Ahad, 29 Jun 2014

MAY 25TH ANNIVERSARY DISCOGRAPHY LIMITED EDITION



Biasanya seseorang tokoh itu tidak menulis biografinya sendiri. Biasanya mereka akan mengupah orang lain terutamanya penulis yang memang berkebolehan untuk menulis biografi. Tidak ramai yang melakukannya sendiri. Mereka yang menulis sendiripun biasanya memang berkebolehan untuk menulis seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad (Doctor In The House), Zainuddin Maidin (Di Belakang Api Di Depan Duri) dan Subky Latif (Anak Apak) - sekadar menyebut beberapa nama.

Buku ini ditulis sendiri oleh penyanyi kumpulan May iaitu Mustaffa Din. Walaupun mendapat bantuan Abd. Aziz Itar, wartawan Utusan Malaysia sebagai editor, hasil tulisannya tetap mengecewakan hamba. Sebagai sebuah kumpulan yang telahpun wujud lebih 25 tahun yang lalu tentunya banyak peristiwa yang membabitkan kumpulan ini yang boleh dicoretkan. Namun coretan yang ada terlalu ringkas dan seperti dibuat dalam kedaan tergesa-gesa sahaja. Kerana itu hamba merasakan buku seperti ini harus ditulis oleh seorang penulis yang istimewa manakala ahli kumpulan hanya memberikan input sahaja. 

Kebanyakan maklumat yang ditulis telahpun hamba ketahui. Tidak banyak perkara baru yang boleh hamba perolehi. Hamba tertarik dengan satu keratan akhbar sewaktu May menjadi juara pertandingan Juara-Juara Rock Malaysia anjuran Dewi Suhana Studio. Ini kerana hamba pernah menyimpan keratan berkenaan dalam koleksi buku skrap hamba. Walau bagaimanapun buku skrap berkenaan tiada lagi kerana hamba telah membuangnya.

Hamba mengambil masa yang sekejap sahaja untuk membaca buku ini, tidak sampaipun separuh hari. Walaupun buku ini nampaknya tebal, ia lebih banyak memuatkan gambar sahaja dengan saiz tulisan yang besar. Walaupun dulu hamba minat rock, kadangkala melihat gambar-gambar dalam buku ini hamba naik letih kerana gaya rockers dahulu yang sepesen sahaja - ambil gambar dengan gaya mengangkang.

Buku ini hadir bersama sebuah cd album baru khas sempena ulang tahun ke 25 ini serta sebuah dvd MTV. Koleksi terhad ini mungkin tidak lagi atau payah untuk ditemui di pasaran, lebih-lebih lagi la telah diterbitkan dalam tahun 2011 yang lalu. Mungkin yang hamba jumpa ini naskhah yang tidak laku atau tiada mat rock yang masuk ke kedai cd berkenaan.

Hamba tidak tahu sama ada mahu menyimpan atau menjual semula buku dan cd edisi terhad ini. Tapi kalau jualpun harganya tentulah kira harga collector's item kan!!



BERFIKIR GAYA AL FATEH - Muhammad Syaari Abdul Rahman




Biasanya seseorang pengkaji menulis mengenai gaya ataupun corak pemikiran seseorang tokoh itu melalui kajian terhadap tulisan tokoh berkenaan. Justeru untuk menulis mengenai gaya pemikiran pemimpin agung ini bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan beliau tidak menulis sebarang kitab kecuali beberapa bait-bait syair. Kesukaran ini turut diakui oleh penulis buku ini.

Sultan Muhammad Al Fateh merupakan salah seorang pemimpin Islam agung dalam sejarah. Kejayaan beliau membuka Kostantinopel telah membenarkan hadith Nabi Muhammad s.a.w. mengenai pembukaan kota tersebut oleh kaum Muslimin sekaligus menjadikan beliau sebaik-baik raja dan tenteranya sebaik-baik tentera. Hamba bersetuju dengan pandangan penulis bahawa kejayaan Sultan Muhammad tersebut bukan semata-mata dirinya sahaja bahkan kejayaan beliau sebenarnya juga adalah hasil daripada pejuang-pejuang Islam dahulu yang telah juga cuba untuk membuka kota berkenaan sekaligus membuka lorong kepada Sultan Muhammad untuk merealisasikan sabda Nabi tersebut.

Sebagai seorang motivator, penulis cuba membaca pemikiran pemimpin agung ini dari sudut seorang motivator, melalui ilmu pengetahuan yang beliau ada melalui kursus-kursus NLP, 7 Habit serta pembacaan lain. Hamba berpandangan bahawa itu adalah tidak cukup kerana semua yang beliau bawakan telah pernah hamba temui melalui pembacaan di dalam buku-buku motivasi. Untuk mengkaji pemikiran Sultan agung ini kita perlu juga menjadi seorang strategis terutamanya dalam ilmu peperangan. Dan inilah kekurangan besar dalam buku ini. Pandangan seorang strategis ilmu peperangan tentunya berbeza dengan seorang motivator.

Kerana itu kadang-kadang hamba berasa kosong membaca buku ini. Bukanlah bermakna buku ini tidak memberikan manfaat. Maksud hamba kekosongan itu adalah kerana hamba tidak begitu nampak pemikiran Sultan Muhammad Al Fateh yang ingin ditonjolkan. Lalu keesokan hari selepas membaca buku ini hamba seolah mendapat jawapannya dari tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam bukunya Menalar Makna Diri. Kata beliau:-

"Betapa kriktikalnya masyarakat kita ialah, kerana kepakaran pemasaran, sebuah buku 'bodoh' pun boleh dijual ratusan ribu naskhah. Dan, kerana imej serta ketepatan teknik, manusia mengerumuni apa yang sebenarnya tidak menawarkan mereka solusi.

Saya menyebutnya begitu sebab penerbit buku sendiri yang menggunakan istilah berkenaan, menjelaskan kepada saya betapa mengarutnya buku yang beliau terbitkan. Tetapi dek kena dengan trend masyarakat, ia terjual sebagai best seller yang hebat.

Melihat dari jarak luar sedikit, sejujurnya saya rasa rakyat Malaysia seperti dirasuk. Bagai Zombie.

Sangat mudah dimanipulasi. Dan ramai yang memanipulasi. Sebahagiannya bukan dengan niat yang tidak baik, tetapi melakukannya secara tidak sedar. Mengukur kualiti pada penerimaan dan populariti, sedangkan populariti agama semakin seiringan dengan populariti maksiat serta kemusnahan jati diri"

Buku ini tidaklah bodoh cuma tidak sampai ke matlamatnya. Hamba rasa buku ini hanya perlu ditukarkan sahaja tajuknya....



Khamis, 26 Jun 2014

NEW YORK TAXI by BURAGO





Leave your car at home and start using public transport!!


TEBINGAN SUNGAI GOLOK


Sewaktu turun dari bas di kawasan bebas cukai Rantau Panjang, CC hamba mengisyaratkan "sungai Golok kat belah sana", sambil tangannya menunjukkan ke satu arah yang hanya kelihatan bangunan-bangunan kedai. Mungkin sungainya di belakang kedai-kedai berkenaan. Walaupun telah berkali-kali ke destinasi ini tetapi hamba memang belum pernah melihat keadaan Sungai Golok dari sebelah Rantau Panjang ini.


Tetapi hamba tidak terus pergi sebaliknya menuju ke arah kawasan perniagaan. Sedang sibuk mencari barang-barang yang dihajati hamba terpisah daripada rakan-rakan yang lain. Usai membeli belah hamba terus kembali ke bas yang sedia menunggu. Ada setengah jam lagi masa sebelum bas meninggalkan kawasan tersebut. Hamba memutuskan untuk melihat keadaan Sungai Golok. 




Nampaknya wilayah Siam dekat benar dengan Rantau Panjang, baling batu pun boleh sampai. Hamba melihat ada sebuah jeti kecil dengan bot yang sedia untuk mengangkut penumpang ke seberang. Kamera yang sentiasa di tangan hamba halakan ke arah yang diingini. Dalam pada itub ada debaran di hati hamba khuatir sekiranya perlakuan hamba itu tidak disenangi oleh mereka di sekeliling.




Di kawasan jeti yang hamba tujui itu hamba dapat melihat ada beberapa lagi buah jeti berhampiran sama ada di sebelah Malaysia juga yang di sebelah Siam. Para penumpang kelihatan tidak putus-putus pada ketika itu. Mungkin kerana hari itu adalah Jumaat yang merupakan cuti umum bagi negeri Kelantan. Tiada sebarang kawalan keselamatan atau sebarang anggota keselamatan yang berada di situ. Penumpang bebas keluar masuk wilayah, merentasi sempadan antara kedua hala tanpa sebarang pemeriksaan. Mungkin kerana itu aktiviti penyeludupan mudah berlaku.



Selesai di jeti itu hamba beredar di jeti yang lain. Keadaannya serupa dengan jeti yang pertama. Baru sedas dua hamba memetik kamera hamba ditegur oleh seorang lelaki yang kelihatannya salah seorang pengenadali bot penambang di situ. "Maaflah be saya nok tanyo, abe ambik gamba ni nok buak gapo". Soalan itulah yang hamba khuatir dari tadi. Beliau juga bimbang dengan aktiviti hamba. Mujurlah hamba tidak lekas gelabah dan memberitahu hamba mengambil gambar sebagai suatu hobi dan suka-suka sahaja. Beliau memaklumkan bahawa dahulu ada wartawan sebuah televisyen merakam gambar di situ dan apabila tersiar tempat berkenaan menjadi perhatian pihak berkuasa menyebabkan mereka terpaksa memberhentikan operasi.



Hamba tidak berniat hendak mengacau periuk nasi mereka. Tetapi aktiviti ini amatlah jelas melanggar undang-undang kerana membenarkan orang ramai keluar masuk sempadan tanpa sebarang kebenaran. Tidak dinafikan sekiranya sekatan diadakan mungkin menyukarkan beberapa pihak terutamanya mereka yang mempunyai aktiviti perniagaan atau pengunjung yang mempunyai saudara mara di negara sebelah sana. Walau apapun satu pendekatan yang lebih baik perlu difikirkan oleh pihak berkuasa. Kerana bebas seperti ini jugalah Ayah Pin amat mudah menyeberang tanpa perlu bimbang apa-apa.












ZOO MELAKA YANG SEPI TIDAK BERPANDA


Minggu terakhir cuti sekolah hampir dua minggu yang lepas hamba pergi ke Zoo Melaka. Bertahun juga tak pergi, hamba jangkakan ada pembaharuan atau penambahbaikan berbanding dahulu. Agak teruja juga hamba nak mengambil gambar-gambar binatang di sana.

Tetapi hamba terasa agak hampa dengan lawatan kali ini. Haiwan-haiwannya nampak lesu tak bermaya. Dan kebanyakan kandang pameran ditutup dan digantung dengan papan tanda seperti ini:-



Banyak juga kandang pameran yang ditutup. Sebagai pengunjung terasa seperti tidak adil juga kerana masih dikenakan bayaran yang penuh. Hamba tidak tahu apa masalah pengurusan Zoo Melaka pada hari ini. Rasanya kunjungan yang dulu-dulu lebih menyeronokkan lagi. Hinggakan kali ini tidak banyak gambar yang hamba ambil. Tertanya juga hamba ke mana hilangnya burung flamingo yang begitu banyak di kawasan tasik zoo ini dahulu. Seekor pun hamba tidak ketemu sedangkan papan tanda namanya masih ada. Sampah berupa botol minuman dan jerry can pun ada dalam tasik tu. Tempat yang dahulunya ada tunggangan kuda dan gajah juga terbiar semak dan tidak terurus. Begitu juga dengan beberapa kawasan lain.

Takkan tak ada petugas yang tak nampak sampah-sampah ini...

Ambillah sedikit inisiatif untuk memangkas dahan yang patah ini. Bukannya jauh sangat dari pejabat pentadbiran.


Adakah aura Zoo Melaka telah hilang dan tidak lagi menjadi tumpuan pelancong? WalLahuaalam, tetapi sesuatu harus dilakukan. Mungkin Ketua Menteri yang baru ini perlu turun membuat lawatan atau perlu ada panda juga bagi menarik kunjungan......



Tapir pun letih....







Selasa, 24 Jun 2014

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...