Ahad, 25 Mei 2014

BERAPA BANYAK LAGI BABI YANG HARUS DITELAN UMAT ISLAM?

Pertama sekali hamba mengucapkan tahniah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia kerana mendedahkan tembelang kandungan babi pada dua jenis coklat jenama Cadbury. Sesungguhnya pendedahan ini akan mengelakkan umat Islam terus terjebak di dalam pengambilan bahan yang mengandungi unsur yang diharamkan. Hamba yakin telah ribuan umat Islam menjamah Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast yang mengandungi DNA babi itu. Sesungguhnya ini adalah satu pengkhianatan yang besar buat umat Islam dan sewajarnya syarikat berkenaan diambil tindakan keras serta diharamkan terus kewujudannya di bumi Malaysia ini. Keras sangatkah cadangan hamba? Tidak rasanya kerana pengkhianatan mereka itu jauh lebih keji lagi. Bukan sahaja orang awam yang ditipunya, bahkan pekerja mereka yang Muslim juga hamba yakin turut didustai mereka.

Barang diingat bahawa kedua-dua coklat tersebut sebelum ini diberikan status halal oleh JAKIM. Timbul persoalan di dalam diri hamba adakah ketika ujian sampel coklat berkenaan sebelum ini (semasa hendak mendapat persijilan halal), Jabatan Kimia terkhilaf ketika membuat penilalaian ataupun bahan tersebut sememangnya tidak ada di dalam coklat tersebut? Dan adakah setelah sahaja mendapat persijilan halal syarikat tersebut dengan sengaja memasukkan bahan tambahan yang mengandungi porcine ke dalam coklat tersebut? Persoalan ini perlu dijawab dengan telus oleh syarikat Cadbury.

Ini bukanlah kali yang pertama umat Islam di negara ini ditipu hidup-hidup. Sebelum ini sos Tabasco juga dikesan mengandungi unsur babi. Sos yang terhidang di restoran Pizza Hut tersebut telah memasuki ratusan ribu perut umat Islam. Agak menghairankan kerana restoran berkenaan mempunyai persijilan halal serta mempunya jawatankuasa syariah yang memantaunya. Kenapa boleh terlepas perkara-perkara yang sebegini.

Hamba mohon ampun dari Allah seandainya hamba ada termakan perkara haram tanpa hamba sedari. Janganlah kiranya ya Allah bahan yang termakan itu nanti dibakar dengan api-Mu yang maha hebat itu!!

Berikut adalah merupakan kenyataan akhbar Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah, Ketua Pengarah Kessihatan Malaysia mengenai perkara tersebut.


Sabtu, 24 Mei 2014

MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG JABATAN KESIHATAN NEGERI SELANGOR




Kali terakhir hamba bertugas dalam majlis seperti ini adalah lebih 10 tahun yang lalu. Ketika itu hamba diberi tanggungjawab sebagai pengacara majlis. 15 Mei yang lepas hamba sekali lagi terlibat dalam majlis seperti ini, kali ini sebagai pengerusi Jawatankuasa Pendaftaran pula. Hamba bertuah kerana anak-anak buah hamba amat berpengalaman dalam pengendalian tugasan di majlis ini. Maklumlah sudah bertahun-tahun mereka melakukannya. Sekalung pujian dari hamba buat mereka kerana berkat khidmat tulus ikhlas serta kecekapan mereka, acara pendaftaran berlansung dengan begitu licin sekali.


Semasa pendaftaran sedang berjalan hamba mendengar seorang penerima anugerah berkata sesuatu semasa mendaftar, ".....dah 8 tahun kerja baru merasa dapat anugerah....". Hamba menghening cipta seketika. Hati hamba berbisik, sepatutnya dia merasa cukup bertuah dan bersyukur di atas pemilihan itu walaupun sudah 8 tahun berkhidmat. Hamba telah hampir 15 tahu berkhidmat masih belum lagi Allah beri peluang untuk menerima anugerah seperti ini. Hamba selalu berkata kepada diri sendiri bahawa diri hamba tidak cemerlang kerana itu anugerah tersebut tidak sepatutnya diberikan. Walaupun begitu perkhidmatan mesti diberikan dengan paling baik sekali kerana kesempurnaan sesuatu kerja itulah anugerah yang sebenarnya.







The karipap raider!!





Akak letih dik oiii....


RICH DAD'S RETIRE YOUNG RETIRE RICH - Robert T Kiyosaki


Tak tahu pula kenapa hamba memilih untuk membeli buku ini. Rasanya ini kali pertama hamba membeli buku dari jenis motivasi untuk membina kekayaan ini. Mungkin juga keinginan semulajadi untuk bersara awal daripada perkhidmatan membuatkan hamba mencapainya dari rak buku.

Buku seperti ini bukanlah yang pertama daripada Robert T.Kiyosaki. Ia adalah diantara beberapa siri di bawah Rich Dad. Dalam buku ini penulis banyak memperikan kisahnya yang berjaya untuk bersara awal dengan pendapatan yang banyak. Walaupun dikatakan bersara, namun hamba melihat beliau sebenarnya masih bekerja cuma dalam bidang yang lain dan dengan masa yang lebih lapang dan terancang.

Hamba lebih tertarik dengan beberapa pemikiran yang perlu ada untuk menjadikan seseorang itu kaya kerana pemikiran tersebut juga ada diajarkan dalam kursus-kursus pengurusan yang pernah hamba hadiri. Antaranya ialah mengubah minda atau realiti sekarang kepada realiti yang lain. Ia adalah sama seperti kata-kata yang kita jumpa dalam motovasi pengurusan - you are what you think. Kiyosaki mengatakan orang miskin kekal miskin kerana mereka kekal berada dalam realiti mereka. Untuk menjadi kaya mereka perlu mengubah realiti tersebut. Maksudnya orang miskin sentiasa merasakan kemampuan hidup mereka hanya setakat itu sahajalah. Setiap kali melihat barangan atau hartanah yang mahal mereka akan berkata bahawa saya tidak mampu untuk memilikinya. Sedangkan realiti orang kaya walaupun mereka tidak cukup wang mereka akan berkata saya akan memiliki hartanah tersebut. Jadi dalam pengurusan jikalau kita merasakan kita tidak mampu untuk melakukan sesuatu yang berata maka kita akan kekal di situ sahajalah. Sedangkan jikalau kita melakukan anjakan pemikiran maka kuasa minda tersebut akan mempengaruhi kita untuk berjaya. Inilah yang dikatakan oleh Kiyosaki sebagai leverage minda yang mejadi tunjang yang utama.

Untuk mencapai hasrat tersebut Kiyosaki percaya kita perlu meletakkan target masa. Jadi dengan adanya tempoh masa tersebut manusia akan berusaha untuk mencapai apa yang dihasratkan dalam tempoh masa tersebut. Keberhasilan mencapai impian dalam tempoh masa tersebut adalah satu kejayaan. Bila ada tempoh masa manusia akan membuat perancangan dengan teliti mengikut masa yang telah dirancang. Maka segala kerja akan lebih teratur dan dilaksanakan mengikut tempoh masa yang diperuntukkan. Dalam hal ini Kiyosaki telah menetapkan 10 tahun untuk mencapai impiannya.

Bagi Kiyosaki kita tidak boleh membina kekayaan sekiranya kita bekerja sepenuh masa. Orang kaya dapat membina kekayaannya apabila mereka tidak bekerja dan mempunyai masa untuk berfikir bagaimana untuk meningkatkan kekayaannya. Kerja sepenuh masa membuatkan seseorang terpaksa menumpukan pemikiran terhadap kerjanya dan mempunyai sedikit masa untuk perkara yang lain. Hal ini dipraktikkan oleh Kiyosaki apabila beliau telah mempunyai banyak masa yang terluang. Ketika itu beliau melihat lebih banyak peluang untuk menambah kekayaan berbanding dengan semasa beliau sibuk bekerja.

Apapun yang ditulis oleh Kiyosaki, ia tidak lebih daripada sekadar satu panduan. Pokok pangkalnya adalah kita sendiri. Kiyosaki menulis daripada pengalamannya dan oarang lain mungkin berjaya dengan cara yang lain. Namun hamba cukup bersetuju dengan leverage minda seperti yang dinyatakan tadi. Minda kita adalah satu kuasa yang boleh mengubah sesuatu yang kita senditi tidak sangka. Minda yang hebat juga boleh mempengaruhi orang lain. Kerana itu hamba merasakan sudah tiba masanya hamba mengubah minda hamba sekarang. Kata Rich Dad, mentor Kiyosaki, Kejayaan kita akan datang bermula pada hari ini bukannya hari esok!!


GAMBAR YANG TERSIAR DI MALAYSIA HARI INI, TV3


Pada hari Rabu yang lepas, bersamaan 21 Mei, hamba berada di Melaka kerana ditugaskan untuk menyampaikan ceramah perkhidmatan dalam satu kursus Transformasi Minda untuk kumpulan jururawat. Sebelum turun bersarapan, hamba ambil kesempatan untuk menyambung bacaan buku yang dibawa. Sambil itu kaca tv yang sedia terpasang menayangkan rancangan Malaysia Hari Ini dengan topik yang dibincangkan ketika itu adalah lukisan 3D.

Satu ketika hamba teragak hendak mengangkat kepala bagi melihat kaca tv. Ketika itu seorang pengacara sedang menunjukkan satu gambar melalui ipad yang dipegangnya. Hamba terpaku melihat gambar yang dipaparkan secara besar tersebut. Hamba seperti kenal dengan gambar itu. Jangkaan hamba tepat apabila hamba jelsa dapat melihat watermark yang berada di sudut kanan sebelah bawah gambar tersebut. Ia adalah salah satu gambar yang hamba paparkan dalam entry Penang Street Art. Walaupun pengacara tidak menjelaskan dari mana beliau mendapat gambar tersebut bagi hamba itu sudah memadai untuk menunjukkan air tangan hamba boleh juga digunakan atau dipamerkan. Gambar tersebut adalah seperti di bawah ini.






Isnin, 19 Mei 2014

IF YOU THINK YOUR POSE IS MACHO ENOUGH



"....lembu pun nak ambil gambar....." keluar dari mulut seorang wanita yang melihat beberapa pengunjung zoo mengambil gambar lembu jenis brahma yang berada di dalam kandangnya. Ia mungkin sekadar seekor lembu tetapi hamba yakin lembu jenis berkenaan tidak ada dalam belaan orang kampung wanita berkenaan. Wanita berkenaan juga tidak perlu melihat lembu-lembu di situ sekiranya di kampung beliau ada banyak haiwan berkenaan.  Tetapi realitinya beliau tetap mengitari kandang haiwan tersebut.

Namun itulah seni fotografi. Walaupun lembu merupakan satu haiwan yang biasa kita ketemu, tetapi bagi seorang jurugambar yang dicari adalah seni dan keunikan yang biasanya tidak dapat dihayati oleh mereka yang tidak mengikuti hobi ini.

Hamba beri contoh melalui gambar di atas. Bagi orang biasa mereka hanya mengunjukkan kamera ke arah objek dan kemudian terus mengambilnya (point and shoot). Bagi jurugambar mereka akan melihat, menghayat dan berfikir sejenak tentang apa yang harus diambil. Mereka akan bersabar sehingga mendapat gambar serta sudut pandangan yang terbaik serta memuaskan. Aksi dan gaya binatang dalam gambar di atas tidak datang selalu dan jurugambar perlu sabar dalam menanti detik yang tepat untuk gambar tersebut diambil. Hamba ketika itu bukan sahaja menunggu waktu yang baik tetapi terpaksa memanjat sesuatu memandangkan kandang haiwan berkenaan agak tinggi dan sekiranya diambil dari sudut biasa bahagian kandangnya akan masuk sama ke dalam gambar. 

Hamba teringat kepada tulisan seorang jurugambar - 'anda terlepas sedetik, anda terlepas kesemuanya!!' Jadi, halakan kamera, sabar dan tembak tepat pada sasaran!!


Selasa, 13 Mei 2014

KOLEKSI PEDANG & PENINGGALAN RASULULLAH SAW, SATU EKSPRESI



Buku kecil ini mengandungi catatan ringkas mengenai pedang dan beberapa peralatan lain yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW. Turut sama dipaparkan adalah gambar pedang-pedang tersebut. Pedang-pedang Baginda SAW ada yang diwarisi daripada bapanya, hadiah daripada sahabat dan juga harta rampasan perang. Ada juga pedang yang dikatakan berasal dari zaman Nabi Allah Daud as lagi. Terdapat pedang serta beberapa peninggalan Baginda yang pernah dijadikan sebagai sebahagian alat kebesaran diraja khalifah-khalifah Islam. Menyedari akan kepentingan peninggalan ini pemerintah-pemerintah Islam sejak dahulu lagi dengan sedaya upaya telah berusaha untuk mengumpulkan barang-barang tersebut serta menyimpannya dengan baik. Kini barang-barang tersebut boleh dilihat dibeberapa tempat seperti Muzium Topkapi, Turki dan Masjid Al-Hussain di Mesir.

Dalam bahagian terakhir buku ini ada tercatat satu kata-kata yang dinisbahkan kepada Al-Tirmizi al-Hakim, dikatakan diambil dari kitab Syarah al-Barzanji, oleh penulis buku ini tentang membuat lakaran Khatam Nubuwwah serta memandangnya demi menambah kecintaan kepada Rasulullah. Antara yang dinukilkan - sesiapa yang berwudhuk lalu melihat (lakaran) khatam ini di waktu subuh, nescaya dia akan dipelihara Allah Taala sehingga ke petang. Sesiapa yang melihatnya pada waktu maghrib , nescaya dia akan dipelihara Allah Taala sehingga ke waktu subuh.....sehingga akhir. Hamba berpandangan perkara seperti ini perlu mempunyai nas yang kuat serta benar. Kerana sepengetahuan hamba, hamba belum pernah bertemu dalil mengenai kelebihan melakukan perkara tersebut dan belum pernah juga hamba terjumpa sekiranya ia pernah dilakukan oleh para sahabat. Justeru sekiranya ada pembaca entry ini yang mengetahui tentang perkara ini atau pernah berjumpa dalil untuk menyokong petikan dalam syarah al-Barzanji tersebut, hamba pohon dapatlah dicatatkan di dalam ruangan komen di bawah. Beramal dengan sesuatu biarlah ada dalil serta nasnya barulah Rasulullah mengaku kita umatnya.

Wallahu aalam.


Ahad, 11 Mei 2014

LEGASI PEJUANG 2 TITISAN DARAH DI PEDANG SAMURAI - Arman Jazee



Buku ini merupakan sambungan daripada novel Legasi Pejuang oleh penulis yang sama. Membaca tajuknya sudah pasti akan ada kena mengena dengan samurai ataupun negara Jepun. Entah kenapa melihat tajuk yang sebegini kepala hamba terus memikirkan novel Hatiku Di Harajuku tulisan Ramlee Awang Murshid.

Dalam novel terdahulu Muaz digambarkan telah berjaya ditembak oleh CIA. Walau bagaimanapun penulis tidak menyebut secara lansung sama ada beliau telahpun mati atau tidak. Dalam bahagian kedua ini Muaz sebenarnya telah selamat dalam kejadian tersebut namun telah hilang ingatan. Beliau ditemui dalam keadaan parah oleh seorang pemilik restoran Jepun yang telah membantu beliau serta memberikan beliau pekerjaan. Muaz ketika itu telah hilang lansung memorinya tentang masa silamnya. Beliau digelar Kuromoto kerana kulitnya yang gelap. Satu ketika terjadi pergaduhan antara samseng di kawasan tersebut dengan pemilik restoran. Muaz turut serta dalam pertempuran tersebut yang membuatkan rakannya hairan di atas kemahirannya bergaduh. Muaz aka Kuromoto seterusnya dibawa ke Jepun apabila si pemilik restoran risau akan keselamatan mereka di situ.

Sekiranya pembaca tidak pernah membaca novel yang pertama dan terus membaca yang ini tentunya akan kabur dengan latar belakang Muaz. Sewajarnya penulis memasukan unsur imbas kembali atau flashback bagi memudahkan pembaca. Ia boleh dilakukan secara lansung terus dalam satu bab khusus, melalui perbualan watak-watak ataupun disebut secara tidak lansung ketika menerangkan diri watak. Dalam hal ini Ramlee Awang Murshid boleh menjadi contoh yang terbaik. Dalam setiap novel rantaian Bagaikan Puteri, watak Laksamana Sunan merupakan watak yang muncul ataupun hero pada setiap novel. Namun beliau berjaya menggambarkan kepada pembaca akan diri Laksamana Sunan tanpa perlu merujuk terlebih dahulu kepada novel yang pertama. Justeru walaupun tidak membaca rantaian Bagaikan Puteri mengikut aturan, pembaca masih boleh membacanya dengan sempurna kerana setiap novelnya boleh berdiri dengan sendiri.

Di Jepun Muaz tinggal bersama keluarga Master Suzuka, seorang pembuat pedang dan ahli seni bela diri Buttojutsu. Hebat benar agaknya Muaz apabila boleh menempa pedang dengan begitu baik hanya dengan mendengar sahaja 'irama' ketukan pedang Master Suzuka sepanjang tinggal di situ. Kadangkala penulis menggambarkan Muaz terlalu hebat dalam segala-gala sehingga hamba merasa bosan dengan watak sebegini.

Keberadaan Muaz di Jepun terbongkar apabila Katrinee yang sedang melawat kawasan pembuatan pedang berkenaan terkejut melihat beliau lantas menjerit dan pengsan. Seorang rakat sejawat beliau dalam CIA telah melaporkan hal tersebut dan bermulalah semula episod pelarian Muaz. Serbuan pasukan SEAL ke kediaman Master Suzuka telah mencetuskan pertempuran yang hebat. Ingatan Muaz pulih apabila dalam satu pertarungan kepala beliau telah diketuk dengan kuat oleh musuh. Cara ini lebih kurang sama macam drama Melayu dulu-dulu. Bila terhantuk kepala dengan kuat seseorang jadi hilang ingatan. Bila terhantuk semula kali kedua ingatannya pulih semula. Dari segi perubatan hamba tidak tahu sama ada kaedan sedemikian boleh pakai ataupun tidak. Melihat Katrinee yang menjerit dan mudah pengsan itu hamba tertanya-tanya betapa lemahnya diri beliau sebagai seorang agen CIA. Bahkan dalam beberapa babak, beliau pernah pengsan apabila dipukul. Agen kelas dua agaknya Katrinee ini.

Episod di Jepun ini sebenarnya menerujakan hamba. Namun apabila kisahnya mula berpindah ke China, Sepanyol, Peranchis, Amerika dan lain-lain tempat tempo pembacaan itu agak lari. Jangkaan babak perlawanan dalam novel ini akan banyak menggunakan pedang samurai juga meleset kerana selepas pertempuran di kediaman Master Suzuka pedang berkenaan lansung tidak digunakan. Hinggalah apabila novel hampir sampai ke penghujung, tiba-tiba sahaja watak ketua zionis mempunyai sebilah pedang samurai. Justeru membayangkan novel ini kisahnya banyak berlaku di dunia sebelah timur tidaklah seperti membaca tajuknya.

Ada satu babak apabila seorang yang bernama Pierre merungut susah menyebut nama Croix Rouge Generoie, berbelit-belit lidah katanya. Hamba tak tahu sama ada mahu ketawa atau menangis apabila memikirkan seseorang yang berasal dari Bordeux, Peranchis merungut susah nak menyebut perkataan dalam bahasa sendiri. Begitu juga apabila penulis menulis nama 'Jalan Rue Leschot', sepatutnya ditulis Jalan Leschot atau terus Rue Leschot sahaja kerana perkataan rue itu sendiri memberi makna jalan. Jadi tidak perlu tulis dua kali.

Kejutan paling besar yang ditimbulkan oleh penulis ialah apabila beliau mendedahkan bahawa Sheikh Mahdi, pemimpin Gerakan Jihad Ulislam, yang mengasuh Muaz sehingga menjadi pejuang serta menjadi anak angkat beliau sebenarnya adalah Menehem Gremend, pemimpin utama Kongres Zionis Sedunia! Apabila penulis mencatatkan babak dimana Sheikh Mahdi dan para pengikutnya dibom, namun mayatnya tidak ditemui, hamba menjangkakan watak itu akan muncul semula. Walau bagaimanapun kemunculan watak berkenaan sebagai seorang Yahudi amat memeranjatkan.

Apa jadi dengan segala ajaran 'Islam' yang telah beliau ajarkan kepada Muaz. Jika benar beliau Yahudi mustahil beliau akan mengajarkan Islam dengan betul. Bagaimana dengan ajaran solat, bacaan di dalamnya, doa-doanya? Agak hebat juga sekiranya Sheikh Mahdi dalam penyamarannya tetap mengajarkan perkara yang betul. Wallahuaalam. Menjadikan watak berkenaan sebagai antagonis telah memunculkan beribu pertanyaan di dalam batu jemala pembaca.

Secara keseluruhan novel kedua ini lebih tersusun berbanding novel yang pertama. Penceritaan juga agak smooth terutamanya kisah Muaz di Jepun. Terlalu banyak babak pertempuran kadangkala agak meletihkan. Lebih-lebih lagi apabila membaca kisah-kisah sewaktu watak baik hampir sahaja dibunuh oleh watak jahat pasti ada sahaja watak baik lain yang sempat menembak, membaling pisau, menumbuk, menendang watak jahat dan sebagainya untuk menyelamatkan keadaan. Sehinggakan hamba boleh menjangka apa yang akan berlaku pada waktu-waktu kesempitan sebegini.

Kepada pembaca di luar sana, anda boleh meninggalkan novel cintan cintun dan beralih kepada novel yang lebih jantan ini!!


Khamis, 8 Mei 2014

SELAMAT MAJU JAYA DATO' DR. AZMAN BIN HAJI ABU BAKAR



Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, YBhg. Dato' Dr. Azman bin Haji Abu Bakar bakal meninggalkan anak buahnya di negeri ini bermula 12 Mei akan datang. Beliau akan mengisi jawatan Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia di Putrajaya. Hamba cuma berada lebih kurang 4 bulan 1/2 sahaja di bawah kepimpinan beliau. Boleh hamba katakan bahawa beliau adalah 'boss idaman pekerja' yang pastinya akan dirindui gaya kepimpinannya.

Kerana itu hamba lihat rata-rata warga Jabatan Kesihatan Negeri Selangor merasa amat berat untuk melepaskan beliau pergi. Beliau boleh hamba sifatkan sebagai seorang pemimpin yang bersifat sederhana, tegas dalam lembut, boleh berbincang serta mendengar pandangan orang lain serta tidak berasa tinggi dengan kedudukan yang dimilikinya. Beliau juga boleh bekerjasama dengan baik dengan mereka yang berlainan skim perkhidmatan dengan beliau dan menghargai pandangan serta nasihat yang diberikan. Justeru tidak hairanlah majlis makan malam yang dianjurkan jabatan buat beliau pada dua hari lepas mendapat sambutan yang baik, dengan hampir kesemua wakil hospital dan pejabat jkesihatan daerah memberikan cenderamata masing-masing. Ini kali pertama hamba lihat orang yang diraikan perpisahannya menerima sebegitu banyak cenderamata.

Tidak ketinggalan para anak buah hamba yang menguruskan sumber manusia di negeri Selangor ini. Mereka ingin sama meraikan pengarah di hotel berkenaan tetapi harga yang terlalu tinggi mungkin membantutkan hasrat mereka. Namun atas semangat ingin sama meraikan mereka berpakat mengumpul sedikit sebanyak untuk mengadakan jamuan di sebuah restoran makanan Arab, juga di hotel yang sama. Pendek kata setiap seorang bayar untuk pinggan masing-masinglah. 

Dato' Dr. Azman sememangnya mempunyai hubungan yang rapat dengan anak buah hamba. Mereka boleh berbincang dan bergurau dengan mesra seperti bapa dan anak. Bahkan kerana banyak urusan harian yang melibatkan beliau, anak buah hamba boleh berurusan terus dengan beliau tanpa sebarang kerenah birokrasi. Lantaran itu pemergian beliau membuatkan anak buah hamba 'risau' sekiranya pengarah yang baru nanti tidak seperti beliau.

Apapun ini adalah asam garam dalam perkhidmatan. Bertukar kerana keperluan perkhidmatan itu adalah lumrah. Tiada yang akan kekal selamanya di suatu tempat. setiap pemimpin yang datang itu pastinya mempunyai wawasan yang tersendiri. Adunan gaya kepimpinan, dan pengalaman itulah yang akan menjadikan sesuatu jabatan itu lebih mantap dari sebelumnya.

Buat Dato' Dr. Azman, kami mengucapkan selamat maju jaya dan mendoakan yang terbaik buat Dato'.

Bravo Zulu!!











Kredit buat saudara Nazri untuk semua gambar dalam entry ini.


Selasa, 6 Mei 2014

DEADLY MIST - Jerry D. Gray



Hamba berpandangan untuk menulis serta mencetak buku sebegini memerlukan satu keberanian. Apatah lagi identiti penulisnya adalah terbuka termasuk dengan gambarnya sekali. Ini kerana buku ini seolah membongkar 'rahsia' sebuah negara besar yang menganggap dirinya sebagai polis dunia.

Secara ringkasnya penulis cuba mendedahkan bahawa Amerika dengan menggunakan segala kepandaian yang ada telah melancarkan perang biologi secara halus bagi menghapuskan golongan tertentu ataupun musuh mereka. Ia dibuat secara halus sehinggakan masyarakat tidak menyedari bahawa diri dan kesihatan mereka berada dalam bahaya. Bahkan agak mengejutkan apabila dicatatkan bahawa negara berkenaan di dalam menjalankan ujian keberkesanan bahan yang digunakan turut menjadikan warganya sendiri sebagai bahan ujikaji tanpa mereka sedari.

Syarikat farmasi bertanggungjawab bagi mengkaji serta memformulasi ubat-ubatan bagi mengubat penyakit yang dihidapi manusia. Namun farmasi tidak boleh hidup sekiranya semua manusia itu sihat. Justeru bagi melestarikan hayat industri farmasi maka perlu ada manusia yang sakit agar ubat-ubatan dapat dijual. Dalam hal ini penulis cuba membongkar nama-nama yang terdapat dibelakang industri farmasi yang terbesar di dunia yang secara ringkasnya mempunyai hubungan dengan Yahudi dan Nazi. Antara cara bagi menyebarkan penyakit di kalangan manusia, menurut penulis, adalah dengan memasukkan fluorida di dalam bekalan air serta penggunaan aspartame sebagai pemanis bagi menggantikan gula. Perkara ini sebenarnya telahpun tersebar di dunia cyber sejak sekian lama. Namun hamba tidak pasti bagaimana pula pandangan pihak berkuasa perubatan di negara kita di dalam membuat kajian terhadap kandungan bahan berkenaan. Ini kerana hamba yakin fluorida ada digunakan di dalam beberapa bahan terutamanya ubat gigi. Aspartame pula banyak digunakan di dalam makanan dan minuman terutamanya yang melabelkan produk mereka sugar free

Penulis turut merumuskan bahawa beberapa wabak yang sedang dan pernah melanda dunia seperti AIDS, SARS, H1NI, H5N1 dan lain-lain lagi adalah berpunca daripada satu perancangan rapi manusia. Ia disebarkan bagi melariskan penjualan vaksin keluaran syarikat tertentu. Malangnya vaksin berkenaan direka bukanlah untuk menyembuhkan manusia bahkan memudaratkan dalam jangka masa yang panjang. Dan seperti yang diketahui dunia kini sedang dilanda pula oleh virus MERS-CoV ataupun Sindrom Pernafasan Koronavirus Timur Tengah. Virus ini dikatakan berpunca daripada unta. Hairan juga hamba, unta ini bukan baru sehari dua duduk di tanah Arab. Setelah berkurun lama, maka tiba-tiba hari ini mereka menjadi pembawa penyakit yang boleh mengancam nyawa manusia juga. Adakah penyakit ini juga satu perancangan manusia? WalLahuaalam.

Teringat hamba pada filem World War Z yang mengisahkan sejenis penyakit telah membuatkan manusia bertukar menjadi zombie. Penyakit ini merebak dengan cepat apabila para zombie ini menyebarkannya kepada orang lain melalui gigitan. Akhirnya hero filem ini membuat pemerhatian bahawa zombie ini tidak mengganggu lansung manusia yang berpenyakit. Ia hanya menggigit orang yang sihat! Justeru beliau merumuskan bahawa manusia perlu disuntik dengan virus penyakit tertentu bagi mengelakkan daripada digigit oleh zombie ini. Ia bukanlah penyelesaian untuk membunuh zombie tetapi seolah satu camouflage bagi mengelirukan zombie. Akhirnya filem ini tidak menunjukkan kejayaan menghapuskan zombie sebagai pengakhiran sebagaimana lazim sesebuah filem tetapi menunjukkan akan keberkesanan pelaksanaan pelalian virus tersebut. Adakah filem ini boleh kita kaitkan dengan kandungan buku ini?

Filem tersebut juga turut mengambil beberapa shot di negara Israel. Negara Israel telahpun dikelilingi dengan binaan tembok konkrit yang tinggi mengelilingi negara haram mereka. Langkah pembinaan tembok konkrit tersebut dijalankan  sejak lama dulu bagi menghadapi apa yang berlaku pada hari ini (zombie). Tidaklah hamba tahu sekiranya mereka menisbahkan zombie tersebut kepada orang Islam Palestin yang berada di sekeliling negara mereka. Jelas para Yahudi ini amat takut dengan bayang-bayang mereka sendiri.

Penulis turut mencatatkan tentang kematian misteri beberapa saintis yang pakar dalam bidang mereka. Ada yang mati dibunuh (kebanyakan yang dipaparkan memang mati dibunuh) oleh penyerang tertentu, mati dalam letupan kereta ataupun mati disebabkan penyakit tertentu walaupun sebelumnya mereka berada dalam keadaan sihat. 

Pendedahan mengenai chemtrails (jejak kimia) adalah sesuatu yang baru pada pengetahuan hamba. Penulis mendakwa bahawa terdapat bahan kimia tertentu yang dipasang pada kapalterbang yang akan disemburkan ke ruang udara bertujuan bagi memudaratkan kesihatan manusia. Perancangannya dibuat begitu teliti sehinggakan jurutera yang menguruskan kapalterbang berkenaan juga tidak tahu tentang alat penyambungan yang dilekatkan pada kapalterbang yang sering mereka periksa. Begitu juga dengan para penumpang yang tidak akan sedar apabila bahan berkenaan disemburkan. Chemtrails boleh dilihat sebagai jalur asap panjang yang ada apabila sesebuah kapalterbang lalu di udara. Ia akan berada agak lama di udara sebelum menyebar. Menurut penulis apa yang kita anggap asap berkenaan bukanlah asap daripada bahan bakar kapalterbang bahkan ia adalah bahan semburan yang ditujukan buat manusia. Penulis mengesyaki ia dilakukan pakar yang berselinding di sebalik perkhidmatan pembersihan najis di dalam kapalterbang. Ini kerana bahagian berkenaan tidak akan diperiksa atau diselenggara oleh jurutera kapalterbang sebaliknya oleh syarikat vendor yang dilantik.

Hamba berpandangan pihak berkuasa kesihatan di negara kita perlu mengambil perhatian serta membuat kajian terhadap terhadap kandungan isi ubat, bahan kimia yang digunakan seharian seperti ubat gigi, serta kesan sampingan jangka pendek dan panjang bahan-bahan tersebut. Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia perlu pro aktif dalam hal ini. Ini kerana walaupun sesuatu bahan itu (terutamanya dari luar negara) telah lama berada di pasaran serta lama digunakan bahkan mendapat pengesahan badan tertentu antarabangsa sebagai selamat, bukan bermakna kita boleh ambil mudah dan meletakkan kepercayaan 100%. Hamba mohon agar diselidiki semula bahan-bahan kegunaan harian kita satu persatu serta dibuat ujian kesan sampingan terhadap kesihatan. Begitu juga dengan penggunaan aspartame bagi menggantikan gula. Andainya kesan aspartame lebih memudaratkan berbanding gula maka penggunaanya perlu dihentikan di negara ini. Barang diingat penjualannya berleluasa, terdapat pada makanan dan minuman yang dilabelkan sebagai sugar free ataupun diet.

Bergeraklah dan bertindaklah sekarang!!


AZIZ SATTAR - PERGINYA TRIO BUJANG LAPOK YANG TERAKHIR



Laporan berita radio mengenai pemergian Dato' Aziz Sattar sewaktu memandu ke tempat kerja pagi tadi agak menyentap perasaan. Lelaki yang begitu dikenali bersama dua lagi sahabatnya, Tan Sri P.Ramlee dan S.Shamsuddin telahpun kembali ke rahmatullah kira-kira jam 2 pagi tadi di Hospital Kajang akibat penyakit jantung. Allahyarham berumur 89 tahun. Dengan pemergian beliau maka tiadalah lagi trio Bujang lapok yang tinggal. Tiadalah lagi peluang untuk mendengar kisah-kisah pengalaman beliau bersama P.Ramlee secara live melainkan melalui rakaman ataupun tulisan sedia ada.

Walaupun beliau bukan siapa-siapa dengan hamba namun lakonan beliau ada juga sumbangannya buat hamba dan rakan-rakan. Di pertengahan 90an sewaktu hamba menuntut di luar negara, rumah hamba ada sebuah pita filem Pendekar Bujang Lapok yang dibawa oleh seorang sahabat sewaktu pulang bercuti di tanah air. Pita video itupun hanyalah sekadar rakaman daripada televisyen sahaja. Ketika itu teknologi internet masih baru dan di negara hamba belajar, internet masih belum ada lagi di rumah-rumah penduduk. Usahkan internet, komputerpun kami tiada.

Maka itu sahajalah hiburan yang kami ada. Hiburan yang boleh mengingatkan kami kepada kampung halaman. Hampir setiap hari pita Pendekar Bujang Lapok dipasang dan ditonton tanpa rasa jemu. Hinggakan kalau ada sahabat Arab yang datang berkunjungpun kami mainkan juga filem berkenaan. Kerana terlalu kerap menontonnya hamba dan kawan-kawan hampir hafal dengan setiap dialog dan selalu mengulang-ngulangnya ketika berjenaka sesama sendiri. Justeru, apabila mendengar berita kematiannya pagi tadi, perkara inilah yang terlebih dahulu singgah di minda hamba. Ia adalah satu kenangan manis buat seorang perantau yang jauh dari tanah airnya.

Terima kasih Pak Ajis dan rakan-rakan!!

Al-Fatihah.


PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...