Ahad, 27 September 2015

KARIKATUR


Setelah hamba siapkan dua karikatur ini, ada beberapa lagi sahabat yang meminta wajah mereka dikartunkan. Hamba cuma minta mereka bersabar dahulu memandangkan masa hamba yang terhad. Lagipun untuk melukis memerlukan mood yang baik. Secara jujurnya seperti yang pernah hamba nyatakan dahulu, hamba tidak pandai melukis. Hamba hanya meniru sahaja. Tujuan asal hamba membeli drawing pad serta pen lukisan dahulu adalah untuk melukis karikatur hamba sendiri, satu permulaan setelah hampir 20 tahun berhenti melukis. Bermula dengan melukis karikatur boss hamba, hamba telah melukis karikatur beberapa lagi rakan. Namun karikatur hamba sendiri masih lagi belum dilakarkan. Untuk proses mewarna, memandangkan hamba tiada peralatan digital serta program untuk mewarna, hamba hanya menggunakan tablet dan apps yang ada disediakan secara percuma sahaja. Untuk mewarna secara manual hamba tidak pandai dan itu akan mengambil masa yang lama. Penggunaan apps ini juga membolehkan hamba membetulkan kesalahan kecil dalam lakaran. Jadi terima kasih kepada teknologi yang memudahkan sedikit proses ini.


Kartun dalam pembikinan.

Kartun yang telah diimbas sebelum kerja mewarna.

Kartun yang telah diimbas sebelum kerja mewarna.

HIJRAH & HIJAB : PERJALANAN TERINDAH DALAM HIDUP KAMI



Sebelum buku ini memulakan kisah-kisah mereka yang beralih untuk menutup kepala serta aurat mereka, ia dimulakan dengan beberapa artikel yang pada hamba amat menarik dan bermanfaat sekali. Ia terdiri mdaripada empat perkara iaitu Definisi Hijab, Inovasi Penghasilan Hijab, Kenapa Wanita Perlu Berhijab dan Hijab & Kesihatan. Walaupun dipersembahkan dalam bentuk yang ringkas, keempat-empat artikel berkenaan bagi hamba dapat memberikan gambaran akan kepentingan pemakaian hijab kepada wanita Muslim serta bagaimana bentuk hijab yang disyariatkan. Justeru apabila selesai membaca buku ini kita akan mendapati terdapat beberapa wanita yang kisah mereka dipaparkan dalam buku ini tidak menepati seratus peratus apa yang cuba disampaikan dalam artikel-artikel berkenaan.

Frasa 'tidak salah wanita menutup aurat untuk berfesyen' selalu berkumandang di dalam mana-mana penulisan fesyen atau rancangan tv yang melibatkan wanita yang menutup aurat. Secara literalnya ia bermaksud walaupun kita mengenakan tudung kita juga boleh bergaya dan memakai pakaian mengikut trend terkini. Bagi hamba kata-lata ini lebih banyak membawa salah faham kepada wanita Islam. Kerana itu kita dapati kebanyakan wanita Islam mendefinasikan menutup aurat itu adalah 'memakai tudung' sedangkan ia adalah lebih daripada itu. Dan hamba rasa semua wanita Islam tahu aurat itu adalah seluruh tubuh melainkan muka dan tapak tangan. Justeru apabila pereka fesyen menggunakan frasa di atas, mereka lebih banyak menghasilkan pakaian yang 'membalut' aurat dan bukan menutupnya. Kerana itu kita dapat melihat segelintir wanita yang mengenakan tudung tetapi memakai t'shirt berlengan pendek, pakaian yang sendat dan ketat sehingga jelas menampakkan bentuk tubuh serta warna-warna serta hiasan luaran yang boleh sahaja menarik minat dan perhatian lelaki yang bukan mahram. Hamba boleh menerima frasa di atas dengan syarat ia terpakai dalam lingkungan mereka yang ada hubungan mahram serta sesama wanita muslimah sahaja. Mengapa terhad kepada wanita muslimah sahaja dan bukan semua wanita? Ini kerana aurat muslimah dengan wanita bukan muslim adalah sama sahaja dengan aurat muslimah dengan lelaki ajnabi.

Dalam era awal 80'an dan zaman sebelumnya, tidak ramai wanita Muslim yang mengenakan pakaian menutup aurat. Pemakaian tudung hanya besifat sederhana apatah lagi mengenakan tudung labuh serta berjubah. Golongan yang menutup aurat ini juga kadangkala dilabelkan sebagai orang dakwah. Namun arus kebangkitan Islam yang mula bertiup selepas itu mula menunjukkan kemajuan apabila semakin ramai wanita yang mula mengenakan pakaian yang menutupi aurat. Sehinggakan pada hari ini kita dapat melihat majoriti wanita di sekolah, universiti dan pejabat-pejabat kerajaan mengenakan tudung kepala. Malangnya terdapat segelintir antara mereka hanya mengenakan tudung kerana tidak mahu menjadi minoriti, malu dengan rakan-rakan bertudung dan sebagainya. Mereka bukannya menutup aurat mereka atas rasa tanggungjawab pada agama. Kerana itu apabila tamat waktu persekolahan atau pejabat, tudung itu akan lerai daripada kepala mereka. Mereka yang menutup aurat atas nama fesyen inilah kadangkala nampak lebih banyak menjahanamkan imej baik wanita yang berhijab. Kalau dahulu pemakaian jubah dikaitkan dengan golongan dakwah atau para ustazah, kini pemakaiannya sudah meluas. Maka kaki-kaki fesyen ini menjenamakan semula jubah dengan memperkenalkan jubah yang sendat, berwarna-warni serta fabrik yang melekat pada tubuh badan.Hijab bukannya untuk menarik perhatian orang lain terutamanya lelaki ajnabi, hijab bukannya untuk memuaskan kehendak diri terutama apabila telinga terdengar pujian 'cantiknya pakaian kamu hari ini'.

Pemakaian tudung hari ini sering dikaitkan dengan kalimah hijrah. Ia membayangkan apabila seseorang bertudung telah berubah kepada keadaan yang lebih baik. Benar hamba setuju dengan itu tetapi bagi hamba skop hijrah itu lebih luas lagi. Tidak ada gunanya bertudung tetapi masih memakai pakaian dengan tujuan mahu menunjukkankecantikkan kepada orang lain. Walaupun tiada niat ke arah itu tetapi dari segi perlakuan ia adalah tidak wajar memandangkan kaedah fiqh menyatakan bahawa matlamat tidak menghalalkan cara. Kita tidak mahu mendengar kata-kata masyarakat 'tengoklah dia tu, pakai tudung tapi keluar dengan lelaki, tudung pakai hari-hari solat tak pernah sekali, pakai tudung tapi nampak ketiak' dan macam-macam lagi. Hamba bukan mahu buat kelakar tapi hamba percaya kita pernah mendengar dialog seperti ini.

Ada lebih kurang 53 orang wanita yang kisah kenapa mereka 'berhijrah' dipaparkan di dalam buku ini termasuk beberapa wanita dari luar negara. Kebanyakannya adalah wanita yang ada nama atau dikenali dalam masyarakat. Ada kisah mereka yang benar-benar memberikan pengajaran sehingga pengenaan pakaian menutup aurat ini benar-benar memberikan satu pengertian dalam perjalanan hidup mereka. Ada juga yang hamba lihat pakaian mereka cukup menarik perhatian lelaki ajnabi dan ada yang menepati syariat. Di antara mereka ada yang pernah menjadi sahabat sepersekolahan hamba. Terkejut juga hamba membaca kisah beliau yang pernah membuka tudungnya apabila berada di luar negara kerana sifat prejudis serta tekanan masyarakat di sana yang anti Islam. Hamba terkejut kerana kami sekolah agama dan pemakaian tudung sudah lama sebati dengan hidup beliau. Walaupun beliau ada alasan tersendiri (dan hamba percaya pasti ada kaki-kaki yang akan menyokongnya) bagi hamba tindakan itu sekaligus menghentikan 'aliran pahala' yang sedang mengalir dengan deras kepadanya. 

Apabila pembaca melihat pula kisah-kisah penghijrahan wanita yang berada di luar negara tentu antara mereka akan kita dapat lihat perbezaan penghijrahan mereka. Ini kerana kebanyakan mereka bukannya berhijrah daripada tidak memakai tudung kepada bertudung, bahkan lebih daripada itu - mereka berhijrah daripada kegelapan kejahilan kepada sinar Islam yang menerangi kehidupan. Mereka lebih struggle, lebih mengkaji dan menghayati serta bersusah payah untuk mencari apa yang dinamakan iman. Justeru itu kebanyakan kita ini yang imannya - Alhamdulillah - diperolehi secara keturunan yang sudah sedia Islam sewajarnya semakin memperbaiki mutu iman itu memandangkan kita telah sedia memperolehinya tanpa susah payah sebagaimana orang lain.

Ada iktibar daripada buku ini. Iktibarnya adalah kita boleh menjadi lebih baik daripada kesemua wanita yang dipaparkan di dalam buku ini. Banyakkanlah belajar dan menuntut ilmu khusunya secara terus daripada tuan-tuan guru yang mursyid. Janganlah sekali-kali berguru dengan ustaz facebook, twitter, youtube dan sebagainya. Mereka yang ingin belajar daripada laman sedemikian haruslah terlebih dahulu mantap ilmunya, yang mana ilmu itu terlebih dahulu diperolehi dengan cara berguru, bertalaqqi dan sebagainya. Ini kerana dengan asas yang kuat sedemikian barulah kita akan tahu sama ada apa yang disampaikan oleh ustaz facebook, twitter, youtube itu benar ataupun palsu...

WalLahuaa'lam...

Sabtu, 26 September 2015

ROTHSCHILD YAHUDI KEPERCAYAAN DAJJAL - Ibnuyaacob




Hamba boleh bersetuju dengan penulis buku ini bahawa perbincangan mengenai Rothschild amat jarang ditemui di mana-mana. Beliau adalah ibarat individu yang berada di belakang tabir yang mempunyai tenaga kerja professional untuk menjalankan kerja-kerja kotornya. Tiada siapa menyangka bahawa individu yang tidak pernah menukar seluar dalamnya ini adalah merupakan mastermind di sebalik beberapa kejadian besar yang menimpa dunia. Bahkan kerja-kerja kotor ini berterusan disambung oleh keturunannya sehingga kini, mengikut pandangan penulis.

Penulis berpandangan bahawa keturunan Rothschild adalah merupakan yang terkaya sekali di dunia namun nama-nama mereka tidak pernah muncul dalam mana-mana ranking manusia terkaya. Melalui kekayaan mereka serta penguasaan ke atas bank-bank, Rothschild sebenarnya memerintah dunia melalui proksi mereka. Melalui perancangan licik, mereka mengatur peperangan besar dunia dan mengaut keuntungan dengan menawarkan pinjaman kewangan kepada negara-negara yang berperang dengan mengenakan kadar bunga yang tinggi. Penulis turut membawakan pandangan melalui beberapa fakta bahawa kejatuhan kerajaan Khalifah Uthmaniah sendiri adalah akibat kebangkrapan disebabkan oleh perancangan Rothschild. Kita sering dimomokkan dengan kisah Mustafa Kamal Ataturk sebagai punca kejatuhan khilafah, padahal beliau tidak lebih daripada seorang boneka sahaja yang mana kemunculan beliaupun hanyalah setelah Rothschild melaksanakan agenda kejatuhan Turki melalui taktik ekonomi. Hamba berpandangan perkara ini wajar dikaji oleh cerdik pandai kita di universiti bagi membolehkan generasi hari ini dapat mengambil iktibar agar tidak jatuh ke dalam lubang yang sama sebanyak dua kali.

Banyak lagi pendedahan menarik mengenai Rothschild di dalam buku ini antaranya adalah beliau sebagai perancang revolusi Peranchis serta perang dunia pertama dan kedua. penguasaan ke atas Amerika, Jepun, Mesir serta konspirasinya di Indonesia, Konspirasi penubuhan negara Arab Saudi, siapa di sebalik James Bond dan banyak lagi.

Boleh hamba katakan antara kesemua buku Ibnuyaakob, hamba amat berpuas hati dengan buku ini yang bagi hamba lebih mantap penyampaiannya berbanding buku beliau yang lain.

Jumaat, 25 September 2015

KOMPILASI JUMBO MAT GEMPAK - Zuan



Buku ini hamba beli bersekali dengan kompilasi Jinggo seperti dalam entry sebelum ini. Kompilasi jumbo ini adalah gabungan tiga kompilasi yang pernah terbit sebelum ini iaitu Mat Gempak,Let'z Gempak dan Mat Gempak Redux. Mat gempak adalah merupakan ikon majalah Gempak apabila ia mula-mula diterbitkan. Wajahnya akan menghiasi kebanyakan muka depan keluarannya. Cuma sejak beberapa tahun ini wajah bulat umpama toyol ini sudah tidak kelihatan lagi melainkan diruangan editorial dan surat pembaca. Kemunculan pertama majalah Gempak dengan watak Mat Gempak sebenarnya agak mengelirukan hamba dan hamba menyangkakan ia adalah lanjutan kepada majalah Rileks yang mana konsepnya tidak ubah seperti Gempak.

Walaupun Mat Gempak seolah menceritakan tentang kehidupan sebuah keluarga Melayu, hamba tidak dapat merasakan unsur Melayu itu, mungkin kerana pelukisnya berbangsa Cina. Bahkan hamba percaya dialognya juga dibetulkan kemudian oleh pembaca pruf yang mahir berbahasa kebangsaan. Walaupun berbentuk hiburan dan fiksyen hamba tidak bersetuju dengan paparan watak isteri yang kurang ajar dengan suami, Mat Gempak 'membelasah' ayahnya, unsur percintaan yang mengarut dan banyak lagi unsur yang tidak terdapat dalam sebuah keluarga Melayu.

Jikalau diteliti, terutamanya pada siri-siri Mat Gempak yang awal, hamba mendapati beberapa wataknya umpama gaya lukisan kartunis Aie Sulong terutamanya dalam siri Abe. Hamba tidak pasti sama ada ini kebetulan ataupun Zuan sendiri menjadikan lukisan Aie sebagai rujukan untuk wajah watak yang berupa kemelayuan. Apapun ia bukan satu perkara besar bagi hamba memandangkan idea yang dipersembahkan kelihatan original dan tidak meniru sesiapa.

JINGGO : KOMPILASI JUBLI 15 - Kenny Chua



Semasa kemunculan kompilasi ini di kedai buku popular tahun lalu, tangan ini terasa ingin mencapainya. Tetapi hamba tersedar bahawa koleksi seperti ini yang dijual di Popular sebelum ini pasti tidak akan habis dengan segera sehinggalah ia nanti akan dijual dengan harga diskaun yang lebih murah. Ternyata telahan hamba betul apabila dalam kunjungan yang terbaru hamba dapati buku ini masih lagi melambak di kedai berkenaan dan telahpun diberikan harga baru yang lebih rendah. Walaupun terpaksa menunggu setahun hamba tidak berasa rugi sedikitpun kerana tidak dapat membacanya lebih awal memandangkan hamba ada lebih banyak buku lagi yang belum dihabisi. Lagipun ini komik dan bukannya suratkhabar yang akan basi ceritanya apabila hari berganti.

Secara peribadi hamba bukanlah peminat siri Jinggo Si Pemburu ini. Hamba cuma menggemari kekemasan lukisan Kenny Chua serta gaya lukisannya sahaja. Pembelian ini tidak lebih daripada sokongan hamba kepada dunia komik tempatan. Buku ini sebenarnya menggabungkan tiga kompilasi Jinggo yang pernah diterbitkan sebelum ini iaitu Jinggo Si Pemburu, Jinggo Replay dan Jinggo Concluded. Ia juga datang dengan kulit keras (hard cover) menjadikannya lebih tahan lama untuk di simpan.

Sebagai satu tambah nilai kepada kompilasi ini ia turut mengandungi 8 mukasurat komik sisipan istimewa yang memberikan jawapan kepada persoalan yang timbul kepada pembaca dalam siri terakhir Jinggo di majalah Gempak. Selain itu terdapat juga lakaran konsep seni animasi Jinggo yang belum pernah tersiar sebelum ini. Walau bagaimanapun hingga saat ini hamba rasa siri animasi Jinggo masih lagi belum tersiar di mana-mana saluran televisyen di negara kita.

Sabtu, 12 September 2015

CINTA TIGA SEGI a0teAr0a - Mohd Fudzail Mohd Nor



Dalam trilogi yang terakhir ini tentunya pembaca lebih ingin mengetahui tentang kesudahan perhubungan Ahmad bersama Rozita dan Raewyn. Agak malang, tiada istilah and they live happily ever after kerana Ahmad akhirnya melepaskan Raewyn manakala Rozita pula terlepas ke tangan orang lain akibat kehendak keluarga. Walaupun kakak Rozita mencadangkan Ahmad membawa Rozita lari ke New Zealand tetapi jiwa Ahmad sebagai seorang lelaki Melayu Islam tidak memungkinkan beliau berbuat demikian. Beliau tidak mahu Rozita menjadi derhaka selain mencemar nama keluarga kedua pihak. Dalam hal ini Ahmad berusaha menjadi positif dengan mengharapkan hikmah yang lebih besar di sebalik kejadian ini.

Buku terakhir ini sebenarnya turut menonjolkan kecemerlangan Ahmad. Berjaya menamatkan pengajian dalam masa yang singkat setelah mengambil kertas tahun dua dan tiga bersekali, kali pertama dalam sejarah universiti, berpeluang menyambung ke peringkat sarjana bahkan mewakili universiti dalam perundingan bersama universiti di amerika untuk mewujudkan satu rangkaian apa yang dinamakan internet pada hari ini.

Bekerja sambilan di Bank Nasional memberikan peluang kepada Ahmad untuk menimba pengalaman bahkan pandangan beliau banyak yang diterima pakai sehingga beliau menawarkan khidmat penggodaman bagi menguji kekuatan dan kelemahan sistem pertahanan bank.Ia membawa kepada penubuhan KWit, syarikat berasaskan IT bersama sahabatnya Usama. Memandangkan beliau bertaraf pelajar maka syarikat tersebut dibuka atas nama Usama. Syarikat berkenaan akan membuat pengujian dan penggodaman ke atas sistem sekuriti komputer di bank. Usama akhirnya mendapat pekerjaan tetap di Bank Nasional dengan Ahmad berada di bawahnya. Di sinilah mulanya wujud konflik antara dua orang sahabat. Ahmad yang menyedari hal ini tidak mahu ia berlarutan, meletakkan jawatan dan keluar dari KWit, namun persahabatan berjalan seperti biasa. Ia membuatkan hamba melihat kepada situasi kerja hamba ketika ini apabila kira-kira dua minggu lalu sahabat hamba yang sama-sama pergi menghadiri interview dan sama masuk kerja kini menjadi ketua hamba setelah ketua asal dinaikkan pangkat. Ya mungkin secara asasnya tiada masalah memandangkan sahabat itu juga baik orangnya. tetapi secara peribadi hamba tak sedap hati. Hamba khuatir suatu hari nanti akan timbul konflik dalam pekerjaan sehingga menjejaskan persahabatan. Hamba tidak mahu berundur seperti Ahmad kerana hamba lebih dahulu berada di organisasi berkenaan dan hamba telah mengetahui selok belok urusan pejabat dengan sebaiknya. Kenaikan sahabat hamba itu juga memberikan bayangan bahawa alangkah tidak cemerlangnya hamba apabila dipintas sahabat sendiri!

Unsur-unsur Islam masih diterapkan dalam buku ini apabila Josephine, rakan sekerja Ahmad secara mendadak meminta diIslamkan. Agak mengejutkan Ahmad kerana Josephine baru bekerja beberapa hari dan lebih dikenali dengan perangai yang hu ha hu ha serta pernah mengamalkan sex bebas. Namun pengalaman mengIslamkan Usama digunakan sebaiknya dan bersama rakan lain yang turut membantu.

Kisah perjalanan Ahmad ke beberapa buah negara seperti Australia, Amerika, Britain dan Jepun agak menerujakan memandangkan ketika itu maklumat pelancongan tidak mudah diperolehi seperti sekarang. Tetapi Ahmad berjaya mengisi setiap lawatannya dengan berkunjung ke banyak tempat serta mendapatkan sebanyak mungkin pengetahuan dan pengalaman. Bahkan waktu singkatnya kembali ke Malaysia turut dimanfaatkan dengan bekerja sebagai buruh bagi mendapat sedikit upah sebagai belanja yang turut diberikan kepada orang tua dan adik-adiknya.

Walaupun ada diselitkan kisah wanita lain seperti Helen, adik Usama yang seperti tertarik kepada Ahmad, Josephine serta kemunculan watak Shahzadeh di akhir buku namun penulis tidak menghuraikan dengan lebih lanjut meninggalkan pembaca berfikir sendiri kerana merasakan trilogi ini seperti tiada penamatnya...


PENGGODA DAN PENGGODAM r0eWy0 - Mohd Fudzail Mohd Nor



Buku kedua ini menghidangkan kisah yang lebih menarik berbanding buku pertama - Teruja Cinta Maori Wainuiomata. Memperlihatkan diri watak utamanya, Ahmad yang semakin dewasa. Berjaya menamatkan persekolahan menengah setahun lebih awal, Ahmad kini bergelar mahasiswa. Agak menerujakan permulaan buku ini dimulakan dengan kisah kembara Ahmad ke Pulau Utara secara hitch-hike ke Pulau Utara, melalui beberapa tempat sehingga ke Universiti Waikato, Hamilton untuk mendaftar. Ternyata New Zealand adalah sebuah negara yang aman tanpa Ahmad perlu takut akan berlaku perkara bersifat jenayah ke atasnya di dalam perjalanan. Bahkan ditunjukkan sifat murni beberapa warga New Zealand yang bukan hanya memberikan tumpang kenderaan mereka bahkan ada yang mempelawa untuk bermalam. Ternyata kisah hitch-hike beberapa hari ini memberikan banyak kisah yang menarik.

Entah apa charm yang ada pada Ahmad sehingga kelihatan seolah wanita mudah mesra dengan beliau. Ahmad ternyata diminati oleh dua wanita iaitu Rozita dan Raewyn bahkan Ahmad juga minat dengan mereka. Agak gentleman apabila Ahmad tidak menyembunyikan kisah Raewyn daripada Rozita. Namun Rozita berada dalam posisi yang lebih baik memandangkan beliau satu universiti dengan Ahmad, tinggal selang 3 pintu sahaja manakala Raewyn belajar di tempat yang lain. Namun jika hamba sendiri berada di tempat Ahmad pastinya sukar untuk membuat pilihan, dan ternyata dalam trilogi kedua ini Ahmad juga begitu.

Pada awal tahun 80an ini komputer masih lagi menjadi suatu yang alien. Keberadaan Ahmad di dalam pengajian sains komputer adalah amat baik kerana generasi inilah yang akan membawa kemajuan IT di bumi Malaysia. Amat menarik apabila Ahmad pada ketika ini sudah mula meminati aktiviti penggodaman sehingga pernah menggodam komputer universiti yang menggunakan satu sistem sekuriti yang dianggap kuat ketika itu. Bakatnya dalam komputer turut digunakan dengan berkhidmat sebagai kakitangan sambilan di Bank Nasional New Zealand dengan memperolehi pendapatan yang agak baik.

Terdapat segelintir pelajar bukan Melayu yang tidak senang dengan pelajar yang memperolehi biasiswa. Bahkan bangsa mereka sendiri yang memperolehi biasiswa kerajaan turut digelar anjing kerajaan. Agak malang apabila golongan minoriti ini turut memburukkan pelajar yang menerima biasiswa sehinggakan terdapat kakitangan universiti yang terpengaruh. Hal ini disulamkan dengan baik oleh penulis bermula dengan bab son of soil serta dalam beberapa bab lain. Ahmad mengambil hal ini secara positif dan melakukan counter dengan menunjukkan sifat kecemerlangannnya di dalam pelajaran serta pergaulan.

Buku ini turut menyentuh tentang perkembangan Islam di New Zealand yang dilihat agak asing dan baru. Teman serumah Ahmad yang berbangsa Kiwi akhirnya memeluk Islam - walaupun asalnya tertarik melihat keperibadian seorang pelajar Melayu - selain sememangnya sedang mencari-cari sesuatu yang bersifat rohani. Turut disentuh tentang jemaah Al-Arqam yang mulai meresapi ke dalam kelompok pelajar Malaysia di New Zealand. Mungkin agak mengejutkan bahkan hamba sifatkan sebagai tragedi apabila seorang pelajar yang dibuang sekolah kerana kerap ponteng akhirnya menyertai pergerakan hare rama hare krishna yang ternyata menyimpang dari akidah. Walaupun Ahmad terkejut melihat apa yang berlaku terhadap sahabatnya itu namun beliau tidak terus melatah bahkan menggunakan pendekatan yang baik untuk membawa kembali sahabatnya ke pangkal jalan.

Cabaran mula memasuki hubungan Ahmad dan Rozita apabila ibu beliau mahu menjodohkan beliau dengan seorang anak kenalan lamanya yang berpengaruh dan berharta. Ia menjadi pengakhiran buku ini yang akan bersambung ke buku trilogi yang terakhir.



Selasa, 1 September 2015

SAIFUL NANG KISAH ORANG MENANG


Apabila sahabat hamba saudara Khalid Rusli memberitahu bahawa beliau mengkhatamkan bujku ini dalam masa sehari sahaja, hambapun berasa boleh berbuat sedemikian. Tatkala itu hamba merasakan buku ini nipis sahaja. Rupanya buku ini berketebalan melebihi 400 mukasurat. Kata Khalid, buku ini walaupun nampak tebal tetapi saiz fontnya besar, banyak gambar serta artikelnya tidaklah panjang. Jadi walaupun tebal dari segi jumlah mukasurat, ia tidaklah tebal sebenarnya jika diambilkira faktor-faktor tadi. Tetapi hamba masih mengambil beberapa hari untuk menamatkannya. Kerja pejabat yang agak banyak, masa di rumah yang digunakan untuk urusan lain selain daripada buku jenis ini memang hamba suka baca secara perlahan dan akan hamba ulangi para tertentu jikalau ia menimbulkan minat kepada hamba untuk menghayatinya. Terima kasih buat saudara Khalid yang meminjamkan buku ini.

Nama Saiful Nang (SN) dalam dunia fotografi bukanlah suatu yang asing. Hamba juga kenal nama ini kira-kira tahun 2005 sewaktu hamba bergelanggang di laman Fotopages. Bezanya SN sahaja yang tidak kenal hamba, apatah lagi hamba bukannya menjadi 'lejen' dalam apa-apa bidang. Tulisan di dalam buku ini tidak lebih daripada pilihan tulisan beliau yang berada di blog ataupun FB, sesuatu yang hamba tidak jangka kerana mulanya hamba ingatkan ini merupakan satu tulisan baru yang fresh. Mujurlah hamba tidak mengikuti blog beliau maka tidaklah terasa seperti membaca dua kali walaupun ada di antara artikelnya pernah hamba baca melalui perkongsian rakan-rakan lain di dalam FB. Cuma hamba tidak pasti semasa proses pemilihan ini dijalankan adakah penulis atau editor sendiri ada membacanya buat kali kedua bagi mengemaskini ejaan dan tulisan memandangkan hamba terjumpa frasa 'sila tekan di sini' yang pada hamba diambil terus dari internet kerana pada entry tersebut ada link yang membolehkan pembaca menekan untuk ke laman lain.

Walaupun ada banyak senarai artikel, namun jika diteliti SN banyak mengulangi subjek yang sama, cuma dipersembahkan semula dengan gaya penceritaan yang berbeza seperti berikut;-

- Zaman hidup kanak-kanak beliau yang susah;
- Kreativiti yang terhasil akibat kesusahan tersebut;
- Cara beliau menukar masalah kepada cabaran;
- Pahit getir permulaan kerjaya SN sebagai jurugambar perkahwinan;
- Rumah Pengasih Warga Prihatin;
- Waqaf;
- Rasa hormat kepada boss;

....dan lain-lain lagi. Seringkali juga berada di beberapa tempat umpama keluhan/rungutan/sungutan/tidak puas hati (?) beliau kepada sikap segolongan yang pernah belajar dengan beliau tetapi akhirnya mula bersikap meninggi diri/melawan/tidak tahu menghormati sehingga seterusnya termasuk dalam kelompok yang menyeterui beliau. Terlalu kerap hamba menjumpai tulisan tentang perkara ini sama ada secara lansung atau tidak. Teringat hamba kepada satu tulisan yang pernah hamba baca 'janganlah kita mengharapkan terima kasih daripada manusia kerana jika tidak dapat ucapan itu akan membuatkan kita kecewa....'. Tak mahu hamba komen lebih-lebih tentang hal ini nanti SN pula kata hamba memandai-mandai bagaikan oostat yang sibuk nak memberi nasihat tetapi letak kaki sendiri entah di mana.

Sering SN bangkitkan dalam tulisan beliau tentang segolongan perwira papan kekunci yang sering menulis sesuatu yang membawa fitnah kepada beliau/penghinaan/yada yada yada bal bla yada yada yada (ini hamba pinjam SN punya). Well bagi hamba apabila SN terlalu kerap menerimanya mungkin ada sesuatu yang tidak kena. Bukan maksud hamba SN perlu berundur atau mengalah cuma mungkin SN boleh kembali kepada ayat ini; 


16:125

Invite to the way of your Lord with wisdom and good instruction, and argue with them in a way that is best. Indeed, your Lord is most knowing of who has strayed from His way, and He is most knowing of who is [rightly] guided.

Sekali lagi hamba tak mahu ulas panjang nanti dikatakan lagi hamba memandai -mandai. Pandai sebut ayat, amal yillek phoochit.......

Bak kata Fynn Jamal - 'Tak suka pun takpeeeeee.....'


PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...