Monday, December 31, 2012

SEBUAH KARTUN LAMA

Ketika hamba mengemas bilik peralatan hamba yang sentiasa bersepah itu, hamba terjumpa dua buah Buletin PPTGWPKL, sebuah penerbitan sewaktu hamba bertugas di Pejabat Pengarah Tanah & Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur lebih 10 tahun yang lalu. Terhentilah hamba seketika membelek-belek majalah tersebut. Maka terpandanglah hamba satu kartun yang hamba lukiskan untuk majalah tersebut yang mana hamba sendiri sudah hampir terlupa akan kewujudannya.

Hamba amat sukakakan lukisan kartun, malah hamba boleh katakan hamba membesar dengan majalah-majalah sebegitu. Melihat akan bapa saudara hamba yang suka dan pandai melukis, maka hamba cuba-cuba untuk mengikut jejak hobi beliau tersebut. Hamba semakin seronok dengan hobi melukis kartun tersebut apabila berjumpa sahabat-sahabat sealiran sewaktu di sekolah menengah. Tambah memberansangkan apabila hamba berpeluang melawat pejabat majalah Gila-Gila, sebuah penerbitan humor yang popular di zaman tersebut. Sempat hamba melahirkan sebuah komik panjang sewaktu di tingkatan 3 untuk majalah kenang-kenangan kelas hamba.

Namun hobi ini semakin malap apabila hamba berada di peringkat universiti. Kerana hamba telah mula meninggalkan pen lukisan, maka lama kelamaan skill itu semakin hilang. Andainya hari ini hamba diminta melukis gambar seekor kucing, mungkin kucing itu akan berupa kereta kebal. Namun walaupun hobi itu hamba tinggalkan, hamba masih lagi membaca komik-komik yang sewaktu dengannya. Walaupun tidak berjaya menjadi seorang kartunis, hamba menyokong industri komik tempatan!!


Saturday, December 29, 2012

ULASAN BUKU : MEMALI KENANGAN SEORANG POLIS

Hamba tak berfikir lama untuk merembat buku ini sebaik sahaja melihatnya di sebuah kedai buku beberapa hari yang lalu. Peristiwa berdarah Memali merupakan antara satu titik hitam dalam lipatan sejarah negara. Ketika peristiwa itu hamba masih kecil lagi dan berada dalam darjah empat. Namun hamba masih ingat klip video peristiwa tersebut kerapkali disiarkan di televisyen ketika itu. 

Setelah berlakunya peristiwa itu, kerajaan telah mengeluarkan satu kertas putih memberikan penjelasan mengenai kejadian tersebut (kertas tersebut disiarkan semula di dalam buku ini). Namun di pihak yang satu lagi mereka tentunya tiada medan untuk bersuara. maka ketika itu peristiwa tersebut dari pandangan mereka hanya boleh didapati melalui salinan-salinan  fotostat yang diedarkan oleh mereka yang tidak dikenali. Akhirnya setelah dunia semakin maju dengan teknologi internet, kisah Memali boleh dijumpai dipelbagai laman web dan blog. Selain itu ada juga beberapa buku turut dihasilkan terutamanya yang ditulis oleh CN Al Afghani.

Namun buku ini cukup berbeza. Berbeza kerana inilah pertama kali peristiwa ini ditulis dari pandangan seorang pegawai polis yang terlibat secara lansung dalam peristiwa tersebut. Dengan kata-kata yang tertulis di hadapan buku tersebut "Saya cuma dapat menceritakan apa yang saya nampak dan dengar dan rasakan...." ia membayangkan kepada kita bahawa penulis cuba menyampaikan apa yang sebenarnya berlaku tanpa sebarang tokok tambah.

Penulis buku ini, Tunku Muszaffar Shah bin Tunku Ibrahim, merupakan OCPD Baling ketika kejadian itu. Beliau juga merupakan adinda kepada Tunku Abdul Aziz, mantan Timbalan Pengerusi Transparency International juga mantan senator yang mewakili DAP. Hamba membaca dengan teliti buku tulisan beliau dan berpuas hati bahawa beliau cuma menyampaikan apa yang berlaku pada pandangan mata beliau, tanpa sebarang kecenderungan untuk memihak kepada sesiapa. Bahkan beliau cukup terhutang budi bahkan nyawa kepada seorang kanan Ustaz Ibrahim Libya iaitu Yusuf Husin yang menyelamatkan beliau setelah dikepung sekumpulan orang yang berada dalam keadaan marah dengan sebahagiannya membawa senjata. Dan satu hari semasa beliau berbual dengan kekandanya tentang peristiwa itu di bangunan parlimen, maka nama itu terpacul semula. Ditakdirkan Allah, rupanya Yusuf Husin ketika itu juga merupakan seorang senator di Dewan Negara dan duduk bersebelahan dengan Tunku Aziz. Sedikit tulisan Senator Yusuf mengenai peristiwa tersebut juga ada dimasukkan di dalam buku ini.

Membaca semula kertas putih tersebut, hati hamba kadangkala berkata ada sesuatu yang boleh hamba katakan tidak masuk akal tercatat di situ. Sebagai pelajar agama hamba tidak yakin seorang tokoh agama akan membuatkan tangkal kebal untuk pengikutnya. Bahkan membaca buku ini dari kacamata seorang polis juga membuatkan hamba nampak adanya yang tidak kena mengenai laporan kertas putih tersebut. Walau apa sekalipun, hamba berpandangan bahawa peristiwa berdarah ini tidak sepatutnya berlaku dan boleh diselesaikan dengan jalan yang paling baik. Ini kerana pihak yang ingin diberkas adalah seorang tokoh agama, pendakwah dan bukannya seorang penjenayah apatah lagi pengganas. Sikap tidak sabar serta strategi yang silap akhirnya membawa kepada pertumpahan darah yang nyata merugikan kedua belah pihak bak kata pepatah yang menang jadi arang , yang kalah jadi abu. Melalui buku ini para pembaca boleh menilai sendiri strategi dan tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa.

Sudah lebih 27 tahun peristiwa berdarah Memali berlalu. Mungkin sudah tiba masanya ada pihak yang patut memohon maaf dan mengakui kesalahannya!!

Monday, December 24, 2012

ULASAN BUKU : MISTERI DUNIA, RAHSIA DI SEBALIK RAHSIA


Ramai yang suka kepada perkara-perkara misteri. Lantaran itu buku-buku sebegini amat laris di pasaran. Bukan sahaja buku, bahkan dokumentari, drama tv dan filem sebegini biasanya akan turut mendapat perhatian. Barangkali cerita misteri yang paling mendapat sambutan adalah siri The X-Files yang pernah disiarkan lebih 10 tahun yang lalu.
Buku ini mengandungi 54 kisah misteri yang berlaku di serata dunia. Kebanyakannya telahpun pernah hamba baca di mana-mana kecuali satu atau dua perkara sahaja seperti batu Inca dan cakera Droopa. Penulis tidaklah menghuraikan dengan panjang lebar akan sesuatu perkara itu, sekadar maklumat ringkas untuk pengetahuan sahaja. Ini membuatkan diri hamba berasa tidak puas kerana kebanyakan fakta telah hamba ketahui. Hamba inginkan sesuatu yang baru dan lebih terperinci. Kadang-kadang sambil membaca hamba akan google gambar-gambar di internet mengenai subjek yang dibaca. Kadang-kadang hampa juga bila melihat beberapa gambar yang ada di dalam buku tersebut sama seperti yang ada dalam internet. Nampaknya penulis juga ambil jalan mudah dengan mengumpul maklumat daripada sumber yang mudah dicari.
Apapun buku ini sesuai untuk bacaan sesiapa sahaja demi untuk pengetahuan. Hamba sendiri tidak pasti sama ada hamba membelinya kerana hamba meminati perkara yang misteri. Yang pasti hamba membelinya kerana tawaran diskaun yang memang potong habessss.

ULASAN BUKU : LOVE @ SKOOL.COM


Ia merupakan kompilasi kisah dengan tajuk yang sama yang pernah tersiar di majalah G3 oleh kartunis Suraya yang juga dikenali dengan nama Jon/Joned. Kisahnya amat biasa, mengenai persahabatan sekumpulan pelajar di sebuah sekolah dengan penceritaannya berkisar sekitar watak Arina dan Adi. Watak Arina agak brutal dan selalu membuli Adi seorang yang bijak, suka membaca dan buta warna.
Sejujurnya hamba lebih meminati gaya lukisan Suraya berbanding dengan penceritaannya. Watak-watak kartun beliau walaupun ada elemen manga, namun masih ada sentuhan gaya tempatan. Lukisan beliau juga kemas dengan subjek yang biasanya tampil dalam rupa yang comel dan kemetot.
Kartunis Suraya kini tidak lagi bersama dengan G3. Hamba ada terlihat lukisannya di majalah Apo. Barangkali beliau telah berhijrah ke sana.

Monday, December 17, 2012

ULASAN BUKU : KASIH ISABELLE


Hamba memang sukakan komik, majalah kartun atau novel grafik. Mungkin sebab dari kecil lagi hamba dah membaca bahan bacaan sedemikian. walaupun masa hamba sekolah dahulu para guru amat tidak menggalakkan murid membaca bahan bacaan sedemikian, namun bagi hamba bahan bacaan seperti itulah yang menyemai minat hamba untuk membaca.

Komik Kasih Isabelle ini sebenarnya adalah untuk bacaan pelajar sekolah rendah. Namun hamba masih boleh layan isi kandungannya. Ia merupakan kompilasi komik daripada majalah Bintang Kecil. Sebagai peminat komik, hamba tak kisah walaupun ia tidak sesuai untuk remaja tuan seperti hamba.

Ia merupakan sebuah kisah ringan bertemakan persahabatan. Walaupun tajuknya menggunakan nama Isabelle, hamba seolah rasa penumpuan utamanya lebih kepada watak Thalia. Apapun ia baik untuk bacaan anak-anak di rumah. Cuma hamba tak berapa berkenaan dengan tema percintaan yang dibawakan. Bukan apa, kanak-kanak mudah menyerap apa yang dibaca. Hamba tak mahu nanti dalam usia yang mentah anak-anak kita dah mula berfikir nak bercouple. Kadang-kadang pelukis dan penulis juga perlu berfikir panjang, adakah karya mereka meningkatkan kemajuan kanak-kanak atau menghanyutkan mereka dalam dunia khayalan.

ULASAN BUKU : BIOGRAFI SYED MOKHTAR ALBUKHARY

Tidak banyak kisah mengenai salah seorang yang terkaya di Malaysia ini diketahui ramai. Ini lantaran sifatnya yang begitu merendah diri dan tidak mahukan publisiti. Kerana itulah hamba terus sahaja menyambar buku ini tatkala melihatnya di kedai buku minggu lalu. Buku itu terus hamba baca dengan penuh minat walaupun ketika itu hamba belum lagi menghabisi sebuah buku yang sedang dibaca. Sesungguhnya membaca kandungan buku ini dari muka ke muka amat menerujakan kerana kebanyakan cerita yang disampaikan adalah perkara baru yang belum hamba ketahui. Namun hamba percaya sebenarnya banyak lagi kisah kejayaan atau susah perit yang dihadapi oleh Tan Sri Syed Mokhtar yang tidak dipaparkan atau sengaja tidak diceritakan kepada penulis biografi ini, Premilla Mohanlal, memandangkan sifatnya yang merendah diri tersebut.

Jika diperhatikan, Syed Mokhtar ada sedikit persamaan dengan kebanyakan jutawan dunia yang lain iaitu mereka tidak berpendidikan tinggi. Namun atas usaha mereka yang gigih serta kepintaran semulajadi mereka, mereka membina empayar perniagaan yang besar sehingga mampu memberikan pekerjaan kepada orang lain pula. Sedangkan orang seperti kita yang kononnya bijak, belajar sehingga ke peringkat yang tinggi, tidak mampu untuk mereka kerja untuk diri sendiri dan akhirnya menjadi seorang pemakan gaji. Daripada seorang peniaga lembu, beliau meningkat sedikit demi sedikit kepada pengusaha lori pengangkut, peniaga beras dan akhirnya memiliki beberapa buah syarikat besar seperti MMC, Tradewinds (PERNAS), DRB-HICOM dan lain-lain. Walaupun ada tuduhan mengatakan beliau sebagai kroni orang tertentu, namun jika diteliti beliau hanya mengenali individu tersebut setelah beliau telahpun maju dalam perniagaan dan menjadi jutawan. Bahkan beberapa syarikat yang berjaya dimiliki beliaupun diserahkan ketika syarikat tersebut berada dalam keadaan tenat dan tidak menjana keuntungan. Namun berkat usaha beliau syarikat tersebut perlahan-lahan bangkit menjana keuntungan. Ketika zaman Pak Lah berkuasa, beberapa projek yang telah dianugerahkan kerajaan kepada beliau telah ditarik balik. Namun sebagai seorang yang telah biasa mengalami kepayahan, beliau tidak mengalah bahkan mencari ruang niaga di sebelah timur tengah. Benarlah rezeki itu ada di mana-mana. Tanpa sifat putus asa beliau telahpun dekenali di dunia sebelah sana dan orang di sana jikalau ingin berniaga di sini akan mencari beliau.

Satu perkara yang beliau pegang adalah perniagaan dan kebajikan perlu seiring. Tiada siapa boleh menafikan hal tersebut dan beliau melakukannya tanpa perlu kepada publisiti. Hamba melihat ini sebagai keberkatan pendidikan ibu beliau yang telah menggalakkan anaknya melakukan kebajikan semenjak awal lagi. Ia menjadi pengajaran kepada diri hamba sendiri bahkan kita semua agar memperuntukkan sedikit apa yang kita ada untuk kesejahteraan orang lain. Mungkin berkat daripada kesungguhan dicampur dengan doa orang yang pernah dibantu beliau maka rezeki yang ada tidak pernah putus.

Saturday, December 15, 2012

JUALAN SERIGALA BESAR YANG JAHAT


Credit to Big Bad Wolf Books Facebook

Pagi tadi sampai juga hamba ke MIEC untuk mengunjungi pameran buku yang dikatakan menawarkan harga yang gila-gila. Memandangkan tahun lepas hamba tidak berpeluang mengunjungi pameran ini, maka gambaran hamba ia sama juga dengan pameran biasa yang pernah hamba kunjungi.

Walaupun ketibaan hamba pada jam 9 boleh dianggap awal, namun kelihatan telah ada pengunjung yang sedia untuk meninggalkan tempat tersebut setelah membeli buku. Maknanya mereka telah berada lebih awal lagi. Apatah lagi pameran tersebut kini telah mula dibuka untuk 24 jam. Hamba yang pada mulanya kehairanan melihat beberapa pengunjung yang membawa beg pakaian yang besar akhirnya memahami kenapa mereka berbuat demikian.

 Ternyata apa yang diiklankan tentang tawaran diskaun pada harga yang gila-gila adalah benar. Sesuatu yang agak payah untuk ditemui pada pameran buku yang lain seperti Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Buku yang dijual kebanyakannya berbahasa Inggeris, hanya ada sedikit yang berbahasa Melayu, itupun tajuknya tidak menarik minat hamba kerana lebih kepada cintan cintun. Walaupun murah, ia bukanlah buku yang terlalu lama tarikh cetakannya. Lagipun bagi hamba walaupun sesebuah buku telah dicetak puluhan tahun yang lalu, ia tidak basi kerana ilmu pengetahuan tidak pernah ada tarikh luput.

 Agak menggembirakan hamba kerana menemui beberapa komik dalam bentuk berjilid yang hamba tahu kalau harga biasa ia memang mahal. Namun berbanding dengan novel Inggeris, ia agak mahal juga. Ini kerana rata-rata novel Inggeris ditawarkan pada harga RM8, manakala komik pula antara RM15 ke RM30. Hamba turut menyambar beberapa buku berbentuk coffe table yang biasanya berharga beratus ringgit dan hamba memperolehinya dengan harga antara RM12 ke RM55 sahaja. Sedang memerhati buku, mata hamba ternampak juga Ustaz Usman Al Muhammadi, seorang tokoh agama yang selalu muncul di kaca televisyen turut memilih buku untuk dibeli.

Kalau ikutkan nafsu memang hamba nak memborong lagi. Tapi hamba terpaksa kawal memandangkan dompet hamba agak kempis memandangkan hamba baru sahaja pulang melancong bersama keluarga. Tambahan pula dua minggu sebelum itu telah hamba belanjakan sedikit pada jualan gudang Karangkraf.

Hamba ingat kena menabung untuk ke pameran ini tahun hadapan....


Credit to Big Bad Wolf Books Facebook


Friday, December 7, 2012

SUPER PAGES PHOTOGRAPHY CONTEST 2012


Lama sungguh rasanya tak memenangi sebarang hadiah dalam pertandingan fotografi. Pertandingan pun tak banyak, kalau adapun saingannya cukup hebat. Al maklum hari ini teramat ramai yang telah menggunakan DSLR serta mahir mengendalikannya. Jadi sudah tentulah penghasilan imejnya amat berkualiti. Namun bak kata seorang jurugambar, semua orang boleh mengambil gambar tapi bukan semua orang dapat menghasilkan gambar yang menarik.

Dalam beberapa pertandingan yang hamba sertai tahun ini, akhirnya sangkut juga satu. Gambar hamba terpilih pemenang top 4-12 dalam Super Pages Photography Contest 2012 yang diadakan secara online. Penjuriannya dibuat secara juri dan bilangan like di laman web. Hamba sengaja tidak mempromosi gambar hamba di facebook. Sengaja mahu melihat sambutan sebenar daripada pengunjung web berkenaan. Lagipun menurut maklumat pertandingan, gambar yang menang berpeluang dicetak di atas kalendar. Jadi hamba fikir walaupun gambar itu ada like yang banyak tapi kalau tidak sesuai untuk kalendar tentunya tidak akan dipilih juga.

Gambar di atas merupakan gambar-gambar yang terpilih. Anda nilai sendirilah pemenang yang dinyatakan. Secara peribadi memang hamba frust dengan gambar tempat pertama tu. Hamba rasa saguhati pun tak layak.....

Sewaktu mengambil hadiah, seorang official memaklumkan, gambar hamba cantik cuma tangan anak hamba disebelah kiri gambar terpotong sedikit. Apa-apa lah, itu lebih baik dari gambar skodeng anjing!!


Wednesday, December 5, 2012

BIG BAD WOLF SALE 2012




Tahun lepas masa depa buat sale, hamba berkampung di hospital sampai habis hari jualan. Tahun ni harapnya Allah Taala beri hamba kesihatan untuk pergi membeli buku. Hamba pun baru tahu beberapa hari yang lalu je selepas sahaja hamba berhabis di jualan gudang Karangkraf. Tapi tarikan yang ini juga kuat. Hajatnya nak mencari buku berkenaan fotografi.
 
Tahun ini ia diadakan di MIEC, Serdang dengan 3 juta buku, diulangi 3 juta!!! Dan paling best ia 63 jam tanpa henti, maknanya anda boleh datang pukul 3 pagi sekalipun untuk membeli buku.
 
Apo laei, moh kito!!

Tuesday, November 27, 2012

TEWAS DI MALAM PERTAMA



Rata-rata sahabat hamba di laman sosial menukilkan mesej yang negatif berkenaan prestasi Harimau Malaya yang tewas kepada Singapura dua malam yang lalu. Bahkan laporan di akhbar-akhbar tempatan juga membawakan nada yang serupa. Kekecewaan ini dapat difahami kerana pasukan kebangsaan sebelum itu tidak pernah menang dalam beberapa siri perlawanan persahabatan, bahkan Bangladesh yang kedudukannya rankingnya lebih bawah itupun tidak mampu dibaham Harimau Malaya.

Lebih mengecewakan apabila kekalahan kepada sang singa tempohari adalah disebabkan ‘gol-gol bodoh’ bahkan gol yang terakhir hanya dijaringkan oleh singa tua. Apa sudah jadi dengan pemain kita. Kalau seorang dua prestasinya hambar bolehlah kita terima. Tetapi apabila hampir keseluruhan pasukan membawa gaya yang sama, apa lagi yang boleh kita katakan. Walaupun sejarah lalu pertandingan menunjukkan kita kecundang di awal permainan dan akhirnya bangkit sehingga menjuarai pertandingan, itu tidak boleh dijadikan alasan. Harimau Malaya perlu sedar bahawa pasukan yang lain juga tentunya sudah membuat persediaan yang rapi serta meningkatkan prestasi pasukan. Janganlah kecemerlangan yang telah diperolehi sejak beberapa tahun ini berakhir begitu sahaja sehingga kita kembali menjadi budak belasahan.

Sepuluh tahun yang lalu boleh dikatakan amat sukar untuk melihat penyokong memakai jersi pasukan kebangsaan di mana-mana. Bahkan boleh dikatakan bahawa orang ramai segan untuk memakainya memandangkan prestasi pasukan yang agak hambar. Namun apabila berlakunya kebangkitan, peminat mula membanjiri stadium. Baju replika pasukan kebangsaan begitu laris dan dijual di mana-mana hatta di pasar malam. Orang ramai mula meminati bolasepak sehingga pernah seketika nama Harimau Malaya diperdebatkan kerana kata mereka perkataan Malaya itu tidak melambangkan Malaysia. (Itu kata-kata mereka yang meminati bola secara mee segera. Harimau Malaya adalah nama spesis harimau, kalau diubah kepada harimau Malaysia, spesis itu tidak ada di dunia ini…)

Justeru, tiada alasan lagi untuk kecundang. Janganlah nanti jersi yang bangga disarung oleh peminat akhirnya menjadi balutan nangka di belakang rumah….

Wednesday, November 14, 2012

PEDALAMAN SARAWAK – KUALA PALOH


Antara semua kawasan yang hamba lawati di pedalaman Sarawak dahulu, destinasi terakhir ini berkemungkinan agak baik daripada yang sebelumnya. Ini memandangkan ia mempunyai kemudahan elektrik dan air bersih yang disediakan kerajaan. Walau bagaimanapun untuk sampai ke Kuala Paloh tidaklah mudah kerana ia tidak dihubungi oleh jalan darat. Perjalanan ke sana perlu menggunakan bot memandangkan Kuala Paloh terletak di tepi laut dan merupakan sebuah perkampungan nelayan.

Kalau sebelum ini klinik yang hamba lawati, kipas di siling tidak lebih sekadar perhiasan, di klinik Paloh bolehlah menikmati sedikit keselesan. Bahkan hamba juga terkejut melihat sekolah yang berdekatan – SK Orang Kaya Muda Pakeri Paloh – amat moden dan besar sekali, tidak seperti berada di kawasan pedalaman. Cuma kuarters gurunya saja nampak daif.

Walaupun ada kemudahan asas, ia tetap kawasan pedalaman. Jauh dari bandar, jauh dari kemodenan. Insan yang telah biasa dengan segala gajet canggih di tangan mungkin kecewa di sini kerana tidak dapat menggunaknnya secara optima. Bukannya mudah untuk menghantar manusia bekerja di sini kerana mereka terpaksa berjauhan daripada keluarga dan sanak saudara. Untuk mengunjungi mereka juga bukanya mudah untuk mendapat pengangkutan. Apatah lagi upah yang dikenakan biasanya amat mahal. Kebiasaannya orang di sini hanya akan keluar apabila ada keperluan sahaja dan membeli stok barangan keperluan yang secukupnya.


Tahniah buat mereka yang sanggup berkorban untuk bertugas di tempat sebegini. Hanya Allah lah jua yang membalas jasa baik dan budi anda semua.


ULASAN BUKU : BUKTI-BUKTI SAINS & SEJARAH KERASULAN MUHAMMAD


Membaca tajuknya sahaja sudah cukup menerujakan, apatah lagi apabila membacanya. Walaupun kita biasa mendengar atau membaca kisah tentang junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., kita mungkin tidak begitu mengetahui tentang kisah baginda yang turut tercatat dalam beberapa kitab agama lain. Begitu juga dengan pandangan beberapa orientalis yang mengkaji tentang Islam dengan ikhlas dan berlapang dada. Walau bagaimanapun secara peribadi saya merasakan catatan di dalam buku ini terlalu ringkas dan saya terlalu dahagakan kepada penerangan yang lebih lanjut lagi. Tajuk ini terlalu besar namun hanya mengandungi 195 mukasurat sahaja. Saya yakin penulis boleh membuat kajian dengan lebih mendalam lagi sepertimana Muhamad Alexander @ Wisnu Sasongko membuat kajian mendalam terhadap beberapa penulisannya berkaitan Alexander The Great dan Yakjuj Makjuj.

Agak menerujakan membaca beberapa catatan di dalam bible, vedas, purana serta gospel of Buddha mengenai Rasul akhir zaman yang sifatnya bertepatan dengan Nabi Muhammad s.a.w. Bahkan beberapa tokoh agama mereka yang membuat kajian yang mendalam akhirnya memeluk Islam setelah meyakini akan kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad.

Kita lihat satu petikan dalam gospel of Buddha; “O Nanda, I am not the first Buddha in this world, nor am I the last. In time, there will appear a Buddha in this world, who will give the teachings of Truth and charity. His disposition will be pure and Holy. His heart will be clean. He will possess knowledge and wisdom. He will be the leader and guide of all men. He will teach the Truth, as I have taught the Truth. He will give the world a way of life which will be pure and at the same time complete. O Nanda, his name will be Maitreya” (Gospel of Buddha by Carus, page 217)

Maitreya bermaksud  merciful atau Pembawa Rahmat (majalah The Leader keluaran 16 Oktober 1930) yang mana ia selari dengan maksud firman Allah dalam surah Al Anbiya’ ayat 107 “Tidak kami utus kamu Muhammad, melainkan sebagai pembawa rahmat kepada seluruh alam.” Petikan tersebut juga memberi gambaran bahawa Rasul yang akan datang merupakan penutup segala Nabi memandangkan dia akan membawa cara hidup yang suci dan lengkap.

Baca juga petikan dari vedas dan purana yang menyebut tentang Naharangsa, Antim Rishi, Kalki Avatar dan Ahamidi.

Beberapa kajian yang dilakukan oleh orientalis yang ikhlas serta tidak memihak dalam melakukan kajian telah menyerlahkan lagi keagungan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Bahkan beberapa antara mereka merupakan pendeta,  mempunyai kedudukan yang tinggi serta berpengetahuan mendalam dalam agama asal mereka, namun akhirnya kembali kepada Islam kerana meyakini akan kebenarannya. Saya nukilkan beberapa petikan kata-kata mereka.

”My choice of Muhammad to lead the list of the world's most influential persons may surprise some readers and may be questioned by others, but he was the only man in history who was supremely successful on both the religious and secular levels. Of humble origins, Muhammad founded and promulgated one of the world's great religions, and became an immensely effective political leader. Today, thirteen centuries after his death, his influence is still powerful and pervasive.” – Michael H. Hart.

“The christians and their missionaries have presented a horrible picture of Islam. Not only that, they also carried out and organized and planned propaganda against the personality of Prophet Muhammad and the religion he preached. I have very carefully studied Islam and the life of its Prophet. I have done so both as a student of history and as a critic. And I have come to the conclusion that Mohammad was indeed a great man and a deliverer and benefactor of mankind which was till then writhing under a most agonizing pain.” – George Bernard Shaw.

“Not a single one could explain how Jesus was supposedly God, and how, at the same time, he was supposedly the Father, Son and Holy Ghost wrapped up into one and yet was not a part of the trinity. Several preachers finally had to concede that they did not understand it but that we were simply required to believe it. Cases of adultery and fornication went unpunished. Some preachers were hooked on drugs and had destroyed their lives and the lives of their families. Leaders of some churches were found to be homosexuals. There were pastors even guilty of committing adultery with the young daughters of other church members. All of this coupled with a failure to receive answers to what I thought were valid questions was enough to make me seek a change.”
– Kenneth L. Jenkins.


“Who is this Muhammad? I found out that Muslims do not pray to him like the Christians pray to Jesus. He is not an intermediary and in fact it is forbidden to pray to him. We ask blessing upon him at the end of our prayer but likewise we ask blessings on Abraham. He is a Prophet and a Messenger, the final and last Prophet. In fact, until now, one thousand four hundred and eighteen years (1,418) later there has been no prophet after him. His message is for All Mankind as opposed to the message of Jesus or Moses (peace be upon them both) which was sent to the Jews. “Hear O Israel” But the message is the same message of Allah. “The Lord Your God is One God and you shall have no other gods before Me." Mark 12:29).” – Professor Sue Watson.

Kesimpulannya buku ini amat bermanfaat buat mereka yang ingin mencari pengetahuan, tidak terhad kepada orang Islam sahaja bahkan sesuai untuk pengetahuan yang bukan Islam. Beberapa kesilapan ejaan yang ada perlulah dilakukan penambahbaikan memandangkan ia didakwa sebagai bestseller serta telah dicetak beberapa kali. Amatlah tidak wajar buku yang di cetak melebihi sekali masih lagi membawa kesilapan cetakan pertamanya.

Thursday, November 1, 2012

HURRICANE SANDY



Taufan Sandy yang membadai Amerika Syarikat telah membawa kemusnahan besar kepada negara tersebut. Ia telah melumpuhkan kotaraya New York sehingga putus bekalan elektrik dan 375,000 penduduknya terpaksa dipindahkan. Sekurang-kurangnya 46 orang terbunuh di lima negeri di Amerika Syarikat. Manakala kerugian pula dianggarkan sebanyak USD50 billion (RM155 billion). Rasanya ini cabaran besar buat Datuk Bandar New York Michael Bloomberg. Satu ketika dahulu beliau pernah dianggap wira semasa peristiwa 911, namun petaka kali ini nyata lebih besar dari 911. Bukan saja cabaran pada Datuk bandar, malah ia juga cabaran buat calon presiden Amerika. Dengan baki 6 hari sahaja lagi sebelum pilihanraya Presiden, calon yang berupaya mengambil peluang daripada tragedi ini mungkin boleh mengubah undi rakyat Amerika terhadapnya.

Dalam huru hara bencana tersebut, terdapat jurugambar yang masih menjalankan tugas mereka merakamkan gambar kejadian untuk tatapan umum. Saya paparkan beberapa gambar tersebut yang sempat dirakamkan beberapa jurugambar berita antarabangsa.
























Wednesday, October 31, 2012

PEDALAMAN SARAWAK : NANGA TAMIN


Klinik Masyarakat di Nanga Tamin hanya diterajui oleh 3 orang Jururawat Masyarakat. Tentunya sesuatu yang membosankan bagi mereka yang telah biasa bekerja dalam pejabat yang mempunyai ramai pekerja. Persekitaran klinik amat bersih dan teratur. Di satu sudut tingkap di belakang klinik saya melihat deretan telefon bimbit yang diletak menegak. Akhirnya saya dimaklumkan bahawa hanya di kawasan tersebut sahaja sekali sekala isyarat telefon bimbit dapat diperolehi.

Di klinik inilah buat pertama kalinya kami dijamu dengan makan tengahari. Hamba amat terharu dengan susah payah kakitangan klinik untuk mendapatkan barang untuk dimasak terutamanya ayam yang disembelih. Pastinya kos untuk mengahadirkan perkara-perkara tersebut amat tinggi berbanding jikalau dibeli di bandar. Ternyata masakan mereka amat enak sehingga ada rakan yang menambah.

Hanya ada empat orang Muslim di perkampungan ini – seorang jururawat klinik dan bakinya guru yang mengajar di sekolah rendah berhampiran. Lantaran itu mereka berasa amat kesunyian terutama bila mahu melakukan ibadah bersama. Berempat orang inilah yang menghidupkan tarawih di sepanjang Ramadhan yang lalu.

Difahamkan ini merupakan rumah persinggahan bagi
penjaga yang mempunyai anak yang bersekolah di sini.
Terletak kurang 1km adalah Sekolah St. Mark. Bangunan sekolah serta kuarters gurunya kelihatan agak usang, bahkan rumah setinggan di Kuala Lumpur rasanya lebih baik lagi keadaannya. Inilah pengorbanan yang terpaksa ditempuhi oleh sebilangan penjawat awam dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik sehingga ke kawasan pedalaman. Apabila disapa oleh seorang murid yang mengucap selamat dalam bahasa Inggeris, dapat saya lihat bahawa pengajaran bahasa asing amat dititikberatkan walaupun kanak-kanak ini mungkin tidak berpeluang lansung untuk mempraktikkannya.

Sebolehnya para petugas klinik mahu kami berada lebih lama lagi di sana memandangkan mereka amat jarang menerima pelawat. Namun kami masih banyak lagi tugas yang perlu dilakukan. Sepatutnya dalam jadual kami akan bermalam di sana, tetapi pihak urusetia tidak mahu membebankan petugas memandangkan kemudahan air bersih yang agak terhad. Insya Allah ada rezeki akan kami ke mari lagi.

 
Bukan stor tetapi inilah tandas bagi asrama lelaki





 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...