Rabu, 8 November 2023

CERITA DARIPADA MUTAWIF - Dato' Hj Md Daud Che' Ngah


 

Mengunjungi dua tanah suci - Makkah dan Madinah, menjadi impian besar umat Islam. Walaupun hanya dua lokasi ini yang dikunjungi, para penziarah membawa pulang pengalaman yang berbeza. Cerita Daripada Mutawif adalah himpunan cerita yang pernah tersiar di majalah Mingguan Wanita oleh mantan pengurus besar Lembaga Tabung Haji, Ustaz Dato' Hj. Md Daud Che' Ngah. Nama ini meruoakan satu nama besar dalam perkara yang melibatkan haji dan umrah dan tidak perlu diperkenalkan lagi.

Usah bayangkan cerita yang dipaparkan di dalam buku ini umpama kisah yang terpapar di dalam Mastika, seperti kisah-kisah aneh yang menimpa para pendosa. Cara penceritaan penulis juga berbeza, lebih kepada penyampaian ibrah dan tidak ke arah sensasi.

Terdapat sebanyak 24 buah kisah yang terkandung di dalam buku ini. Melalui kisah-kisah yang dipaparkan penulis cuba memberitahu akan kepentingan mempunyai ilmu untuk menunaikan haji dan umrah. Ini bertujuan agar ibadah yang dilakukan dengan sempurna. Penulis menegur sebilangan orang yang meremeh atau tidak memandang serius dengan kursus haji atau umrah yang diadakan sebelum keberangkatan mereka ke tanah suci. Kerana kecetekan ilmu banyak yang tidak melakukan ibadah dengan sempurna sehingga melanggar larangan di dalam ibadah dan terpaksa dikenakan dam.

Ada juga wanita yang kerana memikirkan kerugian, pergi menunaikan ibadah umrah walaupun di dalam tempoh edah. Ada juga yang kedatangan haid tetapi menganggap itu bukannya haid. Semua ini berlaku kerana kecetekan ilmu.

Penulis turut memaparkan kisah penipuan oleh syarikat umrah yang menawarkan pakej umrah yang murah. Akhirnya jemaah juga yang kerugian apabila mereka terpaksa mengeluarkan wang dengan lebih banyak lagi apabila di tanah suci. Ada juga syarikat yang menipu jemaah dengan mengenakan harga yang murah dengan mendakwa sebahagian perbelanjaan mereka akan ditanggung oleh hartawan Arab. Akhirnya syarikat lari dengan wang yang telah dikumpul. Tidak terkecuali penganiayaan yang berlaku terhadap agen yang mewakili syarikat penipu ini.

Tidak ketinggalan penulis memaparkan kisah mereka yang diberikan kemuliaan dan kemudahan di tanah suci. Namun ada juga mereka yang menghadapi dugan besar seperti suami isteri yang asalnya mesra, tiba-tiba bermasam muka di sana. Ada juga dipaparkan mereka yang telah menunaikan ibadah ini namun apabila pulang masih lagi mengerjakan maksiat.

Hamba melihat buku ini memberikan banyak pengajaran kepada para pembaca. Ia juga satu panduan buat mereka yang mahu mengunjungi tanah suci. Segala kisahnya boleh dijadikan iktibar agar bakal jemaah membuat persediaan rapi dsaripada segi ilmu, harta, kesihatan dan sebagainya. Perkara negatif yang diceritakan adalah sebagai sempadan agar kita sama sekali tidak akan melakukannya.

Sesungguhnya tanah suci bukanlah tempat untuk melancong dan membeli belah, ia adalah destinasi kita untuk mencari keredhaan Ilahi.



KENITRA boleh menjadi panduan 
bakal penuntut ke Timur Tengah


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...