, sesuatu yang hamba kurang gemari apabila membaca sesebuah karya.

Ceritanya hanya berkisar pasa watak Noreen sebagai watak utama. Watak-watak lain tidak dikembangkan dan hanya diketahui melalui penceritaan watak utama sahaja. Mimpi Noreen yang berkali-kali dengan dialog yang hampir sama cukup membosankan. Letih la kalau tiap kali kisah mimpi hamba akan berjumpa ayat yang sama sahaja seperti 'apa maksud kau', 'siapa kau' dan lain-lain yang seangkatan dengannya.

Novel ini membuatkan hamba akan berhati-hati untuk memilih karya Zaifuzaman yang akan datang. Agak malang apabila hamba telah diyakinkan dengan novel-novel yang terdahulu, novel ini datang umpama anti klimaks.

Saudara penulis, hamba terpaksa bermula dengan saudara dari kosong semula!!


PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...