Khamis, 27 September 2012

FAIL SULIT PRESIDEN AMERIKA - Muhd. Nur Iman Ramli

Harus hamba akui, hamba membeli buku ini kerana tajuknya yang cukup mengujakan. Kata-kata yang tercatat di hadapan kulit buku ‘prosedur memerlukan anda menunjukkan kad kuasa bagi memegang dokumen ini. Tanpa pembuktian, dokumen ini TIDAK BOLEH dibaca atau dialihkan’ menambahkan lagi minat untuk memilikinya. Pada fikiran hamba tentunya maklumat dalam buku ini merupakan sesuatu yang amat luar biasa. Tentu ia umpama ‘President’s Book of Secret’ yang disimpan secara sulit dan rahsia di Library of Congress, seperti yang pernah dipaparkan di dalam filem National Treasury lakonan Nicholas Cage.
Sayangnya ia tidak seperti itu, bahkan tajuk buku itu tidak lebih daripada sebuah hiperbola. Ini kerana semua maklumat yang dipaparkan boleh didapati di dalam buku serta internet. Tiada apa-apa yang sulit di dalam buku ini. Selain beberapa perkara yang biasa diketemui di dalam mana-mana bahan yang memaparkan teori konspirasi, penulis banyak bercerita tentang kesemua Presiden Amerika serta bangunan Rumah Putih. Justeru hamba merasakan buku ini sepatutnya diberi tajuk ‘Biodata Presiden Amerika Syarikat’ ataupun ‘Mari Melawat White House’.
Walau apapun yang hamba tuliskan di atas, tidak bermakna apa yang disampaikan oleh penulis lansung tiada manfaatnya. Dari segi pengetahuan am, ia amat bagus untuk mereka yang ingin mengenali peribadi ringkas semua 44 Presiden Amerika serta beberapa perkara menarik yang ada di Rumah Putih. Bukan sahaja mengenai presiden bahkan juga isteri mereka dan binatang peliharaan mereka juga.
Betullah kata tukang sabit rumput di belakang sana – Don’t judge a book by its cover……ohhh bukan cover yang mengelirukan hamba, tapi tajuknya……

Selasa, 25 September 2012

DIGANGGU IP MAN

Sedang hamba melayan pc di depan kotak talibisyen malam tadi, menyediakan beberapa keping gambar untuk dihantar ke pertandingan, tepat jam 10 malam ditayangkanlah gambar wayang cina yang membuatkan kerja hamba terhenti seketika. Rupanya gambar Ip Man 2 yang dimainkan. Maka bersegeralah hamba menyiapkan kerja-kerja tertunggak kerana mahu melayan perjalanan gambar tersebut.

Hamba antara ramai peminat filem bercorak seni mempertahankan diri. Walaupun hamba sendiri tidak ada ilmu dalam seni tersebut tetapi hamba tetap suka dengan persembahan cerita sedemikian. Jika dalam Ip Man fokus diberikan kepada penentangan terhadap tentera Jepun, maka dalam Ip Man 2 ia menonjolkan kehebatan kung fu cina berbanding tinju Inggeris. Secara senyap kedua filem ini menanamkan sifat patriotik dan penentangan terhadap penjajah.

Filem merupakan alat penjajahan minda yang amat berkesan. Filem-filem kungfu yang telah dimainkan sejak puluhan tahun dahulu membuatkan sebahagian daripada manusia di semesta ini merasakan orang cina memang hebat dengan seni mempertahankan diri mereka. Segala aksi hebat yang dipaparkan seperti kebolehan terbang mencecah ketinggian pokok, bertarung seorang diri melawan puluhan penjahat, menangkap balingan senjata dengan mulut berjaya mempengaruhi segelintir kita walaupun ia hanya dihasilkan dengan menggunakan helah kamera. Namun itulah agendanya, mempengaruhi manusia agar mempercayai seni kungfu adalah yang terhebat sekali.

Sewaktu hamba di Maghribi pada pertengahan 90 an, walaupun dengan kulit sawo matang, hamba dan rakan-rakan kerap disalah ertikan sebagai berbangsa cina oleh masyarakat di sana. Kadang-kadang di jalanan ada manusia yang akan melaungkan chinois (disebut syinwa – cina). Ada juga yang akan memanggil kita dengan nama beberapa bintang kungfu seperti Bruce Lee dan Jackie Chan. Bahkan kadang-kadang siap dengan aksi kungfu lagi. Di mana sahaja di Maghribi boleh dilihat kelab seni beladiri bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Ia tidak akan berlaku sedemikian sekiranya tanpa pengaruh filem.

Bagaimana pula dengan filem tempatan kita. Saban tahun kita disajikan dengan filem jiwang, kelakar bodoh, hantu, gangster dan sebagainya. Amat sukar untuk mencari filem yang memaparkan seni bela persilatan Melayu. Orang kita ni pula bila satu penerbit buat filem gangster, yang lain pun nak buat filem yang sama jugak. Begitu juga dengan filem hantu yang mengarut habis, sampaikan sebuah stesen tv boleh peruntukan malam Jumaat khusus untuk menayangkan drama-drama seram. Hamba suka dengan satu tulisan yang hamba ketemu di facebook, katanya lebih kurang -  cukup-cukuplah menghasilkan filem takutkan hantu, apa kata buat filem yang takutkan Tuhan pula.

Mungkin ketiadaan filem silat disebabkan aktor kita tiada yang hebat dalam dunia persilatan tidak seperti aktor Hong Kong yang sememangnya mempunyai asas dalam kung fu. Aktor kita hanya belajar bertumbuk apabila hendak mula shooting. Sebab itu adegan sepak terajang filem Melayu nampak kaku dan kayu. Ketiadaan aktor berwibawa juga menyebabkan ada aktor Kota Singa yang mendapat tempat di sini.

Kita sekarang ini marah apabila ada filem yang menghina Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Tapi kita juga tidak buat filem untuk menampilkan kehebatan Baginda. Rasanya selepas filem The Message oleh Moustapha Akkad, tiada lagi filem hebat yang dihasilkan. Penghinaan atas Nabi, Keluarganya dan Sahabat bukan baru hari ini berlaku. Kaum syiah telah lama melakukannya -  maka adakah kamu mahu terus berdiam?

Selasa, 11 September 2012

NASRUDDIN & FAZLIAH

Seingat hamba kali terakhir hamba mengambil gambar dalam satu majlis perkahwinan adalah pada akhir 2010, iaitu perkahwinan staff hamba sendiri. Selepas itu hamba macam malas nak mengusung kamera sebaliknya mengusung pinggan dan cawan sahaja untuk dibasuh (rewang). Tak dinafikan sejak hampir setahun ini hamba agak kurang bermain dengan D90. Bukanlah kerana hamba bosan menggunakannya atau mahu bertukar ke gadget yang lebih baru, tapi entah….hamba sendiri tidak mempunyai jawapannya.
Hamba kembali mengusung D90 di majlis perkahwinan sepupu isteri hamba yang berlansung di Sungai Besar semalam. Teringin nak rasa semula feel berebut-rebut dengan jurugambar yang ramai untuk mendapatkan sudut yang terbaik. Mungkin juga kerana hamba malas nak merewang agaknya.
Pihak pengantin dah mengambil dua orang jurugambar, seorang lelaki dan seorang wanita. Sekian lama hamba menyebok mengambil gambar di majlis perkahwinan, bersaing bersama official photographer, yang inilah agaknya yang sedikit menjengkelkan hamba. Apabila ada majlis sebegini, kita maklum akan ada ramai manusia yang teruja untuk merakamkan detik-detik yang berbahagia ini. Disamping itu OP juga berusaha untuk mendapatkan hasil yang terbaik buat pelanggan mereka walaupun tugas mereka kadang-kadang terhalang oleh orang ramai. Namun OP yang berpengalaman biasanya dapat menguasai suasana dan tahu detik yang betul dan tepat untuk memetik punat kameranya.
Namun OP yang ini dalam usaha untuk mendapatkan hasil terbaik mereka seolah ‘menghalang’ orang lain untuk turut merakam sama. OP yang berpengalaman biasanya akan membiarkan orang ramai merakam sebelum beliau beraksi selepas orang lain selesai dengan kamera mereka. Maka barulah beliau mudah untuk memberikan arahan kepada pengantin. Sekiranya beliau selesai merakam dari sudut tertentu, maka selepas itu peluang yang sama akan diberikan kepada orang yang lain pula. Tetapi OP yang semalam ini lain benar karekternya. Mereka duduk menguasai kawasan hadapan pengantin sehingga seolah tidak memberikan peluang kepada orang lain untuk berada di sudut yang sama. Duduk sahaja pengantin di pelamin mereka sudah sibuk mengarah itu ini meminta pengantin beraksi untuk mereka sehingga akhirnya mereka terlupa tentang adat menepung tawar atau peluang untuk pengantin bertemu saudara mara serta sahabat handai di atas pelamin. Kebiasaannya pada waktu sebegini OP lain akan menumpukan kepada suasana majlis persandingan. Pengantin beraksi di atas pelamin biasanya akan dilakukan selepas istiadat bersantap ataupun  apabila tetamu mulai berkurangan.

Maaflah andainya OP tersebut tidak bersetuju dengan tulisan hamba. Tapi hambapun bukan baru hari ini menyentuh kamera. Berilah peluang kepada orang lain juga untuk mencuba kreativiti mereka. Mungkin OP ini tidak sedar akan perilaku mereka sedikit menjengkelkan orang lain, dan mereka masih belum terlambat untuk mengubahnya….

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...