Isnin, 29 September 2014

SHAH'S BEACH RESORT, MELAKA



26-28 September baru-baru ini hamba bawa semua anak buah hamba di pejabat berkampung di sini. Hajatnya nak mengadakan bengkel fail meja dan manual prosedur kerja (MPK). Sempat juga hamba pulun sekali dengan penilaian SKT 2014 serta pencapaiannya beserta dengan cadangan SKT 2015. Anak buah ada 30 orang jadi nak melihat presentation sorang-sorang memang tak cukup masa yang ada. Jadi strategi hamba adalah menumpukan terhadap kerja-kerja utama, terutama yang common antara semua anggota serta kesemua proses dalam MPK. Alhamdulillah hal SKT 100% siapa manakala bagi FM dan MPK 80% berjaya disudahkan.

Sengaja hamba pilih tempat sebegini kerana penginapannya berbentuk chalet. Duduk atas tanah lebih bebas berbanding duduk di bangunan hotel yang rasanya tertutup. Dapat pula bilik yang mengadap kolam renang, perghh nikmat tak terkata. Memandangkan hamba naik bas bersama anggota maka masa perjalanan dapat hamba gunakan untuk membaca novel, satu nikmat yang susah nak dikecapi di hari bekerja. Di awal pagi pula sempat berjogging dahulu sebelum bersarapan, maklumlah makan di resort ini sedap jadi bila ada sedikit senaman seimbanglah sedikit rasanya.

Hamba puji kesungguhan anak buah hamba di dalam menyiapkan kerja masing-masing semasa bengkel ini. Penyertaan semua semasa sesi pembentangan juga amat memberansangkan. Inilah perkara yang hamba nak lihat daripada mereka iaitu turut sama memberikan idea terhadap kerja orang lain serta mengambil tahu tentang apa yang berlaku. Hamba rasa kunjungan ini menepati objektif dengan jayanya.

Shah's Beach Resort ini asalnya milik seorang usahawan Melayu iaitu Allahyarham HM Shah. Hamba selalu menemui nama ini apabila membaca kisah riwayat Utusan Melayu - salah seorang tunjang utama akhbar keramat ini dahulu. Beliau juga antara orang yang rapat dengan Allahyarham P.Ramlee terutama di akhir hayat beliau bahkan sedang merancang sebuah filem bersama seniman agung tersebut ketika itu. Namun seperti yang kita tahu P.Ramlee meninggal dunia sebelum projek tersebut dilaksanakan.

Bangunan rumah yang dijadikan tempat reception resort ini agak unik. Melalui perbualan dengan salah seorang pegawai resort ini hamba dimaklumkan bahawa bangunan tersebut, termasuk sebuah bangunan yang kini dijadikan spa serta dewan yang kami semua gunakan untk berbengkel dibina sekitar tahun 1800an!! Ini bermakna bangunan-bangunan ini adalah amat lama dan berusia lebih 200 tahun. Pastinya nilai hartanahnya amat tinggi sekali.

Suka hamba menggalakkan kita memberikan sokongan terhadap resort Bumiputera ini. Insya Allah penginapan yang ada adalah memuaskan dengan makanan yang boleh diterima usus kita!!







Khamis, 25 September 2014

PEMANDU VAN JENAZAH SIRI 2 - Produksi Terbaik MASTIKA



Satu perkara menarik tentang produksi MASTIKA untuk siri ke-2 kisah pemandu van jenazah ini ialah ia mengandungi 33 kisah yang belum pernah disiarkan lagi. Berbanding dengan buku lain sebelum ini akan ada beberapa buah cerita yang pernah tersiar di MASTIKA lalu dikumpulkan bersama beberapa buah cerita baru. Ada juga nama pemandu van yang menyumbang cerita di dalam kompilasi ini yang hamba rasa hamba kenal sewaktu hamba bertugas di sebuah jabatan di Negeri Sembilan 15 tahun yang lalu. Bukan satu bahkan 3 cerita yang dihikayatkannya.

Walau apapun cerita yang dipaparkan di dalam buku ini, pemilihan kisah yang pertama bertajuk 'Semuanya Biasa-Biasa Sahaja' hamba rasa amat tepat diletakkan sebagai pembuka cerita buku ini. Ia kisah seorang wartawan yang cuba mendapatkan pengalaman seorang pemandu van jenazah, sama ada beliau pernah bertemu dengan perkara-perkara pelik semasa bertugas. Pemandu berkenaan hanya menjawab tiada apa-apa yang berlaku, semuanya biasa-biasa sahaja. Walaupun ada beberapa kisah yang dihikayatkannya, namun beliau menyatakan itu semua biasa dan tiada yang pelik. Kisah ini sebenarnya ada mesej tersendiri yang hendak disampaikan. Kita sering merasakan perkara pelik yang berlaku apabila menguruskan jenazah seolah sebagai isyarat bahawa ia ada kena mengena dengan amalan si mati semasa hidup. Pemandu jenazah berkenaan menganggap segala perkara yang berlaku kerana Allah mahu menunjukkan sesuatu, tiada apa yang pelik dan semuanya baik-baik. Sukar untuk hamba menjelaskan di sini, anda perlu baca sendiri kisah tersebut.

Kisah pemandu van yang merasa vannya menjadi berat apabila melalui kawasan Gua Tempurung mengingatkan kepada pengalaman hamba sendiri melalui tempat tersebut suatu ketika dahulu. Tak silap, dua kali hamba merasai pengalaman sedemikian walaupun jalan ketika itu bukanlah secara menaik. Walaupun menggunakan gear yang rendah, kenderaan seolah sukar dipacu dan mengaum bunyinya. Apa yang mampu hamba lakukan ketika itu hanyalah memperbanyakkan membaca Ayatul Kursi. Syukurlah hanya setakat itu sahaja 'gangguan' terhadap hamba berbanding dengan kisah pemandu ini yang dapat melihat sendiri apa yang menyebabkan vannya menjadi berat.

Ada juga kisah mengenai anak atau waris yang menyerahkan bulat-bulat urusan jenazah semenjak dari keluar bilik mayat di hospital sehingggalah kepada urusan solat jenazah dan pengebumian. Bayang anak dan waris ini hanya kelihatan ketika di hospital sahaja selepas itu mereka serahkan terus urusan jenazah kepada orang lain. Hanya bayar duit sahaja kepada orang berkenaan. Alangkah menyedihkan jika berlaku perkara sedemikian kepada kita. Andainya untuk menguruskan sahaja tidak mahu, maka siapalah yang akan berdoa untuk si mati, siapakah yang akan menghadiahkan beliau denganAl-Fatihah? Berdoalah agar anak-anak kita adalah soleh dan solehah yang akan mengalirkan doa mereka buat kita di barzakh nanti. Allahumma amiiin.

Kisah-kisah yang dipaparkan sebenarnya bukanlah sebuah kisah seram untuk menakutkan orang. Ia hanyalah untuk memberi pengajaran kepada kita untuk terus memperbaiki amalan dan membuat segala persiapan untuk ke alam sana. Hamba tak mahu mengulas cerita-cerita yang lain kerana ia bisa merosakkan mood pembaca/pembeli.


Rabu, 24 September 2014

GAMBAR INI AMAT MENYENTUH HATI SEORANG AYAH


Sewaktu melintasi almari buku anak hamba yang berusia 7 tahun, hamba tertarik untuk melihat secebis kertas yang terlekat pada tabungnya yang berbentuk sebuah tin minuman. Demi melihat tulisan di cebisan kertas berkenaan, hamba terasa seperti mahu menangis. Telah tersemat di dalam diri keinginan untuk membantu keluarga dengan menyimpan lebihan duit belanja di sekolah.

Doa hamba agar sifat ini kekal dalam diri beliau selamanya.....


Selasa, 23 September 2014

PASAR KARAT IPOH

Mengetahui tentang kewujudan tempat ini sudah lama, tapi nak berkunjung entahkan bila. Sementelahan lagi Pasar karat di Ipoh ini hanya beroperasi pada hari Ahad sahaja itupun sekerat hari. Kebetulan hamba menjadi ketua kontinjen Negeri Selangor untuk Majlis Tilawah Al-Quran KKM bulan lepas, dan majlisnya pula pada hari Ahad, maka sempatlah hamba pergi menjenguk seketika. Bawa pula peserta kedua yang lengkap berbaju Melayu sehinggakan ada orang yang bertanya balik dari rumah terbuka di mana!!

Hamba teruja mengunjungi tempat sebegini walaupun apa yang dipamerkan kadang-kadang itu hanya barang-barang buruk dan ada sebahagiannya layak dipanggil sampah. Tapi macam orang putih kata la one man trash is another man's treasure. Melihatkan wayar-wayar buruk yang terjual hamba lantas teringatkan wayar-wayar pengecas yang hamba buang beberapa bulan sebelum itu. Keterujaan hamba lebih kepada barang-barang lama yang tidak ada dijual lagi sekarang ini. Di samping itu nak mencari juga sekiranya ada yang menjual kereta hot wheel  yang agak rare!! Namun yang dicari itu tidak pula hamba ketemukan. Yang herannya ada juga helmet tentera yang diperbuat daripada besi itu. Entah mana la diorang ni dapat.

Sebetulnya juga hamba poket hamba kering ketika kunjungan itu. Sebuah pouch lama polis yang berharga RM15 pun hamba tak daya nak beli. Nak buat macam mana pada waktu hujung bulan sebegitu, keperluan keluarga lebih utama daripada keperluan sendiri. Sudahnya jamu mata sahajalah.


Selasa, 16 September 2014

RAHSIA YAHUDI WALT DISNEY - Ibnu Yaacob


Kanak-kanak merupakan satu golongan yang mudah terpengaruh ataupun dipengaruhi dengan apa sahaja perkara. Bergantung dengan cara penyampaian, sekiranya dilakukan dengan cara yang kreatif dan menarik perasaan, perkara yang buruk sekalipun akan mudah terkesan kepada jiwa kanak-kanak tanpa mereka sedari. Kerana itu peribahasa Melayu ada menyebut kalau nak melentur buluh biarlah dari rebung. Maksudnya apa sahaja yang kita inginkan seorang anak itu terbentuk apabila dewasa nanti haruslah dimulakan sewaktu mereka masih kecil lagi. Bertepatan pula dengan satu hadith Nabi s.a.w. yang mafhumnya -  Tidak ada seorang bayi yang lahir melainkan ia lahir di dalam keadaan fitrah. Maka kedua-dua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi - Bukhari Muslim.

Nama Walt Disney bukanlah suatu yang asing dalam dunia hiburan berkaitan kanak-kanak. Anak mana yang tidak kenal dengan watak Miskey Mouse dan rakan-rakannya seperti Donald Duck, Pluto dan Goofy. Tidak cukup dengan siri kartun, diterbitkan pula filem animasi, permainan dan juga alam keriangan yang bernama Disneyland. Segalanya nampak normal dan tiada apa-apa, melainkan hiburan yang baik untuk anak-anak.

Namun pendedahan yang dibawakan Ibnu Yaacob mengenai individu di sebalik dunia kartun ini beserta agenda tersembunyi yang dibawakan melalui kartun, filem dan permainan mereka amatlah mengejutkan. Mungkin orang boleh mengatakan ianya satu prejudis apabila masyarakat Islam sahaja yang memberikan komentar, namun amat mengejutkan apabila penemuan-penemuan ini banyak djumpai oleh orang barat sendiri. Orang barat sendiri nampak perkara yang tidak baik yang dibawa oleh Disney ini. Antara yang ditemui oleh mereka adalah seperti poster di bawah ini.


Kita mungkin boleh mengatakan ia satu kebetulan, namun apa yang dipaparkan dalam buku ini adalah terlalu banyak sehingga agak mustahil untuk mengatakan ia satu kesilapan yang tidak disengajakan. Ia telahpun bermula sewaktu kewujudan awal syarikat ini lagi dan terus berlarutan sehingga ke hari ini. Mungkin sekiranya kita rajin mencari bahannya di internet maka banyak lagi yang akan kita ketemui.

Keterlibatan syarikat Disney menaja program LGBT di premis mereka di Disneyland juga agak mengejutkan. Bukan sahaja membenarkan aktiviti sedemikian, bahkan cenderamata khas untuk golongan tersebut menggunakan karakter Disney juga turut dijual. Bahkan Presiden Disney, Michael Eisner turt mengakui bahawa mereka mempunyai 40% pekerja yang terdiri daripada golongan songsang ini. Nah orang beginikah yang kita mahu memberikan hiburan sihat kepada anak-anak kita?

Hamba percaya penulis buku ini banyak mengambil bahan daripada sesuatu yang sudahpun ditemui ramai ataupun mudah bicara sesuatu yang boleh ditemui sendiri di internet. Bukanlah hamba kata pekerjaan beliau ini sesuatu yang tidak berfaedah kerana sekuarang-kurangnya beliau telah mengumpul bahan-bahan untuk memudahkan pembaca di tanah air kita. Apa yang hamba harapakan ialah penulis datang dengan bahan yang pure dari tangan penulis sendiri. Ia umpama majalah Mastika yang pernah mengkaji tentang freemason beberapa tahun dahulu sehingga wartawan mereka berjaya masuk ke salah satu kuil freemason di Malaysia, menemuramah ahlinya serta mengambil beberapa gambar dalam kuil tersebut. Hamba percaya saudara Ibnu Yaacob boleh melakukannya.


MANA-MANA PUN NYANYI


Hamba memang pengumpul kartun Dato' Lat yang tersiar di NST. Cuma sejak akhir-akhir ini hamba sudah jarang membeli akhbar berkenaan. Ini kerana terdapat akhbar yang hamba beli tak sempat nak dibaca menjadikan pembeliannya kadang-kadang jadi membazir. Kartun-kartun yang hamba jumpa akan digunting dan dilekatkan di dalam sebuah buku khas menjadi sebuah buku skrap. Buku skrap mungkin satu aktiviti budak sekolah rendah, tapi hamba yang dah tua ini mempunyai beberapa buah buku skrap mengandungi bahan yang hamba minati.

Kartun yang tersiar semalam (15 September 2014) di NST ini, menyampaikan mesej yang cukup sinis sekali. Secara ringkasnya hiburan yang ada hari ini amat luar biasa melampaunya. Ya, hiburan itu perlu untuk merehatkan jiwa. Tetapi keperluannya hanya sedikit bukannya sehingga semua perkara perlu melibatkan hiburan. Hakikatnya di negara kita itulah yang berlaku. Di mana sahaja, upacara apapun perlukan orang menyanyi.

Lihatlah pada majlis-majlis besar, termasuk yang dianjurkan kerajaan sekalipun, seolah kalau tak ada orang menyanyi tak sah majlis itu. Hari merdeka ada orang menyanyi, buat majlis fitness Malaysia yang bertujuan untuk kesihatan pun ada orang menyanyi, lumba formula 1 pun ada orang menyanyi, majlis tilawah ada orang menyanyi, kempen basmi aedes ada orang menyanyi, sambut tahun baru ada orang menyanyi (majlis yang katanya versi Islam di Selangor dulupun ada orang menyanyi juga), perhimpunan Palestin ada orang menyanyi, kempen tanam sayur, perpaduan, kibar bendera,GST pun kena berlagu juga - nyanyian di mana sahaja.

Rakyat marhaen pun sama juga - kenduri kawin kalau tak berbunyi tak sah, boss bertukar ada majlis menyanyi, buat reunion ada nyanyi karaoke, buat majlis penutup kursus kena menyanyi, majlis hari raya menyanyi juga, kalau sedih ada lagunya, gembira ada lagunya, patah hati putus cinta teringat lagu itu ini, jatuh longkang pun ada lagunya - jangan orang mati pun nak menyanyi juga entahlah.

Kartun Lat ini memang satu sindiran tajam. Rancangan berbentuk agamapun para ustaz dah mula menyanyi. Hamba terkesan dengan maksud kata-kata seorang ustaz yang memberi komen mengenai majlis 'selawat perdana' yang begitu banyak sekarang ini. Mafhum kata-kata beliau - nak bernasyid tu bernasyidlah tetapi jihad jangan lupa. Musuh Islam tak takut dan gentar dengan orang yang bernasyid sahaja kerana itu mereka tak kisah dan tak bising berapa kalipun nak dibuat acara sebegini.

Dalam satu majlis meraikan seorang Ketua Jabatan yang akan bertukar, ada acara nyanyian diadakan. Hamba berpesan kepada seorang anggota hamba - Kalau sampai masa saya nanti, saya tak nak nyanyi-nyanyi ni. Saya nak sarkas!!


Ahad, 14 September 2014

AGENDA POLITIK SYIAH - Dr. Kamaluddin Nurdin Marjuni



Satu perkara yang hamba suka apabila membaca mana-mana buku yang ditulis oleh seorang yang memegang kelayakan doktor falsafah adalah sumber rujukannya yang banyak. Ia sekaligus menunjukkan ketelitian serta keperluan untuk menghasilkan sebuah penulisan yang tepat dan bermutu. Walau bagaimanapun satu yang meletihkan hamba adalah tulisan mereka ini selalunya terlalu akademik sifatnya sehinggakan hamba letih hendak menghabiskan bacaan. Begitulah halnya hamba dengan pembacaan buku ini. Walaupun ia amat bermutu, namun kerana sebab yang disebutkan tadi hamba mengambil masa berbulan untuk mengkhatamkannya. Sekali baca dan berhenti pula untuk beberapa hari. Yang menariknya dalam tempoh hamba membaca buku ini sempat pula hamba melencong ke buku-buku lain serta mengkhatamkan beberapa buah. 

Isu perbezaan antara Ahlu Sunnah dan Syiah bukanlah satu perkara baru. Ia telah berlaku berabad lamanya dan semakin membarah pada hari ini. Dahulu kita tidak pernah dengar akan ajaran Syiah di Malaysia. Tetapi hari ini ajaran mereka bukan sahaja ada, tetapi penganutnya telah mula berani m,endedahkan diri mereka. Hamba tidak terbayang bagaimana orang sebegini boleh menerima sesuatu pegangan yang menghalalkan mereka mencaci para sahabat yang agung. Mencaci sahaja adalah merupakan satu kesalahan dalam Islam, inikan pula para sahabat besar yang mana Allah Taala redha kepada mereka.

Jika direnung semula, lahirnya beberapa firqah dahulu adalah berpunca daripada masalah politik ataupun pemilihan khalifah. Kerana tidak setuju dengan pilihan majoriti, beberapa serpihan mengasaskan kumpulan yang baru. Daripada perbalahan yang menjurus kepada politik ia akhirnya merebak sehingga melibatkan perkara aqidah dan fiqh sehingga akhirnya masing-masing kumpulan mempunyai pendapat dan pandangannya yang tersendiri. Lebih buruk lagi apabila terdapat pandangan yang melampau sehingga mengkafirkan orang lain. Maka lahirlah Syiah, Mu'tazilah, Murjiah, Khawarij dan lain-lain kelompok lagi.

Buku ini terbit tepat pada masanya apabila isu Syiah di Malaysia telah menjadi barah. Hamba secara peribadi mendapat manfaat yang banyak hasil pembacaan buku ini. Buku ini bermula dengan membincangkan tentang pecahan dalam Syiah itu sendiri, dasar-dasar mereka seperti imamah, perbezaan antara mereka, hubungan dengan Ahlu Sunnah serta pandangan Ahlu Sunnah sendiri terhadap dasar-dasar Syiah. Agak menarik untuk membaca perihal Syiah Zaidiah yang berbeza dengan Syiah yang lain - dianggap moderat serta hampir kepada Ahlu Sunnah. Bahkan mereka turut mengggunakan rujukan yang sama dengan kelompok sunnah seperti kitab-kitab hadith Bukhari dan Muslim. Turut dibahaskan adalah pandangan-pandangan melampau dari Syiah Imamiah Ithna Asyariah dan Syiah Ismailiah. Agak menjengkelkan apabila membaca perihal golongan yang berpegang dengan kata-kata ulama mereka sendiri berbanding apa yang telah sedia ada di dalam Al-Quran dan hadith.

Buku ini sesuai dibaca oleh semua kelompok masyarakat termasuk Syiah di Malaysia sendiri. Hamba melihat penulis mempunyai beberapa buah kitab lagi membahaskan topik yang sama. Insya Allah hamba akan mendapatkannya nanti dengan izin Allah. Buku ini wajar dibaca oleh anda dalam memahami apa yang sedang berlaku secara ilmiah. Ia adalah lebih baik daripada anda sekadar mendengar cerita dari mereka yang bukan ahli di dalam bidang ini.


RAHSIA YAHUDI DALAM FILEM - Ibnu Yaacob



Hari ini mungkin sukar untuk ditemui manusia yang tidak pernah menonton lansung filem dari hollywood. Orang sebegini bukannya tidak ada tetapi ia seumpama mencari seekor semut hitam yang berada di atas batu yang hitam di malam yang gelap. Filem adalah alat paling mudah untuk menyampaikan sesuatu mesej secara tidak lansung. Ini termasuklah mesej-mesej rahsia atau propaganda yang disebarkan tanpa disedari oleh penontonnya. Ibnu Yaacob, seorang penulis yang banyak mengkhusus tentang teori konspirasi cuba untuk membawa pembaca melihat serta berfikir tentang beberapa mesej yang cuba dibawa oleh yahudi di dalam filem-filem mereka.

Sama ada kita sedar ataupun tidak, industri hiburan barat dikuasai oleh golongan yahudi. Mereka mengasaskan hollywood, membentuk corak hiburan semasa, melahirkan para pengarah serta pelakon dari golongan mereka. Mereka tidak datang dengan hiburan semata, tetapi turut meletakkan racun di dalam perisa gula-gula yang dihidangkan. 

Dalam buku ini, Ibnu Yaacob cuba membawakan beberapa unsur yahudi yang dipaparkan secara halus dalam filem seperti konsep tree of life  dalam kabbalah, hormat vulcan, projek MK Ultra, agenda depopulasi dan banyak lagi. Para yahudi ini turut memasukkan unsur dajjal di dalam filem, meletakkan anak haram sebagai satu kebiasaan serta hero penyelamat dunia, pemikiran anti tuhan dan sebagainya. Penyampaian agenda ini dilakukan secara halus dan kadangkala cukup dengan satu dialog ringkas atau lintasan babak selama beberapa saat sahaja. Agak mengejutkan perkara yang melibatkan tragedi 911 juga seolah telah diramal dalam beberapa filem sebelum kejadian tersebut berlaku. Mungkin jikalau ia berlaku dalam satu atau dua buah fileh ia boleh dianggap sebagai satu kebetulan, tetapai apabila terdapat banyak filem yang memberi isyarat tentangnya, maka ia menimbulkan seribu tandatanya. 

Paling menarik apabila penulis menukilkan bait-bait yang pernah dilafazkan oleh Prince di dalam konsertnya di Belanda pada 24 Disember 1998, hampir 3 tahun sebelum peristiwa 911 berlaku:-

I've gotta go home y'all...
I've gotta go back to America..
I've gotta go get ready for the bomb..
Osama Bin Laden getting ready to bomb..
Osama Bin Laden getting ready to bomb..
Osama Bin Laden getting ready to bomb..
Y'all ready? 2001 in here...Holland!!!
Osama Bin Laden getting ready to bomb..
America! you better watch out... 2001..

Agak memeranjatkan kerana nama Osama sudah disebut pada tahun 1998 dan tahun kejadian sudah ditentukan pada 2001!!

Dalam bab Agenda Depopulasi, sebelum penulis menukilkan filem-filem yang berkaitan, beliau membawakan satu perkara mengenai sebuah tugu batu yang dikenali dengan nama Georgia Guidestones. Batu tersebut diletakkan di satu kawasan di Elbert County, Georgia secara misteri dan tiada siapa tahu siapa yang meletakkannya. Ia juga diletakkan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (tetapi ajaibnya pihak berkenaan tidak pula mengalihkan batu tersebut). Batu tersebut dikatakan tercatat beberapa perkara dipercayai agenda Illuminati, termasuk agenda pengurangan penduduk dunia seperti berikut:


  • Maintain humanity under 500,000,000 in perpetual balance with nature.
  • Guide reproduction wisely — improving fitness and diversity.
  • Unite humanity with a living new language.
  • Rule passion — faith — tradition — and all things with tempered reason.
  • Protect people and nations with fair laws and just courts.
  • Let all nations rule internally resolving external disputes in a world court.
  • Avoid petty laws and useless officials.
  • Balance personal rights with social duties.
  • Prize truth — beauty — love — seeking harmony with the infinite.
  • Be not a cancer on the earth — Leave room for nature — Leave room for nature.


  • Dalam usaha untuk mengurangkan penduduk dunia, maka diciptakan virus dan penyakit yang disebarkan ke merata dunia. Ini mengingatkan hamba kepada sebuah buku bertajuk Deadly Mist tulisan Jerry D. Gray yang pernah hamba ulas satu ketika dulu. Adakah penyakir ebola yang sedang mengganas sekarang ini juga merupakan satu agenda terancang. Agak menghairankan apabila penyakit itu timbul kembali setelah pernah melanda sekitar 90an dahulu. Juga hari ini telah mula banyak penyakit yang dikaitkan dengan haiwan seperti H1N1, Nipah, selsema burung, babi, unta dan sebagainya. Dari mana pula haiwan ini mendapat penyakitnya?

    Walaupun buku ini banyak manfaatnya tetapi bagi hamba ia terlalu ringkas. Ketebalannya lebih banyak disumbangkan oleh gambar-gambar dari filem serta poster wayang. Agak malang kerana buku ini lansung tidak mencatatkan sumber-sumber yang beliau rujuk sebagai amanah ilmu (Ini satu perkara atau kelemahan yang hamba perhatikan dalam banyak buku yang hamba baca. Rujukan ini penting untuk pembaca melihat semula sumber asli tersebut sekiranya timbul sebarang keraguan). Ibnu Yaacob wajar mengikut cara Muhammad Alexander @ Wisnu Sasongko atau Dr. Kamaluddin Nurdin Marjuni yang menyenaraikan segala jenis rujukan yang beliau gunakan sebagai satu amanah ilmu. Ini kerana hamba tidak mahu sesuatu itu datang daripada sumber yang tidak tepat sekaligus boleh menimbulkan fitnah serta mengelirukan pembaca.




    SUARA GHAIB DARI KAABAH - Produksi Terbaik MASTIKA


    Sudah masuk siri yang ke-5 rupanya buku ini. Pastinya ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada khalayak, kalau tidak masakan pihak Mastika terus menerbitkan kisah-kisah sebegini.

    Untuk siri kali ini hamba tidak tahu kenapa, mungkin hanya hamba sahaja yang merasakan kisah siri ke-5 ini tidak se'gempak' siri-siri yang lalu. Ini kerana terdapat kisah-kisah yang pendek benar yang hamba rasakan umpama 'baru nak minum dah habis airnya'. Walaupun dalam 'Kalam Penerbit' telah dijelaskan kenapa pihak penerbitan masih memasukkan kisah-kisah pendek ini, hamba berpandangan eloklah agar dikekalkan sahaja corak 'larian' seperti dahulu. Ini bagi memastikan momentum minat pembaca tidak terganggu.

    Dalam banyak kisah ini terdapat satu kisah dari seorang bekas polis yang begitu membekas di hati. Kisah berkenaanpun hamba rasa telah pernah dimuatkan dalam salah satu isu Mastika. Ia umpama gulai, dah lama terhidang lalu diperhangatkan semula. Begitulah dengan kisah ini yang dimasukkan semula di dalam kompilasi terbaru ini. Hamba Allah berkenaan menceritakan akan kesukarannya untuk melakukan ibadah sunat si Tanah Haram. Setiap kali ingin melakukannya beliau merasa seperti ditumbuk, disepak dan sebagainya. Tetapi tiada masalah yang timbul apabila melakukan ibadah wajib. Akhirnya tiada satu ibadah sunatpun yang dapat disempurnakan. Beliau mengaitkan itu semua dengan tugasnya sebagai anggota pasukan keselamatan yang kadangkala mudah naik tangan apabila berhadapan dengan penjenayah, terutama ketika mahu mendapatkan maklumat. Beliau akhirnya berhenti dan beralih ke bidang lain pula.

    Hamba turut tertarik dengan kisah seorang ustaz yang berceramah dengan mendakwa beliau ada menerima zakat dari jin. Dalam masa yang sama juga menjual minyak wangi yang dikatakan ada cebisan kelambu kaabah di dalamnya. Ditambah pula dengan sedikit temberang mereka yang memakainya akan digandakan pahala oleh Allah. Maka ramailah jemaah yang membeli minyak wangi tersebut walaupun dijual dengan harga 70 riyal. Sukar nak dipercayai sebenarnya di Tanah Haram pun ada juga manusia yang mengambil kesempatan sebegini. Ia juga memberi gambaran kepada hamba bahawa orang kita ini masih ramai lagi yang tidak cerdik dan amat mudah terpedaya dengan lawak antarabangsa sebegini. Cukup dengan mengaku sebagai seorang ustaz, pandai bercakap sikit, boleh keluar bahasa Arab sikit, kalau jual benda mengarut pun pasti laku!!

    Kebanyakan kisah yang disiarkan lebih kepada sesuatu yang biasa kita dengar iaitu kalau ke Mekah dan berbuat sesuatu yang tidak baik, atau datang dengan jiwa yang kotor maka akan menerima balasan yang tertentu. Hamba mencari-cari kisah yang lain sedikit sebenarnya seperti kisah ustaz penjual minyak wangi di atas dan beberapa kisah lain dalam buku ini seperti 'mantan gengster menangis di Mekah', pengalaman seorang yang membawa jenazah syahid dari Libya serta misteri kanak-kanak yang kelihatan bermain di Raudhah.

    'Ala kulli hal apa yang dipaparkan tersebut bukanlah untuk menakutkan 'anda yang berdosa' daripada mengunjungi Tanah Haram. Ia adalah sebagai iktibar untuk kita agar beringat setiap masa, bersedia dan mengelakkan diri daripada dosa. Hamba berdoa agar diri hamba sendiri akan segera sampai ke Tanah suci ini suatu hari nanti dan dapat mempergunakan setiap detik yang ada dengan sebaiknya.

    Allahumma amin!!

    KERTAS UPSR BOCOR - GUNDAH SEORANG AYAH, GULANA SEORANG ANAK



    Tahun ini anak sulung hamba mengambil peperiksaan UPSR, peperiksaan besar beliau yang pertama. Ini sekaligus mengingatkan pengalaman hamba sendiri mengambil peperiksaan di peringkat rendah pada tahun 1986. Namun peperiksaan yang hamba ambil ketika itu bukanlah UPSR. Ia dinamakan Penilaian Darjah Lima. Peperiksaannya dijalankan semasa pelajar berada di darjah 5 dan bukannya darjah 6. Jadi apabila di darjah 6 pelajar hanya rileks dengan mengambil peperiksaan biasa sekolah sahaja. Hamba merupakan pelajar generasi generasi terakhir yang mengambil peperiksaan tersebut sebelum sistem persekolahan rendah diubah kepada Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) sekaligus menyaksikan peperiksaan besarnya diubah ke tahun enam.

    Sebagai seorang pelajar di negeri Selangor, anak hamba dan rakan-rakannya bukan sahaja terpaksa bergelut dengan UPSR tetapi juga mempunyai satu lagi peperiksan besar di sekolah ugama iaitu PSRA. PSRA akan berlansung selepas seminggu berakhirnya UPSR. Justeru para pelajar di negeri Selangor mempunyai cabaran yang agak getir memandangkan terpaksa melalui dua peperiksaan besar.

    Hamba dapat lihat anak hamba sedikit tertekan pada hari pertama peperiksaan. Sebagai bapa hanya doa yang dapat hamba titipkan pada saat-saat sebegitu. Ini perjuangan beliau dan hamba perlu memberikan sepenuh sokongan di belakang. Masuk hari kedua beliau sudah mula nampak berkeyakinan. Hati hamba mulai tenang.

    Namun hari tidak selalunya cerah. Panas yang disangkakan berlanjutan hingga ke petang rupanya rupanya hujan di tengahari. Petang itu Kementerian Pelajaran mengumumkan kertas sains yang dijadualkan pada esok hari (hari ke tiga) telahpun bocor sehingga memaksa pihak kementerian membatalkan peperiksaan kertas tersebut dan menangguhkannya ke 30 September. Hati hamba mula bergelora. Bukannya diri hamba yang difikirkan, tetapi lebih kepada emosi anak hamba sendiri. Hamba khuatir sekiranya jiwa beliau terganggu. Sebagai ayah, sedaya upaya hamba memberikan peransang dan motivasi untuk beliau menganggap ini sebagai satu ujian kecil sahaja. Jadi esoknya beliau akan menduduki kertas Bahasa Inggeris I dan II seperti biasa tanpa kertas sains.

    Pada hari yang ketiga itu anak hamba dan rakan-rakannya menduduki kertas Bahasa Inggeris seperti biasa. Walaupun akhirnya dimaklumkan baawa kertas tersebut bocor juga dan menerima nasib yang sama seperti kertas sains, tetapi anak hamba dan rakan-rakannya telah menjalani kertas tersebut dengan sempurna. Justeru tindakan kementerian membatalkan juga kedua-dua kertas Inggeris ini dan akan melaksanakannya semula pada 30 September benar-benar membuatkan hamba naik darah.

    Menduduki 3 kertas semula bukannya mudah. Ia memberikan tekanan kepada semua murid-murid ini. Dapat hamba lihat pelajar-pelajar tahun 6 sekolah anak hamba dalam keadaan murung, duduk di tepi jalan di atas jalan tar, bersila umpama tiada jiwa. 30 September mungkin memberikan advantage kepada pelajar di luar negeri Selangor kerana mempunyai dua minggu untuk mengulangkaji. Tetapi anak-anak di Selangor pula terpaksa berperang dengan PSRA. Dan hanya selepas tiga hari tamat menduduki PSRA mereka akan kembali ke medan pertempuran UPSR. Kementerian tidak memikirkan semua ini. Keputusan yang dibuat adalah terburu-buru tanpa mengambilkira situasi pelajar.

    Hamba tidak berminat dengan permohonan maaf kementerian atau menterinya. Hamba tidak peduli dengan tindakan mereka menggantung tugas dua orang utama di Lembaga Peperiksaan. Hamba tidak mahu tahu pun siapa dalang di sebalik kebocoran ini. Hamba cuma mahu kementerian memikirkan jiwa kanak-kanak ini. Walaupun mereka masih kanak-kanak, hamba percaya tekanan yang menimpa anak-anak di Selangor ini adalah tinggi. Sepatutmya kertas bahasa Inggeris tempohari tidak perlu dibatalkan. Cukuplah satu kertas sains sahaja. Tapi iyalah, cakap orang seperti hamba ini manakan laku berbanding orang bijak pandai di kementerian sana (bijaksana pun setiap tahun berulang juga kes kebocoran). Komen hamba di facebook merekapun entah dibaca entahkan tidak.

    Apa-apa yang terjadi nanti hamba akan letakkan tanggungjawab di atas bahu orang yang cerdik pandai ini. Pandai tuan hamba membuat keputusan hamba harap pandailah juga memikul tanggungjawabnya. Jangan yang itu tuan hamba lari, tahinya orang lain yang pikul!!

    Gambar seperti yang tersebar di laman sosial.

    Gambar seperti yang tersebar di laman sosial.

    Ahad, 7 September 2014

    MITOS - Ramlee Awang Murshid



    Novel Mitos asalnya merupakan satu tulisan yang disiarkan secara bersiri di akhbar Berita Harian. Ketika siarannya di akhbar berkenaan hamba tidak mengikutinya dan hanya sempat membaca dalam satu keluaran sahaja. Cerita ini telahpun dibukukan dan diterbitkan oleh Kelab Peminat Novelis Ramlee Awang Murshid (RAMFC). Malangnya buku ini tidak dipasarkan secara terbuka di kedai-kedai buku. Ia hanya boleh didapati secara dalam talian dengan pembelian melalui Facebook RAMFC. Rekabentuk buku ini nampak sederhana, tidak nampak gah seperti yang lazim direkabentuk oleh Karangkraf.Mata hamba juga kurang mesra dengan fontnya. 

    Sejujurnya hamba kurang minat untuk membeli buku secara dalam talian ini. Ini kerana hamba kehilangan keterujaan membelek buku seperti yang lazim dilakukan apabila melawat sesebuah kedai buku ataupun pamerannya. Dan yang pastinya juga pembelian begini tidak memungkinkan hamba mendapat sebarang diskaun bahkan terpaksa membayar juga kos pengeposan. Walaupun usaha orang-orang kuat di sebalik RAMFC ini wajar mendapat pujian, mereka seharusnya memikirkan untuk memasarkan produk istimewa ini dengan lebih meluas lagi. Hamba percaya bukan semua peminat Ramlee ingin singgah/suka (like)/melawat laman muka buku RAMFC. Ramai yang masih suka dengan cara tradisional membeli buku seperti hamba. Walaupun pembelian di dalam talian adalah pantas namun keterujaannya tiada. Dalam hal kepantasan ini suka hamba untuk memberikan pujian kepada pihak yang menguruskan penghantaran buku ini kerana sebaik sahaja kiriman wang hamba diperakukan, esoknya produk tersebut telahpun sampai ke tangan hamba!!

    Seperti biasa tulisan Ramlee ingin mempersembahkan sesuatu yang baru kepada peminat beliau. Mitos mengungkap kisah berkenaan manusia yang boleh bertukar kepada harimau (Bolehkah hamba gunakan istilah 'harimau jadian' kerana untuk werewolf kita menggunakan istilah serigala jadian?). Kumpulan manusia harimau yang terdiri daripada dua kelompok - pemburu dan pemangsa ini, dikatakan bermusuhan semenjak zaman dahulu lagi. Jurai mereka dikatakan berasal dari Jambi. Dalam Mitos ini dikatakan segolongan dua puak ini ada yang telah berhijrah ke Tanah Melayu dan perperangan antara mereka masih berlarutan di sini.

    Ketegangan membaca kisah harimau jadian ini pada hamba lebih banyak dirasakan ketika kisah antara mereka berlansung di hutan Temerloh pada 1966 berbanding dengan yang berlaku pada latar masa hari ini. Pada latar masa hari ini konflik lebih banyak tertumpu kepada watak Haikal, Umairah dan seterusnya Haji Daud juga ibu dan bapa Umairah. Haikal pada awal novel ini digambarkan telah diculik dan dicampakkan ke Pulau Harimau berhampiran dengan Jambi. Walaupun akhirnya diketahui bahawa beliau diculik oleh dua abang Umairah, sebab yang membawa kepada penculikan itu, atau kisah yang berlaku di sebaliknya tidaklah diketahui. Pembaca mungkin mengetahui tentang perbalahan kedua puak ini, sebab musabab utama penculikan, apa yang membawa kepada penculikan Haikal adalah sesuatu yang majhul.

    Rupanya Umairah juga adalah dari spesis manusia rimau ini juga. Cuma yang tak seronoknya sebelum itu watak beliau kelihatan sopan dan menampakkan tahap pendidikannya yang tinggi. Namun setelah melalui pengalaman bertukar kepada harimau watak beliau mula nampak brutal khususnya setelah mengetahui akan kisah pertikaian dua puak manusia harimau ini. 

    Dalam pada Ramlee bercerita mengenai dua buah keluarga harimau jadian ini terselit juga kisah dua anggota polis yang terlibat menyiasat satu kes pembunuhan empat orang perompak oleh harimau jadian. Kisah ini umpama satu selitan sahaja kerana hingga ke akhirnya tidak nampak kaitan siasatan ini dengan keluarga harimau tadi. ASP Kamarul yang akhirnya mengaku membunuh kesemua perompak itu sebenarnya juga merupakan salah seorang/seekor harimau tersebut. Namun tidak diketahui dari jurai keluarga mana beliau datang kerana pertempuran pada tahun 1966 hanya meninggalkan 4 orang sahaja di Tanah Melayu iaitu Jingga/Daud, Cuandas, Kurnia/Adib dan Astirai/Asmiah. Atau mungkin terdapat ramai lagi harimau yang berada dalam masyarakat sepertimana watak Zamberi dan bapanya yang tiba-tiba sahaja muncul sewaktu Cuandas lari meninggalkan Daud.

    Ramlee menamatkan cerita dengan meninggalkan persoalan kepada pembaca, sesuatu yang paling hamba benci apabila membaca novel. Tidak tahu apa yang berlaku akhirnya kepada watak ASP Kamarul dan pembantunya Zaheran, kesudahan pertempuran di hutan Temerloh pada 2013 serta siapa pasangan Haikal dan Umairah. Hamba tak larat nak berfikir dan berfantasi - ada banyak lagi buku yang hamba nak baca dan hadamkan wahai Encik Ramlee.

    Buku Mitos ini bagi hamba amat nipis tidak seperti karya Ramlee yang lazimnya melebihi 500 mukasurat. Mungkin ia kerana ia asalnya tulisan di akhbar maka ia cuba disesuaikan dengan ruangan serta tempoh yang diberikan oleh akhbar tersebut kepada Ramlee. Ramlee memberikan gambaran akan mengembangkan lagi watak di dalam Mitos ini pada masa yang akan datang serta memperkemaskan lagi plot-plotnya. Semua peminat Ramlee juga mengharapkan hal yang sedemikian sambil sabar menunggu keluarnya sebuah lagi air tangan bermutu beliau.


    Sabtu, 6 September 2014

    RENGSA - Zharulnizam Shah Z.A.



    Hamba tidak mengenali penulis ini. Rasanya ini kali pertama hamba membaca tulisan beliau. Bahkan novel ini juga telah lama berada di pasaran iaitu semenjak 2006 lagi. Novel ini juga boleh didapati dengan harga murah kini lantaran sama ada telah lama diterbitkan atau stok yang tidak laku. Namun hamba dapat kesan bahawa novel ini telah dicetak semula di bawah penerbitan lain iaitu di bawah Syarikat Karangkraf dengan gambar kulit yang baru. Walaupun begitu suka hamba menyatakan bahawa ini merupakan sebuah karya yang baik dan bermutu. Sewajarnya novel seperti ini mendapat tempat di hati masyarakat kerana ditulis dengan bahasa yang mudah, teratur serta senang diikuti jalan ceritanya.

    Novel ini memberi tumpuan kepada watak Budin, seorang anak muda yang telah kematian ibu dan bapanya akibat perbuatan sihir. Budin yang digambarkan sebagai 'bodoh-bodoh alang' di awal novel ini mengingatkan hamba kepada watak Jibam dalam novel yang menggunakan tajuk yang sama karya kartunis Ujang. Kesukaran hidup Budin selepas kematian ibu bapanya berjaya dilukiskan oleh pengarang sehingga hamba yang membacanya terasa akan kesengsaraan yang dihadapi. Hidup sebatang kara di rumah usang yang tiada lagi kemudahan api dan air, tidak dipedulikan oleh kaum keluarga yang lain, terpaksa menumpang makan di rumah orang lain serta kadang-kadang menjadi bahan ejekan dan buli.

    Budin digambarkan juga sebagai seorang yang rajin beribadah walaupun pada awal novel ini ibadahnya digambarkan kurang sempurna. Sebagai contoh wuduknya yang tunggang terbalik serta solatnya yang tidak mengikut rakaat yang sepatutnya. Walau bagaimanapun di akhir novel ibadah beliau semakin sempurna sehingga dapat mencapai nikmat dalam solat.

    Daripada penumpuan kepada watak Budin, penulis akhirnya mengembangkan pula watak-watak yang lain seperti Akob, Rubiah, Kassim, Pawang Junos, Mazlan selain watak-watak biasa seperti Imam Osman, Penghulu, Ustaz Zukri dan Cikgu Anuar. Konflik-konflik yang ditimbulkan oleh watak-watak sampingan ini akhirnya diselesaikan dengan baik dan tidak terburu-buru oleh pengarang. Beliau tidak mematikan sesuatu watak dengan cepat.

    Novel ini bolehlah dianggap sebagai kisah 'buat baik dibalas baik dan buat jahat dibalas jahat.' Segala apa yang ditanggung Budin akhirnya mendapat kelapangan sehingga orang mula melihat Budin sebagai insan yang istimewa. Mereka yang menganiaya keluarga Budin atau cuba menganiaya Budin sendiri akhirnya mendapat balasan masing-masing.

    Cuma seperkara sahaja dalam novel ini yang hamba harap dapat diperbetulkan iaitu sebutan nama Akob sewaktu ditalkinkan di mana penulis mencatatkan 'Yaakob binti Fatimah'. Sepatutnya beliau menulis 'Yaakob bin Fatimah'. Dalam talkin yang mati memang dibinkan dengan nama ibunya. Jadi yang lelaki tetap menggunakan bin dan perempuan binti. Kerana bin itu sendiri membawa makna anak lelaki - Yaakob anak lelaki kepada Fatimah. Jadi bila digunakan binti maka jadilah Yaakob itu 'anak perempuan' kepada Fatimah. Hamba tidak merasa ia satu kesilapan yang tidak disengajakan lantaran terdapat dua tempat yang menggunakan frasa tersebut.

    Novel ini adalah sebuah kisah masyarakat yang saban hari berlaku di sekeling kita dengan sedikit sentuhan misteri!!


    Isnin, 1 September 2014

    MEMBONGKAR MISTERI DAJJAL - Muhammad Nurani Maarif


    Persoalan mengenai dajjal telah timbul semenjak adanya Rasulullah lagi (Bahkan nabi-nabi sebelum itu juga turut memperingatkan umat mereka tetang bahaya fitnah dajjal). Ia merupakan salah satu tanda besar sebelum berlakunya hari kiamat. Walau bagaimanapun dalil mengenai dajjal ini tidak banyak sehinggakan orang ramai pada hari ini ada yang kabur mengenai individu misteri ini. Hadith-hadith yang masyhur mengenai dajjal adalah mengenai kisah Tamim ad-Dari dan kisah Ibnu Shayyad yang biasanya ditemui dalam buku yang membincangkan mengenai perkara ini.

    Buku ini merupakan percubaan seorang penulis tempatan untuk merungkai misteri manusia bermata satu ini. Walaupun sinopsis buku ini menyatakan penulis menemui perkara yang menggemparkan, namun pembacaan hamba hanya mendatar sahaja dan tidak begitu terasa akan kegemparannya. Ini mungkin kembali kepada gaya penulisan serta rujukan yang terhad oleh penulis. Memandangkan hamba telah pernah membaca buku Armagedon 2012, Bencana Akhir Zaman oleh Muhammad Alexander, hamba tidak dapat lari dari membandingkan gaya penghujahan oleh kedua orang penulis ini. Muhammad Alexander dalam bukunya tadi turut menulis tentang dajjal. Hamba berpandangan tulisan oleh Muhammad lebih lengkap dan padat, membicarakan tentang dajjal berpandukan kepada dalil sedia ada, tulisan dalam perjanjian lama dan baru, kitab-kitab lama serta hujah berpandukan sains dan teknologi. Dari situ beliau boleh menghuraikan persoalan dajjal yang boleh mengembara dengan pantas, bagaimana keadaannya apabila bumi bergelap tanpa sinaran matahari, bagaimana dajjal itu bermata satu dan sebagainya.

    Muhammad Nurani menyimpulkan bahawa beberapa binaan pelik dan misteri di dunia ini seperti stonehege, pahlawan terracotta, piramid mayan, piramid xian dan sebagainya dibina oleh dajjal. Ini berdasarkan kajian oleh pengkaji asing yang menemui bahawa terdapat satu persamaan pada kisah-kisah di sebalik binaan tersebut iaitu terdapat seorang lelaki misteri yang dikatakan mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi yang mengepalai manusia pada ketika itu serta membantu mereka membina binaan aneh dan misteri tersebut. Lelaki misteri itu pula kemudiannya menghilangkan diri serta dikhabarkan akan kembali semula suatu hari nanti. Justeru perancangan untuk menyambut kembali lelaki misteri ini digerakkan pula oleh beberapa pertubuhan rahsia seperti freemason dan sebagainya.

    Apa yang hamba lihat tulisan Muhammad Nurani adalah penguat kepada buku Muhammad Isa Daud - Dajjal Akan Muncul Dari Segi Tiga Bermuda yang pernah diterbitkan beberapa tahun yang lalu, sehingga kadang-kadang hamba merasakan adalah lebih baik hamba membaca buku Muhammad Isa terus memandangkan beliau telah membuat kajian yang lebih terperinci lagi.

    Walau apapun pandangan serta tulisan yang pernah ada mengenai manusia misteri ini, yang pasti ia akan muncul dan menjadi fitnah yang terbesar sepanjang zaman. Tidak dapat tidak manusia yang akan terselamat hanyalah mereka yang kuat serta menjaga iman mereka. Ini kerana kuatnya fitnah dajjal ini akan menyebabkan hati manusia akan mudah goyang lantas terjerumus ke dalam kesesatan yang di bawanya. Maka bilakah masa yang sesuai untuk dibuat persediaan itu? Jawapannya - sekarang!!



    PODCAST - Naim Tamdjis

      Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...