Sabtu, 27 April 2013

BUKAN LAGI PEMBUNUHAN DI DALAM FILEM HOLLYWOOD



KESAN tembakan pada kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki Datuk Shaharuddin Ibrahim. Foto : Berita Harian































Hamba sedang mengikuti majlis ceramah oleh Ustaz Ghazali Ibrahim dan Ustaz Heryanto Ramli apabila mederator ceramah, Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman tiba-tiba memaklumkan kepada khalayak akan kejadian pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam DiRaja Malaysia Bahagian Perkastaman/Cukai Dalam Negeri, Datuk Shaharuddin Ibrahim di Presint 9, Putrajaya beberapa jam sebelum itu. Berita tersebut agak mengejutkan memandangkan ia pertama kali berlaku di Putrajaya lebih-lebih lagi ia berlaku pada waktu siang tatkala orang ramai sedang bergegas ke tempat kerja. Lebih menambahkan perasa ia berada tidak jauh dari Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.

Baru sahaja beberapa bulan yang lalu masyarakat Putrajaya digemparkan dengan 'Imam Mahadi' yang cuba membuat kacau di Kompleks Jabatan Perdana Menteri Parcel B, kini kejadian yang lebih ganas berlaku lagi. Kejadian seperti ini biasanya hamba tonton di dalam wayang Hollywood sahaja, tetapi hari ini ia telah benar-benar berlaku di negara yang hamba kasihi ini.

Hamba sebenarnya agak risau memikirkan hal ini. Ini kerana kejadian pembunuhan di tempat awam seperti restoran dan jalanraya bukanlah kali pertama berlaku di negara ini. Cuma sejak akhir-akhir ini ia semakin menjadi-jadi. Bahkan dalam hari yang sama juga berlaku satu lagi kejadian membabitkan pemilik kedai gunting yang ditembak mati juga sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja (rujuk Utusan Malaysia 27 April 2013 ms. 24). Walaupun hamba bukan siapa-siapa tetapi kerisauan itu tetap ada kerana ketika memandu hamba tidak tahu siapa pemandu yang berada di kiri, kanan, depan dan belakang kenderaan hamba. Dan langkah traumanya melihat kejadian itu berlaku di depan mata.

Apakah tahap professionalisme pembunuh upahan telah meningkat di negara kita sehingga tidak lagi berselindung melakukan jenayah? Hamba percaya golongan ini mendapat latihan serta mempunyai kemahiran menggunakjan senjata. Walaupun senjata api ini nampak mudah sahaja penggunaannya - petik trigger lalu menyembur peluru - tetapi tanpa kemahiran sasaran boleh terlepas daripada dihinggapi peluru.

Pihak berkuasa perlu menggiatkan lagi rondaan. Mereka perlu berada di atas jalan bersama masyarakat. Kerja-kerja pentadbiran di pejabat biarlah dilakukan mereka yang bukan polis. Ini perlu dilaksanakan dalam dalam perancangan lautan biru kebangsaan. Cukuplah ini kali yang terakhir kejadian seperti ini berlaku.

OPS! ZULAIKHA - Hasrudi Jawawi



Hamba membeli buku ini kerana tajuknya, tajuknya seperti menyatakan kisah yang akan dipaparkan adalah berbau thriller yang penuh unsur suspen. Selain itu tulisan Hasrudi Jawawi telah pernah hamba baca sebelum ini. Lantaran itu RM hamba melayang syahdu bertukar dengan buku ini.
Namun ia bukanlah satu thriller sepantas debaran tulisan Khairul Nizam Khairani apatah lagi Ramlee Awang Mursyid. Tajuk dan gambar kulit sahaja yang memberikan gambaran sedemikian, jalan ceritanya lebih kepada ragam hidup seharian. Biasa-biasa pun ceritanya, Hasrudi Jawawi mampu menulis lebih 700 muka surat!
Membaca novel ini hamba rasa seperti menonton drama-drama tv di waktu petang.Malah penulis sendiri mengakui pada helaian terakhir novelnya bahawa televisyen mempengaruhinya di dalam penghasilan novel ini. Walaupun ia kurang unsur thriller dan suspen seperti yang hamba harapkan ia masih mampu untuk menghiburkan hamba sepanjang pembacaannya. Walaupun hati hamba tidak bertanya-tanya apa yang akan berlaku pada helaian-helaian seterusnya, penulis masih mampu mengikat hamba untuk membaca novelnya sehingga ke akhir tanpa perlu hamba mencampakkannya ke bawah meja.
Novel ini mengisahkan seorang anggota polis bernama Zulaikha dan rakan setugasnya bernama Kamal yang ditugaskan menyiasat mengenai satu kes berkaitan dadah di sebuah syarikat pembinaan. Siasatan itu memerlukan mereka menyamar dan menjadi sebahagian keluarga syarikat tersebut. Dalam penyiasatan itu pula Zulaikha tersepit dengan dua watak lelaki yang terpikat dengannya, manakala Kamal juga menyimpan perasaan dalam diam. Sebenarnya rasa suspen telah mati pada awal novel lagi apabila pembaca telah didedahkan bahawa watak Qadir merupakan seorang pengedar dadah serta mempunyai kaitan dengan penangkapan dua penjenayah serta kemalangan seorang pengedar lain sebelum itu. Jadi membaca kisah yang telah diketahui culprit di sebaliknya membuatkan pembacaan telah kurang sedikit rasa seronoknya. Cubaan penulis memberi hint di akhir novel bahawa watak Darwish yang sepanjang novel kelihatan seperti seorang yang naïf dan tidak berwawasan sebenarnya merupakan tokan besar dadah dalam cerita ini tidakpun mendatangkan apa-apa rasa kepada hamba.
Bagi sesiapa yang menyukai happy ending dalam sesuatu cerita maka novel ini bukanlah untuk anda, lebih-lebih lagi pengakhiran dukanya adalah kematian. Apapun percubaan Hasrudi boleh diberi pujian. Semoga dalam novel yang akan datang di samping berusaha untuk menebalkan novelnya cuba fikirkan sesuatu yang boleh menyebabkan pembaca melekat pada pembacaan serta sentiasa tertanya-tanya apa yang akan berlaku seterusnya umpama seorang pelawak yang memerlukan punch line untuk kejayaan lawaknya.

GAMBAR PILIHAN MINGGU INI!, UTUSAN MALAYSIA 27 APRIL 2013


Minggu lepas hamba saja-saja hantar gambar di atas untuk sisipan .Com akhbar Utusan Malaysia untuk disiarkan. Tak sangka pula hari ini dah tersiar. Rasanya kali terakhir gambar yang hamba ambil keluar di akhbar adalah dua tahun lepas di New Straits Times apabila gambar tersebut memenangi penginapan di sebuah hotel selama dua hari satu malam. Walaupun penyiaran gambar ini tidak memberikan apa-apa hadiah, namun pemilihannya sebagai gambar pilihan minggu ini sudah cukup memuaskan hati jurugambar amatur seperti hamba ini.

Gambar ini merupakan pesawat Bombardier Maritim Malaysia yang diambil beberapa tahun dahulu sewaktu ia melakukan demonstrasi di perairan Selat Melaka.  Mengambil gambar objek yang bergerak sambil melakukan beberapa aksi bukanlah satu perkara yang mudah. Lebih-lebih lagi untuk mendapatkan sudut yang sesuai. Ini menyebabkan otak jurugambar perlu berfikir dengan pantas dan dalam masa yang sama melaraskan setting kamera dan penggunaan zoom yang sesuai. Untuk pesawat ini sahaja hamba mengambil berpuluh-puluh gambar, namun yang hamba puas hati hanya beberapa keping sahaja termasuk yang dipaparkan ini. Dah lama juga tak mengambil gambar pesawat terbang. Kalau sesiapa yang ada jalan tu konteklah hamba....






Khamis, 25 April 2013

BERLATIH MENULIS HURUF X

 


Tak berapa hari sahaja lagi rakyat negara ini akan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemilih. Setelah berteka-teki selama beberapa tahun dan purnama mengenai tarikh pembubaran parlimen akhirnya ia berlaku jua pada hari genap empat tahun pemerintahan  Menteri Perdana baru-baru ini. Lantas tarikh penamaan calon dan pembuangan undi ditentukan dan penamaan calon telahpun selesai beberapa hari yang lalu. Maka berkibaranlah bendera-bendera parti di tepi-tepi jalan sehingga ada yang mengganggu pemandangan penguna jalanraya. Bendera-bendera ini pula telahpun mula meriah di pandangan sebelum tarikh berkempen lagi. Hamba tidak pasti akan keberkesanan kempen menggunakan bendera lambang parti ini kerana hamba yakin di hati pengundi telahpun tertancap simbol apa yang ingin mereka pangkah. Ia berbeza dengan poster wajah calon yang hamba nampak akan kepentingannya bagi pengundi untuk kenal wajah bakal wakil mereka. Dapatlah pengundi menilai calon-calon yang mungkin mereka kenal dan seterusnya menetapkan pilihan mereka.
 
 
Rasanya negara kita antara yang meriah apabila berlakunya pilihanraya. Hamba pernah berada di Maghribi dan Jepun semasa musim pilihanraya, namun suasananya agak tenang dan kekadang terasa seperti tiada apa-apa yang berlaku. Mata tidak semak dengan bendera-bendera parti, hanya poster-poster calon yang ditampal pada tempat yang dikhaskan. Tapi kalau kita rasa tak meriah, nak jugak bendera naik di sana sini, apo yang den buleh buek, duit ekau banyak, lambak an yo lah!
 
Hamba tidak cenderung kepada mana-mana pihak. Jadi hamba rasa bebas untuk mengkritik sesiapapun. Berbanding mereka yang telah ada kecenderungan, sokongan atau keahlian kepada parti tertentu, mereka akan bercakap segala perkara yang baik sahaja tentang parti pilihan mereka. Pihak lain adalah sebaliknya, teruk dan tidak sebaik mereka. Kalau ada yang cela mengenai parti mereka, jalan akan dicari untuk memutihkannya. Kebaikan pihak lain walaupun jelas umpama matahari di siang hari, akan cuba ditidakkan by all means. Inilah perkara tidak sihat yang hamba nampak dalam suasana bersiasah di negara kita. Ketaksuban melampau yang mengakibatkan perpecahan walaupun dalam kalangan ahli keluarga yang terhampir. Orang kita ramai yang masih belum terbuka. Bab politik tidak hanya habis pada forumnya tetapi akan berlarutan pada perkara yang bukan tempatnya juga hatta di dalam jamban sekalipun.
 
Hamba tertarik pada satu post di fesbuk yang menyatakan bahawa kita semua ini bersatu tetapi ahli politiklah yang memecahkan kita. Parti politiklah yang menjadikan kita berpuak-puak. Ada benarnya juga kata-kata ini jika direnungkan dengan hati yang tenang dan terbuka. Tak seronoklah hamba kalau kita berpecah disebabkan oleh politik ni. Nampak bodoh sangat. Cuba kita imbau kembali perpecahan yang mula berlaku pada zaman Sahabat dulu. Perselisihan tentang siapa yang sepatutnya menjadi khalifah antara penyokong Sayyidina Ali dan sahabat yang lain membawa kepada munculnya beberapa kumpulan seperti Syiah dan Khawarij. Daripada asalnya kumpulan ini hanya berbicara mengenai perkara siasah ia akhirnya berlarutan kepada perkara aqidah dan akhirnya menjadi mazhab. Bibit-bibit itu telah mula ada dalam suasana politik di negara kita dan ia makin menakutkan dari hari ke hari.
 
Cuba tengok fesbuk anda. Pasti ada seorang dua kawan yang menulis sesuatu tentang politik, mengepos gambar atau video yang berkaitan. Posting itu pula akan diikuti oleh komen orang lain yang kadang-kadang ditulis dengan tak ada rupa perangai orang Islam lansung. Ada juga yang tulis pada postingnya kalau tak suka tulisan saya boleh ban atau unfriend saya. Geleng kepala hamba. Asalnya mereka berfesbuk untuk bersahabat atau menjalin semula hubungan dengan sahabat yang lama terpisah. Tapi disebabkan politik punya hal sanggup pulak nak putus sahabat.
 
Jadi pemimpin ini bukannya satu tugas yang enteng. Tapi dalam suasana negara kita orang berlumba-lumba nak jadi pemimpin. Tak takut lansung pada tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hadapan Rabbul Jalil nanti. Hamba akan gelak dalam hati kalau terjumpa tulisan 'calon pilihan rakyat' pada mana-mana poster. Huh bilo maso lah kito pilih ekau, ekau yang pandai-pandai offer diri.
 
Ingatlah saudara semua, apapun pihak yang anda sokong, ia bukan lesen untuk anda mencarut dan memfitnah pihak yang lain. Tunjukkanlah kehebatan parti anda dengan perkara baik dan hebat yang parti anda lakukan. Hamba dan ramai lagi tak perlu dengan cerita yang diada adakan apatah lagi celaan, fitnah dan carutan. Tak usah sibuk dengan parti orang lain. Tak usah berjanji bulan dan bintang kerana hamba tahu pihak manapun yang bertanding ketika ini hanya bercakap untuk menarik serta meraih undi. Biarkan prestasi anda yang bercakap tanpa perlu mulut anda menuturkannya.

Jumaat, 12 April 2013

BERTEMU KEMBALI SI JELITA ANNABAH


Sewaktu hamba belajar Bahasa Arab pada penghujung tahun 90an dahulu, hamba suka menonton rancangan kartun atau animasi dalam bahasa tersebut. Negara Arab ketika itu memang tiada yang mengeluarkan produk animasi mereka sendiri. Kebanyakannya adalah keluaran barat dan Jepun yang dialih suara atau mudablaj ke dalam ke dalam bahasa Arab. Belajar melalui animasi amat sesuai dengan hamba memandangkan dialog yang digunakan biasanya adalah merupakan dialog kita seharian yang sememangnya amat berguna kepada hamba dalam perbualan harian dengan rakan-rakan berbangsa Arab. Ia berbeza dengan bahasa yang digunakan di dalam kitab memandangkan gaya bahasanya lebih formal. Banyak animasi yang hamba tonton sewaktu zaman pengajian dan ada beberapa yang melekat di minda sehingga ke hari ini. Biasanya animasi yang ditonton itu ditayangkan pada waktu tengahari sebaik sahaja sampai ke rumah dari universiti. Ia ditayangkan di saluran 2M yang merupakan saluran berbayar sebelum penghujung 90an dahulu. Ia hanya menyiarkan rancangan percuma pada satu jam pertama permulaan siaran sahaja sebelum 'memblurkan' betul ke bahasa hamba ni) siaran sehingga waktu penamat. Pada waktu percuma inilah siaran kartun untuk kanak-kanak, juga untuk kanak-kanak dewasa seperti hamba, dikeudarakan.

Maka setelah berpuluh tahun semua animasi itu berlalu, maka baru-baru ini hamba tidak sangka dapat bertemu lagi animasi yang pernah ditonton dahulu. Terima kasih kepada internet atau lebih tepat lagi You Tube. Amat menerujakan dapat bertemu semula dengan hasna' Annabah, seorang puteri jelita dalam animasi bertajuk Rehlah Annabah atau tajuk asal dalam bahasa Jepangnya Taimu Toraburu Tondekeman. Ia adalah sebuah animasi berkisar mengenai pengembaraan masa. Alat masa atau time machinenya pula berbentuk seperti sebuah cerek yang boleh berkata-kata. Apa yang penting bagi hamba adalah perbualan atau dialog di dalam animasi ini amat membantu hamba di dalam perbualan dengan bangsa Arab sendiri. Hamba boleh mengenal ayat yang sesuai digunakan ketika marah, gembira, sedih dan pelbagai suasana lagi. Walaupaun janggal sebenarnya apabila menggunakan bahasa Arab yang standard bila berbual dengan Arab yang lebih kerap menggunakan dialek mereka sendiri (dalam konteks hamba adalah bahasa Darijah yang digunakan oleh orang Maghribi), namun sekurang-kurangnya ia membantu dalam menghidupkan perbualan harian.

Selain Rehlah Annabah ada dua lagi animasi yang masih melekat dalam ingatan hamba iaitu animasi Kapten Majid (Kapten Tsubasa) dan Namir Moqanna'. Kapten Majid adalah animasi tentang perlawanan bolasepak manakala Namir Muqanna' mengenai perlawanan gusti. Dua animasi sukan ini amat membantu dalam menambah perbendaharaan kata mengenai bidang sukan, istilah yang digunakan dalam perlawanan serta gaya bahasa yang sesuai apabila mengulas sesuatu perlawanan.

Mungkin ada yang memandang lekeh perbuatan mempelajari bahasa berpandukan animasi yang biasanya untuk kanak-kanak, namun hamba berpandangan ia adalah satu jalan yang amat berkesan terutamanya buat yang malu nak bertutur secara lansung dengan bangsa Arab. Sekurang-kurangnya dengan menonton animasi sebegini, seseorang akan dapat mengetahui penggunaan perkataan atau jalan bahasa yang betul. Cara hamba mungkin tak sama dengan cara orang lain belajar tapi tak salah kalau anda nak cuba!!



Ahad, 7 April 2013

BOLA KAMPUNG THE MOVIE

 
 
 
Apabila filem animasi Geng:Pengembaraan Bermula ditayangkan beberapa tahun yang lalu, hamba amat kagum dengan hasil tangan anak-anak Malaysia tersebut. Garapan cerita serta mutu animasi yang mantop, umpama menonton animasi keluaran antarabangsa. Namun sayangnya rakyat Malaysia terpaksa menunggu beberapa tahun lagi untuk melihat sebuah lagi filem animasi keluaran Malaysia selepas filem Geng.
 
Siang tadi hamba membawa keluarga menonton filem animasi Bola Kampung The Movie. Cuma ada satu tayangan sahaja pada hari ini (juga semalam), membayangkan bahawa sambutan terhadap penayangan filem tersebut sudah mula berkurangan berbanding beberapa filem lain yang disiarkan melebihi tiga kali sehari. Kehadiran dalam panggung juga tidaklah sampai melimpah ke tempat duduk bahagian depan.
 
Secara peribadi saya berikan lima bintang untuk mutu animasi filem ini. Kualiti lukisan 3d nya amat memukau dan begitu detail sekali. Terdapat juga beberapa adegan yang berjaya mencuit hati saya - ditampilkan dengan bersahaja dan bukannya lawak bodoh yang memualkan. Cuma satu perkara yang saya rasa ada sedikit tidak kena iaitu terdapat beberapa watak yang memakai kasut di dalam rumah. Lebih tidak kena apabila ia dilakukan dalam sebuah rumah kampung. Tak tahulah hamba sekiranya ada orang kampung yang bersepatu dalam rumah (seperti yang dapat dilihat dalam filem-filem P.Ramlee) selain daripada memakainya di jamban.
 
Walaupun menggunakan tajuk seperti siri animasi televisyennya -Bola Kampung- namun adegan permainan bolasepak hanya dipaparkan sedikit sahaja. Tambah bosan apabila di kemuncak cerita perlawanan bolasepaknya adalah seperti menonton perlawanan bolasepak robot. Mungkin kerana bosan, hamba tersengguk-sengguk sewaktu sampai ke adegan itu.
 
Jalan cerita watak-watak termasuk ke dalam dunia permainan komputer untuk melawan musuh mengingatkan hamba kepada animasi Boiboiboy apabila dalam satu episodnya Boiboiboy dan Gopal dibawa masuk ke dalam permainan komputer Papa Zola.Cuma bezanya watak dalam Bola Kampung perlu menghadapinya sendiri berbanding dengan Boiboiboy yang dibantu watak Ying danYaya untuk memainkan permainan komputer tersebut.
 
Apapun cerita ini sesuai ditonton oleh anda anak beranak, dan lebih baik daripada mengadap siaran lansung Anugerah Bintang Popular yang lebih memual dan meloyakan lagi - dan itulah dia bangsaku.....

Sabtu, 6 April 2013

CLEAN AND JERK - THE KAMPUNG WAY

 
 
"Buat apa nak cuti awal, bukannya kena pasang khemah!" kata boss hamba apabila hamba memohon cuti beberapa hari untuk membantu persiapan majlis perkahwinan adik bongsu hamba beberapa minggu yang lalu. Mungkin di dalam minda boss sudah terpahat bahawa pemasangan khemah pada majlis perkahwinan pada hari ini dibuat oleh pekerja-pekerja syarikat penyewaan khemah.
 
Tetapi pemasangan khemah di kawasan tempat tinggal ayah hamba di Taman Senawang Indah, Seremban masih lagi menggunakan cara gotong royong. Walaupun ia sebuah taman perumahan, namun semangat hidup cara kampung ini masih lagi diamalkan. Cuma sekarang ini di taman tersebut tenaga mudanya semakin berkurangan akibat penghijrahan ke tempat lain sama ada kerana kerja ataupun perkahwinan. Yang masih tinggal adalah pakcik-pakcik yang bersedia menyumbangkan tenaga mereka dalam semangat kejiranan yang masih kental.
 
 Walaupun khemah hari ini lebih mudah pemasangannya, namun untuk mendirikannya tetap mememerlukan sedikit pengetahuan serta kerjasama yang berterusan. Sedikit tenaga adalah perlu memandangkan peralatan khemah kebanyakannya daripada besi. Kadang-kadang apabila mengangkat bahagian khemah tertentu seperti bahagian bumbungnya, terasa seperti acara angkat berat clean and jerk.
 
 Semasa kecil hamba masih sempat merasai pengalaman melihat orang kampung mendirikan khemah dan balai untuk sesuatu majlis perkahwinan. Ketika itu penyewaan khemah dan pelamin masih belum begitu popular. Syarikat yang melaksanakannya pula boleh dibilang dengan jari. Maka orang kampung akan bergotong royong menyediakan keperluan untuk membina khemah dan balai. Buluh akan dicari, begitu juga dengan papan. Ia menjadi bahan asas binaan sebuah khemah. Bukan sahaja khemah, bahkan meja makan serta bangkunya juga dibuat sendiri dan bukannya disewa. Bangkunya dibina memanjang secara tetap dan tidak boleh dialihkan. Khemah biasanya berwarna hijau, ada yang kata itu khemah askar. Khemah daripada parachut serta poncho tentera juga boleh kelihatan pada ketika itu. Meja pula selepas disiapkan, akan dibalut dengan lapisan kertas mahjung yang biasanya dilakukan pada malam sebelum majlis.

Binaan pelamin juga dibuat sendiri daripada papan dan buluh. Kertas berwarna akan dipotong berambu-ramba sebelum dililit pada bahagian tertentu pelamin. Pelamin zaman 80'an dulu biasanya kedapatan satu bebola berwarna warni umpama bola berkilat di disko yang digantung di atasnya. Kalau pelamin hari ini dibina secara mudah di dalam atau halam rumah pengantin, pelamin yang dibina secara gotong royong ini dibina di tengah laman lengkap dengan bumbungnya sekali.

Cabaran kenduri masa lalu adalah masakannya menggunakan kayu api. Justeru banyak kayu api yang perlu disediakan. Ia akan disusun elok-elok umpama satu tembok untuk keperluan memasak. Sabut-sabut kelapa juga dikumpulkan untuk pembakaran. Biasalah kalau masak nasi menggunakan kayu api ni keraknya itu tebal melekat di periuk. Tapi kerak ni yang best dimakan sebab kekadang rasanya cam keropok aje.

Yang hamba ingat ketika bebudak dulu, time kenduri mesti ada bebudak main kejar-kejar atau polis sentri. Kenduri hari ni macam tak nampak suasana bebudak berlari-lari berkejaran. Mak bapak pun mesti tak bagi anak-anak berkejar pada majlis kenduri hari ini. Biasanya juga apabila masakan sudah siap di masak, tukang masak akan melaung agak budak-budak makan dahulu. Maka berkejaranlah anak-anak mendapatkan pinggan untuk diisi dengan nasi dan lauk. Selepas itu berterabur pula mencari tempat-tempat duduk sama ada di bawah rumah, tangga atau mana-mana tempat yang boleh dijadikan tempat duduk. Tiada budak-budak yang pergi makan di bawah khemah seolah-olah tahu tempat sedemikian hanya dikhaskan untuk orang dewasa sahaja. Hari ini anak-anak tumpang sekali makan di bawah khemah.

Banyak lagi cerita-cerita kenangan zaman dahulu. Tak mampu hamba nak ceritakan semuanya. Apa pula cerita anda?



Ni lah acara clean and jerk yang melotihkan pakcik......!!!!




 


 

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...