Sabtu, 22 Februari 2014

MENELUSURI 100 TAHUN INSTITUSI KETUA SETIAUSAHA NEGARA



Membaca buku ini adalah umpama  membaca buku teks sejarah sekolah menengah, pekeliling, surat rasmi ataupun dokumen-dokumen kerajaan. Mungkin kerana para penulisnya adalah hampir 100% pegawai kerajaan maka cara penulisannya agak mendatar. Sememangnya membaca buku yang dipenuhi dengan fakta yang serius kadangkala boleh membuatkan pembacaan menjadi bosan. Kerana itulah kebanyakan individu tidak menulis sendiri kisah hidup mereka malah mencari seorang penulis yang berkebolehan agar penulisan tersebut akan menjadi lebih 'selesa' untuk di baca. 

Memuatkan kisah/fakta berkenaan jawatan Ketua Setiausaha Negara semenjak dari zaman penjajah sehinggalah ke hari ini. Sejujurnya hamba amat berminat untuk mengetahui kisah KSN yang berkhidmat sebelum merdeka kerana ia agak kurang diketahui. Walau bagaimanapun kisah-kisah mereka juga ditulis agak ringkas di dalam buku ini. Kisah KSN lebih banyak tertumpu kepada kerjaya dan sumbangan mereka yang berada selepas merdeka terutamanya KSN yang sekarang dan yang sebelumnya. Bagi hamba ia kelihatan agak tidak seimbang . Mungkin kerana cerita mengenai mereka yang berkenaan tidak banyak berada dalam simpanan rekod kita. Maka seharusnya kisah KSN terutamanya yang berkhidmat sebelum zaman merdeka harus digali dari sumber lain seperti rekod-rekod yang berada di Britain.

Tanah Melayu sebelum merdeka tidak diperintah oleh parti politik. Ia ditadbir oleh pegawai-pegawai British (pegawai kerajaan) yang mewakili Ratu England. Nama jawatan Ketua Setiausaha Negara adalah nama baru yang digunakan ketika ini. Pada zaman penjajah nama yang digunakan adalah Chief Secretary To The Government, Federal Secretary, Chief Secretary To The Malayan Union, Chief Secretary To The Federated Of Malaya dan Permanent Secretary. Kedudukan mereka adalah cukup tinggi, berada nombor dua selepas High Commisioner. Ini bermakna tanpa adanya parti politik yang membentuk kerajaan, negara boleh sahaja dijalankan oleh pegawai kerajaan. Bahkan jawatan-jawatan yang ada diwujudkan juga seolah mewakili kerja-kerja yang dijalankan oleh menteri dan kementeriannya pada hari ini. Kuasa-kuasa KSN yang luas akhirnya dikurangkan secara berperingkat, semenjak zaman British lagi seperti yang dicatatkan di dalam buku ini. Bolehlah dikatakan KSN pada zaman penjajah adalah juga umpama seorang wakil rakyat dan tugasnya bukan hanya melibatkan penjawat awam sahaja.

Kesemua KSN sebelum merdeka adalah merupakan orang putih. Hanya selepas merdeka sahajalah baru ia diduduki oleh anak tempatan. Bukanlah calang-calang orang yang boleh menduduki kerusi ini. Semenjak zaman penjajah lagi pemilihan mereka di kerusi ini di buat dengan teliti. Penjajah turut melihat sekiranya mereka ini biasa dengan adat masyarakat tempatan terutamanya orang Melayu. Pengetahuan mengenai adat dan kebolehan bertutur dalam bahasa Melayu adalah satu kelebihan. Terdapat beberapa KSN Inggeris yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Ada juga KSN yang walaupun berketurunan orang putih tetapi lahir dan membesar di Tanah Melayu. Buku ini turut memasukkan beberapa dokumen mengenai pemilihan bakal KSN yang dihantar ke Pejabat Kolonial di England untuk keputusan. Bahkan anak-anak Melayu yang menduduki kerusi tersebut setakat ini dilihat masing-masing mempunyai kewibawaannya yang tersendiri. Bolehlah dikatakan KSN adalah umpama penghubung di antara pemerintah dengan pegawai kerajaan yang akan melaksanakan dasar yang ditentukan oleh pemerintah. Oleh yang berkenaan sifat KSN haruslah disenangi oleh kedua-dua pihak iaitu pemerintah dan rakyat (dibaca penjawat awam).

Dokumen-dokumen yang ditampilkan dalam buku ini amat menarik perhatian hamba. Ia memperlihatkan kepada hamba betapa pihak British amat menjaga rekod mereka. Bahkan apa yang diamalkan oleh kakitangan kerajaan di dalam penulisan surat, pemfailan dan lain-lain dokumen rasmi banyak yang berasaskan kepada apa yang telah ditinggalkan oleh British. Bahkan hamba percaya ayat standard surat rasmi kerajaan yang berbunyi 'dengan hormatnya saya .....' adalah bersusur galur kepada dokumen rasmi zaman penjajah yang banyak bermula dengan ' I have the honour to...Perkara yang melibatkan rekod bukanlah boleh dipandang ringan. Masih ingatkah anda kepada kekalahan negara dalam peristiwa perebutan Pulau Batu Putih? Malaysia kalah kerana rekod!! Sila rujuk ulasan buku Batu Putih Dokumen Terpilih.

Hamba teruja melihat pelbagai gambar lama yang ditampilkan. Salah satu yang menarik perhatian hamba adalah gambar Sir W.G. Maxwell bersama Sultan Alaedin Suleiman Shah, Sultan Selangor yang berpakaian tradisonal Melayu lengkap dengan tanjak dan keris. Mungkin bukan sesuatu yang pelik kerana beliau lahir di Melaka dan boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik. Mungkin beliau boleh sahaja dianggap sebagai anak tempatan walaupun berketurunan Inggeris. Turut dimuatkanpada bahagian akhir buku ini galeri foto KSN-KSN semenjak lepas merdeka. Cuma hamba agak bosan dengan pemilihan gambar mereka. Boleh dikatakan pada setiap galeri KSN itu akan ada gambar mereka mengadap YDP Agong serta gambar majlis serah tugas. Gambar itu bukanlah tidak penting tetapi penyunting buku harus bijak di dalam membuat pemilihan. Buku ini adalah berbentuk coffee table dan biasanya buku berbentuk ini adalah dipenuhi dengan gambar bahkan gambar adalah kekuatan sesebuah buku jenis ini. Susun atur gambar juga tidak begitu menarik dan beberapa paparan grafik membuatkan hamba merasa seperti melihat persembahan power point.

Buku ini walaupun kadangkala membosankan hamba tetapi dipenuhi dengan banyak fakta yang penting. Tetapi bak tulisan hamba di atas tadi, maklumat mengenai KSN sebelum merdeka serta usaha-usaha mereka untuk memajukan pentadbiran haruslah dicari lagi.

Hamba tidak tahu sama ada buku ini ada dijual di kedai ataupun tidak. Hamba juga tidak mengetahui siapakah mereka yang disasarkan untuk membaca buku ini. Ini kerana buku ini hamba tidak pernah ketemuinya di kedai-kedai. Mungkin ada satu dua kementerian atau jabatan yang menyimpannya di perpustakan mereka. Kementerian hambapun tak pernah menguar-uarkan mengenai buku ini. Hamba hanya mengetahuinya melalui akhbar dan berusaha mendapatkan senaskhah daripada sahabat hamba untuk dibaca. Sekiranya buku ini bukan disasarkan untuk bacaan ramai khususnya penjawat awam hamba anggap penerbitan buku ini tidak lebih daripada syok sendiri. Tambahan pula hamba percaya kos yang besar telah digunakan untuk penerbitan buku ini termasuk semasa proses penyediaannya. Bahkan majlis pengenalan buku ini juga pasti ada kos yang dibelanjakan. Jikalau dijual hamba percaya buku besar ini pastinya berharga melebihi RM100. Jikalau hendak menggalakkan orang membaca, ini bukanlah harga yang patut berada di sampulnya...


Selasa, 18 Februari 2014

SEBUAH ALAT BERNAMA WALKMAN




Apabila disebut perkataan walkman, generasi hari ini pastinya terbayangkan satu alat pemain muzik digital yang boleh memuatkan beribu buah lagu dalam format mp3. Bukan sahaja lagu, bagi walkman yang mempunyai skrin, ia boleh juga menjadi alat pemain video serta menayangkan gambar. ia juga sekaligus menjadi penyimpan fail-fail digital. Namun bagi orang seperti hamba, kadang-kadang masih lagi terbayang alat pemain muzik yang menggunakan kaset, kadang-kadang mempunyai fungsi radio dan ada juga yang mempunyai pembesar suara terbina dalam.

Badannya agak besar tatkala kemunculannya. Hanya satu sahaja kaset yang boleh dimainkan setiap kali menggunakannya. Sekiranya ingin mendengar lagu lain maka terpaksalah ditukar kepada kaset yang baru. Berbeza dengan pemain mp3 sekarang yang tidak perlu lagi menggunakan sebarang kaset, bahkan beratus album lagu boleh dimuatkan mengikut kapasiti kad memori masing-masing.

Walaupun nama walkman adalah nama ekslusif bagi Sony, namun bagi orang kita ketika itu istilah walkman turut juga digunakan bagi pemain kaset lain-lain jenama. Orang ada walkman ketika berjalan akan menyangkutkannya di bahagian tali pinggang. Ada juga yang membawanya dengan beg. Bagi yang mempunyai walkman dengan saiz yang besar mungkin terasa segan juga kerana dengan saiz itu orang boleh tahu bahawa ia adalah jenis yang berharga murah. Walkman semakin lama semakin mengecil dan menipis sehingga hampir menyamai saiz kaset itu sendiri. Pada mulanya saiz alat pendengar (earphone/headphone) juga adalah besar sehinggalah muncul yang kecil. Mereka yang membeli alat pemain yang standard akan mendapat alat pendengar yang besar ini, maka terpaksalah dikeluarkan sedikit modal lagi jika ingin menggunakan yang kecil. Tapi hamba kelakar juga hari ini apabila melihat alat pemain mp3 yang sudah semakin kecil namun penggunanya pula suka menggunakan alat mendengar yang besar sama seperti saiz yang digunakan pilot kapalterbang!!

Walkman adalah benda mewah semasa zaman kanak-kanak dan remaja hamba. Hamba sendiri tidak tergamak untuk meminta ayah membelikannya kerana tahu ia mahal. Apabila kawan-kawan di sekolah sudi memberikan hamba pinjam maka merasalah hamba menggunakannya. Tetapi tidaklah selalu hamba merasa untuk meminjamnya memandangkan walkman menggunakan bateri biasa bukannya yang boleh dicas seperti hari ini. Tuan punyapun tentunya ambilkira modal untuk membeli bateri, maklumlah masing-masing masih bersekolah.

Lebih kurang beginilah rupanya walkman
pertama hamba
Hamba hanya memperolehi walkman hamba yang pertama apabila berjaya dalam peperiksaan SPM. Walkaman berjenama Sharp itu saiznya agak besar dan boleh memainkan keset serta radio. Memanglah gembira dan hamba anggap ia sebagai sesuatu yang mahal. Dapatlah hamba gunakan ia untuk mendengar kaset-kaset yang ada di dalam simpanan.

Apabila hamba mengikuti kursus bahasa Arab di KUSZA sebelum ke luar negara, walkman itu hamba bawa bersama. Rakan-rakan yang lain turut mempunyai walkman mereka sendiri bahkan lebih canggih lagi. Ketika ini hamba merasakan pentingnya untuk mempunyai walkman yang mempunyai ciri-ciri rakaman bagi membolehkan hamba merakam pengajaran guru di kuliah. Tambahan pula kuliah dijalankan dalam bahasa Arab dan hamba tidak mampu untuk mengikutinya di kelas tanpa mendengar kembali. Namun walkman berkenaan hanya dapat hamba beli sebelum hamba bertolak ke luar negara.

Di luar negara sememangnya walkman berjenama Panasonic itu amat besar gunanya. Tambahan pula zaman hamba belajar dahulu teknologi internet masih belum berkembang, maka walkman itu adalah peneman di kala kesunyian. Malangnya ia telah dicuri apabila rumah hamba diceroboh masuk pada siang hari. Turut hilang bersama ialah sehelai jeket kulit yang hamba gemari.

Apabila muncul cakera padat, kaset mula ditinggalkan begitulah juga dengan walkman. Muncul pula discman yang bersaiz besar, seolah menyangkut sebuah tayar di pinggang seluar. dan begitulah seterusnya sehingga apa yang ada pada hari ini. Setelah berbelas tahun, hamba membeli sebuah walkman, seperti gambar di atas, untuk digunakan ketika berjogging. Entah bagaimana pula rupanya walkaman di tahun-tahun yang mendatang. Mungkin orang akan tanam cip di tengkuk pula tanpa perlu bersusah payah membawa sebarang gajet untuk mendengar muzik.


Isnin, 17 Februari 2014

PENANG WAR MUSEUM pt.1



Agaknya jikalau tiada sistem GPS di dalam kereta hamba mungkin sukar untuk hamba tiba ke destinasi ini. Kalau tak silap hamba cuma bertemu satu sahaja papan tanda yang mengarah ke kawasan ini daripada penginapan hamba di Hotel Tabung Haji. Jalan menghala ke muzium perang ini kecil sahaja dan sedikit berliku sambil menghala ke puncak bukit. Di kiri dan kanan jalan hanyalah semak samun. Hamba rasa kalau kerajaan negeri Melaka yang memiliki kawasan seperti ini pasti keadaannya adalah lebih baik bagi menarik lagi kedatangan pelancong.

Kawasan penyimpanan peluru bawah tanah. Terdapat beberapa gambar oleh bekas seorang
tentera British yang memaparkan keadaan semasa perang.

Jelas kelihatan beberapa bahagian dinding yang berlubang kerana tembakan peluru.
Ini adalah bekas berek pegawai yang digunakan Jepun untuk menembak tahanan.



Memasuki premis berkenaan kereta hamba berhenti disebelah seorang lelaki yang seolah menjaga pintu masuk kawasan tersebut. Beliau meminta RM5 sebagai bayaran letak kereta dengan disertakan resit. Kata beliau yang melalui suaranya seperti warga dari seberang itu, wang RM5 tersebut boleh dikembalikan semula dengan menolak harga tiket nanti. Pelik juga hamba kenapa perlu bayar tiket parking dahulu kalau nanti akan mendapat kembali wang tersebut. Seolah-olah tempat meletakkan kereta adalah percuma sebenarnya.

Salah sebuah kubu peninjau

Berek


Berek yang menempatkan tentera Melayu. Hamba tak tahu kenapa pemilik premis meletakkan beberapa patung hantu di dalam berek ini. Terdapat juga satu kubur askar Inggeris di dalam berek ini.

Hamba tak ingat berapa bayaran yang dikenakan mengikut kepala. Carian hamba di internet sebelum berkunjung  ke sini memang memberitahu bahawa bayarannya agak mahal. Namun kerana didorong perasaan ingin tahu, tambahan pula ia merupakan satu-satunya warisan perang yang masih dalam keadaan elok maka hamba pejamkan mata sahaja. Bayaran yang dikenakan kepada keluarga hamba dikira sebagai pekej keluarga dengan harga RM65. Ketika hamba telah selesai membeli tiket dan bersedia untuk masuk, hamba melihat satu keluarga yang membatalkan hasrat mereka untuk masuk setelah mendapati harga tiket agak mahal. Ketika ini barulah hamba mendapat jawapan kenapa bayaran meletak kereta telah diminta awal-awal lagi. Ini  bermakna keluarga berkenaan walaupun tidak melawat kawasan muzium, tapi masih terpaksa membayar RM5 walaupun mereka cuma meletak kereta seketika sahaja. Pihak pengendali muzium secara tidak lansung telah mendapat untung di atas angin. Bagi hamba pekerti ini adalah sesuatu yang agak zalim. Ini kerana pengunjung masih membayar walaupun tidak mendapat perkhidmatan. Lebih-lebih lagi RM5 itu tidak sepadan dengan lama mereka meletak kereta. Pengguna perkhidmatan parking berbayar di Kuala Lumpur pun dikecualikan bayaran sekiranya mereka tidak menjumpai parking yang kosong dalam tempoh yang dihadkan. Inikan pula parking dalam hutan, tiada bumbung dan di kawasan tertentu agak curam.






Maklumat mengenai muzium perang ini banyak terdapat di internet. Tetapi kebanyakannya adalah daripada blog persendirian juga pihak berkuasa pelancongan. Namun premis ini sendiri tidak mempunyai laman web rasmi mereka. Adalah amat menghairankan kerana mereka tidak melihat ini sebagai satu peluang untuk memperkenalkan premis mereka ke peringkat antarabangsa. Mungkin sewajarnya kawasan ini ditadbir oleh kerajaan berbanding secara persendirian. Pastinya kawasan ini akan lebih terjaga dengan kadar bayaran yang lebih munasabah.

Di dalam lubang berkenaan merupakan kawasan penyimpanan bahan letupan. Ia direka dengan rapi dengan jangkaan sekiranya berlaku ledakan di tempat penimpanan ini, ia tidak akan memusnahkan kawasan sekitarnya.




Dibina sekitar tahun 1930an, kawasan kubu yang dibina oleh The British Royal Engineers ini telah jatuh ke tangan Jepun sewaktu perang dunia ke II. Apabila Jepun menyerah dan meninggalkan Malaya, kubu ini terbiar tanpa siapa peduli atau mengetahui lokasinya sehinggalah diketemui semula lebih kurang 60 tahun kemudian. Ternyata peninggalan ini adalah satu bukti bisu tentang peperangan yang pernah terjadi di negara kita. Ketika beberapa peninggalan perang dunia atau zaman Jepun yang telah mula hilang seperti kubu-kubu yang terdapat di Kelantan, kubu tentera British ini secara tidak lansung dapat memberikan gambaran yang lebih jelas tentang betapa ‘seriusnya’ perang di zaman itu.


Bersambung….



Tak perlulah pemilik premis sampai jadikan berek ini sebagai tempat pameran hantu pula...
Berek Malay OR (Other Ranks)



Intelligence room


PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...