Isnin, 9 Mac 2015

THE LOST WORLD - Helmi Effendy

Walaupun menggunakan tajuk omputeh, buku ini berbahasa Melayu sepenuhnya. Mungkin kalau digunakan tajuk berbahasa Melayu, kurang umphh agaknya kepada penulis. 

Sinopsis yang memukau serta cover yang menarik, barangkali itu yang membuatkan hamba memilih novel ini. Memilih tulisan daripada seorang penulis yang tidak pernah hamba baca karyanya sebelum ini adakalanya satu risiko andainya tulisan tersebut tidak mencapai tahap pembacaan yang hamba inginkan. Dan andainya novel ini gagal menarik perhatian hamba, jangan haraplah hamba akan membeli novel lain hasil daripada penulis yang sama.

Kisah sebuah kapal terbang yang terhempas di sebuah pulau yang majhul cepat membuatkan kepala hamba terarah kepada tragedi yang menimpa pesawat MH370 serta MH17. Tapi hamba percaya tulisan ini dibuat lebih awal sebelum kejadian tersebut walaupun dicetak buat pertama kalinya dalam tahun 2014. Namun kisah para survivor yang yang terdampar di sebuah pulau yang dipenuhi dengan haiwan pra sejarah tidak dapat tidak fikiran hamba akan mengaitkannya dengan filem popular Jurassic Park arahan Steven Spielberg. Tambahan pula dalam novel ini sememangny ada taman serupa yang dinamakan Dino Park. Bahkan tajuk novel ini juga adalah sama dengan sekuel Jurassic Park yang akan datang!!

Secara keseluruhannya hamba berpuas hati dengan persembahan novel ini walaupun terdapat beberapa kelonggaran di sana sini. Sekurang-kurangnya ia bukan novel cinta yang meloyakan walaupun unsur tersebut masih ada di dalam novel ini. Secara tidak lansung hamba boleh lagi membeli novel tulisan Helmi di masa yang akan datang.

Helmi mengambil risiko apabila menampilkan watak yang terlalu ramai di dalam novelnya. Almaklumlah sebuah kapalterbang besar yang membawa ramai penumpang. Namun Helmi secara perlahan mengurangkan jumlah wataknya bermula dengan tragedi kapalterbang itu terhempas sendiri diikuti dengan watak-watak yang dibunuh oleh haiwan pra sejarah, puak pemenggal kepala atau sesama survivor itu sendiri. Walaupun watak yang tinggal masih ramai, Helmi amat bijak menyusun plot serta konflik antara watak. Mewujudkan beberapa watak yang mempunyai latar belakang yang menarik secara tidak lansung dapat memanjangkan cerita serta berupaya menangani beberapa cabaran yang ada. Contohnya Sarjan Azmi - bekas tentera, Saiful Hawiz - lelaki yang gagah, Dr. Izwan - pakar perubatan, Naim - si genius dan lain-lain lagi. Contohnya sekiranya tiada watak seorang doktor, tentunya setiap watak yang dijangkiti penyakit akan cepat mati sekaligus mempercepatkan tamatnya novel ini. Kebolehan yang ada pada setiap watak telah mengembangkan lagi cerita ini dengan baik.

Cerita yang berkait dengan haiwan pra sejarah ini sudah cukup baik sebenarnya, tetapi hamba amat dukacita apabila di tengah-tengahnya ada pula kisah mereka ini dengan hantu dan orang bunian. Hamba rasa Spielberg pun tak terfikir nak kaitkan Jurassic Parknya dengan kisah seram. Cerita hantu dan orang bunian sesungguhnya tidak perlu lansung dalam novel ini. Penulis boleh menumpukan terus agar novel ini berada dalam landasan suspen dan thriller. Walaupun kisah hantu dan bunian tersebut boleh dikira menarik, tetapi bagi hamba ia umpama membunuh mood pembacaan.

Agak hebat bagi hamba (di baca pelik) apabila watak di dalam novel ini tahu sahaja nama dinosaur yang muncul. Diri hamba sendiripun hanya ingat beberapa nama sahaja seperti T-Rex (inilah yang paling popular pun), Brontasaurus, Stegosaurus dan Triceratops sahaja. Yang lai-lain tu memang hamba tak larat nak ingat. Jadi bila watak-watak ini boleh ingat nama dinosaur yang paling tak popular pun rasa macam tak logik pula. Begitu juga apabila watak Amirul Hafeez dan Nur Rafiqah membuat gempar di perkampungan pemburu kepala manusia, mereka menjeritkan nama dinosaur Velociraptor hingga membuatkan orang kampung yang digambarkan sebagai primitif itu bertempiaran lari. Nama-nama dinosaur yang pelik ini hanya dikenali oleh orang moden dan diberikan nama oleh para saintis hasil daripada kajian mereka. Justeru apabila penduduk sebuah perkampungan primitif pun tahu apa itu Velociraptor maka ia menjadi satu yang tidak berapa kena.

Beberapa perkara kecil dari segi penggunaan bahasa juga harus diberikan perhatian oleh penulis. Misalnya penggunaan istilah 'langkah seribu'. Langkah seribu bermaksud cabut lari ataupun lari berkejaran meninggalkan sesuatu. Tetapi dalam penggunaan penulis ia seolah bermaksud berlari ke arah sesuatu dan bukan meninggalkannya. Begitu juga dalam soal penjodoh bilangan apabila penulis menggunakan istilah 'sebuah' pokok (Hamba tidak sempat menandakan tempat di mana berlakunya kesilapan ini).

Ketika sarjan Azmi berjaya menggunakan alatan komunikasi dan dapat menghubungi seseorang bagi meminta bantuan, suara yang menjawab panggilan menyatakan bahawa pulau berkenaan (Setiaraja) telah empat bulan ditinggalkan). Namun hamba percaya bahawa pembaca lain akan merasakan melalui pembacaan mereka di peringkat awal novel bahawa pulau tersebut telahpun bertahun ditinggalkan. Ini berdasarkan gambaran yang diberikan penulis ke atas tempat-tempat yang dinyatakan di dalam novel ini. Sekiranya sesuatu tempat itu baru sahaja empat bulan ditinggalkan pastinya keadaannya tidak seteruk yang digambarkan.

Penemuan mayat yang dikatakan tidak aman yang berada di dalam dinding bangunan hotel juga tidak terjawab persoalannya. Agak misteri kenapa mayat-mayat itu disimen di dalam dinding. Mayat-mayat yang digambarkan tidak aman itu juga menuntut agar disempurnakan pengebumian mereka. Kalau dikatakan ia adalah mayat mereka yang menemui ajal sewaktu pulau itu ditimpa wabak macam mustahil juga kerana mayat-mayat yang ditemui pada peringkat akhir novel hanya bergelimpangan di atas jalan sahaja. Lagipun kenapa mesti disimen di dalam dinding memandangkan tanah perkuburan terletak agak berhampiran. Lagipun tidak digambarkan bahawa dinding hotel berada dalam keadaan pelik seperti plaster simen yang tidak rata, kesan tampalan dan sebagainya. Ia seolah-olah mayat itu disimen dan kemudiannya dinding hotel kembali disempurnakan. Orang yang sedang kecoh dengan penyebaran wabak misteri biasanya tiada masa nak menyempurnakan kembali dinding berkenaan. Lagipun pulau berkenaan telah ditinggalkan selepas tiga hari wabak berlaku.

Novel ini juga kerap memaparkan penggunaan penumbuk oleh watak-wataknya sekiranya tidak berpuas hati atau marah dengan sesuatu/seseorang. Apabila dah selalu sangat adegan menumbuk muka ini berlaku hamba tidak lagi merasakan thrillnya seolah penulis telah kehabisan idea. 

Bukan sahaja idea terperangkap di pulau dengan haiwan pra sejarah, hantu, bunian, pemenggal kepada yang diutarakan penulis bahkan idea 'perangkap masa' yang diutarakan di bahagian akhir novel juga tambah mencelarukan pemikiran hamba. Kapalterbang yang memulakan penerbangan dalam tahun 2007 itu telah terperangkap di masa akan datang iaitu di tahun 2027. Kemudian ada pula watak Qarin/Afiq yang datang dari tahun yang sebelumnya. Bagaimana Qarin boleh mengembara dalam masa tidak dijelaskan lansung. Hamba akui penggunaan watak Qarin sebagai seorang lelaki misteri itu amat menarik, tetapi mengetahui siapa dia dan dari mana dia datang adalah umpama anti klimaks. 

Dalam novel ini juga watak Ummu Habibah seolah menjadi rebutan ramai lelaki hinggakan Afiq di zaman akan datangpun datang untuk mencarinya.Punyalah ramai watak awek dalam novel ini, si Ummu juga yang dikejar orang. 

Secara keseluruhan novel ini boleh hamba baca dan tidaklah membosankan. walaupun banyak perkara yang hamba timbulkan di atas namun ia tidaklah sampai menghalang pembacaan. Hamba menunggukan karya Helmi Effendy yang akan datang!!


PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...