Wednesday, December 14, 2016

BEKAZON




Bekazon asalnya hanyalah sebuah ruangan atau majalah sisipan dalam APO?. Hilangnya APO? dan Ujang daripada persada dunia kartun tanah air telah membawa kepada kemunculan majalah ini. Walaupun dibarisi oleh kartunis yang rata-ratanya daripada majalah yang telah arah tersebut, Bekazon tampil dengan imej serta konsep yang menarik. Kualiti kertas yang digunakan adalah baik dengan kulit muka yang tebal. Banyak menampilkan mukasurat berwarna, artikel-artikel bersifat infotainment dan human interest serta bersifat interaktif. Beberapa kartun disediakan dengan kod khas yang apabila diimbas (dengan syarat memuatnaik apps nya terlebih dahulu) akan membawa pembaca kepada ruang video ataupun muzik yang berkait dengan kartun yang ditampilkan.

Secara peribadi, nama Bekazon tidak begitu menarik pada telinga hamba. Mujurlah isi kandungannya mantap dan menarik. Cuma ada juga kartun yang nampak macam berunsur KBAT seperti Madah Hypnagogia karya Afique yang lebih banyak hamba baca sambil lalu tanpa memahami isi kandungannya. Lagipun hamba membaca majalah sebegini untuk melegakan kepala otak setelah stress dengan kerja harian. Jikalau majalah tanpil dengan karya yang terpaksa diperah kering otaknya maka tak tercapai matlamat itu.

Setakat entry ini ditulis, telah 5 keluaran Bekazon dikeluarkan. Hamba sendiri telah miss beberapa keluaran awal. Apabila edisi Selamat Tinggal Ujang dan APO? dikeluarkan, hamba menyangka ia hanyalah sebuah isu one off sahaja. Tetapi ia adalah merupakan kelahiran awal Bekazon. Selepas itu hamba tidak tahu bahawa kemudian darinya lahir keluaran yang seterusnya sehinggalah dimaklumkan oleh seorang sahabat yang bekerja di sana. Lagipun agak sukar untuk mencari majalah ini. Jikalau majalah abang-abangnya dahulu amat mudah ditemui di kedai-kedai mamak, setakat ini hamba hanya bertemu dan membeli Bekazon di kedai 7-11 sahaja. Hamba tidak tahu apakah masalah yang sebenarnya, tetapi hamba percaya sekiranya isu pengedaran ini tidak diperluaskan maka tidak hairan sekiranya Bekazon juga akan hilang secara tiba-tiba sepertimana Ujang dan APO?.

Kelansungan majalah ini ditentukan oleh peminatnya.....

JENAMA X



Suasana kartun tanah air hari ini tidak lagi sama seperti dahulu. Satu demi satu majalah kartun tanah air menamatkan penerbitannya. Apabila majalah Apo? dan Ujang 'hilang' secara tiba-tiba, bukan sahaja peminat kartun mengalami kejutan, pastinya para pelukisnya turut sama menerima kesan. Lebih-lebih lagi yang memang menjadikan ini sebagai punca pendapatan.


Usaha kartunis Ubi memanggil rakan-rakannya untuk bergabung menghasilkan majalah Jenama X adalah amat dialu-alukan. Walaupun perkataan jenama X selalunya melambangkan sebagai satu produk yang kurang bermutu, tetapi tidak pada yang ini. X dalam angka roman juga bermaksud sepuluh - Sepuluh orang kartunis yang telahpun mempunyai nama dan kekuatan sendiri bergabung menghasilkan produk ini. Mereka ialah Ubi, Aie, Lengkuas, Bawang, Sukun, Tembakau, Bijan, Sireh dan Nik. Lukisan Sukun yang bertajuk Aku Masih Di Sini dapat membayangkan akan keperitan hidup kartunis selepas penutupan majalah yang menjadi tempat mereka bergelanggang.

Jenama X datang dalam bentuk hitam putih, tanpa sebarang warna lain kecuali merah yang sedikit melatari kulit hadapan dan belakangnya. Ia kelihatan seolah sebuah majalah kompilasi walaupun menampilkan kartun-kartun yang baru. Ketiadaan warna sedikit sebanyak mengurangkan seni penampilan majalah ini. Harganya menghampiri RM40, agak mahal sekiranya mengharapkan pelajar sekolah untuk membelinya. Orang yang sudah bekerja sekalipun pada hari ini tentunya berkira-kira juga untuk membeli dalam keadaan kelembapan ekonomi pada hari ini. Walau apa pun, majalah ini mempunyai kualiti yang tersendiri. Ia adalah satu koleksi wajib buat pencinta kartun tanah air. Sekiranya dilihat pada beberapa laman sosial, majalah kartun lama tempatan hari ini ada yang sudah mampu dijual semula dengan harga yang beratus kali ganda tinggi berbanding dnegan harga asal keluarannya. Maka tidak mustahil juga Jenama X dalam beberapa tahun lagi akan dijual semula melebihi harga asalnya.

Majalah ini kelihatannya seperti satu produk one off. Walau bagaimanapun hamba berharap agar akan ada lagi siri-siri yang lain menyusul....

Saturday, December 3, 2016

INAYAH - Maria Kajiwa



Hamba rasa novel ini merupakan novel Maria yang paling ringan dam simple berbanding novel beliau yang lain yang pernah hamba baca seperti Suara Tengah MalamLengloi dan Puja. Cerita yang dibawakan juga biasa ditemui dalam file ataupun novel yang lain - kisah sebuah keluarga yang mendapat gangguan setelah berpindah ke rumah yang baru dan gangguan tersebut pula mempunyai sejarah asal usul yang lalu. Tiada debaran atau jalan cerita yang mencabar seperti tiga novel beliau yang hamba sebutkan tadi. Walau bagaimanapun Inayah masih boleh diterima, ditulis dengan baik dan dapat dihadam oleh pembaca.

Inayah adalah nama watak seorang wanita sekitar 40an yang telah mati dibunuh dan bangkit menghantui sebuah rumah yang dikatakan dibina di atas tapak rumahnya. Walau bagaimanapun watak Inayah tidaklah terlalu dominan berbanding watak lain seperti Aisha dan keluarganya. Namun nama ini dipilih sebagai tajuk novel.

Muhammad, Aisha serta anak mereka Umar dan Adam telah berpindah ke sebuah rumah setelah sekian lama menetap di New York. Walaupun ibu Muhammad lebih suka mereka tinggal dengannya tetapi Aisha memilih untuk hidup berdikari di rumah sendiri. Di sini Maria membawakan konflik antara ibu mertua dan menantu, kepercayaan karut, kebergantungan kepada bomoh serta adat yang kuat pada Suraya, ibu mertua Aisha. Ia dapat dilihat daripada tindakan Suraya yang memandai-memandai membawakan bomoh untuk menyemah rumah baru Aisha serta menghalau roh jahat yang menghuninya. Lebih menarik Maria cuba menyampaikan bahawa bomoh itu juga tahu bahawa beliau sebenarnya tidak mampu bahkan sampai kepada peringkat tidak yakin akan apa yang beliau lakukan. Ini satu tempelak kepada segelintir masyarakat kita yang mudah terpedaya dengan bomoh yang hanya mencari untung peribadi.

Aisha ingin memperbaiki kehidupannya ke arah hidup yang beragama. Rumah mereka yang berhampiran masjid menjadikan beliau lebih teruja. Berbeza dengan suami beliau yang umpama tidak kisah sahaja dan tidak terlalu menghiraukan permintaan Aisha. Bahkan aduan Aisha tentang rasa misteri yang melanda rumah itu juga tidak berapa dihiraukan oleh Muhammad. Maria juga membawakan mesej akan kepentingan hidup berjiran serta perlunya jiran mengambil tahu akan susah payah yang dihadapi oleh jiran yang lain. Dalam hal ini gangguan yang berada pada rumah Aisha berkenaan sudah dimaklumi oleh penduduk lama di situ. Walaupun bantuan mereka secara tidak lansung pada permulaannya seperti dilihat dingin (atau membuatkan Aisha salah sangka), namun semangat kejiranan inilah yang membantu keluarga ini akhirnya.

Inayah pada zamannya mempunyai dua orang anak. Suaminya seorang tentera dan telah terkorban dalam satu pertempuran. Beliau tinggal di sebuah rumah yang mempunya sebatang pokok tunjuk langit yang didirikan buayan. Kecantikan beliau telah menjadikan ramai lelaki gila bayang termasuklah ketua kampung sendiri, Pak Hazman. Beliau kemudiannya diperkosa dan kemudiannya dibunuh bersama kedua orang anaknya. Lokasi beliau dibunuh adalah di sebuah hutan yang merupakan tempat pemujaan Pak Hazman. Menurut Maria lokasi hutan itu akhirnya dimajukan dan akhirnya menjadi perumahan tempat tinggal Muhammad dan Aisha. Di sini hamba sedikit keliru kerana rumah Inayah yang sebenar yang mempunyai pokok yang dipasangkan buaiyan bukanlah di hutan tersebut.. Ini kerana di tapak asal rumah Inayahlah didirikan rumah Muhammad memandangkan pokok tunjuk langit itu sejak asal memang berada di situ. Ia tidak dapat ditebang oleh pemaju kerana dikatakan keras. Bahkan penunggunya telah meminta dipasangkan sebuah buaiyan (sama seperti keadaan ketika Inayah masih hidup di mana buaiayan itu menjadi tempat permainan anak-anaknya). Mungkin Maria tidak sedar akan kesilapan kecil ini atau mungkin beliau mempunyai jawapannya yang tersendiri.


Monday, October 10, 2016

AYAT-AYAT CINTA 2 - Habiburrahman El Shirazy



Masih ingatkah lagi kalian pada Ayat-Ayat Cinta yang terbit sekitar 2004? Tercatat pada kulit bukunya - sebuah novel pembangunan jiwa - yang menggaru-garu hati ini untuk memilikinya. Ini kerana novel cinta seringkali membawa kepada sesuatu yang melalaikan serta melelahkan jiwa. Justeru apabila novel ini digarap untuk menggambarkan pengamalan Islam melalui watak utamanya Fahri, ia memberi dimensi baru dalam dunia penulisan khususnya yang bertemakan Islam. Mungkin kurang tepat jikalau mengatakan ini novel cinta Islamik yang pertama kerana lama sebelum ini HAMKA telah membawakan perkara yang sama lewat penulisan beliau seperti Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Terbitnya Ayat-Ayat Cinta menyaksikan munculnya novel-novel yang cuba membawakan nuansa yang sama seperti air tangan Kang Abik ini. Tapi bagi hamba tulisan Kang Abik amat istimewa kerana mengamati tulisan beliau dapat kita baca akan tahap keilmuan diri beliau itu sendiri.

Jikalau dalam novel yang pertama ia berlatar belakangkan kehidupan remaja Fahri sebagai seorang pelajar di Universiti Al Azhar, Kaherah, kini Fahri telahpun berjaya sebagai seorang pensyarah di The University Of Edinburgh, Scotland. Membaca secara tenang bab-bab permulaan, hati hamba mula tertanya-tanya ke mana perginya watak Aisya, isteri Fahri yang telah dinikahi dalam novel yang pertama. Kang Abik bijak menghasilkan rasa misterius kepada pembaca yang berteka-teki dimana dan apa yang sebenarnya terjadi kepada Aisya. Walaupun dalam bab-bab kemudiannya persoalan ini mula terjawab dengan kehilangan beliau sewaktu berada di Israel, hamba merasakan tidak mungkin watak penting itu boleh diketepikan begitu sahaja dalam novel ini. Entah kenapa kemunculan watak seorang gelandangan wanita berwajah buruk yang akhirnya dikenali dengan nama Sabina membuatkan hati hamba kuat berkata beliau sebenarnya adalah Aisya. Sehinggalah ke 100 mukasurat yang terakhir apabila Aisya tidak juga muncul, keyakinan hamba itu semakin kuat. Dan apabila tiba saat Fahri terjumpa catatan Hulya mengenai Sabina yang mengajarkan beliau bait-bait puisi yang hanya diketahui oleh beliau dan Aisya sahaja, secara otomatik hamba tahu telahan hamba itu betul.

Fahri, disamping menjadi ilmuan yang berjaya sebenarnya juga merupakan usahawan yang berharta. Namun beliau cuba hidup secara sederhana bahkan menggunakan sebuah SUV BMW terpakai walaupun kemampuan beliau lebih daripada itu. Ini jelas dilihat kepada betapa banyaknya bantuan wang ringgit yang beliau berikan kepada beberapa orang khususnya jiran-jiran beliau seperti Janet, Keira, Jason dan nenek Catarina. Watak pakcik Hulusi yang merupakan pembantu Fahri selalu mempersoalkan bantuan yang Fahri berikan lebih-lebih lagi jiran beliau Janet bukanlah ramah manakala anaknya Keira dan Jason sering memberikan masalah serta memandang serong kepada orang Islam. Begitu juga sikap Fahri yang membantu nenek Catarina, seorang yahudi, membantunya ke sinagog bahkan mengorbankan wang yang banyak untuk membeli semula rumah nenek tersebut yang telah dijual oleh anak tirinya. Melalui dialog antara Fahri dan Hulusi inilah Kang Abik menyampaikan dakwahnya akan betapa cantiknya Islam di dalam melakukan dakwah bil hal, membantu atas sifat kemanusiaan tanpa mengira agama dan bangsa.

Sebagai ilmuan fahri turut diuji dengan dua buah perdebatan, pertamanya dengan beberapa orang yahudi mengenai konsep bangsa pilihan serta amalek,dan yang keduanya bersama beberapa bijak pandai berdebat tentang kepercayaan di Oxford Union. Penampilan Fahri yang hebat semasa perdebatan tersebut dengan mengenakan pakaian mewah seperti bangsawan Inggeris mengingatkan hamba kepada kisah Imam Malik yang mengenakan pakaian yang hebat dan mewah semasa mengajar kerana memuliakan ilmu. Adegan debat ini selain daripada menunukkan keilmuan Fahri juga adalah cara dakwah Kang Abik di dalam memberikan penjelasan kepada masyarakat dengan cara yang menarik agar dapat difahami dengan lebih baik.

Walau apapun, perkara pokok penceritaan iaitu tentang cinta dan kasih sayang seorang suami kepada isterinya kerana Tuhan masih dapat diserapkan ke dalam jiwa pembaca walaupun melalui begitu banyak plot dan permasalahan. Bahkan hamba tidak melihat gaya penulisan Kang Abik seperti sengaja memanjang-manjangkan cerita agar novelnya kelihatan tebal. Sebenarnya penulisan AyatAyat Cinta 2 dibuat dengan teliti dan berjalan secara perlahan agar pembaca lebih jelas dengan apa yang berlaku di samping penyampaian dakwah yang berlaku secara halus.


Wednesday, October 5, 2016

GILA-GILA, GAYA DAN TEMA KARTUN - Muliyadi Mahamood



Rasanya tiada pengkaji yang begitu serius membuat kajian tentang industri kartun Malaysia setakat ini seperti penulis buku ini. Bahkan beliau telah melahirkan beberapa buah buku yang berkaitan industri serta sejarah kartun tanahair, terutamanya yang berkaitan dengan majalah Gila-Gila. Buku ini merupakan salah satu lagi kajian beliau yang dilakukan sewaktu mengambil cuti sabatikal sekitar Ogos 2009 hingga Ogos 2010. Justeru kajian terhadap majalah Gila-Gila dibataskan sehingga tahun 2008 sahaja. Walau bagaimanapun kajian ini hanya diterbitkan dalam tahun 2016 yang memungkinkan banyak lagi sebenarnya perubahan yang berlaku di dalam majalah ini dari 2008 sehingga 2016.

Walaupun hampir menyerupai gaya persembahan majalah MAD pada awal penerbitannya, gaya persembahan Gila-Gila mempunyai identiti Malaysia dan semakin bermutu dari hari ke hari. Majalah ini kelihatan begitu gagah sehinggakan banyak majalah humor sama ada yang sebelum, seangkatan ataupun juniornya telahpun menamatkan penerbitan. Cuma pada hari ini hamba rasa jualannya tidak lagi serancak dahulu. Penerbitannya daripada dua kali sebulan telahpun menjadi sekali sebulan semenjak 10 tahun yang lalu. Kalau berkunjung ke kedai buku, terlalu sukar untuk menjumpainya di rak rak pameran. Kalau adapun, kelihatan seperti tidak berusik dan berterusan ada di rak yang sama sehinggalah digantikan dengan keluaran yang akan datang.

Melalui buku ini Muliyadi memaparkan perkembangan majalah ini berdasarkan gaya dan tema kartun yang dibahagikan kepada beberapa bab mengikut dekad. Muliyadi meneliti secara terperinci tentang tenaga kartunis yang ada pada dekad berkenaan, ulasan mengenai persembahan keseluruhan majalah serta khusus terhadap kartunis tertentu serta kehebatan persembahan sesuatu cerita/kartun atau pelukisnya. Bermula dengan hanya beberapa kartunis pengasas, majalah ini terus berkembang dengan kemunculan beberapa lagi kartunis baru selepas itu. Bahkan ada antaranya yang hamba anggap berstatus killer kerana daya tarikan yang ada pada persembahan kartun merekalah yang membuatkan orang ramai berterusan memberikan sokongan terhadap majalah ini.

Gila-Gila turut memberikan peluang kepada orang ramai untuk mengetengahkan bakat mereka melalui beberapa ruangan persembahan bakat seperti Mekar Di GG, Senyum Skot, Senyum Felda, Makwe Korner, Pakwe Korner dan banyak lagi ruangan. Ruangan ini selain menjadi tapak untuk mengetengahkan bakat juga merupakan satu tarikan marketing untuk beberapa golongan tertentu seperti Senyum Skot yang khas untuk pasukan bersenjata. Ruangan ini juga telah melahirkan beberapa kartunis berbakat yang akhirnya mengisi kerusi kartunis di majalah Gila-Gila itu sendiri.

Tidak lengkap bercerita mengenai majalah ini tanpa menyebut satu nama besar iaitu Ujang. Karya Ujang yang hamba ikuti semenjak pengelibatan awalnya dalam Gila-Gila telah memberikan satu impak yang besar terhadap perkembangan majalah ini. Gaya persembahan yang bersahaja dengan idea yang lucu menjadikan pelukis dari Negeri Sembilan ini menjadi aset yang berharga buat Gila-Gila. Kelahiran beberapa kartun ikon seperti Aku Budak Minang, Aca dan Atuk menguatkan kedudukan Ujang. Bahkan kartun Atuk masih terus dilukis oleh orang lain walaupun Ujang telahpun meninggalkan Gila-Gila pada pertengahan 90an. Namun bukan sahaja Ujang yang menjadi tulang belakang penguat majalah ini, kartunis lain juga tidak kurang hebatnya terutamanya kartunis-kartunis pengasasnya serta penghulu majalah ini sendiri - Rejabhad.

Sekiranya diteliti, kartunis besar ini mempunyai identiti yang tersendiri dalam lukisan mereka. Mereka menghasilkan gaya lukisan mereka sendiri mengikut acuan Malaysia tanpa terpengaruh dengan gaya lukisan orang lain seperti gaya manga atau manhwa. GG telah memberikan penghormatan yang tertinggi kepada kartunis Rejabhad, seorang kartunis veteran yang telah bersama menerajui majalah ini semenjak awal penerbitannya. Hamba sewaktu melawat pejabat GG pada awal 90an melihat Rejabhad diberikan sebuah ruang seperti bilik kecil untuk beliau berkarya. Ia kelihatan bersepah serta penuh dengan pelbagai barangan, majalah, keratan kartun yang mana beliau sifatkan tempat itu umpama sebuah arkib kartun. Keunikan Rejabhad adalah pada penceritaannya yang kelihatan seperti hikayat Melayu dahulukala dengan gaya bahasa Melayu yang baik dan tersusun.

Apabila kartunis Ujang melahirkan sebuah majalah yang menggunakan namanya sendiri, hamba lihat senario kartun tanah air sedikit berubah. Gaya persembahan yang baharu dengan penampilan kartunis-kartunis mantap telah berjaya mencuri sebahagian besar peminat majalah GG ke majalah baharu ini. Biasanya dahulu kita ini tak banyak duit, jadi apabila telah membeli sebuah majalah, maka majalah yang lain tidak akan dibeli. Itu turut menyumbang kepada penurunan edaran GG. Apa yang penting di sini ialah majalah baharu tersebut telah menampilkan kelainan dan kelainan itu berjaya menarik minat orang ramai. Kartunisnya diberikan nama baharu yang menyerupai nama sayuran, watak ikon Din Beramboi yang amat lucu, kartunis berbilang bangsa di mana pada permulaannya Ujang mempunyai beberapa orang kartunis bukan Melayu yang agak mantap juga persembahan mereka.

Dalam buku ini Muliyadi turut mengulas mengenai masa depan dan hala tuju majalah ini dalam bab Kartun Gila-Gila Tahun 200-2008 yang ketika itu mendapat saingan yang cukup kuat daripada pesaingnya. Hamba merasakan bab ini Muliyadi seumpama memberikan peringatan (dibaca amaran) bahawa sekiranya GG tidak membuat sebarang perubahan maka ia akan terus ditinggalkan. Hamba berpandangan GG tidak mengambil iktibar akan hal ini. Kengganan mereka untuk berubah serta masih kekal dengan gaya persembahan lama tidak bebarapa berjaya menarik pembaca yang baru, sementara pembaca yang lama mungkin sudah meninggalkan majalah ini mungkin kerana faktor usia. Hamba rasa pengurusan GG maklum akan hal ini dan tahu akan puncanya. Tetapi apabila mereka masih lagi tampil dengan idea dan gaya yang sama hamba merasakan bahawa mereka tidak mahu berubah. Cubalah beli senaskhah majalah GG pada tahun 2016 ini dan hamba percaya gaya persembahan mereka masih seperti itu juga dan tidak banyak berubah dari yang dulu. 

Dekad permulaan sehingga pertengahan 90an merupakan zaman emas majalah ini. Selepas itu ia mula susut sehingga kini. Ketika bertemu salah seorang bekas kartunis GG beberapa bulan yang lalu, beliau menyatakan pada zaman kegemilangan mereka, mereka itu umpama seorang arits terkenal dan begitu dikenali. Apabila berpeluang membuat promosi di sesuatu tempat yang jauh, mereka diberi kemudahan penerbangan dan hotel penginapan. Para peminat menyambut mereka dengan meriah di lokasi. Hari ini beliau terpaksa berusaha keras untuk kelansungan hidup dengan menjadi pelukis karikatur jalanan.

GG boleh menjadi fenomena semula seandainya mereka berani untuk berubah!!!!

Wednesday, August 31, 2016

YOK NGOGOH NANG PARIT YOK!!


Hari ini 31 Ogos 2016, hari merdeka yang ke 59 tahun. Walaupun diperingkat nasional katanya tahun kemerdekaan ini tidak lagi disebut, tetapi hamba masih suka menyebut bilangan tahun ini dan menganggapnya kemerdekaan seluruh tanah air walaupun ada sesetengah pihak menyatakan kemerdekaan Malaysia lebih muda dari tahun yang dinyatakan kerana pada mereka itu adalah kemerdekaan Malaya. Hamba tidak peduli. Bagi hamba itulah tarikh keramat. Maka apakah sekiranya ada lagi negara yang menyertai Malaysia selepas ini maka tarikh kemerdekaan harus dikira baru? Tak usahlah buang masa memikirkan perihal tarikh yang lain itu. 31 Ogos 1957 itulah tarikh keramat kita semua!

Secara kebetulan orang kampung di kawasan tempat hamba tinggal ini membuat satu acara ngogoh ikan sempena sambutan kemerdekaan tahun ini. Ngogoh itu bahasa orang Jawa di sini. Aktiviti ini kalau di kampung hamba di Nogori sana dipanggil mengoca. Apapun bahasanya, ia membawa kepada satu pengertian yang serupa iaitu acara menangkap ikan beramai-ramai menggunakan tangan. Hamba tak perlu pergi jauh sebab mereka melakukan acara ini di parit seberang jalan rumah hamba sahaja. Hamba malas nak turut serta, hamba cuma nak ambil gambar sahaja. Lagipun senapang hamba nan satu ini telah terlalu lama diam tidak dipanaskan.

Pada malam sebelumnya, urusetia pertandingan telahpun melepaskan sebanyak 200 ekor ikan, dengan beberapa ekor yang mencapai berat melebihi 5 kilo. Parit yang mereka gunakan itu sebenarnya tidaklah bersih pada hamba. Airnya hitam likat, maklumlah di kawasan kampung, parit juga merupakan saliran kumbahan selain daripada aliran mengumpul air hujan. Hamba berdoa agar tidak ada sesiapa yang mendapat penyakit bawaan kuman.

Walaupun demikian, acara yang julung kali diadakan ini menarik ramai penyertaan dari kalangan lelaki, wanita dan juga kanak-kanak. Budak-budak sekolah ini kadang-kadang buat parit ini seperti kolam mandi lagaknya. Ada peserta yang telah berjaya menaikkan ikan-ikan yang besar ini. Bahkan ada juga yang berjaya menaikkan beberapa ekor kura-kura dan seekor anak ular sawa!! Hamba rasa semua orang kampung enjoy melakukan aktiviti ini dan Alhamdulillah tidak ada perkara buruk yang berlaku di sepanjang acara. 















JUNGLE JOKES - Jaafar Taib



Nama Jaafar Taib mungkin kurang dikenali oleh gnerasi hari ini. Namun bagi peminat dunia kartun tanahair khususnya majalah Gila-Gila, nama ini merupakan sebuah nama besar dalam menghasilkan idea serta lukisan yang  berkualiti.

Walaupun diberikan tajuk Jungle Jokes, bukanlah semua lawaknya berkisarkan hutan walaupun majoritinya berkaitan haiwan. Dan ada sebuah lukisan oleh kartunis Kerengge yang barangkali 'tersesat' termasuk di dalam koleksi ini. Jika diperhatikan, terdapat juga beberapa idea seolah kitar semula. Contohnya sebuah kartun memaparkan adegan dua orang yang sedang menaiki bot di sungai. Tiba-tiba enjin botnya terlanggar sesuatu. Rupa-rupanya ia telah melanggar seekor buaya yang menyebabkan ekornya putus. Kisah seperti ini berulang kembali di tempat lain, cuma kali ini yang berbeza ialah buaya berkenaan terputus muncungnya pula. Begitu juga dengan beberapa kartun lagi seperti pada satu kisah seekor kambing disengat tebuan sehingga habis bengkak satu badannya dan di kartun yang lain, adegan yang hampir serupa cuma yang disengat kali ini adalah seekor lembu pula.

Walau apapun lukisan Jaafar Taib mempunyai kelasnya yang tersendiri. Pewarnaan kartunnya yang dibuat secara manual menggunakan warna air amatlah cantik dan sesuai dijadikan rujukan peminant lukisan. Kalau ingatan hamba tak silap, sewaktu berkunjung ke pejabat Gila-Gila pada awal 1990an dahulu hamba pernah bertemu serta melihat lagenda ini sedang mewarnakan salah satu lukisan Jungle Jokesnya. 


TUN M, INILAH PERJUANGAN - Sabaruddin Hussein



Walaupun tajuk buku ini seolah memaparkan isi kandungan mengenai Tun M melalui temubual ekslusif penulisnya, secara keseluruhannya ia tidaklah sedemikian rupa. Temu bual ini bukanlah semata-mata dilakukan untuk tujuan penerbitan buku ini. Ia adalah umpama rakaman catatan penulis mengenai Tun, pandangannya serta pandangan beliau sendiri melalui beberapa siri pertemuan terutamanya bagi sebuah projek penerbitan buku. Hamba lebih suka mengatakan bahawa buku ini adalah suka duka serta perjuangan sebuah syarikat kecil anak Melayu untuk menerbitkan sebuah buku istimewa tentang perjuangan bangsanya. Mungkin sudah rezeki Allah, penulis serta rakan-rakan beliau diberikan peluang untuk beberapa kali berjumpa Tun sama ada untuk mengadakan temu bual atau perbincangan juga mendapatkan sokongan beliau di atas projek yang dilaksanakan serta turut hadir dalam majlis yang telah dirancang.

Memandangkan temubual ini ada yang telah diadakan seawal tahun 2007 lagi, terdapat beberapa pandangan Tun M yang dimuatkan di dalam buku ini telahpun sedia ada diperjelaskan dengan lebih terperinci lagi di dalam biografi Tun M sendiri - A Doctor In The House. Namun hamba percaya bahawa ramai yang bersetuju bahawa pandangan Tun ini walaupun telah di buat beberapa lama yang lalu masih lagi relevan dengan situasi hari ini khususnya yang menyentuh mengenai perjuangan anak bangsa. Hari ini sudah ada golongan yang tidak senang dengan Tun bahkan berani menunjukkan keangkuhan mereka. Walhal mereka ini satu ketika dahulu naik melalui peluang yang diberikan oleh Tun sendiri. Lebih menggelikan hati apabila beberapa projek mega yang dilaksanakan oleh Tun seperti Putrajaya, KLIA dan Menara berkembar Petronas dianggap sebagai projek yang membazir (Tidak ubah seperti golongan yang mengutuk ketika projek ini sedang berjalan dahulu) sedangkan hakikatnya tidak. Kesemua projek mega oleh beliau mendatangkan faedah kepada negara pada hari ini bahkan turut dinikmati oleh golongan yang mencerca tersebut.

Penulis dalam buku ini sebenarnya turut memasukkan kisah beberapa pertemuan beliau dengan beberapa tokoh lain. Boleh hamba simpulkan bahawa tokoh-tokoh yang ditemui ini walaupun sebahagian besar daripada mereka telahpun berada di alam persaraan, masih lagi aktif dengan kegiatan mereka sendiri dan begitu menekankan kepada ketepatan masa, terutamanya bagi yang ingin mengadakan temujanji dengan mereka. Ini memandangkan jadual mereka tetap padat dan tidak lansung menunjukkan bahawa mereka ini telah berada dalam alam persaraan.

Dapat juga hamba lihat melalui catatan penulis, Tun M walaupun mempunyai pengaruh yang besar, tidak sewenang-wenangnya menggunakan pengaruh beliau untuk memperolehi sesuatu dengan mudah. Beliau lebih 'suka' menjadikan diri beliau umpama 'posmen' yang lebih kepada memanjangkan sesuatu perkara kepada pihak yang betul berbanding mewajibkan mereka melaksanakan sesuatu perkara. Ini dapat dilihat apabila syarikat penulis meminta Tun M menyokong agar Petronas menaja buku mereka. Tetapi Tun M dengan rendah dirinya membayangkan bahawa beliau tidak ada apa-apa pengaruh walaupun berstatus penasihat Petronas ketika itu.

Hamba berdoa agar negarawan ini diberikan hidayat oleh Allah agar tetap berada di atas jalan-Nya dan terus diberikan kekuatan untuk menyumbang kepada bangsa walaupun hanya melalui kata-kata sahaja.....


Friday, August 19, 2016

SAYA MALALA - Malala Yousafzai dengan Christina Lamb



Bagi yang sering mengikuti perkembangan peristiwa antarabangsa, nama Malala Yousafzai mungkin tidak lagi asing di telinga. Seorang pejuang asasi hak kanak-kanak untuk mendapat pelajaran, nama beliau masyhur mendadak apabila beliau ditembak oleh Taliban sewaktu pulang dari sekolah. 

Buku ini merupakan terjemahan daripada buku asal berbahasa Inggeris yang bertajuk 'I Am Malala' yang diterbitkan pada Oktober 2013. Agak lambat buku ini diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Namun memiliki buku ini amatlah berbaloi. Penterjemahan yang dilakukan oleh Zaleha Abidin amatlah baik dan tidak terasa sebarang kejanggalan dalam rentak pembacaan seperti sesetengah buku terjemahan. Terasa seolah-olah Malala sedang bercerita secara terus dengan pembaca. Walau bagaimanapun terdapat terlalu banyak kesalahan menaip yang hamba andaikan satu kecuaian oleh penterjemah begitu juga editor yang sama ada lansung tidak membuat semakan ataupun cuma membaca secara melangkau muka surat. Contohnya perkataan berkhatam yang sepatutnya ditulis berkhatan. Ada juga beberapa perkataan yang tidak cukup hurufnya. Ada juga perkataan yang hamba tidak faham maknanya seperti ayat berikut :- "...Dia mendapati dua sentimeter saraf saya hilang di mana ia meninggalkan temurung....." Hamba tidak faham apa erti temurung dan pencarian hamba di dalam kamus dewan online tidak memberikan apa-apa jawapan. Begitu juga dengan ayat ini:- "....dan saya tidak merungut apabila mereka menanggalkan kokok daripada kepala saya...". Kerana itu saya merasakan seolah tiada penyemakan sebelum edisi bahasa Melayu ini diterbitkan.

Membaca kisah kehidupan Malala di Swat amatlah menyeronokkan. Sebuah tempat sejuk di kawasan pergunungan yang turut mempunyai banyak puing-puing sejarah. Segalanya amat indah sehinggalah Taliban memusnahkan segala-galanya. Malala amat sukakan pelajaran dan suka ke sekolah. Namun Taliban pula melarang anak gadis khususnya yang telah baligh daripada ke sekolah. Bahkan sekolah tempat Malala dianggap sebagai tempat menyebarkan perkara yang menyeleweng daripada ajaran agama.

Menyedari peri pentingnya pelajaran kepada anak-anak perempuan, Malala serta bapanya amat lantang menyuarakan pandangan mereka sama ada melalui pengucapan awam, temuramah media cetak dan televisyen serta menganjurkan perarakan aman. Malala adalah umpama api dalam sekam kepada Taliban. Ini membawa kepada peristiwa beliau ditembak di kepala sewaktu dalam perjalanan pulang dari sekolah. Peristiwa itu turut mencederakan dua orang sahabat beliau yang lain.

Rawatan awal yang beliau terima di Pakistan telah menyelamatkan nyawa beliau, namun doktor yang merawat menyarankan beliau di bawa ke hospital luar negara bagi rawatan seterusnya memandangkan kepakaran serta kemudahan lanjut tidak ada di Pakistan. Ini memandangkan kecederaan beliau menyebabkan otak beliau membengkak serta menyebabkan beberapa saraf di mukanya rosak menjadikan kawasan berkenaan tidak dapat digerakkan sehingga beliau tidak boleh menutup sebelah mata serta tersenyum. Namun beliau tidak tahu itulah kali terakhir beliau berada di Pakistan dan tidak akan kembali lagi. Sehingga buku ini ditulis, Malala sekeluarga telahpun berada di Birmingham dan beliau telahpun belajar di sana. Beliau bahkan semakin giat memperjuangkan hak kanak-kanak sehinggalah dianugerahkan hadiah Nobel Keamanan. Mungkin beliau merupakan penerima hadiah tersebut yang paling muda setakat ini.

Membaca kisah-kisah Taliban yang dipaparkan, hamba dapat merasakan bahawa kumpulan ini mempunyai semangat yang kuat untuk melihat Islam diamalkan, namun satu yang mereka kurang - ilmu! Hamba tidak bersetuju apabila anak-anak perempuan tidak dibenarkan untuk belajar bahkan tindakan mengebom sekolah sehingga mengorbankan nyawa orang awam adalah tindakan yang bacul serta penakut. Ini kerana mereka membunuh orang yang tidak bersenjata serta tidak mampu mempertahankan diri sendiri. Apatah lagi yang dibunuh itu adalah golongan yang ingin menuntut ilmu. Di negara kita juga ramai yang pro Taliban - tapi mereka juga menghantar anak-anak perempuan mereka ke sekolah. Hamba teringat kata-kata pensyarah hamba dahulu, Dr Hassan Al Alami, kata beliau lebih kurang - Membiarkan anak-anak perempuan tidak bersekolah sehingga mereka menjadi jahil adalah lebih bahaya daripada membiarkan mereka tidak berpelajaran!!


Wednesday, June 29, 2016

KOMPILASI DESTINI KASIH - Abd. Rahim Awang



Pada mulanya hamba tidak mahu membeli novel ini kerana merasakan ianya sebuah novel cinta berdasarkan tajuknya, walaupun hamba tahu bahawa Abd. Talib Hassan merupakan seorang penulis yang tidak perlu diragui akan mutu tulisannya. Tetapi penjual yang telah pernah membaca novel berkenaan menyatakan bahawa ia bukanlah kisah cinta seperti yang hamba sangka serta memperakukan untuk hamba membelinya.

Ada tiga buah novel di dalam kompilasi ini iaitu Destinasi Kasih, Wajah-Wajah Di Pelangi dan Sinar Di Balik Kabus. Sememangnya beginilah rupa tajuk novel-novel sekitar 90an yang banyak menggunakan tajuk puitis walaupun kadang-kadang dirasakan tajuk berkenaan tidak berkait dengan jalan cerita lansung. Berbeza dengan novel hari ini yang menggunakan tajuk ringkas serta catchy yang kadangkala bunyi mengarut pun ada seperti Suami Tiang Telefon, Encik Kanggaru dan Cik Dubuk, Mr. Tanda Lahir..... (Contoh yang tidak ada kait mengait dengan buku sesiapa). Ketiga-tiganya masih ada unsur cinta tetapi bukanlah menjadi persoalan pokok dalam penceritaan sebaliknya berjalan seperti angin lalu sahaja bak kata Mr Harold Stevenson, tukang kebun sekolah rendah di Nepal sana....

Namun ada satu persamaan antara ketiga-tiga novel ini iaitu ada kisah orang lari dari rumah!! Sepatutnya kompilasi ini boleh sahaja diberikan tajuk Kompilasi Manusia-Manusia Yang Berlari Dari Rumah Menuju Garisan Penamat Untuk Mendapatkan Tempat Pertama Piala Ketua Kampung.

Destinasi Kasih - Dalam kisah ini ayah Khairuddin yang kari dari rumah. Lari, Kawin dapat anak nama Khairuddin dan begitulah adanya. Setelah bapa dan ibunya meninggal dunia, Khairuddin pulang ke kampung asal bapanya bagi mengetahui asal-usulnya di samping mengetahui kisah 'pelarian' bapanya. Sepanjang novel ini walaupun ada sedikit pengkisahan tentang sebab pelarian bapanya namun ia tidak lengkap dan pembaca masih tertanya-tanya akan sebabnya. Tambahan pula apabila dikhabarkan bahawa satu kejadian yang serupa dengan apa yang dihadapi oleh Khairuddin (Khairuddin dituduh mencabul seseorang) turut terjadi kepada bapanya. Siapa yang berkait tidak disebut, bahkan sebab kebencian ibu saudara Khairuddin kepada bapanya juga tidak dijelaskan. Sama ada penulis mahu pembaca berfikir sendiri atau penulis sendiri tidak ada jawapannya, maka tidaklah hamba ketahui.

Cerita Destini Kasih lebih kurang sama dengan drama di televisyen. Selain kisah di atas, Khairuddin apabila di kampung berusaha membangunkan tanah kebunnya dengan tanaman tembikai, getah dan pisang walaupun beliau sebenarnya seorang lulusan universiti. Sambil itu adalah yang syok dengan si Din ni. Ada yang syok, tunjukkan minat secara berterus terang alih-alih syok kat orang lain pula. Ada yang syok cara brutal, bila tak dapat mulalah tabur fintah. Ada yang syok tapi diam sahaja, tapi jenis yang inilah akhirnya dapat kat si Din ni....alahai...

Cerita berakhir apabila Din dapat tawaran bekerja di sebuah syarikat elektronik dan berpeluang berkursus di Jepun. Maka adalah yang menganga tak sangka Din graduan universiti rupanya, ada yang insaf, ada yang menyesal... Dahulu orang yang lulus universiti ni memang dipandang hebat berbanding hari ini apabila melambak-lambak yang lulus lepas tu tak ada kerja...ala memang sebijik drama tvlah!!


Wajah-Wajah Di Pelangi - Yang ini lari dari asrama sekaligus tak balik rumah dekat 15 tahun apabila dituduh mencuri jam di asrama. Perangai budak muda agaknya, bukan reti nak mempertahankan diri, tahu nak lari sahaja. Mungkin juga watak utamanya - Asrul (pehhh dah tiga empat bab baca baru jumpa nama Asrul ni, kalau tak penulis dok menggunakan kata ganti Dia sahaja...) rasa kecewa kerana gurunya juga tidak menjalankan siasatan dan tanpa usul periksa meyakini dirinya memang bersalah. Jauh juga si Asrul ni berlari, sampai ke Paris sana diikuti dengan London. Di Paris dan London Asrul telah menyambung pelajaran serta mempunyai beberapa kelulusan.

Cerita ini menjadi best bila Asrul dah balik. Tengok-tengok makwe yang pernah berjanji nak setia dengan beliau dahulu telahpun bertunang dengan si Basri - musuh ketat Asrul dan antara yang berpakat menjadikan beliau seperti mencuri masa sekolah dahulu. Maka bermulalah misi beliau untuk menggagalkan rancangan perkahwinan tersebut serta merebut kembali kekasih hatinya...chewaaaah. Tapi tak usahlah berharap ada adegan aksi yang tahap kebabooo untuk merebut kembali chenta hatinya. Semuanya berjalan dengan aman damai cuma di akhir novel ada dikisahkan percubaan Basri untuk membunuh Asrul menggunakan pistol, Basri lari lepas tu kemalangan dan the rest is history.....


Sinar Di Balik Kabus - Kisah yang akhir ini perempuan pula yang lari dari rumah akibat tidak tahan didera oleh ibu tirinya. Diselamatkan oleh seorang pegawai polis, beliau akhirnya menjadi pembantu rumah kepada sahabat polis tersebut di Kuala Lumpur. Memang baik sungguhlah gadis bernama Sumirah tersebut, kerja rumah memang tip top sampai majikannya pun sayang.

Di sebelah rumah ada pula seorang anak muda bernama Deen yang bekerja di sebuah syarikat rakaman yang berusaha menggunakan ayat powernya untuk memikat Sumirah. Sikit-sikit lama-lama lembutlah si kerak nasi. Deen berjaya menaikkan Sumirah sebagai penyanyi yang terkenal. Bila dah jadi penyanyi takkan nak pakai nama Sumirah, tak glamer la pulak. Jadi digunakanlah pula nama Mira Adila. Macam biasa la bila dah popular mula la perangai tak selaku. Sumi dah pandai menggadai harga diri dengan si Deen, lepas tu beralih dengan oarng lain pulak, boleh pulak kawin dengan Tengku jadi nombor dua dan macam-macam lagi perangai yang tak hebat lansung untuk di tiru. Ya kisah-kisah seperti ini memang biasa diketemui dalam drama.

Pengakhiran novel ini juga dibuat secara tergantung dan anda diminta untuk mengisi sendiri tempat kosong dengan jawapan yang sesuai.


Wednesday, June 22, 2016

APAK - Don



Kiranya nama Don tidak perlu diperkenalkan lagi bagi peminat kartun tanah air. Cuma bebudak muda hari ini mungkin tak berapa nak kenal. Jika disebut barangkali yang terbayang di minda adalah wajah Ustaz Don Danial agaknya. Menyebut Don, siapa yang boleh lupa dengan Pendekar Mato Tige dan keletah watak Dan, Din, Don - tiga orang budak kampung yang tak berpakaian yang sering menggeletek hati pembaca. Khabarnya ada animasi Dan, Din, Don yang dibuat di Jepun, cuma kali ini watak-watak mereka perlu diberikan pakaian!

Siri Apak pernah disiarkan di majalah Gila-Gila lama dulu. Ia mengungkap kehidupan seekor ayam dan dunianya. Dahulu ketika membaca Apak secara bersiri mungkin tidak berapa nampak kepincangannya. Tetapi apabila membacanya secara terus menerus sehingga habis, akan terasa beberapa penceritaan yang seakan tergantung. Pada permulaan cerita lagi kita telah dihidangkan dengan persengketaan antara Apak dan Dogol sehingga Apak telah berjaya mencederakan Dogol. Dogol digambarkan telah pulih selepas itu dan masih menyimpan rasa marah kepada Apak. Namun cerita dendam Dogol itu mati begitu sahaja.

Apak begitu marah apabila bininya disembelih untuk lauk raya. Dia kemudian mengalami kesedihan yang teramat sangat. Kembalinya Apak menjadi solo membuatkan ada ayam betina yang berkenan. Kisah ini juga umpama tergantung - Apak tidak membalas dendam - Bagaimana Apak mengatasi kesedihannya, tahu-tahu sahaja sudah ceria - tiada kesinambungan Apak dingorat atau mengorat.

Kisah Apak tamat begitu sahaja setelah beliau menyelesaikan masalah Togel yang dituduh oleh ayam lain meng'anu'kan seekor ayam betina sehingga bertelur dengan telur gred C. Tidak diketahui apa terjadi pada Apak selepas itu dan kesudahan ini benar-benar tergantung.

Tidak dinafikan kadang-kadang seseorang kartunis melukis tanpa ada cerita yang lengkap di dalam kepalanya. Apa yang penting dalam setiap keluaran majalah, kartun mereka dapat disiarkan. Mereka akan melukis dan go with the flow. Lantaran itu mungkin menjadikan idea sesuatu penceritaan itu bagaikan tidak seiring hingga menyebabkan beberapa perkara tergantung dan menimbulkan persoalan yang tidak mempunyai jawapannya.

Selain Apak, kompilasi ini turut memuatkan dua buah lagi kartun bertajuk Pasung Puako dan Kisah Lapuk Raja Mandeliar.

TORA DATANG LAGI : KITAB PENGETAHUAN KANAK-KANAK 90AN - Amirul Bozu



Tajuk dan cover buku ini cukup sempoi, tidak perlu memikirkan perkara yang payah-payah, memadai dengan tangan seseorang memegang sekotak jajan yang cukup popular di kalangan kanak-kanak. Namun buku ini bukanlah sebuah katalog promosi produk berkenaan oleh kilangnya. Ia juga bukanlah sebuah novel aksi seekor makhluk yang bernama Tora (Tora dalam bahasa Jepun bermaksud harimau - tapi gambar pada kotak itu adalah makhluk misteri yang entah hapa hapa entah. Ia adalah umpama satu himpunan atau senarai semak yang pernah dilalui oleh kanak-kanak terutamanya daripada era 90an.

Memandangkan zaman kanak-kanak hamba adalah sekitar akhir 70an dan awal 80an, apa yang dilalui oleh penulis dapat dirasai oleh hamba. Bahkan beberapa perkara yang penulis rasai dan alami telahpun ada pada era hamba bahkan sebelum itu lagi. Boleh hamba katakan era sebelum 2000 merupakan zaman anak-anak belum begitu terdedah dengan teknologi. Permainan lebih bayak dibuat sendiri. Gelanggang permainan adalah di atas tanah sebarang tanah lapang. Berhamburan ke sana sini adalah perkara biasa sebelum tibanya waktu Maghrib. Tenaga kreatif minda banyak dijana untuk mencipta permainan-permainan ini. Kita sedar bahawa kita tidak berduit mana, justeru untuk bermain kita perlu kreatif.

Penulis turut memaparkan beberapa perkara, sama ada barang permainan atau jajan yang beliau kategorikan sebagai hanyak anak cikgu sahaja yang mampu beli kerana mahalnya barangan tersebut. Yup, betul perkara itu juga hamba alami. Ada satu permainan namanya Kalkitos. Ia merupakan kad bersaiz lebih kurang kad raya yang mempunyai pelbagai gambar diorama. Ada beberapa sticker yang melekat pada sekeping kertas lutcahaya. Sticker berkenaan perlu dilekat pada kad berkenaan dengan cara menggosok gambar sticker yang kita pilih dengan menggunakan duit syiling. Kekreatifan kita dalam meletakkan gambar akan menjadikan gambar itu menarik. Perkara ini tiada dalam catatan penulis.

Ketika penulis bercerita mengenai siaran televisyen pula, hamba teringat apabila TV3 mula bersiaran. Ketika itu siarannya belum meluas dan hanya tertumpu di Lembah Kelang sahaja. Kerana ghairah hendak menonton siaran TV3, hamba yang ketika itu tinggal di Seremban melihat masyarakat menaikkan antenna tv mereka setinggi yang boleh dengan mengikatnya pada batah buluh atau paip yang panjang. Yang lebih ekstrim meletakkannya di puncak pokok kelapa. Untuk memantapkan penerimaan lagi agaknya, antenna berkenaan digandingkan dengan segala jenis periuk dan kuali. Agaknya mereka meniru konsep antenna parabola yang mempunyai dish

Ketika bercerita mengenai permainan judi tikam, penulis ada mengungkapkan; "Tiada sebarang fatwa pernah dikeluarkan tentang halal haram permainan judi tikam ini...." Sebenarnya penulis perlu jelas tentang apa yang dikatakan fatwa itu. Fatwa hanya dikeluarkan pada sesuatu perkara yang hukumnya tidak dinyatakan dalam Al-Quran ataupun hadith seperti pengharaman dadah, rokok dan sebagainya. Manakala judi telah terang hukumnya di dalam Al-Quran tentang pengharamannya. Justeru dalam hal judi tikam, walaupun modal yang dikeluarkan hanya beberapa puluh sen sahaja, yang haram tetap haram. Permainan ini memang banyak terdapat di mana-mana dan kadang-kadang ada dijual di hadapan sekolah oleh para peniaga bergerak. Hamba menganggap ia satu strategi halus untuk menghasut anak-anak orang Islam agar menganggap perkara tersebut dibenarkan kerana hanya melibatkan modal yang kecil. Walaupun kecil, hamba pernah melihat rakan-rakan yang berhabis banyak duit semata-mata mengejar hadiah yang tidak pasti dapatnya.

Membaca buku ini terasa keseronokannya apabila ia mengimbau kembali zaman lalu. Mereka yang tidak melalui zaman ini juga boleh membacanya agar mereka dapat meninggalkan seketika tablet, X-Box, Playstation, permainan Candy Crush, Angry Bird dan sebagainya untuk menghayati apa itu gundu, bola tepuk, zero point dan caplung!!


JEJAK TERBILANG - Aimi Jarr



Hamba membeli buku ini bukanlah kerana hamba ini obses kepada artis. Pembelian hamba adalah kerana hamba suka melihat gambar-gambar lama di samping mengetahui tentang industri filem tempatan semasa zaman Studio Jalan Ampas serta Studio Cathay Keris, di mana keduanya telahpun lama bungkus manakala filem-filem keluaran mereka telah dianggap sebagai sesuatu yang klasik.

Buku ini memuatkan secara ringkas kisah 60 pelakon pada zaman tersebut, para pelabur awal serta sumbangan pengarah-pengarah yang datang dari negara India, Filipina serta Indonesia (tidak terkecuali anak tempatan). Ia turut memuatkan senarai filem-filem keluaran Malay Film Production (Studio Jalan Ampas), Cathay Keris serta Studio Merdeka.

Membaca kisah kesemua mereka ini, dapat hamba simpulkan bahawa para pelakon peringkat awal ini mempunyai bakat semulajadi yang istimewa. Ini memandangkan ketika itu masih belum ada sebarang sekolah lakonan. Rujukan untuk lakonan juga terhad kepada apa yang ditayangkan di panggung wayang ketika itu serta pentas-pentas bangsawan. Ada yang memang mahu menjadi pelakon, ada juga yang pada mulanya hanya datang melihat orang berlakon dan ada juga yang pada mulanya melakukan kerja-kerja lain tetapi apabila diberikan peluang kepada mereka, mereka maju setapak demi setapak. Boleh hamba katakan bahawa kisah mereka ini hampir sama sahaja dan masing-masing sama menghadapi kesusahan terutama apabila syarikat-syarikat wayang ini menghentikan oiperasi mereka. Ketika itu ada yang bersara terus dan ada yang menyambung karier lakonan mereka di Kuala Lumpur.

Antara kesemua kisah, ada beberapa fakta yang menarik minat hamba yang belum hamba ketahui sebelum ini seperti;-

i.     Seperti yang kita maklumi, Ibrahim Pendek merupakan pelakon Melayu pertama yang berpeluang mengembangkan bakatnya di Hollywood melalui filem The Spiral Road yang turut dibintangi oleh Rock Hudson dan Burt Ives. Aimi Jarr melahirkan rasa curiganya mengenai bayaran yang diterima oleh Ibrahim. Bayaran yang sebenarnya tidak diketahui sesiapa memandangkan itu merupakan satu perjanjian di antara pihak Shaw dan Hollywood. Kata Aimi, "Ibrahim hanya menerima bayaran yang ditentukan oleh pihak Shaw Brothers berdasarkan bayaran filem Melayu".

Perkara ini amat memeranjatkan memandangkan Ibrahim sepanjang berada di sana dilayan seperti pelakon Hollywood yang lain bahkan turut ditawarkan untuk terus berlakon di sana. Ini bermakna bayaran yang sepatutnya diterima oleh Ibrahim adalah lebih tinggi dan Shaw hanya membayar beliau mengikut kadar filem Melayu sahaja! Ini merupakan satu bentuk kekejaman kepada pelakon tempatan. Shaw sebenarnya mengaut untung di atas angin di atas jerih payah Ibrahim. Sememangnya syarikat ini telah banyak mengaut keuntungan hasil penat lelah pelakon Melayu. Bahkan mereka cukup cerdik apabila masih memegang hakcipta semua hasil karya ini menyebabkan televisyen tempatan tidak boleh menayangkan filem lama sesuka hati;

ii.     Normadiah gagal mendapatkan kewarnegaraan Malaysia sehingga ke hujung hayatnya;

iii.     Sharifah Hanim berketurunan kerabat diraja Perlis. Ayahanda beliau pernah menduduki takhta negeri Perlis semasa zaman Jepun; dan

iv.     Ayah Dayang Sofia, Awang Rambli merupakan anggota Rukun 13 yang telah dibunuh oleh pihak British kerana bertanggungjawab ke atas kematian Sir Duncan Stewart. (Fakta yang ini sebenarnya hamba perolehi di Wikipedia ketika membuat carian lanjutan dan ia tidak terdapat di dalam buku ini.)

ATAN - Ben Wong


Walaupun hamba merupakan peminat kartun dan komik, lukisan ala manga tidaklah begitu menerujakan hamba walaupun hamba akui gaya lukisan tersebut agak menarik. Mungkin kerana kebanyakan kisah-kisah komik dari Jepun banyak yang mengarut membuatkan hamba kurang meminatinya berbanding dengan kartun gaya tempatan. Namun penarik utama komik ini di mata hamba adalah cop pemenang Silver Award dalam The 8th International MANGA Award yang terpapar di kulit hadapan komik ini. Apatah lagi pemenangnya adalah anak Malaysia.

Ben Wong adalah seorang jejaka Cina. Manakala komik Atan adalah merupakan kisah anak Melayu desa yang berjaya dipaparkan dengan baik sekali. Nama Atan merujuk kepada watak seekor kerbau yang menjadi kesayangan Hasbi dan keluarganya. Atan banyak membantu kerja-kerja di sawah. Dalam masa yang sama ia menjadi teman baik kepada Hasbi sendiri sehinggakan Hasbi pernah membawanya ke sekolah. Walaupun Atan menjadi tajuk utama komik ini, hamba melihat pusat penceritaan lebih tertumpu kepada diri Hasbi sendiri manakala Atan tidak lebih daripada sebuah watak sampingan yang banyak membantu dalam memberikan emosi kepada penceritaan.

Walaupun melukis mengenai masyarakat Melayu di kampung, Ben Wong boleh dikira berjaya di dalam persembahannya. Pastinya beliau telah membuat kajian yang sebaiknya sebelum melukis Atan. Bukan setakat suasana kampung, Ben juga melukis tentang suasana di sekolah agama yang turut memaparkan pengajian agama yang disertai dengan teks ayat Al-Quran. Atas dasar keunikan suasana Malaysia inilah berkemungkinan kisah Atan berjaya menambat perhatian para juri.

Kemenangan ini sebenarnya menjadi bukti bahawa pelukis komik dari negara kita juga adalah berkebolehan serta mempunyai kelasnya yang tersendiri. Bahkan ketika ini juga terdapat beberapa anak tempatan yang menjadi pelukis komik dengan beberapa syarikat luar negara seperti Tan Eng Huat yang menyumbang untuk Marvel dan DC Comics. Komik ini berada di bawah jenama Komik M yang menggunakan bahasa Melayu yang standard serta tidak menggunakan bahasa pasar.

Komik ini merupakan sebuah edisi istimewa yang turut memuatkan temu bual bersama pelukis, gambar-gambar beliau pada majlis The 8th International MANGA Award, lakaran dan kerja seni ekslusif Atan serta lukisan penghargaan darpada beberapa pelukis komik tempatan.

Tuesday, June 14, 2016

SUARA TENGAH MALAM - Maria Kajiwa



Maria Kajiwa boleh marah dengan penerbit novel ini kerana menyediakan cover yang buruk untuk novel ini, tidak padan dengan isinya yang first class. Seharusnya penerbit ambil berat tentang perkara ini memandangkan Maria mempunyai kelasnya yang tersendiri dan semakin maju dengan tulisan yang bermutu. 

Walaupun menggunakan tajuk Suara Tengah Malam, 'suara' berkenaan sebenarnya boleh didengari pada waktu tengahari, petang dan sebagainya. Hamba juga tidak nampak misteri suara berkenaan sebagai pemberat cerita ini bahkan adventure Adam untuk mencari isterinyalah yang lebih menonjol serta menjadi paksi penceritaan. 'Suara' berkenaan hamba lihat hanya sebagai elemen penyatu watak-watak utama yang berada dalam sebuah rumah sama ada sebagai ahli keluarga rumah berkenaan atau sebagai penyewa.

Maria menyusun plot penceritaannya dengan baik, tidak terburu-buru serta tidak juga dilihat seperti sengaja hendak memanjang-manjangkan cerita. Ia memberikan rasa suspen kepada pembaca serta menghidangkan pelbagai persoalan untuk dijawab. Pencarian Adam dibuat sedemikian rupa dengan cabaran daripada penculik serta tekanan perasaan dan keluarga (anak serta keluarga mertua). Dilihat sebagai seorang lelaki yang bertanggungjawab, tabah, sabar dan berani, Adam telah mengambil masa sehingga tiga tahun untuk mengesan kedudukan isterinya. Sehinggalah apabila dia mendapat maklumat keberadaan isterinya di Melaka yang menyebabkan beliau berkelana pula ke bandaraya bersejarah ini dari tempat asalnya di Kuantan. Kepayahan kewangan Adam dapat dilihat apabila beliau amat berhati-hati untuk berbelanja seperti terpaksa berkali-kali mencari tempat penginapan yang dapan memberikan kadar yang murah.

Watak Rafiq mungkin boleh dianggap sebagai watak 'penyelamat' khususnya buat Mazni dan secara amnya buat keluarga wanita berkenaan. Belajar daripada kegagalan percintaannya yang lalu, Rafiq menunjukkan sifat ambil beratnya kepada Mazni, dan Mazni ketika itu pula boleh dikatakan menghadapi cabaran yang amat dahsyat. Keteguhan cinta Rafiq teruji apabila di penghujung novel beliau didedahkan dengan kedudukan Mazni yang sebenarnya sehingga membuatkan beliau berada di dalam dilema.

Maria berjaya menghidupkan watak Mak Minah dan Usop yang boleh dikatakan menghadapi isu kejiwaan akibat beberapa keadaan yang berlaku. Bahkan pembaca sendiri mungkin boleh berasa berang dengan perangai Mak Minah yang berhati batu dengan sikapnya yang boleh melelahkan jiwa orang yang berhadapan dengannya.

Memasukkan watak Soffy, seorang mak nyah menyebabkan timbul persoalan untuk ditebak oleh pembaca. Siapa Soffy serta kaitannya dengan 'rumah berhantu' Mak Minah serta kenapa beliau cuba menghantar orang untuk menyiasat rumah tersebut. Dan tentunya paling mengejutkan apabila diketahui siapa Soffy sebenarnya pada Mazni.

Serbuan polis ke atas rumah Botak sewajarnya dilakarkan dengan lebih terperinci. Ia dibuat begitu ringkas - Botak cuba lari dengan merempuh pihak polis. Sepatutnya sebagai penjenayah besar Maria boleh sahaja menghidangkan adegan tembak menembak serta pelarian yang boleh menimbulkan suasana suspen kepada pembaca. Namun mungkin itu bukan fokus Maria. Beliau lebih menumpukan kepada usaha Zed untuk membawa lari Liyana (isteri Adam) yang mana akhirnya Zed juga mati ditembak polis.

Setiap persoalan yang ada diberikan jawapan yang sebaiknya oleh Maria. Cuma ada dua perkara sahaja yang tidak dapat hamba ketemui. Pertamanya ialah misteri kehilangan atau kematian suami kedua Mak Minah. Selepas suami beliau melakukan perkara yang tidak senonoh kepada Mazni, tidak diketahui ke mana beliau - melarikan diri, mati atau dibunuh Mak Minah sendiri. Botak digambarkan sebagai bukan pemimpin utama Geng Awan Merah dan ada lagi ketua di atasnya. Pada awalnya hamba menjangkakan akan ada misteri lagi di sebalik siapa sebenarnya pemimpin utama geng ini, namun persoalan itu mati begitu sahaja. Misteri pemilik suara sudah boleh hamba jangka melalui perjalanan novel ini. dan hamba tidak menganggap itu sebagai apa yang hamba inginkan dalam novel ini. Hamba lebih ingin mengetahui kesudahan episod Adam dalam pencarian isterinya memandangkan inilah bahagian besar penceritaan novel ini. 

Friday, June 10, 2016

IMAGINASI - Ramlee Awang Murshid



Walaupun hati menggelepar nak membaca novel ini, namun kesibukan tugas di kolej membataskan waktu untuk membaca. Di rumah pula badan sudah letih menyebabkan rasa mengantuk merajai mata. Akhirnya peluang itu tiba apabila hamba bertugas luar ke Terengganu baru-baru ini. Sengaja hamba memilih untuk menaiki van bersama rakan-rakan sekerja yang lain agar hamba ada masa yang panjang untuk duduk membaca. Alhamdulillah dapat juga menghabisinya.

Novel RAM kali ini berjalan dengan santai sekali sehingga hamba seolah-olah tidak berjumpa di mana suspennya. Walau bagaimanapun penceritaan berjalan dengan amat baik walaupun RAM menjalinkan tiga kisah sekaligus (satu kebolehan RAM dalam semua novelnya juga). Seperti biasa ketika membaca karya RAM hamba suka untuk menjawab persoalan-persoalan yang ada sebelum tiba di titik akhir. Tetapi kali ini hamba rasa agak mudah untuk meneka. Contohnya misteri watak Abam dengan mudah hamba dapat mengagak beliau adalah Ramda Amira, penulis yang diminati Juita. Ia dikuatkan lagi apabila Abam ingin mengikuti ekspedisi menjejak Pulau Singah bagi mendapatkan penamat ceritanya.

Walaupun seolah-olah membawakan persoalan mengenai saka singa kepunyaan Alang Kassim yang seterusnya diwariskan kepada Suhaila, RAM membuatkan pembaca berteka teki apabila Suhaila beberapa kali menegaskan bahawa 'singa' berkenaan bukanlah suatu saka dan ia tidak boleh diwariskan kepada orang lain. Manakala Hafiz anak Suhaila pula seolah kerisauan takut mewarisi 'kegilaan' ibunya tambahan apabila sering teringatkan kata-kata bahawa dirinya merupakan warisan seekor singa. Namun hamba merasakan seolah-olah novel ini telah tiba ke klimaksnya apabila pembaca didedahkan tentang rahsia singa yang dikatakan saka tersebut. Walaupun novel masih berbaki dengan ekspedisi mencari Pulau Singah, hamba merasakan novel berkenaan sudahpun tamat. Tinggal untuk menghantar singa berkenaan pulang sahaja, sama ada penduduk pulau itu menerimanya ataupun tidak, sudah tidak menjadi isu buat hamba. Hamba sebenarnya mengharapkan apabila Suhaila dan Hafiz bertemu setelah sekian lama tidak bersua, akan banyak lagi rahsia atau misteri yang terbongkar. Mungkin juga permainan emosi dan perasaan dalam usaha pencarian Pulau Singah. Namun, walaupun ia ada tetapi tidaklah seperti ekspektasi hamba.

Kisah cinta Hafiz dan Citra Widya sudah boleh hamba jangka melalui penceritaan RAM. Apabila tidak pernah lansung tercatat Widya pernah mengerjakan solat walaupun beliau ada melihat Hafiz melakukannya hamba telah mula merasakan sesuatu. Ini ditambah dengan rumah bapa Citra yang ada membela anjing serta kenyataan ibu Citra kepada Hafiz agar jangan risau dengan makanan yang dihidangkan kerana ia halal. Bab percintaan ini membawakan mesej yang penting bahawa agama mengatasi segalanya. Ia perlu didahulukan lebih daripada segala-galanya walaupun terpaksa mengorbankan perasaan cinta yang mendalam. Cuma yang tak seronoknya kisah pasangan dua sejoli ini tamat begitu sahaja walaupun hamba mengharapkan akan ada kesedaran di pihak Citra.

Watak Abam yang digambarkan sebagai seorang lelaki yang lurus - bodoh piang di mata Juita - berjaya dilukis dengan menarik sekali. Bahkan Abam seolah menjadi watak utama apabila novel mula berjalan ke penghujungnya. Watak Abam lansung tiada kait mengait dengan persoalan saka ini dan jikalau kisau Abam dan Suhaila ditiadakan sekalipun ia lansung tidak merosakkan cerita. Biasanya setiap watak utama dalam novel RAM akan bertemu pada satu titik pertemuan yang akan saling kait mengait di antara mereka, tetapi watak Abam dan Juita umpama satu watak tempelan yang menjadi watak utama. Boleh hamba katakan episod Abam dan Juita mempunyai happy endingnya manakala bagi watak-watak yang lain hanya disebut dalam perbualan Abam aka Ramda Amira dan Juita di akhir novel dan kelihatan agak kabur. Nampaknya RAM suruh kita pikir sendiri la.......


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...