Sabtu, 28 September 2019

WANITA TAHANAN REMAN - Sri Diah



Buku ini adalah koleksi himpunan cerpen hasil mata pena Sri Diah. Ia mengandungi sebanyak 28 buah cerpen yang rata-ratanya ditulis sekitar tahun 80-90an. Kerana itu bagi mereka yang tidak biasa membaca cerpen di era berkenaan akan merasakan satu kelainan. Karya para penulis tidak kira novelis atau cerpenis di era berkenaan serta era sebelumnya gemar bermain dengan bahasa. Karya mereka penuh dengan unsur perlambangan terutamanya yang berkaitan dengan alam dan apa yang erada di sekelilingnya. Karya mereka penuh dengan metafora, tidak straight to the point dan kadangkala menuntut pembaca untuk sama berfikir tentang apa yang hendak disampaikan oleh penulis. Ia jauh berbeza dengan karya kebanyakan penulis hari ini yang tulisan mereka berlaku secara ringkas, tidak berselindung dan straight to the point. Walaupun cara ini tidaklah menjadi satu kesalahan tetapi secara tidak lansung menunjukkan penulis ini tidak mahir untuk bermain dengan bahasa. Sudahlah tidak mahir, perkataan yang digunakan juga kadangkala tidak kena pada tempatnya.

Kebanyakan cerpen yang dipaparkan adalah berkait dengan wanita. Ia menggambarkan wanita serta permasalahan mereka di era berkenaan. Justeru membacanya harus bersekali divisualkan di kepala dengan gambaran masyarakat pada ketika itu. Ia adalah era tiadanya telefon bimbit, internet dan komputer riba. Kadangkala permasalah yang dikemukakan tidaklah terlalu kompleks tetapi penulis di dalam penyampaiannya yang gemar bermain dengan bahasa akan membuatkan para pembaca yang tidak biasa dengan gaya penulisan ini merasa bosan dan tidak mustahil juga tidak akan mengkabiskan pembacaan. Namun hamba percaya sekiranya kita adalah pembaca serta peminat karya tanah air, setiap gaya penulis dari era manapun perlulah kita ketahui gaya penulisan mereka dan seterusnya memberikan penambahbaikan kepada karya-karya yang kita sendiri akan lahirkan.


BULAN - Tere Liye



Bulan adalam sambungan kepada Bumi daripada penulis yang sama. Andai pada siri yang pertama hamba merasakan umpama sedang melayan Harry Potter, kali ini hamba merasa seperti sedang menonton The Hunger Games! Kalau di buku pertama kita dihidangkan dengan babak-babak pertempuran di dunia klan Bulan, kali ini Raib, Seli dan Ali masuk ke dunia klan Matahari dan terpaksa melibatkan diri dalam pertandingan mencari bunga matahari yang pertama kali mekar pada tahun itu. Walaupun kedengarannya agak mudah, namun cabaran yang dipaparkan amatlah hebat sehingga melibatkan nyawa. Turut serta dalam pemergian mereka ke klan Matahari termasuklah, Av, Cikgu Selena dan Ily anak Ilo yang turut membantu mereka sewaktu petempuran di klan Bulan dahulu. Namun untuk misi pencarian bunga matahari tersebut, hanya Ily yang akan turut bersama mereka.

Penyertaan mereka dalam pertandingan tersebut bukanlah secara kebetulan, tetapi telah dirancang oleh seseorang di dalam klan tersebut bagi membolehkan dia berhubung dengan dunia gelap. Tidak perlu hamba nyatakan siapa dia agar pembacaan anda tidak terganggu dengan spoiler ini.

Mereka melalui pelbagai halangan yang mencabar memandangkan sebelum menemui bunga tersebut, mereka haruslah mencari kesemua petunjuk yang akan membawa mereka ke lokasi bunga itu akan mekar nanti. Ternyata dalam buku ini Tere Liye memperkembangkan lagi kuasa yang dimiliki oleh hero-hero cilik ini. Sesuatu yang tidak disangka adalah apabila tempat berkembangnya bunga itu adalah di perhentian pertama mereka bermalam dan mendapatkan bekalan - kediaman Hana! Dan disitulah nanti terjadinya satu pertempuran besar setelah Raib enggan mengikuti arahan untuk memetik bunga berkenaan apabila mengetahui akibat buruk yang akan berlaku. 

Penngakhiran pertempuran kali inibukanlah satu yang menggembirakan apabila satu watak utamanya telah terkorban. Siapakah dia? Anda perlu membacanya dan hamba katakan bahawa anda tidak akan menyesal membacanya!


Isnin, 9 September 2019

KOC 13 - Naim Tamdjis



Cover novel ini agak menarik walaupun wajah hantu di sebelah kiri bahagian atasnya nampak macam tak berapa seram. Menggunakan tajuk Koc 13, sebuah keretapi yang membawa penumpangnya menjelajah beberapa tempat di dalam sebuah misteri, namun kesemua kisah menarik atau pengembaraan watak-wataknya, tidak berapa nak ada kejadian yang menarik di atas koc tersebut. koc tersebut tidak lebih daripada sebuah alat pengangkutan yang mebawa watak-wataknya menjelajah. Walaupun pada awal novel ada dipaparkan koc tersebut turut dinaiki oleh beberapa pontianak serta terowong bawah laut yang pecah ketika keretapi tersebut melaluinya, kisah-kisah berkenaan tidaklah diperpanjangkan.

Pengembaraan menaiki Koc 13 dimulakan dengan dua watak iaitu Raiqal dan Aiman Aklaken yang begitu kontras perwatakan mereka. Walaupun Aiman merupakan seorang penulis novel seram yang mencapai tahap best seller ternyata dia seorang yang penakut dan tidak begitu adventurous. Perbezaan perwatakan ini kemudian kelak akan menyebabkan berlakunya beberapa peristiwa yang melucukan. Pengembaraan m,ereka kemudiannya disertai Raihan yang telah 4 tahun terperangkap di dalam dunia misteri berkenaan. Mereka yang btelah menaiki keretapi ini perlu menyelesaikan beberapa quest bagi membolehkan mereka keluar daripada dunia misteri berkenaan. Gagal ataupun mati akan menyebabkan mereka kekal di dunia tersebut.

Antara cabaran ataupun dunia yang mereka tempuhi adalah cabaran di tanah perkuburan, zombi di Pulau Eurasia, dunia robot, rumah nenek kebayan, hospital gila, New York era 70an dan kerajaan Melayu Pattani di abad ke-17. Ya jangan persoalkan tempat-tempat berkenaan walaupun perjalanan Koc 13 hanya bermula di Stesen Keretapi Dabong, Kelantan!!

Antara semua quest berkenaan hamba lebih tertarik dengan cabaran yang mereka hadapi sewaktu berada di dunia robot dan New York era 70-an. Ini mungkin kerana cerita-cerita seram di tanah perkuburan, nenek kebayan, zombi termasuk juga tercampak ke era Melayu lama lebih kurang atau selalu dijumpai di dalam novel misteri dan seram yang lain. Suasana dunia robot memerlukan anda berimaginasi seperti menonton Transformers atau Pacific Rim. Manakala suasan New York memerlukan anda berimaginasi menonton trilogi Godfather. 

Cabaran di era kerajaan Pattani lama merupakan kemuncak kepada cabaran tiga sahabat ini. Sekiranya mereka berjaya, mereka boleh pulang semula ke dunia asal. Kedatangan mereka ke kerajaan Pattani dianggap sebagai penyelamat yang datang dari negeri atas angin. Sebagai penyelamat seharusnya mereka mempunyai ciri-ciri keistimewaan sama ada dari segi tenaga ataupun buah fikiran. Namun aspek ini nampak seperti sedikit terabai. Mereka bertiga pula yang terpaksa berlatih silat dengan pendekar Pattani. Kalau adapun idea yang diberikan hanyalah teknih memanah dengan menggunakan anak panah yang terlebih dahulu dicelup dengan serbuk belerang. Namun keberkesanan teknik ini tidaklah dianggap sebagai satu strategi besar yang boleh mengalahkan musuh.

Babak akhir pertempuran tiga sahabat ini seharusnya menjadi babak paling dinantikan serta diberikan penceritaan yang panjang. Namun ia tidak begitu berlaku seolah penulis mahu segera menamatkan novelnya. Cuma yang nampak sedikit penekanan adalah kemunculan semangat keberanian Aiman Aklaken, yang sebelum ini digambarkan sebagai penakut serta watak yang paling lemah, bertempur setelah kematian Raihan. Penamat pertempuran berlaku umpama tiba-tiba apabila kesemua tentera dunia hitam Lanun Langka menjadi lemah setelah azan dialungkan oleh seorang lelaki alim. Justeru tiga sahabat berkenaan tidak menjadi faktor tamatnya peperangan. Mereka hanya menjadi sebahagian daripada pejuang yang bertempur sahaja.



Jumaat, 6 September 2019

JALAN-JALAN BELAKANG LORONG - IPOH


Sepertimana di Pulau Pinang (dan kebanyakan negeri lain juga) beberapa lorong di Ipoh turut diberikan nafas baru - sama ada mengindahkannya dengan lukisan mural ataupun menghidupkan aktiviti berjual beli terutamanya cenderamata buat pelancong.



Nak mencari lukisan-lkisan ini tidaklah susah. Yang penting anda perlu meletakkan dahulu kenderaan di tempat yang sesuai dan kemudian berjalanlah mencari lukisan-lukisan tersebut. Ia tidak diletakkan bersekali di satu tempat tetapi di beberapa lorong yang berlainan, namun tidaklah terlalu jauh antara satu sama lain. Yang penting aktiviti pencarian lukisan ini jika dilakukan bersama rakan-rakan akan menjadi sesuatu yang amat menyeronokkan sekaligus membakar sedikit kalori daripada aktiviti berjalan tersebut.





Terdapat lukisan yang dilukis atas warna dan keadaan dinding asal yang semulajadi tanpa mengikis cat lama atau membaikpulihnya terlebih dahulu. Tidak dinafikan bahawa ketika melukisnya, pelukis boleh bereksperimen dengan warna semulajadi sehingga menjadikan lukisan tersebut menarik. Namun dengan waktu yang berlalu, lukisan berkenaan telah mula rosak apabila catnya mula terkopek menjadikannya tidak lagi kelihatan sempurna.





Hamba membaca sebuah akhbar Inggeris minggu lalu yang menyatakan bahawa bandar Seremban juga telah mempunyai lukisan muralnya di beberapa lorong. Balik kampung akan datang bolehlah singgah gamaknya!!










NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...