Rabu, 29 Ogos 2012

Cerpen Loghat Nogori - SOFEA

Cerpen ini hamba hasilkan dihujung tahun 90'an dulu. Dah agak lama, kira taraf retro la gamaknya......

 


SOFEA



Suasano godong kek kampung Seri Jemapoh pagi tu cam biaso, highuk pikuk dek sogho bebudak mudo.Ado pun higuk pikuk itu bukanlah disobabkan dek ado mesorat atau ado persidangan tapi disobabkan dio oghang ni tongah celen main dam. Inilah satu-satunyo tompek lepak paling ngam kek Jemapoh.Sambil bughak-bughak buleh jugak order teh atau air botol, lopeh tu buleh pulak masuk buku.Ini yolah kojo bebudak mudo kek kampung ni, banyak membuang maso.Kok kojo pun selalunyo tak totap asik bortukar yo , lopeh tu menonggok balik kek ghumah mak ayah.daghi pagi sampailah ko potang , mombuang maso yo .Kok  maso yang berghogo tu dihabihkan dongan membaco bahan-bahan ilmiah, dapek yo monambah pongotahuan. Kok di tanyo pasal IT ontah ado yang tau ontah tidak, kok tau pun mungkin sotakat lagu IT yo.Tapi tak la sumo budak kek kampung ni macam tu, ado yo yang berguno tak mongabihkan bogheh omak bapak , cumo sayang jumlahnyo agak kocik.
Adat budak mudo la kok dah berjumpo macam-macam la ceghito yang keluar , pasal konset , betino , artis dan macam-macam laei. Kok nak tau apo-apo beghito terkini , datang yolah kek sini tak payah susah-susah poei caghik kek CNN. Antagho topik yang selalu sangat di donga daghi mulut pelepak ( ado ko bahaso camni ) kek godong ni yolah pasal si Sofea anak Pak Subaei. Kok dalam sohaghi tak ado ceghito pasal Sofea , memang tak moghiah lah suasano kek godong.
“Kau tau Lim , den nengok si Sofea tu makin haghi makin cun , hai toghingin den nak masuk mominang,”Norman Helmi momulokan bichagho.
“Muko cam kau nak masuk mominang budak tu ! Ghonti an lah Man , ceghomin tu kok nengok muko kau pun pocah kau tau.Kojo dah lah tak ado , apo kau nak boghi Sofea tu makan kulit dian ! Elok-elok kojo kilang kek Seghomban maghin, kau poei beghonti.”
“Ceh macam la kau tu berkojo.Ado kobun gotah limo onam ekarpun kau buek tak podulik yo, busuk konon !”
“Ala jangan la kau hot Man , sebona eh den ngan kau ni samo yo.”
“Tapi kan den donga dah ado budak meghisik dio tu , dah tu Pak Subaei teghimo pulak.” Farooq tibo-tibo pulak monyampuk.
“Eh yo ko Roq , kau jangan main-main den senkelet dahi tu kang.”
“Buek apo den nak main-main pulak, awek den Nora yang bagi tau.Tapi dio pun donga ceghito oghang jugak.Kok kau nak tau poei la tanyo ngan Pak Subaei tu.”  
     
“Gilo ,  kau nak mampuih, oghang tuo tu ado silat , di teghajang kek oghang tuo tu kang sio-sio yo.”
“Hoi apo ceghito pasal Sofea ni ha tak ado ceghito lain ko.Den lompang seko-seko kang baghu tau ! ” Tompik Lamin yang baghu tibo di godong.
“Hoh dio ni pun satu , tak buleh pulak oghang nak berceghito pasal Sofea.Macam la Sofea tu nak kek dio.Soda lah sikit yang muko kau tu onam boleh kali lobih bughuk daghi kambing atuk den !”Norman dah mulo naik angin.
“Lagi bughuk daghi kambing kau kato muko den , den ghembat kau kek jamban godong ni kang Man !”

“Dah la tu Man tak usah kito layan budak ni.Macam la Sofea tu dio yang punyo sampai ogang nak berceghito pun tak buleh.Dah tu , moh kito poei ko Pilah . Lepak situ lagi best tak do muko mamat ni nak kacau.”Kata Farooq sambil bangun meninggalkan godong diikuti oleh yang lain.
“Hoi kok nak gaduh moh lah , apo nak laghi pulak !!  ”Lamin memang syok kek Sofea , tu sobab dio maghah kalau ado oghang berceghito pasal Sofea. Sebona eh Sofea pun tak  tau yang Lamin syok kek dio dan dio pun tak peghonah ado hati kek Lamin. Oghang kampung mengatokan Lamin ni budak tigo suku dan bodoh-bodoh alang. Walaupun begitu dio ni budak baik dan suko menolong oghang. Kalau ado oghang buek kendughi kendagho , muko Lamin mesti ado menolong. Daghi caghik kayu api sampailah ko membolah kelapo , sumo Lamin buleh buek. Lamin buek sumo kojo tu dongan ikhlas , tak peghonah dio mintak upah. Walaupun begitu ogang kampung ado jugak hulo-hulo pado Lamin sobab dia oghang tau yang Lamin ni hidup susah.
Lamin beghedar menuju ko pangkin bawah pokok beghingin kek topi sawah.Hatinyo masih paneh dongan kolakuan budak-budak tadi. Sambil itu fikirannyo molayang mombayangkan  muko Sofea. Maso kocik-kocik Lamin memang selalu main masak-masak dongan Sofea. Dio tak minat nak main bola macam budak lolaki lain. Lamin ghaso cukop bahagio kalau maso main tu dio kono jadi pongantin dongan Sofea.Yo lah dah dio soghang yo lolaki yang main masak-masak, jadi secagho otomatiknyo dio buleh monjadi pongantin.Maso mongaji pun Lamin poei samo-samo dongan Sofea. Kalau Sofea nak apo-apo , sobot yolah sumo Lamin buleh tolong caghikkan. Lamin ghelo satu ketiko memanjek pokok ghambutan yang berkeghonggo semato-mato sobab Sofea merengek nak makan rambutan.Kok Liza debab yang mintak , sikit pun tak dihapikkan kek Lamin.
Daghi sekolah ghondah sampai la ko sekolah monongah Lamin masuk ko sekolah yang samo dongan Sofea.Bezonyo Sofea duduk kelas nombor satu dan Lamin kek kelas corot.Begitu jugak time peghekso Sofea selalu dapek naik ponteh ambik hadiah sobab dapek nombor satu sodangkan si Lamin cumo jadi tukang kutip sampah kek keliling ponteh lopeh abih majlis penyampaian hadiah.Sofea cukup aktif dalam porsatuan.Buleh kato semuo persatuan dio masuk dan momogang jawatan yang ponting dalam sotiap porsatuan, yang membuekkan dio jadi populer kek sekolah.Lamin pun ado jugak masuk duo tigo persatuan dan dio pun populer jugak tapi cumo time oghang nak mintak yuran porsatuan yo.Lopeh SRP , Sofea dapek masuk sekolah berasrama kek Seghomban dan Lamin pulak kono jago lombu sobab tak pas.
Daghi jauh Lamin nampak sesusuk tubuh wanita datang ke aghahnyo.Nampaknyo macam Sofea....tapi takkan Sofea nak cari Lamin.Nak main masak-masak kut.Tapi apo ko jadah eh nak main masak-masak.Memang sah Sofea datang moncaghi Lamin.
“Assalamualaikum Lamin , maaf yo kok Pia mongganggu.”Aduih lombut boto sogho Sofea ghaso macam nak gugur jantung Lamin.
“Err ...waalaikumussalam...ado apo datang caghik ese ni ?”
“Ni haa potang luso nanti abah Pia mintak Lamin datang ko ghumah , nak mintak tolong buek kojo sikit, buleh tak ?”
“Eh buleh..buleh , apo pulak tak buleh,”Lamin toghusy monjawab tanpa borfikir panjang. Kalau pasal Sofea memang tak payah nak pikir-pikir , apo pun Lamin akan buek.
“O.k. yo , kok cam tu Pia balik dululah . Jangan lupo tu Lamin.”
Pado potang luso , Lamin datang topat pado waktunyo.Yo lah poei ghumah Sofea mano boleh banyak buang maso.
“Ha elok lah kau copek datang ni Lamin, kok copek kojo copek selosai,”sapo Pak Subaei.
“Pak cik nak sughuh ese buek apo ?”

“Ni pak cik nak mintak kau tolong potikkan 70-80 bijik kolapo kek kobun bolakang ghumah tu.”
“Ah tu sonang yo pak cik.”Lamin tak botangguh toghusy dio ko kobun bolakang rumah Pak Subaei untuk memulokan kojo.Sambil itu matonyo molilau moncaghi kelibat Sofea.Dio nak Sofea nengok kohebatannyo momanjek pokok kolapo , lobih terer daghi boghuk mat yeh.Tak sampai pun duo jam , Lamin selosai molakukan kojonyo.Sambil itu Sofea datang membawakan air untuk Lamin yang ponek berkojo.Mato Lamin melihat keayuan Sofea sampailah Sofea masuk semulo ko dalam ghumah.Hai botuah kok den dapek si Pia ni.
“Err pak cik nak buek apo dongan kolapo banyak-banyak ni , nak buek kendughi ko ?
“A’ah cadang eh camtu la, takkan omak kau tak boghi tau !”
“Ontah tak do pulak omak se cakap apo-apo , sapo pulak yang nak borsunat pak cik ?”
“Kendughi borsunat sapo pulak , den ni nak monikahkan si Pia tu minggu dopan.Lawan eh budak daghi Seghomban kawan Pia maso kek unibersiti dulu.Dio ni kojo bosa........”
Lamin tak dapek mondonga baghih-baghih terakhir kato-kato Pak Subaei , matonyo mulo berkaco.Esoknya oghang kampung tak nampak laei batang idung Lamin , kabanyo dio kojo pelabuhan kek Singapo.

Isnin, 27 Ogos 2012

APA KESUDAHAN NASIB BAJU RAYA YANG LAWA ITU

Alhamdulillah, Eidul Fitri telahpun berlalu beberapa hari yang lalu. Tapi orang kita lazimnya menyambutnya selama sebulan. Alasannya kalau dah berpuasa sebulan maka raya pun kenalah sebulan. Pandai dek ekau yolah, cuba pegi tanya ustaz-ustaz yang mursyid tu, raya ni sebenarnya berapa hari. Lagipun kekadang yang beria-ria sangat sambut raya ni puasanya pun ada yang lompong, tapi dialah yang paling bersemangat sekali berbanding orang yang berpuasa penuh.
Baju raya atau khususnya baju Melayu buat sang pria, ada yang dibuat 2-3 pasang. Alangkah bergayanya sepanjang raya lengkap bersamping, bersongkok serta dipadankan pula dengan capal buatan Gombak. Namun selepas raya ini ke manakah perginya persalinan yang indah-indah itu? Percayalah bahawa kebanyakannya menyimpannya dengan chantek di dalam almari. Paling kuat hanya baju yang dipakai buat ke surau, manakala seluar serta sampingnya kekal di dalam almari. Tahun depan buat lagi yang baru 2-3 pasang dengan warna dan corak yang terkini.
Pakailah buat ke pejabat pada hari Jumaat. Kan ke segak bila melihat kaum Adam lengkap berpakaian tradisional umpama pahlawan Melayu melaksanakan tugas di pejabat. Tapi hakikatnya ramai yang malu/segan nak berpakaian sedemikian bila bekerja. Maka dikatakanlah leceh atau susah nak mengenakan kain samping, payah bila berada di bilik air. Itu tak masuk dengan perkataan beberapa orang yang bermulut puaka kepada yang mengenakan baju Melayu – “Aii ada apa-apa ke pakai baju Melayu ni…..orang rumah percaya ke ni….?” Inilah antara kata-kata puaka yang mungkin juga mematikan semangat mereka yang nak mengenakan baju Melayu di hari Jumaat.
Marilah kawan-kawan, pedulikan mulut puaka serta alasan yang remeh temeh itu. Baju itu kalau boleh bersuara tentunya ia mahu keluar dari almari untuk digayakan. Keluarkan ia, seterikakan, gosok songkok hingga hilang habuknya, keluarkan capal dari almarinya, kita gayakannya Jumaat yang akan datang (kalau dipakai hari-hari tentunya lebih hebat lagi). Kau hensem, hambapun begitu jua……

Selasa, 14 Ogos 2012

Pekedai Runcit Itu Adalah Guruku


Lelaki ini bukan siapa-siapa. Beliau bukan selebriti, orang ternama, bangsawan atau ketua kampung di mana-mana jajahan. Beliau hanya seorang pekedai runcit yang berniaga di sebuah kedai kecil yang diubah suai daripada sebuah garaj kereta. Kedainya terletak di simpang berhampiran Zankat Jamal Eddine al Afghani. Namun lelaki biasa ini besar jasanya kepada hamba. Hamba anggap beliau antara guru bahasa Arab hamba secara tidak lansung. Nama beliau Muhammad dan hamba memanggilnya sidi Muhammad.

Di antara semua sahabat hamba yang sama mengaji bahasa Arab dulu, hamba menganggap diri hambalah yang paling kodok sekali penguasaan bahasanya. Tatkala orang lain sudah mula laju bertutur, hamba masih lagi tergagap-gagap dengan nahu yang berterabur (sampai sekarang pun nahu hamba masih berterabur). Di kedai beliau yang sempit inilah hamba selalu melepak sambil berbual. Kedai orang Maghribi biasanya tidak membenarkan pelanggan masuk ke dalam. Hadapan kedai telahpun dihalang dengan meja kaunter. Pembeli hanya boleh meminta barang yang dihajati dan pekedai akan mengambilnya. Untuk masuk ke dalam kedai ada satu pintu kecil di bawah sebelah kanan kaunter. Maknanya seseorang terpaksa menunduk dan menyusup di bawah kaunter untuk masuk ke kedai. Di belakang pintu itulah hamba biasa duduk.

Biasanya bila dah berada di dalam kedai, hamba akan minta beliau membuatkan hamba roti kumirah yang diisi dengan beberapa lapisan kosher. Kalau tidak pun hamba akan melahap merendina atau coklat gandour sambil minum roibi ataupun koka. Sambil-sambil itulah hamba akan berbual dengan beliau sambil meneliti penggunaan gaya bahasanya. Tidaklah hamba menjadi fasih dengan cara itu, namun sekurang-kurangnya hamba memaksa diri untuk bertutur.

Sidi Muhammad seorang yang multazim (taat pada ugama mengikut istilah orang tempatan). Kadang-kadang beliau bicara tentang agama dengan hamba. Beliau juga akan solat di kaki lima kedai sempitnya apabila tiba waktunya. Pernah sekali seorang pemuda ingin membeli garo (rokok) di kedai beliau. Beliau dengan tegas menyatakan bahawa menghisap rokok adalah haram dan beliau tidak menjual barang tersebut. Benarlah beliau mungkin tidak berada pada tahap ulama’, tapi kesungguhannya kadangkala membuat hamba malu pada diri sendiri.

Di kedai ini tempat kami membeli beras. Orang Arab tak makan nasi, jadi stok beras memang tidak banyak di kedai beliau. Mat-Mat Malaya pula biasanya akan membeli sekarung beras yang beratnya 25 kg. Maka Sidi Muhammadlah yang akan mengambil beras dari gudang dan mengangkut dengan motor kayuhnya.

Di situ adalah tempat lepak pakcik Labas (Apa nama orang tua ini tidaklah hamba tahu. Tapi budak Melayulah yang menggelarnya pakcik Labas kerana kekerapannya bertanya khabar) dan seorang tua yang menjadi jaga di kawasan Jamal Eddine (Orang tua ini akan meronda waktu malam. Bagi menahan kesejukan, selain baju sejuknya, orang tua ini kadangkala akan turut mengikat kotak di badannya. Satu rumah di cas 10 dirham sahaja sebulan bersamaan RM3). Kini selepas  15 tahun hamba tidak pasti apakah kedua mereka masih ada lagi di dunia ini memandangkan ketika hamba tinggalkan Kenitra dahulu mereka telahpun tua benar.

Hamba berdoa agar hamba dapat menjejakkan kaki ke bumi Kenitra lagi.



Kredit buat saudara Chipto yang mengambil gambar Sidi Muhammad khas untuk hamba.

Isnin, 13 Ogos 2012

RESEPI PAPRIK SEAFOOD OULED KENITRA

Memandangkan minatnya orang ramai terhadap makanan, terutamanya di bulan puasa ini, maka kali ini hamba akan perturunkan satu resepi masakan turun temurun dari zaman Sang Sapurba lagi kununnya. Resepi tersebut adalah ‘paprik seafood’.

RESEPI PAPRIK SEAFOOD OULED KENITRA

BAHAN A
• 100g udang
• 100g sotong
• 100g bunga kobis
• 5g kacang panjang (dipotong)
• ½ biji bawang Holland (dimayang)
• ½ tangkai cili merah (dihiris)
• 2 tangkai cili padi (dihiris)

BAHAN B
• 3 ulas bawang putih (dikisar)
• 2 sudu makan cili boh
• Sedikit minyak masak

BAHAN C
• 2 sudu sos tiram
• 1 sudu cili sos
• Sedikit kicap pekat
• Gula dan garam secukupnya

CARA MEMBUAT

Mula-mula capai kunci kereta anda dan panaskan enjin sekitar 5-10 minit. Sementara menunggu enjin panas, ambillah dalam RM10 dan simpanlah sebaiknya di dalam poket. Jikalau rambut anda kusut, sikatlah sampai nampak hensem. Selepas itu pandulah kenderaan anda ke restoran tom yam yang terdekat atau mana-mana restoran kegemaran anda. Parking kereta dan pastikan ia berkunci untuk mengelakkan perampok-perampok yang ganas. Carilah meja yang selesa pada anda. Selepas duduk, maka jeritlah kepada pelayan agar segera datang. Orderlah paprik seafood mengikut kehendak hati anda. Tapi barang diingat anda hanya membawa RM10 sahaja. Order yang melebihi jumlah tersebut memungkinkan anda terpaksa membasuh pinggan atau pulang ke rumah dengan tinggal spentot sahaja. Tunggulah seketika sementara masakan sedang disediakan. Jika tukang masak handal maka dalam masa singkat anda akan mendapat makanan yang anda pesan. Jika tidak berejamlah anda terpaksa menunggu. Tika itu pastinya diri andalah yang sedang empuk dimasak. Jeritlah sekali lagi kepada pelayan dan semburkanlah kata-kata nista. Amat baik jika air liur anda anda turut membasahi muka beliau. Jika anda bernasib baik, beliau akan merasa gerun dan menyegerakan kerja. Jika tidak mungkin anda akan dibelasah beliau bersama konco-konconya yang lain.

Setelah memperolehi makanan yang anda order, maka segeralah kembali ke rumah. Anda tidak digalakkan singgah ke lain-lain bazaar Ramadhan memandangkan wang RM10 anda telahpun habis sebentar tadi. Apabila sampai di rumah, hidangkanlah di dalam pinggan. Ikut suka hati andalah nak pakai pinggan kaca, plastik atau melamin. Jika tiada, daun pisang di rumah jiran juga boleh digunakan. Hiaskan paprik anda dengan 2-3 kuntum bunga raya. Jika tiada bunga manggar pun boleh. Tunggulah azan dilaungkan sebelum anda mula menjamah atau anda akan koma dibelasah orang rumah.
SELAMAT MENCUBA

Isnin, 6 Ogos 2012

Cuti Nuzul Al Quran

Hamba ingat nak balik kampung naik heli.....errr tiket ada jual lagi kaa....?



Terasa lapang sungguh ke pejabat pada hari ini. Jalan seolah-olah membentangkan dadanya untuk hamba meluncur deras menuju ke destinasi. Seluruh negeri Selangor bercuti menyambut Nuzul al Quran pada hari ini. Seronoklah isteri dan anak-anak hamba. Hamba pula tak bolehlah nak tumpang sekaki memandangkan Putrajaya tidak mengambil hari tersebut sebagai cuti umum.

Memang pantas benar rasanya masa berlari. Rupanya sudah masuk hari yang ke 17 kita berpuasa. Minggu depan pula tentunya jalan raya akan kembali sesak dengan jutaan kenderaan apabila umat Islam mengambil peluang untuk pulang beraya di kampung halaman. Pusat beli belah juga media massa sudah mula menyiarkan lagu raya walaupun belum sampai tahap meriah. Tiadalah hamba tahu siapa yang memulakan budaya lagu raya ini. Mungkin sikap masyarakat kita yang suka kepada sesuatu yang sentimental menyebabkan perkara sebegini dihasilkan. Lebih-lebih lagi kepada yang tinggal jauh di perantauan, atau tak dapat lansung pulang ke kampung halaman, maka lagu-lagu ini bisa menambahkan lagi deraian air mata yang pastinya amat sia-sia.

Ingatkan tahun ini tiada yang akan bertamu di hospital kerana cedera bermain mercun. Rupanya telahan hamba itu silap juga. Masih seperti dahulu juga dengan anak-anak juga orang dewasa yang kehilangan jari dan mata. Hamba tahu bahawa kita masyarakat yang kreatif. Apa yang dikeluarkan oleh kilang mercun itu belum cukup memadai, maka direkayasa semula untuk memberikan impak yang tebabooo. Iyalah, hamba dulupun begitu jualah adanya, tapi masih lagi diperingkat softcore. Setakat bermain mercun buatan sendiri menggunakan jejari roda basikal ataupun plag motor. Meriam buluh hamba tak pernah cuba. Mungkin hamba hilang nikmat dunia bab yang itu, tapi sekurangnya hamba tak hilang apa-apa pada batang tubuh ini.

Cuma puasa kali ini hamba rasa rindu benar pada harirah. Harirah merupakan makanan tradisional masyarakat Maghribi seumpama sup atau bubur yang menjadi hidangan wajib masyarakat Maghribi apabila berbuka puasa. Sehinggakan ada kata-kata tidak sah puasa jika tidak berbuka dengan harirah. Dulu kadang-kadang jirang memberikan sebegitu banyak harirah sehingga tidak larat hamba dan teman-teman menghabisinya. Tapi hari ini sudah lebih 15 tahun hamba tidak berpeluang mencicipinya. Kalau dapat yang segera punya pun jadilah.

Apapun baki Ramadhan ini harus direbut keistimewaannya. Cubalah tahan keinginan untuk merebut ganjaran diskaun di pasaraya. Ganjaran bulan ini tinggal tak berapa hari sahaja lagi. Sama-sama kita berdoa agar ibadah kita di bulan ini diterima oleh-Nya serta tidak menjadi sia-sia.

Fitrah jangan lupa bayar......

Rabu, 1 Ogos 2012

Art Of Deception, Amerika, Freemason, Zionis - Mereka Menipu Dunia - Jerry D. Gray

Hoh! Dekat sebulan juga hamba cuba mengkhatamkan kitab ini. Ia merupakan sebuah buku terjemahan daripada bahasa omputeh. Nak buat macam mana, hamba bukannya pandai bahasa omputeh. Jadi kitab terjemahan ajelah yang menjadi pilihan. Tapi bila membaca kitab terjemahan omputeh ke Melayu rasanya macam minum sirap tapi tak letak sirap. Kelancaran pembacaan hamba seperti tak lancar. Bukan kitab ini sahaja tapi lain-lain kitab terjemahan omputeh yang pernah hamba baca. Kecuali kitab Doktor Umum yang diterjemah dari Doctor In The House yang hamba memang seronok membacanya. Walaupun diterjemah oleh orang lain namun membacanya seolah versi Melayu itu ditulis oleh pengarang yang sama. Kitab terjemahan beginilah yang hamba harap berada di pasaran. Biar terjemahan itu tetap mantop seolah penulis asal yang melakukannya.
Kitab ini ditulis oleh seorang bekas warga amerika yang telah memeluk Islam. Ketidakpuasan hati terhadap negara asal beliau telah membuatkan beliau menyerahkan kewarganegaraannya dan seterusnya menjadi warga Indonesia. Isi kandungannya hamba rasa banyak yang boleh dicari di internet seperti teori konspirasi, 911, Freemason, Illuminati dan lain-lain lagi. Ada juga beberapa perkara yang baru hamba ketemu seperti bencana alam tsunami 24 Disember 2004 di Acheh dulu yang kononnya adalah perancangan manusia yang dilakukan dengan menggunakan teknologi yang canggih. Wallahu aalam, namun hamba percaya bahawa penulis berniat baik dan telah melakukan kajian yang mendalam apabila menulis buku ini.
Walau apapun yang hamba pernah baca mengenai freemason, hamba rasa laporan yang paling seronok hamba baca adalah apa yang pernah didedahkan oleh majalah Mastika. Ini kerana Mastika memfokuskan mengenai freeamason di Malaysia. Lebih menarik lagi apabila ada wartawan mereka yang dapat masuk ke lodge freemason serta mengadakan temuramah dengan beberapa ahlinya. Kalau tuan hamba nak membacanya kenalah pergi cari di kedai-kedai majalah lama. Itupun kalau ada lagi. Yang pasti kumpulan tersembunyi ini memang ada di negara kita. Hamba pernah melihat salah satu lodge mereka di Johor Bahru berhadapan dengan Pantai Lido. Entah apa yang mereka buat dengan sebenar-benarnya kita pun tak tahu. Tapi kalau nak merosakkan anak bangsa, hamba pesan jangan cuba nak bermain dengan api...

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...