Friday, January 31, 2014

WO AI NI ALLAH - Vanny Chrisma W.



Jikalau anda mengharapkan buku ini seperti kisah-kisah yang lazim ditemui di dalam Ayat-Ayat Cinta, Bunga Cinta Berbuah Syurga, Bumi Cinta, Cinta Suci Zahrana, Salju Sakinah dan yang seangkatan dengannya, baik lupakan saja. Ia bukan membawakan kisah seperti buku-buku itu walaupun kulit luarannya menggambarkan seolah-olah sedemikian. Namun tajuknya benar-benar melambangkan isi kandungan novel ini.

Novel ini  sebenarnya membawa satu tajuk yang berat iaitu perjalanan mencari Tuhan. Walau bagaimanapun ia disampaikan dengan cara yang cukup santai dan pembaca mampu mengikutinya tanpa merasai ianya sebuah tajuk yang sukar atau berat untuk diikuti.

Penulis cuba menggambarkan usaha sebuah keluarga ateis dalam mencari Tuhan. Seperti yang kita maklum ateis merupakan golongan yang lansung tidak mempercayai adanya Tuhan. Bagi mereka alam semesta ini terjadi dengan sendirinya. Ia dimulakan dengan watak bapa dalam keluarga ini yang dikatakan mendapat satu mimpi. Mimpi itu seolah memberitahu bahawa ada kuasa yang menjadikan alam semesta ini. Maka bermulalah pencarian lelaki ini. Beliau mencari melalui pembacaan serta melalui perbahasan dengan ahli beberapa agama. Sikapnya itu membuatkan segelintir pihak memandangnya sebagai tidak siuman, lebih-lebih lagi oleh ahli kumpulan yang telah beliau tinggalkan. Dalam usahanya itu, beliau didampingi oleh Amei, anak perempuannya yang sering mengikuti beliau ke mana sahaja. Lelaki ini bagaimanapun dibunuh. Dan sebelum mati beliau berpesan agar Amei meneruskan misinya dalam mencari Tuhan.

Selepas itu bermulalah pula kisah mengenai Amei. Pelbagai cabaran yang dihadapi oleh Amei. Walau bagaimanapun hamba melihat penulis tidak mengambil kesempatan untuk mengembangkan konflik yang dihadapi oleh Amei dalam menghadapi beberapa cabaran tersebut. Seharusnya cabaran-cabaran tersebut dapat lebih lagi memberikan rasa dramatik dan suspen di dalam penceritaan. Penulis lebih banyak mencatatkan monolog dalaman Amei. Penghujung novel yang menceritakan penculikan diri Amei juga dibuat ala kadar sahaja sedangkan dalam sesebuah novel, bahagian penghujung inilah yang biasanya digunakan oleh penulis untuk menampilkan pelbagai perkara bagi menarik perhatian pembaca. Tetapi kesempatan ini kurang digunakan oleh penulis. Bahkan kesudahan kumpulan yang menculik Amei juga dibuat sangat mudah apabila kesemuanya terlibat dalam kemalangan setelah melalui jambatan yang sempit. Dan hamba berasa agak lucu apabila polis yang mengejar mereka berhenti lebih awal kerana tahu penjahat ini akan menemui kecelakaan.

Secara keseluruhan apa yang ingin disampaikan oleh penulis novel ini adalah merupakan sesuatu yang baik. Beberapa persoalan mengenai ketuhanan yang ditimbulkan berjaya diberikan jawapannya. Namun hamba berpandangan penulis boleh melakukannya dengan lebih baik lagi.


Monday, January 20, 2014

KONSERTO


Hamba macam 'malu-malu kucing' pula bila mengambil gamba ni. Rasa malas nak ke hadapan walaupun ada ruang yang terbuka. Jadi hamba ambil dari jauh sahaja walaupun hanya gunakan kit lens kontot 18-55mm. Satu latihan handheld yang berguna sambil menggunakan natural lighting, nak tengok tangan goyang atau tidak dalam suasana begini. 







Friday, January 17, 2014

TIDAKKAH KAU DENGAR SUARA TUHANMU – Profesor Madya Dr. Mohd. Arip Kasmo & Majalah INFINITI

 


Satu sebab utama yang membuatkan hamba membeli buku ini adalah kerana penulisnya seorang yang hamba kenali lebih 20 tahu yang lalu. Beliau pernah mengajar di Sekolah Menengah Agama Persekutuan, Labu, tempat hamba mencari ilmu, belajar berdikari dan mengenali diri sendiri. Walaupun beliau tidak mengajar di kelas hamba namun kami mengenali beliau dengan baik. Semenjak masa itu lagi hamba dapat lihat kecenderungan Dr. Arip untuk mengkaji Al-Quran dan bahasa Arab serta menghubungkaitkannya dengan sains. Kadang kala beliau ada menyampaikan tazkirahnya di surau sekolah. Walaupun ceramah beliau tidak dimasukkan unsur-unsur Raja Lawak, namun fakta-fakta yang beliau bawakan selalunya berjaya memikat hamba untuk terus mengikuti kuliah hingga ke akhir. Walaupun beliau bukan seorang guru agama, mengajar matapelajaran berkaitan sains, namun kesungguhannya itu membuatkan hamba kagum. Hari ini hamba tidak ragu-ragu menyatakan bahawa ilmu Dr Arip mungkin telah sampai ke satu tahap yang amat tinggi. Ini kerana beliau bukan sahaja mempelajari agama semata-mata bahkan melakukan kajian yang mendalam untuk menunjukkan kehebatan Allah dalam mengatur perjalanan alam maya ini sekaligus menguatkan lagi keimanan dan membuktikan kehebatan mukjizat Al-Quran itu sendiri.

Sejak habis sekolah hamba memang tidak pernah lagi bertemu beliau. Beliaupun mungkin tidak ingat akan hamba, lebih-lebih lagi seperti yang dinyatakan tadi bahawa beliau tidak mengajar di kelas hamba. Namun hamba akan tetap mengingati tokoh guru yang hebat ini dan berharap untuk bersua muka suatu hari nanti.

Buku ini yang menghimpunkan tulisan beliau (yang hamba percaya pernah tersiar di majalah Infiniti) mengenai penemuan sains yang mana rupanya telahpun sedia di sebut di dalam Al-Quran. Ia merupakan satu buku yang mesti dibaca serta disimpan sebagai bahan rujukan di rumah. Berbanding dengan produksi kompilasi Utusan Karya yang lain, buku ini datang dalam bentuk yang berwarna warni serta grafik yang menarik. Sekaligus membuatkan pembacaan lebih lancar dan bersemangat.

Bolehlah disimpulkan bahawa tulisan di dalam buku ini merangkumi aspek alam semesta, kimia, astronomi, fizik, penciptaan manusia dan fitrah haiwan. Beliau mengupas sesuatu topik itu dengan membawakan penemuan atau kajian yang pernah dilakukan oleh para saintis berabad yang lalu. Namun tanpa para saintis itu menyedari, sebelum mereka menemui sesuatu perkara itu, ianya telahpun ada dijelaskan di dalam Al-Quran. Oleh yang sedemikian, penemuan sains yang dilihat selari dengan Al-Quran itu menguatkan lagi hujah bahawa Al-Quran itu adalah kalam Allah dan bukannya merupakan hasil karangan manusia. Ini memandangkan ketika Al-Quran itu diturunkan ilmu sains masih belum mendapat tempat dalam masyarakat. Masyarakat Arab ketika itu tidakpun tahu tentang penciptaan manusia, kejadian besi, DNA, cakerawala dan sebagainya. Semua penemuan sains ini hanya berlaku berabad setelah Al-Quran diturunkan. Sekiranya Al-Quran itu adalah karangan manusia tentulah ia tidak dapat mengungkapkan fakta sedemikian sedangkan ahli sains itu sendiri menggunakan masa yang lama bagi mendapatkan hasil sesuatu kajian. Oleh yang demikian tentulah Al-Quran ini diturunkan oleh zat yang mempunyai kekuasaan serta ilmu pengetahuan yang maha tinggi. Maha suci Allah daripada sebarang kelemahan.

Memandangkan Al-Quran adalah sumber ilmu pengetahuan, sudah sampai masanya bijak pandai Muslim untuk mengkajinya dengan lebih giat lagi. Hamba percaya masih banyak lagi rahsia Al-Quran yang masih belum terbongkar. Sudah sampai masanya saintis Muslim untuk terkehadapan dalam bidang ini dengan menjadikan Al-Quran sebagai sandaran utama. Segalanya telah ada di dalamnya, hanya menunggu untuk dikeluarkan saja.




Wednesday, January 15, 2014

PESTA PULAU PINANG



Beberapa minggu lepas ada tersiar berita mengenai seorang kanak-kanak yang terjatuh daripada sebuah roda besar merry go round di tapak Pesta Pulau Pinang. Musykil juga hamba kepada bapa beliau yang melepaskan anaknya pergi merayau sesuka hati. Walaupun bapa kanak-kanak itu berniaga makanan di tapak pesta tersebut, bukan bermakna beliau boleh melepaskan anaknya begitu sahaja sehingga anak itu mencuba sesuatu permainan tanpa ditemani oleh seorang dewasa. Hairan juga hamba kenapa petugas permainan berkenaan boleh melepaskan kanak-kanak sekecil 6 tahun itu untuk bermain roda tersebut tanpa pengawasan sesiapa.


Apapun, perkembangan kisah ini tidak hamba ikuti. Yang penting bayaran untuk bermain apa-apa sahaja permainan di tapak pesta tersebut amatlah mahal dan akan merabakkan poket mereka yang mempunyai anak yang ramai. Anak-anak hamba cuma dapat main satu permainan sahaja, yang mana hamba rasa sudah cukup mahal buat orang kebanyakan seperti hamba ini. Hamba layan ambil gambar cukuplah.


Ini kali pertama hamba ke pesta ini. Katanya ia cuma diadakan setahun sekali sahaja. Dan pada masa pesta ini tidak dilansungkan, tapak pesta ini dikatakan tidak digunakan lansung. Hamba tak tahu, mungkin orang Pulau Pinang boleh bagi confirmation. Sebab sekiranya tapak ini hanya digunakan sekali sahaja dalam setahun maka hamba nampak kerugian yang besar di situ memandangkan tapak ini menyediakan binaan yang kekal untuk para peniaga.



Walaupun hamba pergi pada hari bekerja, namun pengunjungnya memang ramai. Tapak meletak kereta boleh dikatakan penuh. Hamba meletak kereta di halaman rumah seorang Cina yang rumahnya terletak bersebelahan pagar sahaja dengan tapak pesta. Beliau mengambil kesempatan mencari pendapatan pada musim ini dengan menjadikan halaman rumahnya sebagai kawasan meletak kenderaan pengunjung. Kawasan itu hamba lihat seperti tempat pengumpulan barang-barang lusuh. Walaupun kawasan tersebut tidak sebaik kawasan meletak kenderaan yang disediakan oleh penganjur pesta, namun kedudukannya yang berdekatan dengan pintu masuk agak memudahkan hamba dan keluarga.



Orang yang sifatnya suka berbelanja mungkin akan merasa gembira hadir ke tempat sebegini. Pelbagai barangan (yang pastinya banyak yang tiruan) dijual dengan harga yang murah. Namun walaupun tiruan, pada pengamatan hamba kualitinya boleh tahan juga. Cuma jangan terpedaya dengan peniaga yang menjual pen drive dengan harga yang murah. Hamba bertemu dengan pen drive yang menggunakan satu jenama yang popular, mempunyai kapasiti 64G tetapi hanya dijual dengan harga RM20 sahaja. Hamba ada membelinya kerana menyangkakan ia asli lantaran pembungkusannya serta rekabentuknya yang serupa dengan yang asli. Pen drive ini memang mempunyai kapasiti seperti yang dinyatakan tetapi urusan memasukkan data ke dalamnya amatlah perlahan dan terdapat beberapa fail yang hamba pindahkan ke dalamnya tidak boleh dibuka. Hamba ada melihat pen drive yang serupa dijual di tepi jalan berhampiran Sogo dan Jalan Tuanku Abdul Rahman semalam. Nasihat hamba agar anda tidak membelinya. Ini kerana walaupun ia boleh digunakan, namun prestasinya tidaklah seperti yang asli dan dikhuatiri ada fail yang disimpan lansung tidak boleh dibuka.




Tempat ini sesuai untuk mencari beg sekolah anak-anak. Harganya hamba lihat begitu murah dengan kualitinya yang sederhana. Terlalu banyak pilihan memandangkan terdapat beberapa premis yang menjual barangan yang sama. Satu beg kecil yang hamba beli masih elok selesa digunakan walaupun harganya cuma RM25 sahaja.



Ada juga pameran dari luar negara iaitu Indonesia dan Thailand yang tidak sempat hamba kunjungi kerana kesuntukan masa. Bukan sahaja barangan dari negara mereka bahkan makanan istimewa mereka juga turut dijual.

Walaupun ini kali pertama hamba berkunjung ke sini, hamba rasa nak datang lagi tahun depan....





Friday, January 10, 2014

PERKARA UNTUK DIRENUNGKAN DI HARI JUMAAT YANG BERBAHAGIA INI

Imej dirakamkan di Taman tamadun Islam Terengganu. Hamba amat berpuas hati dengan sudut
yang hamba temui dengan ditambah editing bagi menghasilkan bayang seperti di air.


Hari ini penghulu segala hari tiba lagi. Hari ini merupakan suatu hari yang penting. Ia suatu hari yang patut digeruni juga kerana kiamat juga terjadi pada hari Jumaat. Pada hari ini kaum Adam adalah diwajibkan untuk menunaikan solat fardhu Jumaat. Sehubungan itu hamba ingin memberikan beberapa cadangan kepada saudara-saudara hamba ini yang mana hamba merasakan ada beberapa perkara yang patut diberikan perhatian bersama. Hamba bukan mahu menghuraikan perkara-perkara sunat hari Jumaat dan sebagainya. Tetapi sekadar mahu memberikan pandangan hasil permerhatian hamba di masjid yang selalu hamba mendirikan fardhu Jumaat yang juga perkara yang serupa turut berlaku di masjid-masjid yang lain.

Antara perkara-perkara yang boleh kita renungkan bersama ialah:-

1. Apabila meletakkan kenderaan, pastikan kenderaan kita tidak menghalang kenderaan orang lain. Sekiranya kita tiba lewat dan terpaksa meletakkan kereta di kawasan yang tidak bersesuaian, maka bersegeralah keluar daripada masjid setelah menunaikan fardhu Jumaat agar kenderaan kita tidak menghalang laluan trafik. Beberapa kali hamba ada terjumpa sebuah dua kereta yang diletakkan di tengah jalan, sedangkan pada ketika itu kenderaan orang ramai telah mula meninggalkan masjid dan tuan punya kereta yang diletakkan di tengah dunia itu masih belum kelihatan lagi batang hidungnya.

2. Perkara yang sama juga patut dilakukan oleh mereka yang berhasrat untuk keluar lewat dari masjid atas apa sahaja tujuan sama ada untuk melanjutkan ibadat atau beramah mesra dengan jamaah yang lain. Letakkanlah kenderaan di bahagian yang semestinya tidak mengganggu orang lain. Jagalah keharmonian sesama jemaah walaupun kita berniat baik apabila mahu lewat keluar dari masjid.

3. Apabila masuk ke dalam masjid, teruslah maju ke bahagian saf paling depan. Penuhkanlah terlebih dahulu saf-saf di bahagian depan. Selain fadhilat yang besar buat mereka yang berada di saf hadapan, ia akan memberikan kemudahan kepada jamaah yang lewat sampai. Apa yang berlaku pada hari ini adalah segelintir daripada kita akan memenuhkan bahagian belakang masjid terutamanya di kawasan yang mempunyai dinding dan tiang. Tujuannya adalah untuk memudahkan individu berkenaan bersandar dan merehatkan badan. Berkumpulnya orang ramai di bahagian belakang masjid atau di kawasan masuk ke dalam dewan solat bakal mengganggu jamaah lewat yang ingin mencari barisan saf untuk mereka duduki. Kita dapat perhatikan pada ketika ini di belakang telah penuh sedangkan di kawasan hadapan dan tengah masih ada lagi yang kosong.

4. Memandangkan orang kita sejak mula masuk ke masjid segelintirnya tidak terus ke hadapan, maka biasanya akan ada sedikit pergerakan ke hadapan apabila jamaah mahu menunaikan solat sunat qabliah Jumaat, setelah azan yang pertama. Seharusnya semua jamaah menyahut seruan ini untuk terus memenuhkan saf di hadapan atas alasan seperti di atas tadi. Ada juga jamaah yang bangun untuk menunaikan solat sunat ini tetapi  tidak maju ke hadapan walaupun jelas di hadapan mereka ada kekosongan. Mereka akan lebih malas lagi untuk bergerak sekiranya di hadapan mereka telah siap terhampar sejadah yang dibawa sendiri dari rumah. Mungkin mereka takut sejadah itu akan hilang ataupun 'itu sejadah saya maka saya perlu menggunakannya di situ'! Satu pengalaman hamba semasa menunaikan solat Jumaat di Maghribi. Kebiasaannya jumlah jamaah yang menunaikan solat amat ramai berbanding dengan keluasan masjid. Ramai jamaah yang terpaksa bersolat di luar dan mereka terpaksa membawa sejadah sendiri. Namun walaupun mereka membawa sejadah sendiri, apabila saf mula disusun semula, jamaah mula merapat dan mengisi ruangan yang kosong, mereka akan terus maju mengisi kekosongan tanpa mempedulikan sejadah mereka yang telah siap terhampar. Mereka tidak akan mengambil sejadah mereka itu untuk dialihkan ke kawasan baru. Ia akan terbiar di situ bagi digunakan oleh orang lain pula Hamba mengharapkan semangat yang serupa juga di negara kita. Kepentingan utama adalah mengisi saf yang kosong. Sejadah yang ada itu biarlah tinggal di belakang. Anda masih dapat pahala kerana memberikan keselesaan kepada orang lain melalui sejadah anda itu.

5. Apabila telah selesai solat, maka jamaah akan mula bangun meninggalkan masjid. Pada ketika yang sama juga ada yang mahu menunaikan solat sunat baadiah. Maka mereka yang mahu menunaikan solat ini diharapkan bersabarlah seketika. Berilah peluang mereka yang mahu keluar itu menyelesaikan perkara mereka dahulu. Sehingga apabila tiada lagi pergerakan maka barulah kita bangun untuk bersolat. Ini adalah untuk mengelakkan mereka ini lalu di hadapan orang yang bersolat. Apa yang hamba pelajari di sekolah dahulu orang yang lalu di hadapan yang bersolat ini amat berat dosanya. Oleh itu kita yang mahu beribadat tidak seharusnya terlalu mementingkan diri sendiri sahaja. Sama-samalah kita mengelakkan daripada dosa.

6. Mereka yang menunaikan solat baadiah ini juga sebaiknya memilih kawasan yang tidak dilalui orang terutamanya di kawasan pintu masjid. Sering hamba melihat segelintir manusia yang memilih untuk bersolat di kawasan pintu tempat orang lalu lalang. Mereka ini juga tidak meletakkan sebarang sempadan di hadapan mereka menyebabkan orang ramai melintas orang yang sedang bersolat tanpa halangan. Cubalah cari kawasan di hadapan yang terdapat dinding, tiang atau kipas berdiri. Paling kurang letaklah sesuatu di hadapan sebagai sempadan seperti kunci, dompet ataupun apa sahaja yang jelas kelihatan. Walaupun kita mahu melakukan ibadat namun maslahah umum perlu diberikan perhatian juga.

Itulah antara serba sedikit permasalahan yang hamba lihat berlaku saban minggu. Perkara yang dinyatakan sesungguhnya amatlah simple namun boleh manjadi barah jikalau ia sudah menjadi budaya dalam kehidupan. Marilah kita bersama-sama mencari pahala dan dalam masa yang sama tidak menyusahkan orang lain.

Selamat beribadah, hayya 'alas solah!!


Tuesday, January 7, 2014

KITA MUNGKIN TAK KISAH UNTUK JADI PENGOTOR




Semasa berulang alik bekerja di Putrajaya dahulu, kadang-kadang hamba singgah untuk solat di sebuah perhentian andainya hamba jangka akan lewat tiba di rumah. Perhentian ini menyediakan sebuah surau yang kecil tetapi selesa buat para pengguna. Di ruang hadapan bersebelahan pintu masuk diletakkan rak kasut yang boleh memuatkan puluhan pasang kasut. Tetapi pengunjung mungkin tidak tahu apa kegunaan sesebuah rak kasut. Mungkin mereka sangka itu sebuah rak buku ataupun tempat tinggal burung merpati. Lalu merekapun dengan selambanya meletakkan alas kaki mereka di tempat yang sebolehnya kaki mereka boleh capai sebaik sahaja melangkah keluar dari kawasan solat.




Lalu diletakkanlah alas kaki mereka sehingga ke kawasan pintu surau yang juga tempat laluan berwudhuk. Maknanya setelah kita membersihkan diri untuk mengadap Ilahi, kadang-kadang kita terpaksa memijak kawasan yang telahpun dipijak oleh alas-alas kaki ini yang mungkin juga baru keluar dari jamban perhentian rehat dan terus mendirikan solat. Ada juga insan sengal yang memakai alas kaki di tempat berpijak ruangan wudhuk. Kalau berselipar untuk mengambil wudhuk di dalam bilik air hamba boleh terima, tetapi di ruangan yang memang dikhaskan sebegini tak perlulah kita terlalu melampau seperti orang puteh yang bangsanya di dalam rumahpun berkasut. Yang menghampakan hamba juga adalah yang melakukannya itu ada segelintir yang nampak hebat dalam jubah dan serbannya, serta lebat pula janggutnya. Benarlah bahawa pakaian itu bukannya pengukur ilmu.

Mungkin juga pengunjung risau andai kasut mereka dicuri orang. Namun bagi hamba jikalau meletak di kawasan ini sekalipun ia masih boleh dicuri memandangkan orang yang bersolat tidak akan menoleh ke belakang melihat alas kaki mereka. Hamba syorkan agar disediakanlah selipar murah di dalam kenderaan. Apabila hendak ke surau maka bolehlah ditukarkan terlebih dahulu. Kalau dicuri dan kita bersabar sudah tentu ada ganjarannya buat kita. Orang yang mencuripun bukannya dapat untung apa-apa. Nampak seperti untung di dunia tetapi sebenarnya mereka termasuk di kalngan orang yang menganiayai diri sendiri.

Marilah kita menjaga kebersihan khususnya di kawasan sebegini. Janganlah kita biarkan kekotoran khususnya najis dibawa bersama ketika bersolat. Anda semua mampu melakukannya!!


Monday, January 6, 2014

SAAT IZRAIL CABUT NYAWAKU – Produksi Terbaik Mastika



Kematian adalah satu perkara yangt benar dan tiada siapa yang boleh menolak kehadirannya. Ia datang tanpa dijemput tanpa seorangpun yang mengetahui masa dan keadaan akhirnya. Perkara itulah yang sepatutnya kita runsingkan kerana perjalanan ke sana memerlukan bekalan yang mencukupi. Dan bekalan inilah yang ramai orang gagal untuk menyediakan dengan sebaik dan secukupnya.

Buku ini menghimpunkan beberapa kisah keadaan manusia ketika berhadapan dengan kematian. Sebahagiannya pernah diterbitkan di dalam Mastika dan terdapat juga beberapa buah cerita baharu. Tidak kira bagaimanapun bentuk cerita yang dikisahkan di dalam buku ini, semuanya wajar untuk kita renungkan bersama dan dijadikan iktibar. Berbahagialah mereka yang mengambil iktibar dan seterusnya menggandakan usaha untuk menyediakan bekalan ke sana.

Antara banyak cerita yang dipaparkan, hamba amat teruja serta insaf dengan kisah akhir hayat seorang pelakon Melayu lama yang bernama Tony Kassim. Sebelum membaca kisah beliau di Mastika inipun hamba pernah terbaca beritanya di akhbar. Laporan akhbar tersebut membuatkan hamba juga inginkan kematian yang ‘cantik’ sebegitu – beliau kembali kepada Allah sedang dalam keadaan sujud, yaani ketika sedang solat mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. Kisah beliau di dalam buku ini diperincikan sedikit dengan amalan Allahyarham serta kecintaannya kepada masjid. Hamba lihat hati Allahyarham memang sudah begitu terikat kuat dengan masjid. Beliau solat berjamaah, membersihkan persekitaran, membuka kunci masjid pada pagi hari dan sebagainya sehinggakan jikalau orang ingin mencari beliau maka boleh sahaja ke masjid. Allahyarham ketika itu sudah tidak lagi mahu mengingati memori silam sebagai seorang anak wayang. Apa yang telah berlaku itu cukuplah di situ sahaja. Ya Allah janganlah matikanlah hamba melainkan dalam dua perkara, pertama ketika hamba sedang berjihad fi sabilillah atau ketika hamba sedang khusyu’ beribadat dengan ikhlas kepada-Mu. Matikanlah hamba dalam keadaan husnul khatimah dan bukannya suul khatimah. Allahumma amiiin.

Terdapat juga beberapa kisah lain yang cukup cantik seperti seorang Imam yang kembali kepada Allah sebaik sahaja selesai mengangkat takbir dan tangannya kiam, individu yang seolah tahu akan masa kematiannya dan banyak lagi. Semuanya hamba yakin terhasil daripada amalan yang baik yang dikerjakan semasa hayat masih dikandung badan.

Namun kisah kematian yang dalam keadaan suul khatimah adalah perkara yang menjadi iktibar terbesar buat diri kita agar tidak melakukan sesuatu yang boleh mencelakakan diri kita kelak. Seperti yang biasa kita baca atau tonton di filem, mereka yang bersahabat dengan syaitan, mengamalkan sihir akan sukar ketika berhadapan dengan maut. Ada yang telahpun mati tetapi jasadnya masih ‘hidup’ kerana dihuni oleh makhluk lain. Semua mereka ini ketika hayatnya inginkan kesenangan hidup dunia, mahu dilindungi daripada sebarang petaka, namun mencari serta memohonnya kepada selain daripada Allah. Oleh yang sedemikian, kita yang masih lagi bernyawa ini hendaknya menghentikanlah segala perbuatan syirik ini sekiranya ada dilakukan dan bersegeralah bertaubat kepada-Nya.


Buku seperti ini kebiasaannya akan cepat kehabisan di pasaran, maka bersegeralah mendapatkannya. Niatkanlah bacaan untuk mencari ilmu serta mengambil iktibar dan bukannya membaca sekadar hiburan diri sahaja. Insya Allah akan mendapat manfaatnya nanti.



Saturday, January 4, 2014

THE AVENGERS #‎MyHeroesMyFriends - Menan TESKOH

The Avengers - minus Iron Man

Menan ni boleh dapat percuma sahaja dengan berbelanja di pasaraya besar Teskoh. Bila kira balik mainan ni dengan nisbah duit yang keluar, banyak jugak rupanya hamba dah mengkayakan tauke Teskoh ini. Tauke Teskoh pun bagi la mata sampai 16 kali ganda ke, baru puas hati.....

Let have some fight, a real man fight!!

Can I join you guys?
Sorry pal, but you are no superhero.
We don't need a cowboy on the board!!


Thursday, January 2, 2014

FAIZ & NAJAH



Lama juga hamba tak mengambil gambar orang kawen ni. Dulu rajin juga menembak ni. Asal ada jemputan saja mulalah sibuk nak membidik mengalahkan jurugambar rasmi majlis pula. Kadang-kadang jurugambar rasmi pulak naik segan bila kita lagi agresif, tambah lagi kalau senapang kita lagi mantap. Tapi la ni senapang dah kira ketinggalan zaman dah. Teknologi digital yang begitu laju menyebabkan gajet kita hari ini cepat sangat outdated. Pasangan ini hamba ambil gambarnya lebih kurang sebulan yang lalu di Kepala Batas, Pulau Pinang. Pengantin lelaki merupakan sepupu hamba jua. Kiranya hamba dan keluarga turut sama dalam rombongan pengantin lelaki. Agak-agak ada lagi ka skill ambik gambar orang kawen ni....?























Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...