Isnin, 31 Disember 2012

SEBUAH KARTUN LAMA

Ketika hamba mengemas bilik peralatan hamba yang sentiasa bersepah itu, hamba terjumpa dua buah Buletin PPTGWPKL, sebuah penerbitan sewaktu hamba bertugas di Pejabat Pengarah Tanah & Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur lebih 10 tahun yang lalu. Terhentilah hamba seketika membelek-belek majalah tersebut. Maka terpandanglah hamba satu kartun yang hamba lukiskan untuk majalah tersebut yang mana hamba sendiri sudah hampir terlupa akan kewujudannya.

Hamba amat sukakakan lukisan kartun, malah hamba boleh katakan hamba membesar dengan majalah-majalah sebegitu. Melihat akan bapa saudara hamba yang suka dan pandai melukis, maka hamba cuba-cuba untuk mengikut jejak hobi beliau tersebut. Hamba semakin seronok dengan hobi melukis kartun tersebut apabila berjumpa sahabat-sahabat sealiran sewaktu di sekolah menengah. Tambah memberansangkan apabila hamba berpeluang melawat pejabat majalah Gila-Gila, sebuah penerbitan humor yang popular di zaman tersebut. Sempat hamba melahirkan sebuah komik panjang sewaktu di tingkatan 3 untuk majalah kenang-kenangan kelas hamba.

Namun hobi ini semakin malap apabila hamba berada di peringkat universiti. Kerana hamba telah mula meninggalkan pen lukisan, maka lama kelamaan skill itu semakin hilang. Andainya hari ini hamba diminta melukis gambar seekor kucing, mungkin kucing itu akan berupa kereta kebal. Namun walaupun hobi itu hamba tinggalkan, hamba masih lagi membaca komik-komik yang sewaktu dengannya. Walaupun tidak berjaya menjadi seorang kartunis, hamba menyokong industri komik tempatan!!


Sabtu, 29 Disember 2012

MEMALI KENANGAN SEORANG POLIS - Tunku Muszaffar Shah Tunku Ibrahim

Hamba tak berfikir lama untuk merembat buku ini sebaik sahaja melihatnya di sebuah kedai buku beberapa hari yang lalu. Peristiwa berdarah Memali merupakan antara satu titik hitam dalam lipatan sejarah negara. Ketika peristiwa itu hamba masih kecil lagi dan berada dalam darjah empat. Namun hamba masih ingat klip video peristiwa tersebut kerapkali disiarkan di televisyen ketika itu. 

Setelah berlakunya peristiwa itu, kerajaan telah mengeluarkan satu kertas putih memberikan penjelasan mengenai kejadian tersebut (kertas tersebut disiarkan semula di dalam buku ini). Namun di pihak yang satu lagi mereka tentunya tiada medan untuk bersuara. maka ketika itu peristiwa tersebut dari pandangan mereka hanya boleh didapati melalui salinan-salinan  fotostat yang diedarkan oleh mereka yang tidak dikenali. Akhirnya setelah dunia semakin maju dengan teknologi internet, kisah Memali boleh dijumpai dipelbagai laman web dan blog. Selain itu ada juga beberapa buku turut dihasilkan terutamanya yang ditulis oleh CN Al Afghani.

Namun buku ini cukup berbeza. Berbeza kerana inilah pertama kali peristiwa ini ditulis dari pandangan seorang pegawai polis yang terlibat secara lansung dalam peristiwa tersebut. Dengan kata-kata yang tertulis di hadapan buku tersebut "Saya cuma dapat menceritakan apa yang saya nampak dan dengar dan rasakan...." ia membayangkan kepada kita bahawa penulis cuba menyampaikan apa yang sebenarnya berlaku tanpa sebarang tokok tambah.

Penulis buku ini, Tunku Muszaffar Shah bin Tunku Ibrahim, merupakan OCPD Baling ketika kejadian itu. Beliau juga merupakan adinda kepada Tunku Abdul Aziz, mantan Timbalan Pengerusi Transparency International juga mantan senator yang mewakili DAP. Hamba membaca dengan teliti buku tulisan beliau dan berpuas hati bahawa beliau cuma menyampaikan apa yang berlaku pada pandangan mata beliau, tanpa sebarang kecenderungan untuk memihak kepada sesiapa. Bahkan beliau cukup terhutang budi bahkan nyawa kepada seorang kanan Ustaz Ibrahim Libya iaitu Yusuf Husin yang menyelamatkan beliau setelah dikepung sekumpulan orang yang berada dalam keadaan marah dengan sebahagiannya membawa senjata. Dan satu hari semasa beliau berbual dengan kekandanya tentang peristiwa itu di bangunan parlimen, maka nama itu terpacul semula. Ditakdirkan Allah, rupanya Yusuf Husin ketika itu juga merupakan seorang senator di Dewan Negara dan duduk bersebelahan dengan Tunku Aziz. Sedikit tulisan Senator Yusuf mengenai peristiwa tersebut juga ada dimasukkan di dalam buku ini.

Membaca semula kertas putih tersebut, hati hamba kadangkala berkata ada sesuatu yang boleh hamba katakan tidak masuk akal tercatat di situ. Sebagai pelajar agama hamba tidak yakin seorang tokoh agama akan membuatkan tangkal kebal untuk pengikutnya. Bahkan membaca buku ini dari kacamata seorang polis juga membuatkan hamba nampak adanya yang tidak kena mengenai laporan kertas putih tersebut. Walau apa sekalipun, hamba berpandangan bahawa peristiwa berdarah ini tidak sepatutnya berlaku dan boleh diselesaikan dengan jalan yang paling baik. Ini kerana pihak yang ingin diberkas adalah seorang tokoh agama, pendakwah dan bukannya seorang penjenayah apatah lagi pengganas. Sikap tidak sabar serta strategi yang silap akhirnya membawa kepada pertumpahan darah yang nyata merugikan kedua belah pihak bak kata pepatah yang menang jadi arang , yang kalah jadi abu. Melalui buku ini para pembaca boleh menilai sendiri strategi dan tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa.

Sudah lebih 27 tahun peristiwa berdarah Memali berlalu. Mungkin sudah tiba masanya ada pihak yang patut memohon maaf dan mengakui kesalahannya!!

Isnin, 24 Disember 2012

MISTERI DUNIA, RAHSIA DI SEBALIK RAHSIA - Nasron Sira Rahim


Ramai yang suka kepada perkara-perkara misteri. Lantaran itu buku-buku sebegini amat laris di pasaran. Bukan sahaja buku, bahkan dokumentari, drama tv dan filem sebegini biasanya akan turut mendapat perhatian. Barangkali cerita misteri yang paling mendapat sambutan adalah siri The X-Files yang pernah disiarkan lebih 10 tahun yang lalu.
Buku ini mengandungi 54 kisah misteri yang berlaku di serata dunia. Kebanyakannya telahpun pernah hamba baca di mana-mana kecuali satu atau dua perkara sahaja seperti batu Inca dan cakera Droopa. Penulis tidaklah menghuraikan dengan panjang lebar akan sesuatu perkara itu, sekadar maklumat ringkas untuk pengetahuan sahaja. Ini membuatkan diri hamba berasa tidak puas kerana kebanyakan fakta telah hamba ketahui. Hamba inginkan sesuatu yang baru dan lebih terperinci. Kadang-kadang sambil membaca hamba akan google gambar-gambar di internet mengenai subjek yang dibaca. Kadang-kadang hampa juga bila melihat beberapa gambar yang ada di dalam buku tersebut sama seperti yang ada dalam internet. Nampaknya penulis juga ambil jalan mudah dengan mengumpul maklumat daripada sumber yang mudah dicari.
Apapun buku ini sesuai untuk bacaan sesiapa sahaja demi untuk pengetahuan. Hamba sendiri tidak pasti sama ada hamba membelinya kerana hamba meminati perkara yang misteri. Yang pasti hamba membelinya kerana tawaran diskaun yang memang potong habessss.

LOVE @ SKOOL.COM - Suraya


Ia merupakan kompilasi kisah dengan tajuk yang sama yang pernah tersiar di majalah G3 oleh kartunis Suraya yang juga dikenali dengan nama Jon/Joned. Kisahnya amat biasa, mengenai persahabatan sekumpulan pelajar di sebuah sekolah dengan penceritaannya berkisar sekitar watak Arina dan Adi. Watak Arina agak brutal dan selalu membuli Adi seorang yang bijak, suka membaca dan buta warna.
Sejujurnya hamba lebih meminati gaya lukisan Suraya berbanding dengan penceritaannya. Watak-watak kartun beliau walaupun ada elemen manga, namun masih ada sentuhan gaya tempatan. Lukisan beliau juga kemas dengan subjek yang biasanya tampil dalam rupa yang comel dan kemetot.
Kartunis Suraya kini tidak lagi bersama dengan G3. Hamba ada terlihat lukisannya di majalah Apo. Barangkali beliau telah berhijrah ke sana.

Isnin, 17 Disember 2012

KASIH ISABELLE


Hamba memang sukakan komik, majalah kartun atau novel grafik. Mungkin sebab dari kecil lagi hamba dah membaca bahan bacaan sedemikian. walaupun masa hamba sekolah dahulu para guru amat tidak menggalakkan murid membaca bahan bacaan sedemikian, namun bagi hamba bahan bacaan seperti itulah yang menyemai minat hamba untuk membaca.

Komik Kasih Isabelle ini sebenarnya adalah untuk bacaan pelajar sekolah rendah. Namun hamba masih boleh layan isi kandungannya. Ia merupakan kompilasi komik daripada majalah Bintang Kecil. Sebagai peminat komik, hamba tak kisah walaupun ia tidak sesuai untuk remaja tua seperti hamba.

Ia merupakan sebuah kisah ringan bertemakan persahabatan. Walaupun tajuknya menggunakan nama Isabelle, hamba seolah rasa penumpuan utamanya lebih kepada watak Thalia. Apapun ia baik untuk bacaan anak-anak di rumah. Cuma hamba tak berapa berkenaan dengan tema percintaan yang dibawakan. Bukan apa, kanak-kanak mudah menyerap apa yang dibaca. Hamba tak mahu nanti dalam usia yang mentah anak-anak kita dah mula berfikir nak bercouple. Kadang-kadang pelukis dan penulis juga perlu berfikir panjang, adakah karya mereka meningkatkan kemajuan kanak-kanak atau menghanyutkan mereka dalam dunia khayalan.

BIOGRAFI SYED MOKHTAR ALBUKHARY - Premilla Mohanlall

Tidak banyak kisah mengenai salah seorang yang terkaya di Malaysia ini diketahui ramai. Ini lantaran sifatnya yang begitu merendah diri dan tidak mahukan publisiti. Kerana itulah hamba terus sahaja menyambar buku ini tatkala melihatnya di kedai buku minggu lalu. Buku itu terus hamba baca dengan penuh minat walaupun ketika itu hamba belum lagi menghabisi sebuah buku yang sedang dibaca. Sesungguhnya membaca kandungan buku ini dari muka ke muka amat menerujakan kerana kebanyakan cerita yang disampaikan adalah perkara baru yang belum hamba ketahui. Namun hamba percaya sebenarnya banyak lagi kisah kejayaan atau susah perit yang dihadapi oleh Tan Sri Syed Mokhtar yang tidak dipaparkan atau sengaja tidak diceritakan kepada penulis biografi ini, Premilla Mohanlal, memandangkan sifatnya yang merendah diri tersebut.

Jika diperhatikan, Syed Mokhtar ada sedikit persamaan dengan kebanyakan jutawan dunia yang lain iaitu mereka tidak berpendidikan tinggi. Namun atas usaha mereka yang gigih serta kepintaran semulajadi mereka, mereka membina empayar perniagaan yang besar sehingga mampu memberikan pekerjaan kepada orang lain pula. Sedangkan orang seperti kita yang kononnya bijak, belajar sehingga ke peringkat yang tinggi, tidak mampu untuk mereka kerja untuk diri sendiri dan akhirnya menjadi seorang pemakan gaji. Daripada seorang peniaga lembu, beliau meningkat sedikit demi sedikit kepada pengusaha lori pengangkut, peniaga beras dan akhirnya memiliki beberapa buah syarikat besar seperti MMC, Tradewinds (PERNAS), DRB-HICOM dan lain-lain. Walaupun ada tuduhan mengatakan beliau sebagai kroni orang tertentu, namun jika diteliti beliau hanya mengenali individu tersebut setelah beliau telahpun maju dalam perniagaan dan menjadi jutawan. Bahkan beberapa syarikat yang berjaya dimiliki beliaupun diserahkan ketika syarikat tersebut berada dalam keadaan tenat dan tidak menjana keuntungan. Namun berkat usaha beliau syarikat tersebut perlahan-lahan bangkit menjana keuntungan. Ketika zaman Pak Lah berkuasa, beberapa projek yang telah dianugerahkan kerajaan kepada beliau telah ditarik balik. Namun sebagai seorang yang telah biasa mengalami kepayahan, beliau tidak mengalah bahkan mencari ruang niaga di sebelah timur tengah. Benarlah rezeki itu ada di mana-mana. Tanpa sifat putus asa beliau telahpun dekenali di dunia sebelah sana dan orang di sana jikalau ingin berniaga di sini akan mencari beliau.

Satu perkara yang beliau pegang adalah perniagaan dan kebajikan perlu seiring. Tiada siapa boleh menafikan hal tersebut dan beliau melakukannya tanpa perlu kepada publisiti. Hamba melihat ini sebagai keberkatan pendidikan ibu beliau yang telah menggalakkan anaknya melakukan kebajikan semenjak awal lagi. Ia menjadi pengajaran kepada diri hamba sendiri bahkan kita semua agar memperuntukkan sedikit apa yang kita ada untuk kesejahteraan orang lain. Mungkin berkat daripada kesungguhan dicampur dengan doa orang yang pernah dibantu beliau maka rezeki yang ada tidak pernah putus.

Sabtu, 15 Disember 2012

JUALAN SERIGALA BESAR YANG JAHAT


Credit to Big Bad Wolf Books Facebook

Pagi tadi sampai juga hamba ke MIEC untuk mengunjungi pameran buku yang dikatakan menawarkan harga yang gila-gila. Memandangkan tahun lepas hamba tidak berpeluang mengunjungi pameran ini, maka gambaran hamba ia sama juga dengan pameran biasa yang pernah hamba kunjungi.

Walaupun ketibaan hamba pada jam 9 boleh dianggap awal, namun kelihatan telah ada pengunjung yang sedia untuk meninggalkan tempat tersebut setelah membeli buku. Maknanya mereka telah berada lebih awal lagi. Apatah lagi pameran tersebut kini telah mula dibuka untuk 24 jam. Hamba yang pada mulanya kehairanan melihat beberapa pengunjung yang membawa beg pakaian yang besar akhirnya memahami kenapa mereka berbuat demikian.

 Ternyata apa yang diiklankan tentang tawaran diskaun pada harga yang gila-gila adalah benar. Sesuatu yang agak payah untuk ditemui pada pameran buku yang lain seperti Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Buku yang dijual kebanyakannya berbahasa Inggeris, hanya ada sedikit yang berbahasa Melayu, itupun tajuknya tidak menarik minat hamba kerana lebih kepada cintan cintun. Walaupun murah, ia bukanlah buku yang terlalu lama tarikh cetakannya. Lagipun bagi hamba walaupun sesebuah buku telah dicetak puluhan tahun yang lalu, ia tidak basi kerana ilmu pengetahuan tidak pernah ada tarikh luput.

 Agak menggembirakan hamba kerana menemui beberapa komik dalam bentuk berjilid yang hamba tahu kalau harga biasa ia memang mahal. Namun berbanding dengan novel Inggeris, ia agak mahal juga. Ini kerana rata-rata novel Inggeris ditawarkan pada harga RM8, manakala komik pula antara RM15 ke RM30. Hamba turut menyambar beberapa buku berbentuk coffe table yang biasanya berharga beratus ringgit dan hamba memperolehinya dengan harga antara RM12 ke RM55 sahaja. Sedang memerhati buku, mata hamba ternampak juga Ustaz Usman Al Muhammadi, seorang tokoh agama yang selalu muncul di kaca televisyen turut memilih buku untuk dibeli.

Kalau ikutkan nafsu memang hamba nak memborong lagi. Tapi hamba terpaksa kawal memandangkan dompet hamba agak kempis memandangkan hamba baru sahaja pulang melancong bersama keluarga. Tambahan pula dua minggu sebelum itu telah hamba belanjakan sedikit pada jualan gudang Karangkraf.

Hamba ingat kena menabung untuk ke pameran ini tahun hadapan....


Credit to Big Bad Wolf Books Facebook


Jumaat, 7 Disember 2012

SUPER PAGES PHOTOGRAPHY CONTEST 2012


Lama sungguh rasanya tak memenangi sebarang hadiah dalam pertandingan fotografi. Pertandingan pun tak banyak, kalau adapun saingannya cukup hebat. Al maklum hari ini teramat ramai yang telah menggunakan DSLR serta mahir mengendalikannya. Jadi sudah tentulah penghasilan imejnya amat berkualiti. Namun bak kata seorang jurugambar, semua orang boleh mengambil gambar tapi bukan semua orang dapat menghasilkan gambar yang menarik.

Dalam beberapa pertandingan yang hamba sertai tahun ini, akhirnya sangkut juga satu. Gambar hamba terpilih pemenang top 4-12 dalam Super Pages Photography Contest 2012 yang diadakan secara online. Penjuriannya dibuat secara juri dan bilangan like di laman web. Hamba sengaja tidak mempromosi gambar hamba di facebook. Sengaja mahu melihat sambutan sebenar daripada pengunjung web berkenaan. Lagipun menurut maklumat pertandingan, gambar yang menang berpeluang dicetak di atas kalendar. Jadi hamba fikir walaupun gambar itu ada like yang banyak tapi kalau tidak sesuai untuk kalendar tentunya tidak akan dipilih juga.

Gambar di atas merupakan gambar-gambar yang terpilih. Anda nilai sendirilah pemenang yang dinyatakan. Secara peribadi memang hamba frust dengan gambar tempat pertama tu. Hamba rasa saguhati pun tak layak.....

Sewaktu mengambil hadiah, seorang official memaklumkan, gambar hamba cantik cuma tangan anak hamba disebelah kiri gambar terpotong sedikit. Apa-apa lah, itu lebih baik dari gambar skodeng anjing!!


Rabu, 5 Disember 2012

BIG BAD WOLF SALE 2012




Tahun lepas masa depa buat sale, hamba berkampung di hospital sampai habis hari jualan. Tahun ni harapnya Allah Taala beri hamba kesihatan untuk pergi membeli buku. Hamba pun baru tahu beberapa hari yang lalu je selepas sahaja hamba berhabis di jualan gudang Karangkraf. Tapi tarikan yang ini juga kuat. Hajatnya nak mencari buku berkenaan fotografi.
 
Tahun ini ia diadakan di MIEC, Serdang dengan 3 juta buku, diulangi 3 juta!!! Dan paling best ia 63 jam tanpa henti, maknanya anda boleh datang pukul 3 pagi sekalipun untuk membeli buku.
 
Apo laei, moh kito!!

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...