Selasa, 17 Mei 2016

PERMATA AURORIUS - Ahmad Patria Abdullah

Novel ini jika dikira dari segi target pembaca, bukanlah untuk golongan berusia seperti hamba. Namun novel ini antara naskhah yang pernah hamba baca sewaktu usia awal belasan tahun lebih 25 tahun yang lalu. Ketika itu hamba menganggap karya ini amat menarik sekali kerana menampilkan tema dan suasana penceritaan yang berbeza dengan lain-lain penulis ketika itu. Bahkan pada hari inipun hamba rasakan tidak banyak penulis yang mempersembahkan tema yang sedemikian rupa.

Permata Aurorius adalah umpama membaca sambil mengkhayalkan sebuah alam lain seperti di dalam Lord Of The Ring, The Hobbit dan lain-lain kisah yang sepertinya. Kisahnya penuh dengan keajaiban, tidak logik serta tidak berpijak pada bumi yang nyata. Kisah seperti ini di tahun kelahiran Permata Aurorius pada 1987 hanya boleh dibaca di dalam buku-buku berbahasa Inggeris. Justeru Ahmad Patria telah mengambil satu langkah luar biasa yang jarang dilakukan oleh penulis lain ketika itu. Walaupun menulis di dalam penceritaan yang jarang-jarang diketengahkan, persembahan Ahmad di dalam bukunya adalah menarik, ringan serta tidak terlalu menggasak minda pembaca. Penulisan santainya menarik perhatian pembaca untuk terus membaca sehingga ke akhir. Tidak hairan memandangkan beliau adalah anak almarhum Sasterawan Negara Abdullah Hussein. Lantaran penulisannya yang menarik itulah novel Permata Aurorius masih lagi dicetak serta dijual hingga ke hari ini.

Kehadiran Rizal ke dunia Aurora dianggap sebagai seorang Artakus seperti ramalan kitab kaum mereka. Rizal yang datang dari dunia kita dipersembahkan secara ringkas sahaja kehadirannya ke dunia Aurora sehingga mungkin pembaca tertanya-tanya apa keistimewaan beliau sehingga terpilih dibawa merentasi dimensi ke dunia Aurora. Tidak seperti Harry Potter yang kehadirannya dari dunia kita ke dunia Hogwarts dipersembahkan dengan teliti untuk memudahkan pembaca mengetahui susur galurnya. Bahkan kehadirannya ke Aurora boleh diibaratkan seperti baru lahir sudah disuruh berlari apabila dipertanggungjawabkan untuk menyatukan seluruh bangsa Aurora bagi menghadapi Morrok dan Herakos. Dalam erti kata lain, Rizal aka Artakus kini menjadi pemimpin bagi mengepalai bangsa barunya dalam sebuah peperangan. Tidak dinyatakan di mana-mana bahawa Rizal mempunyai sebarang asas bela diri sama ada pernah mempelajarinya di dunia hari ini atau sempat menuntut serba sedikit daripada bangsa Aurora.

Keseronokan membaca Permata Aurorius adalah mengkhayalkan gambaran cerita yang sedang berjalan seperti usaha menawan kubu Korrok di Kolossus, kembara merentas paya Tozor dan Lapangan Iskariot sehingga sampai ke Kota Arialun serta gambaran di dalamnya. Usaha mendapatkan permata Aurorius di Kota Arialun adalah kemuncak penceritaan, namun terasa pendek benar penceritaannya dan tiba-tiba sahaja ia telah tiba di penghujungnya.

Novel ini tidak terhenti di sini bahkan mempunyai 5 lagi yang sesiri dengannya. Berbanding novel ini, untuk mencari siri-siri yang lain mungkin sedikit sukar dan kurang di pasaran. Tetapi jika dapat memiliki kesemuanya, maka barulah lengkap pembacaan.


PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...