Sabtu, 28 Julai 2012

APABILA NASYID DIMETALKAN

Hamba seperti juga ramai di luar sana suka mendengar irama bunyi-bunyian. Perjalanan hamba ke tempat kerja yang mengambil masa lebih sejam biasanya ditemani siaran daripada radio buruk kereta. Hamba rasa kalau tiada radio di kereta  mungkin bosan juga apabila memandu berseorangan. Dengan banyaknya siaran radio yang ada di Malaysia sekarang, hamba rasa hamba tidak perlu membeli sebarang keset (ada lagi ke dijual?) atau cd untuk dimainkan. Memadai dengan lagu-lagu yang diputarkan oleh stesen radio. Nak lagu klasik ada stesennya, begitu juga kalau nak dengar lagu retro, moden dan sebagainya. Jadi kepada yang cari makan dengan jual lagu janganlah marah kalau hamba tak beli cd mereka. Lagipun lagu tuan hamba biasanya hanya seketul dua sahaja yang sedap didengar, yang lain tu nampak macam nak bagi pelengkap album sahaja.
Hamba juga suka mendengar nasyid. Dulu hamba suka dengar Nada Murni, sekarang hamba dah tak kenal lagi sesiapa yang bernasyid. Nasyid sendiripun dari zaman tiada alat muzik, kemudian mula dimasukkan gendang dan perkusi, sekarang dan macam muzik moden. Kumpulan nasyid sendiripun banyak yang telah lari daripada irama padang pasir kepada irama yang lebih moden mengikut citarasa hari ini.
Tapi bagaimana pula dengan nasyid yang dimetal atau diberi nafas rock. Dulu Rabbani pernah memasukkan unsur muzik hip hop atau rancak dalam beberapa lagu mereka seperti Intifadah. Apa yang hamba tahu bila mendengar lagu tersebut, kaki hamba rasa macam nak menari saja. Begitu juga apabila mendengarnya dalam acuan rock, rasa nak head banging pun ada. Tidak hamba nafikan bahawa mesej yang dibawa tetap kepada kebaikan, namun sesuaikah ia dimasukkan irama yang keras.
Hamba terjumpa di internet dengan satu kumpulan yang menamakan diri mereka Al-Farabi Band yang membawakan lagu dakwah dalam irama rock. Permainan muzik mereka bagus, umpama rock zaman rock kapak. Cuma suara vokalisnya sahaja dalam satu dua lagu yang hamba rasa tak berapa masuk. Penampilan band ini juga berlainan. Yang lelaki berpakaian sama sahaja seperti rockers remaja, cuma mereka mengenakan serban  di kepala. Ada juga sekuntum bunga di dalam band ini yang lengkap berhijab berfungsi sebagai pemain bass. Gaya ambil gambar pun ala-ala bintang rock, yang memang gayanya tak nampak nak berapa tawadhu’.
Meneliti beberapa lagunya, hamba dapati ia menggunakan lirik daripada nasyid kumpulan Nada Murni seperti lagu Simfoni Evolusi (asal Islam Yang Telah Berkembang), Radiasi 1400 (asal Seruan Jihad) dan beberapa lagu lagi. Ia tak ubah seperti kumpulan Kristal yang memetalkan lagu-lagu 60’an. Hamba tak pasti kenapa lagu-lagu Nada Murni yang mereka pilih. Adakah mereka legasi dari jemaah Darul Arqam dahulu atau Nada Murni memang geng mereka, wallahuaa’lam.
Apapun hamba serahkan kepada halwa telinga anda. Hamba tidak pandai untuk memberikan penilaian. Tapi muzik mereka memang layan…..




Sabtu, 21 Julai 2012

DI TENGAH KOTA, MEMOIR SASTERAWAN NORA - Haji Ali Haji Ahmad

Rasanya pertama kali hamba mengenali Pak Nora (Haji Ali bin Haji Ahmad) adalah melewati sajaknya yang tersohor – Sakaratul Maut. Tika itu tahun 1988 dan hamba berada dalam tingkatan satu di sebuah sekolah menengah berasrama penuh. Karya tersebut telah dideklamasikan dengan baik oleh saudara Dinie Juri dan sering diperdengarkan di majlis kebudayaan Islam anjuran Jemaah Darul Arqam. Rakaman sajak tersebut dijual di sekolah hamba. Kadang-kadang ia diperdengarkan pada waktu pagi melalui pembesar suara menjelang Subuh menggantikan tarhim bagi mengejutkan pelajar untuk bersiap ke surau. Bayangkan dalam keadaan pagi yang masih gelap dan sunyi itu dikejutkan dengan laungan sakaratul maut. Ketika itu jemaah Darul Arqam menggunakan teknologi dengan sebaiknya di dalam memperomosikan karya-karya ahli jemah mereka. Sajak tersebut diadun dengan kualiti bunyi yang canggih pada masa itu sehinggakan apabila mendengarnya terasa begitu menyentap perasaan dan kadangkala menyeramkan. Bahkan semasa hamba tingkatan lima sajak ini hamba gunakan sebagai latar sebuah pantomim dengan tajuk yang sama dengan hamba sendiri yang berlakon sebagai OB!!

Sajak-sajak juga cerpen beliau banyak yang hamba baca di majalah-majalah keluaran jemaah itu juga. Karya Pak Nora banyak berkisar tentang kehidupan dan kematian. Bahkan hamba rasa ia seolah berbicara tentang dirinya lewat watak kakek di usia senja yang sering diketemui dalam sajaknya. Bagi hamba karya Pak Nora berada dalam kelasnya yang tersendiri. Walaupun tidak mencapai tahap Sasterawan Negara, bahasa yang digunakan sememangnya indah dan puitis.
Memoir beliau ini (perkataan memoir sendiri pertama kali hamba pelajari dari tulisan Pak Nora), hamba ketemu di Pesta Buku Antarabangsa KL 2012 yang lalu, dan tanpa teragak-agak hamba terus membelinya. Buku ini merupakan ganbungan beberapa catatan Pak Nora sendiri dengan diberi nota pinggir oleh Zakaria Sungib. Sesungguhnya menjadi seorang penggiat sastera tidak menjanjikan kehidupan yang mewah. Inilah yang dapat hamba rumuskan melalui buku ini. Namun Pak Nora tetap tenang menjalani kehidupan dan terus berusaha memperkenalkan karyanya di beberapa majalah sastera tanahair. Paling sedih membaca kisah rumah beliau yang dilelong bank gara-gara dicagar bagi membantu perjuangan jemaah yang pernah disertainya dahulu.

Pak Nora adalah seorang penulis yang ikhlas, bolehkah kita ikhlas seperti beliau?.

SAKARATUL MAUT

Dinihari itu seorang OB rebah di kamar mandi
Diserang lemah jantung yang menggugat nyawanya
Tengah malam pulang dari sebuah hotel di KL
Bersama puan mudanya, bersama mulut dan lidahnya
Yang dinajisi alkohol dan banglonya di atas bukit

Puan muda menelefon doktor peribadi OB
Dan doktor berkejaran bersama beg perubatannya
Dan sebatang jarum injeksi dibenamkan ke urat OB
Dan berombak-ombaklah nafasnya
Bergelombang dadanya dilambung nazak hempas menghempas

Tujuh hari tujuh malam OB bergeletakan
Golek gelentang di pembaringan
Dan seluruh dunia dan isinya berkumpul di dalam kepalanya
Bangloku, Mercedezku, wangku dalam Bank Bumi,
Saham-sahamku di syarikat-syarikat, rumah-rumah sewaku
Pengarah-pengarah, kuda-kudaku di padang lumba, padang golfku,
Anak-anakku di luar negeri dan isteri mudaku.

Nazak hempas-menghempas, pulas-memulas dan pintal memintal
Makan? Geleng kepala
Minum? Geleng kepala
Amak? Geleng kepala
Isteri muda? Geleng kepala
Mahu ke padang lumba kuda? Geleng kepala
Mahu pergi ke Genting Highland? Geleng kepala
Melancong ke Eropah? Geleng kepala
Ke Makkah naik haji? Geleng kepala
Apa yang engkau mahu?
Oh Tuhan, panjangkan umurku
Panjang Umur? Berapa tahun kau mahu?
Seratus tahun? Cukup?
Ya, seratus tahun
Enam puluh tiga tak cukup?
Tidak puas hidup?
Tak kenyang makan maksiat?
Belum bosan mengumpul dosa?
Kau mohon panjang umur lagi?

Sedetik lagi sakaratul maut datang
Seetik lagi Izrael datang
Sedetik lagi Malaikatul Maut datang
Kau di ambang sakaratul maut
Kau nazak sekarang, wahai OB

Aku makin tegang dan makin sendat nafas di dada
Kedinginan mulai memanjat dan merayap kaki
Perlahan-lahan menjalar ke seluruh jasad yang terbujur
Aku dilambung resah, gelisah, keluh kesah
Keluhan dan rintihan, panas, dahaga, haus, panas
Air tujuh lautan mahu ditogok
Sebesar tujuh dunia kelaparan merobek usus-usus

Syaitan datang berbondong-bondong
Menginjak-injak aku, menggoda aku
Mahu memurtadkan aku
Nenekku datang, nenek?
Kau dahaga cucu? Kau lapar cucu?
Mahu air? Ini bejana penuh air madu
Kalau cucu mahu masuk syurga, minum air ini

Inu? Ibuku menggoyangkan buah susunya
Ini ibumu. Air susu ini membesarkan kau nak
Buangkan Islam, matilah dalam agama yahudi
Ayah? Kau datang ayah?
Matilah dalam agama yahudi anakku
Matilah dalam agama kristian
Itulah agama yang membawa kau masuk syurga

Ucaplah; La ilaha illallah
Tidak, tidak, tidakkk
Ucaplah; La ilaha illallah
Tidak, tidak, tidakkk
Rumahku, Mercedezku, wangku dalam bank,
Saham-sahamku, kuda-kudaku, kolam mandiku,
Padang golfku, isteri-isteriku dan duniaku.

Sakaratul maut pun datang
Pak Lebai dari rumah setinggan dipanggil oleh pemandu dengan Mercedez
Dan memanjat bukit ke bangloku di puncak desir angin
Tapi, lidahku telah kelu
Dan sakaratul maut kian detik tiba

Manusia-manusia berjubah hitam datang
Mari, ikut kami
Manusia-manusia berjubah hijau datang
Membawa payung hijau
Katanya; Mari, ikut kami
Cahaya putih datang
Datang sinar kuning
Datang kilatan hitam
Cahaya merah datang
Apa ini? Apa ini?
Aku sakaratul maut

Kedinginan menjalar merayap perlahan-lahan
Dari hujung kaki ke hujung rambut
Dan kini seluruh jasadku diseliputi sejuk
Dan dingin singah di tenggorokan
Kemudian datang malaikaltul maut di hujung kepalaku

Hei, jiwa yang keji
Keluarlah kepada kemurkaan Allah
Rohku berselerak ke seluruh tubuhku
Lalu; inna lillahi wainna ilaihi raji’uuun
Malaikat-malaikat menunggu sesayu p mata memandang
Dan menghamburlah bau bangkai sebusuk-busuknya

Tuliskan suratannya dalam ‘sijjin’ pada bumi yang terbawah
Roh aku dicampakkan, dikembalikan ke dalam jasad
Lalu datang dua malaikat dan didudukkannnya aku
Siapa Tuhanmu?
Hah, hah, aku tak tahu!
Apa agamamu?
Hah, hah, aku tak tahu!
Siapa lelaki ini yang diutuskan kepadamu?
Hah, hah, aku tak tahu!

Datanglah kepadaku seorang lelaki yang hodoh wajahnya
Buruk pakaiannya, busuk baunya
Siapa engkau?
“Akulah amalanmu yang keji.”

Kini aku diazab dan disiksa di dalam kubur
Menunggu, menunggu doa anak yang soleh
Mana doa anakku seorang peguam?
Mana doa anakku seorang doktor?
Mana doa anakku seorang jurutera?
Mana doa anakku seorang arkitek?
Mana doa anakku seorang profesor?
Mana? Mana? Mana? Manaaaaa?

Nora


Khamis, 19 Julai 2012

BELASUNGKAWA - PERGINYA SEORANG TOKOH WAQAF TANAH AIR

Pagi tadi hamba layangkan satu sms kepada seorang sahabat bertanyakan khabar Dato’ Dr. Sohaimi. Tidak lama kemudian masuk dua sms berturut-turut daripada dua orang rakan yang berbeza dan bukan daripada sahabat yang hamba layangkan sms pada mula tadi. Kedua-duanya membawakan mesej yang senada – Dato’ sudah tiada lagi, dijemput Ilahi meninggalkan kita semua.
Hamba terpempan seketika. Insan yang sempat sekali hamba ziarahi seminggu sebelum itu kini telah tidak akan dapat lagi hamba dengar suaranya. Inna lilLahi wa inna ilaihi rajiuuun.
Ada segelintir yang menganggap Almarhum garang orangnya. Itu juga tanggapan pertama hamba sewaktu mula-mula melaporkan diri kepada beliau di JAWHAR. Akibat surat pertukaran tidak sampai ke tangan hamba, beliau telah mula mempersoalkan kehadiran hamba. Mujurlah sahabat hamba yang memegang teraju pentadbiran bertindak pro aktif dengan mencari tempat hamba bertugas ketika itu dan memaklumkan bahawa adanya surat arahan pertukaran hamba ke JAWHAR. Maka teruslah hamba serta merta bertolak dari Pulau Indah, Pelabuhan Klang ke Putrajaya. Itulah hamba di awal pertemuan dengan Almarhum. Bukan disambut dengan senyuman dan ucapan selamat datang bahkan dengan leteran yang panjang. Ia sedikit sebanyak memberikan gambaran akan hari-hari yang bakal hamba lalui di JAWHAR.
Namun hamba, juga ramai yang lain, boleh membuat kesimpulan bahawa beliau sebenarnya seorang yang tegas. Marah beliau tidak disimpan di dalam hati. Kita boleh bergelak ketawa dengannya apabila kena waktu dan ketikanya. Ketegasannya bertempat dan boleh kita patahkan andainya kita mempunyai fakta yang tepat dan terbaik.
Hamba ingat pada satu hari di mana hamba terpaksa berulang kali masuk mengadap beliau kerana satu urusan kerja. Setiap kali ditunjukkan pastinya ada dakwat merah yang akan mencalit membetulkan di mana perlu. Bahkan selepas dibetulkan yang itupun, kadangkala calitan merah itu tetap ada membuatkan hamba terpaksa membetulkannya lagi. Akhirnya saat hampir Maghrib barulah kerja hamba itu selesai dengan sempurna. Ketika mahu membawa ke biliknya, hamba lihat pintu biliknya tertutup rapat. Hamba tahu beliau ada di dalam kerana menjadi kebiasaan beliau akan pulang lewat. Namun hamba teragak-agak mahu mengetuk pintu biliknya. Hamba kembali kepada boss hamba yang menyarankan agar hamba beranikan diri dan masuk sahaja. Akhirnya hamba memberanikan diri menelefon beliau dan meminta hamba menemuinya selepas solat Maghrib. Seusai solat Maghrib, hamba menunggu beberapa ketika sehinggalah hamba yakin beliau boleh menerima tetamu, barulah hamba kembali ke pejabatnya. Namun Almarhum pada malam itu berbeza dengan watak pada siangnya. Beliau amat mesra bahkan berjenaka dengan hamba, membuatkan hamba merasa amat relax sekali. Ada satu kata-kata beliau, lebih kurang – kalau dengan aku, macam ni lah Mizhar (kehendak ketua), kalau nanti kau dapat boss lain, lainlah caranya. Tapi selagi dengan aku kau kena ikutlah cara aku….
Namun hamba paling tidak dapat lupakan hari terakhir beliau di JAWHAR. Dalam pertemuan beliau dengan kakitangan, di hadapan semua orang, beliau ada menyebut secara spesifik tentang hamba. Beliau menyatakan pada mulanya beliau merasa ragu-ragu juga dengan hamba. Ini lantaran satu ‘malapetaka’ yang menimpa hamba di jabatan yang lama. Namun semua kerja yang telah hamba lakukan di JAWHAR telah menghapuskan sangkaan buruk beliau. Ini beliau nyatakan secara terbuka dan sememangnya mengejutkan hamba. Hamba tidak tahu bahawa selama ini beliau menilai hamba dalam senyap. Apa yang berlaku kepada hamba sebelum itu rupanya memberikan impak yang besar sehingga datang keraguan kepada beliau. Pengakuan yang beliau buat secara terbuka itu telah memberikan hamba satu kekuatan. Sekurang-kurangnya hamba berpuas hati kerana kerja yang hamba lakukan selama ini adalah ikhlas dan bukannya kerana tahu hamba sedang dinilai. Pada petang hari yang sama beliau datang berkunjung ke bilik hamba untuk mengucapkan selamat berpisah. Sekali lagi beliau berpesan jikalau mahu membuat apa-apa tindakan yang melibatkan ketua, maka janganlah lakukan secara bersendirian, tetapi lakukanlah secara berjemaah atau dalam kumpulan. Ini kerana beliau tahu akan ke’rebel’an hamba dengan TKP beliau ketika itu. Terima kasih atas pesanan itu Dato’.
Apapun hamba akan tetap mengingati beliau sebagai seorang mentor. Beliau bukanlah seorang berkelulusan agama. Namun perlantikan beliau memegang tampuk kepimpinan di JAWHAR telah meletakkan jabatan tersebut pada kelasnya yang tersendiri. Segala projek-projek waqaf yang telah berjaya menampakkan hasilnya pada hari ini adalah buah tangan beliau. Walaupun hanya sebuah jabatan yang kecil JAWHAR boleh berbangga dengan pelbagai pengiktirafan. Ketika orang lain masih bergelut mencari sijil 5S, JAWHAR sudah lama memperolehinya bahkan telah mengembangkannya kepada 7S. Majlis-majlis ilmu/intellektual, penghasilan jurnal kajian, penubuhan Yayasan Waqaf Malaysia, World Zakat Organization adalah legasi yang beliau tinggalkan. Hamba berdoa agar semua perkara tersebut akan dikira sebagai sedekah atau amalan jariah daripada beliau yang pahalanya akan terus mengalir sehingga hari kiamat.
Allahummaghfirlahu warhamhu waafihi waafua’nhu.

Isnin, 16 Julai 2012

RAMADHAN MEMPROMOSIKAN KELAPARAN, KITA MEMPROMOSIKAN MAKANAN!!!

Tak berapa hari sahaja lagi diri ini akan melangkah masuh ke dalam bulan yang penuh kerahmatan. Ada insan yang menyambutnya dengan penuh keriangan kerana fadhilat yang ada di dalamnya. Ada juga yang mukanya mula kelat kerana banyak aktiviti memboyotkan perut tersekat atau mulut tak boleh nak berasap. Namun janganlah pula otak itu dipaksa berfikir tentang strategi terbaik untuk makan di siang hari tanpa dapat dikesan. Ramadhan bukanlah bulan penyiksaan. Padanya ada kerahmatan, keampunan dan pelepasan daripada azab neraka.

Apabila disebut puasa, maka tentunya tertangkap di kepala kita keadaan seseorang yang tidak boleh makan atau minum atau dengan kata lain berlapar. Antara hikmahnya adalah untuk kita menginsafi nasib orang lain yang kurang bernasib baik, terpaksa berlapar dan sebagainya. Dari segi kesihatan juga ia baik kerana perut berpeluang untuk berehat serta dapat mengurangkan sedikit berat badan.

Namun amat menjengkelkan kerana segelintir kita telah menukar gaya berfikir umat Islam bahawa Ramadhan juga adalah bulan untuk makanan. Ia dibuat secara tidak lansung dan tanpa kita sedari. Belum lagi muncul Ramadhan, tetapi iklan-iklan buffet berbuka puasa sama ada di hotel atau restoran mewah sudah mula terpampang di dada akhbar atau di banner-banner tepi jalan. Di pejabat pula sudah mula ada peniaga bermusim yang membawakan contoh-contoh kuih dari meja ke meja untuk mencari tempahan.

Bila dah mula puasa nanti lagi tak usah ceritalah, pasar Ramadhan sememangnya tumpuan orang ramai khususnya buat yang malas atau tak reti nak memasak. Masa inilah kita dimomokkan bahawa bulan ni sahajalah nak melihat juadan yang payah dilihat di bulan yang lain. Dek kerana laparnya berpuasa, maka sebagai penghargaan, kita reward diri kita dengan pelbagai makanan sehingga banyak yang tidak habis untuk di makan.

Maka ketika itu di manakah keinsafan yang ingin kita lahirkan dari ibadat berpuasa ini. Bulan puasa yang sesetengah orang kata dapat menjimatkan belanja kerana tidak perlu sarapan atau makan tengahari sebaliknya mengalirkan dengan lebih deras lagi RM di tangan.

Tak apolah, kalau ghaso nak boli makanan monimbun-nimbun pakcik bukan bulih nak larang. Tapi kok nak dapek sikit berkat, ajak sekali jiran sebolah rumah makan samo. Laei elok ajak jiran yang memang kito tau idupnyo susah. Mako walaupun banyak makanan diboli, tompi dek sobab nak menjamu orang susah, dapeklah jugak pahalo. Cumo, boli tu ikutlah kepalo yang ado, bukan makan ompek kepalo, boli untuk onam boleh kepalo!!

Sabtu, 14 Julai 2012

THE AMAZING SPENDERMAN

Spidermanpun patut kena selalu bersenam...
Hamba minat jugak dengan cerita pembohong lelaki yang bertopeng labah-labah ini. Tak tau kenapa kali ini seolah omputeh membuat kitar semula filem ini. Dah tiga kali kita tengok Tobey Maguire di bawah arahan Sam Raimi. Ingatkan adalah sambungannya dengan melawan musuh yang lain, rupanya tukar pulak dengan Mr Garfield dengan pengarah yang baru.
Kalau cerita dari segi teknik dan kecanggihan sememangnya tidak dinafikan unsur itu ada. Namun sejujurnya hamba masih suka dengan versi Sam Raimi dengan Incik Tobey sebagai teraju utamanya. Tobey lebih nampak polos dan sesuai dengan Peter Paker.  Jadi apabila menonton filem yang dikitar semula, penonton sudah boleh membaca apa yang akan terjadi seterusnya memandangkan sebahagian besar filem ini bercerita tentang riwayat bermulanya asal usul Spiderman. Cuma dalam versi baru ini tak ada pulak ayat power Pak Cik Ben – “with great power comes great responsibility”.
Dan yang buek pak cik lotih iyolah, seragam Spiderman materialnya macam kulit bola keranjang!!

Rabu, 11 Julai 2012

SITORA HARIMAU JADIAN - P. Ramlee

Bila menyebut tentang P.Ramlee, rasanya tidak perlu ditulis dengan panjang lebar kerana rata-rata masyarakat Malaysia mengenali beliau. Walaupun jasadnya telah lama bersemadi, namun generasi hari ini mengenai Allahyarham lewat filem serta lagunya.

Antara semua filem beliau, terdapat satu filem yang telah hilang tanpa dapat dikesan jejaknya – SITORA HARIMAU JADIAN. Ia merupakan filem pertama beliau setelah berpindah dari Singapura ke Studio Merdeka Kuala Lumpur. P.Ramlee agak kecewa dengan kemudahan yang ada di studio tersebut memandangkan ia jauh lebih ketinggalan berbanding dengan Studio Jalan Ampas. Tambahan pula kedudukan studio tersebut di Ulu Kelang yang berhampiran dengan zoo. Maklum sahajalah ketika era itu kedudukan Ulu Kelang sememangnya ulu benarlah.

Memandangkan hamba antara generasi yang tidak berkesempatan menontonnya, maka sering juga tertanya-tanya tentang jalan cerita filem tersebut memandangkan tajuknya sendiri berbeza dengan lain-lain filem yang pernah dihasilkan beliau. Kalau adapun mungkin Sumpah Orang Minyak boleh dimasukkan dalam kumpulan yang sama.

Justeru bertemu dengan naskhah SITORA HARIMAU JADIAN yang diterbitkan semula daripada novel asal tahun 1965 mendatangkan sedikit keterujaan untuk membacanya. Secara ringkasnya ia mengisahkan sebuah kampung yang diganggu oleh makhluk jadian yang berupa harimau. Apabila gangguan berlaku penduduk akan merujuk hal berkenaan kepada seorang dukun. Pihak berkuasa yang menjaga keamanan berpandangan hal tersebut merupakan sesuatu yang tahyul. Lantas mereka mendatangkan seorang doktor untuk bertugas di kampung tersebut. Seterusnya anda sendirilah yang kena mendapatkan sambungannya. Hilanglah suspen kalau hamba menceritakan segalanya.

Sambil membaca hamba cuba membayangkan adengan sebenar dalam filem tersebut. Hamba yakin berdasarkan kemudahan di Studio Merdeka, hasil filem tersebut tentunya tidak sebaik filem Allahyarham sebelum itu. Walau bagaimanapun sekurang-kurangnya hamba berpuas hati mendapat gambaran cerita filem berkenaan walaupun sekadar hanya membaca dalam bentuk tulisan.

Biodata:
(Seperti ditulis dalam cetakan pertama novel ini pada 1965):

P. Ramlee terkenal sebagai pengarah, bintang filem, penyanyi, penggubah lagu, pelawak dan pemain sepak raga yang handal.

Ia dilahirkan di Pulau Pinang, bersekolah Melayu di Kampung Jawa, kemudian bersekolah Inggeris di Francis Light School dan Penang Free School.

Sejak kecil lagi ia sudah tertarik kepada muzik, sehingga pelajarannya di sekolah menjadi terganggu. Ia telah ikut berbagai-bagai pasukan pancaragam dan namanya mulai terkenal ketika ia dalam zaman Jepun menyanyikan beberapa lagu Jepun dan Melayu.

Dalam satu pertunjukan tanaman di Bukit Mertajam ia telah ditawarkan datang ke Singapura oleh BS Rajhans yang menjadi pengarah filem Melayu di Malay Film Productions.

Mula-mula P. Ramlee menjadi penyanyi playback di samping menjadi pelakon tambahan dalam berbagai-bagai filem, kemudian ia menjadi penolong pengarah dan akhirnya menjadi antara pengarah Melayu pertama yang mendapat kesempatan penuh. Ia menjadi perintis jalan bagi pemuda-pemuda Melayu yang lain untuk menjadi pengarah filem di studio-studio tempatan.

Boleh dikatakan sebahagian besar cita-cita P. Ramlee sudah tercapai: ia menjadi pelakon Asia yang terbaik dalam filem Anakku Sazali, penggubah muzik Asia terbaik dalam filem Hang Tuah, pengarah filem kelakar yang terbaik dalam Pendekar Bujang Lapok, dalam filemnya Sumpah Orang Minyak pula telah mendapat hadiah filem hitam putih yang terbaik. Kemuncak daripada semua kejayaan ini ialah anugerah bintang A.M.N oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-3 dalam tahun 1963.

Dalam buku kecil ini kami hidangkan semula cerita Sitora Harimau Jadian yang sudah disusun kembali dalam bentuk prosa. Walaupun orang sudah menyaksikan filemnya, tetapi banyak lagi perkara-perkara yang barangkali tidak dapat ditangkap di dalam filem itu akan terdapat dalam buku ini.

Orang jadi-jadian seperti diceritakan oleh P. Ramlee di dalam buku ini, ialah suatu dongeng yang pernah kita dengar dari datuk nenek kita pada suatu masa dahulu.

Agaknya cerita Sitora Harimau Jadian ini pun berpunca dari cerita dongeng itulah. P. Ramlee mencuba menggabungkan dengan ilmu sains seperti yang pernah dicuba oleh pembuat filem-filem Barat dengan Werewolf of London misalnya.

Kami akan berusaha untuk menerbitkan kembali cerita-cerita filem yang serupa ini dari satu masa ke satu masa, tidak sahaja untuk menambahkan bahan-bahan bacaan yang ringan tetapi juga untuk mengekalkan bahan-bahan filem yang pernah diusahakan oleh pengarah-pengarah Melayu sebagai bahan sastera pula

bab 1 novel tersebut boleh dilihat di http://fixi.com.my/wp-content/uploads/Sitora_chap1.pdf

Selasa, 10 Julai 2012

DOA BUAT DATO' DR SOHAIMI


Dato' Sohaimi (kiri) dalam satu
 majlis ilmu anjuran JAWHAR

Hamba menerima berita melalui sms memaklumkan bekas boss hamba semasa di JAWHAR dahulu, Dato’ Dr Sohaimi Hj Mohd Salleh, kini berada di wad ICU urologi dan nefrologi HKL pada Khamis yang lalu. Sewaktu itu hamba sedang melakukan kerja-kerja naziran di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Hamba agak ralat sedikit kerana sehari sebelum itu hamba berada di HKL juga menjalankan kerja naziran di sana. Sekiranya hamba tahu pada hari tersebut, boleh sahaja dengan segera hamba melawat beliau.


Walaupun agak terperanjat dengan kemasukan beliau ke hospital, hamba dan rakan-rakan telah melihat sejak setahun yang lalu seakan ada yang tidak kena dengan tubuh badan beliau. Ini apabila badan beliau susut dengan mendadak dan semakin hilang berat badan dari hari ke hari. Walaupun demikian, beliau tetap datang bekerja seperti biasa dan apabila ditanya beliau hanya memberikan alasan kurang selera makan. Hamba maklum dalam tempoh itu beliau ada berubat secara tradisional namun hamba tidak tahu sekiranya beliau ada merujuk kepada doktor.


Dalam satu majlis di Seremban - Kali
pertama hamba perasan tubuhnya
semakin susut.

Hamba mengunjungi beliau pada Ahad. Hamba batalkan program keluarga ke Floria 2012 di Putrajaya. Kebetulan isteri hamba juga mahu mengemas rumah. Ketika itu ada dua orang wanita yang menemani beliau, yang mana salah seorangnya hamba kenalpasti sebagai ibu beliau. Hamba agak sebak melihat keadaan boss hamba itu. Dia berada dalam keadaan tidak sedarkan diri kerana diberikan ubat tidur. Tubuhnya jelah kelihatan amat berbeza semasa beliau sihat dahulu. Ditambah pula dengan wayar yang berselirat yang bersambung dengan pelbagai jenis mesin, jelas menunjukkan penyakit yang dideritainya bukanlah sebarangan. Hamba makin sebak melihat ibu beliau yang sekali sekala memanggil nama serta menadah tangan membacakan doa yang panjang buat kesejahteraan anaknya.

Tiada apa yang hamba boleh lakukan selain membacakan surah Yasin yang hamba niatkan pahalanya untuk beliau.

Kepada teman yang mengenali beliau, hamba sarankan agar datanglah berziarah ketika beliau masih lagi dikandung hayat. Bak pesan seorang sahabat, sekiranya beliau ada melakukan kesalahan kepada kita maka ampunkanlah dosanya dan doakanlah kesejahteraan serta kebaikan untuknya.


JARI MEMETIK, JARI MENARI

Agak lama juga hamba tidak menulis di alam maya. Merenung blog lama hamba (kenitra1975.fotopages.com), entry terakhir adalah pada bulan Disember tahun lalu. Tidak pernah hamba biarkan ia sepi sedemikian lama. Bukan hanya penulisan di alam maya, bahkan D90 hamba juga jarang berusik. Kadang-kadang hamba merasakan ilmu fotografi yang pernah hamba pelajari sama ada melalui pembacaan, kelas atau cubaan kendiri hilang sedikit demi sedikit.
Kadang-kadang hati menjerit untuk menulis, hati menjerit untuk memetik punat kamera. Kesibukan tugas di tempat kerja sekarang begitu kuat menghalang hamba untuk meneruskannya. Namun sampai bila hamba harus membiarkan raksasa itu terus membelenggu diri hamba. Hamba perlu kuat untuk melepaskan diri. Justeru hamba rasa sudah sampai masanya hamba menulis menggunakan platform baru. Terus terang hamba berasa sayang untuk meninggalkan laman yang lama, laman yang mengenalkan hamba dengan dunia fotografi serta mengenalkan hamba dengan begitu ramai teman di alam maya. Tetapi hamba perlu mencari suasana serta semangat yang baru untuk berkarya.
Untuk itu hamba persembahkan buat penghuni seluruh alam maya, Lensa Hati Kenitra – Alam Terkembang Jadikan Guru.

WURDXW4GQQRQ

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...