Saturday, January 28, 2017

DARI ALAM LAIN - Helmi Effendy

Sekiranya ketika membaca The Lost World oleh penulis ini hamba hanya terbayangkan siri filem Jurassic Park, maka membaca novel ini seolah menonton siri Supernatural! Sekiranya dalam Supernatural ia diterajui oleh pasangan adik beradik Sam dan Dean Winchester, dalam novel ini ia diterajui oleh adik beradik kembar tak seiras Citra Adra dan Badruz Zaman yang kononnya daripasa susur galur Hang Tuah. Ibu kepada adik beradik Winchester mati sewaktu mereka masih kecil kerana dibunuh kuasa jahat yang membuatkan bapa mereka melatih kedua beradik itu untuk menjadi pemburu dan membunuh 'all things that go bump in the night'. Ibu kepada kembar anak Alang Saidi ini pula mati selepas melahirkan mereka, di mana kedua kembar ini harus segera dilarikan untuk mengelakkan mereka daripada dibunuh 'kuasa jahat'. Mereka yang ketika itu berada dalam dunia bunian telah dihantar melalui 'relung' ke dunia manusia yang akhirnya ditemui sendiri oleh datuk mereka. Alang Saidi kekal di dalam dunia itu dan kesudahan dirinya tidak jelas di dalam novel ini, cuma dibayangkan telah meninggal dunia. Habis kisah kelahiran mereka novel ini terus melangkau kepada era dewasa di mana tahu-tahu saja Badruz telah sedia menjadi seorang pemburu dan kakaknya pula mempunyai mata istimewa yang boleh melihat makhluk halus. Dean Winchester memandu Chevrolet Impala manakala Badruz memandu Proton Saga lama - jelas menunjukkan unsur patriotik terhadap barangan tempatan sekaligus menunjukkan ketahanannya!!

Tidak bosan membaca novel ini. Plotnya disusun cantik sehingga setiap peristiwa itu seumpama sebuah siri tv, di mana sesebuah peristiwa itu dapat 'diselesaikan' sebelum melangkah ke kisah yang lain pula. Walau bagaimanapun kisah ini adalah berkait sehingga ke penghujungnya. Ini kali pertama rasanya dalam novel Melayu ditonjolkan kisah pemburu hantu Malaysia yang moden kerana selain membawa peralatan tradisional, mereka turut membawa senjata moden bahkan senjata api Melayu kuno seperti terakol. Mereka mempunyai kelompok mereka sendiri, tempat berkumpul khas dan keistimewaan individu yang tersendiri. Tidaklah dapat dipastikan apakah sumber pendapatan mereka kerana mereka asyik memburu hantu sahaja.

Novel ini turut menggunakan beberapa watak sebenar dalam sejarah yang telah diolah sehingga mengarut dengan jayanya. Jangan pembaca pertikaikan tentang kelainan watak-watak sejarah ini berbanding yang pernah dibaca dalam buku sejarah kerana ia hanyalah sebuah fiksyen. Cuba bayangkan sekiranya watak-watak sejarah itu adalah seperti yang ditulis dalam novel ini. Hamba rasa memang haru biru dunia!! 

Selain itu idea patung lilin yang hidup dalam Muzium Eurasia berkemungkinan dikutip daripada filem Night At The Museum oleh Ben Stiller. Penulis juga memasukkan idea berdasarkan tempat-tempat berhantu di Malaysia seperti sebuah hotel di Genting Highland, Penjara Pudu serta hospital berhantu. Dalam peristiwa di Genting, penulis dengan beraninya melakarkan pemilik Genting mempunyai kuasa jahat besar yang akan membunuh belaan yang dibawa oleh pengunjung ke tempat itu khususnya di kasino. Perkara ini sesungguhnya adalah umpama 'urban legend' yang belum lagi dapat ditentukan kebenarannya. Tetapi walau apapun ia telah digarap dengan begitu baik sekali.

Unsur-unsur makam firaun dapat dilihat daripada kisah pencarian makam Raja-Raja Melayu zaman Srivijaya yang dikatakan telahpun ditemui terlebih dahulu oleh British tatakala membina sebuah stesen keretapi bawah tanah. Ia adalah sebuah catacomb yang mempunyai jalan berselirat serta perangkap maut. Jelas penulis amat kreatif di dalam penulisannya dalam menggunakan unsur sebegini serta mengadaptasikannya mengikut suasana tempatan.

Dilihat secara keseluruhan, penulis cuba mengungkapkan kehebatan bangsa Melayu itu sendiri sama ada melalui peristiwa masa kini ataupun yang telah lalu. Ia dibuat secara bersahaja tanpa berlebih-lebihan diserap secara perlahanlahan melalui peristiwa-peristiwa yang berlaku. Novel ini menghiburkan, tidak terlalu seram dan tidak terlalu mendebarkan. tetapi membacanya pasti akan mengikat kita sehingga tamat!!






Saturday, January 21, 2017

MUMIA TERDAMPAR DI BUMI MINANG




Muzium Negeri Sembilan rasanya bukanlah satu tempat yang orang tergila-gila atau terlalu teruja untuk mengunjunginya. Hamba tak pernah risau tidak cukup parking di sini walaupun berkunjung di lewat hari. Parkingnya memang tidak banyak, tetapi setakat pengalaman hamba mengunjunginya, ia tidak pernah penuh. Bangunannya merupakan bekas bangunan astaka Musabaqah Membaca Al-Quran yang diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Seremban ketika zaman hamba bersekolah rendah dahulu. Stadium berkenaan pun sudah lama tidak wujud berganti dengan sebuah kompleks membeli belah.

Di sebelah kanan bangunan utama ada dua buah bangunan lagi iaitu Istana Ampang Tinggi dan Rumah tradisional Negeri Sembilan. Istana Ampang Tinggi sebelum berpindah ke sini pernah diletakkan di Taman Tasik Seremban dan hamba ingat pernah mengunjunginya semasa kecil di awal 80an. Muzium ini terletak di pinggir bandar Seremban berhampiran dengan exit  tol Seremban. Dahulunya persekitaran muzium ini kelihatan damai. Tetapi sekarang nampak berserabut dan tenggelam dengan kehadiran sebuah dewan besar di atas bukit di belakang muzium serta sebuah kompleks membeli belah yang didirikan di atas tapak yang dahulunya merupakan sebuah tapak persembahan, permainan gasing, pernah juga didirikan restoran yang mana tapak ini dahlunya turut menjadi sebahagian kawasan muzium.



Ketika ini di muzium berkenaan sedang berlansung pameran Khazanah Mesir Purba. Pameran ini tajuknya nampak menarik tetapi seolah tidak berjaya menarik khalayak. Kawasan pamerannya tidaklah luas dan terletak di tingkas atas bersama aras pameran Negeri Sembilan. Manakala bahagian pameran di sebelah bawah ditutup ketika hamba berkunjung. Apabila ditinjau melalui cermin kacanya, kelihatan tidak terurus berkemungkinan sedang melalui proses pengubahsuaian. 






Ada dua replika artifak yang menjadi tarikan di pameran ini iaitu keranda Tutankhamun dan mumia Ramses. Manakala pameran yang lain lebih bersifat gambar, tulisan, diorama serta beberapa patung kecil. Antara keterangan yang perlu dibaca pengunjung ialah siapa firaun yang mengejar Nabi Musa berdasarkan kajian Dr Maurice Bucaille yang menemui unsur garam laut pada mumia firaun Merenptah. Dr. Maurice akhirnya mendapat hidayat dan memeluk Islam kerana penemuan besar ini.

Hamba rasa muzium NS perlu melakukan satu tranformasi besar-besaran. Muzium ini bukan kali pertama megadakan satu pameran khusus, tetapi pamerannya selalu bersifat kecil-kecilan sahaja dan boleh dihabiskan dalam waktu yang singkat sahaja. Oh ya bukan muzium sahaja, tandasnya perlu dibersihkan juga ya.....


Friday, January 13, 2017

SERIGALA - Lokman Hakim



Andai anda cuba mencari naskhah ini di mana-mana kedai buku, kebarangkalian untuk anda menemuinya adalah tipis. Ini kerana novel ini diterbitkan serta dijual secara ekslusif semasa pameran Big Bad Wolf 2016 pada Disember yang lalu. Ia hanya dicetak sebanyak 3000 naskhah sahaja. Dijual dengan harga murah iaitu RM8 sahaja serta datang dalam saiz yang comel. Sekiranya anda ada bertemunya di mana-mana tempat sama ada ia merupakan naskhah terpakai ataupun telah dijual melalui pasaran gelap. Walau apapun projek khas dengan penulis tempatan ini hamba lihat satu perkara yang baik memandangkan pameran ini sebenarnya lebih fokus kepada penulis dan buku antarabangsa. Jadi apabila ia memberi keistimewaan kepada penulis tempatan untuk muncul dengan satu karya yang khusus untuk dijual dalam satu tempoh dan dalam satu acara yang khas, ia secara tidak lansung memberi pengiktirafan kepada penulis tempatan serta menggalakkan lagi kemunculan karya-karya baru.

Walaupun sinopsis di kulit luarnya nampak menarik - mengenai kematian seorang novelis terkenal yang dijumpai tergantung dengan kostum serigala tersarung ditubuhnya.- Ia pada awalnya kelihatan seperti sebuah kisah penyiasatan yang akan membongkar banyak rahsia. Tetapi saat membacanya terasa seperti seorang yang sedang menghadapi penyakit skizofrenia - bahkan watak fred yang sedang menyiasat kematian Akmal juga merupakan seorang pengidak penyakit ini sementelahan pula novel ini berjalan mengikut pandangan dirinya. Justeru walaupun novel ini tidak berapa tebal, tetapi masa yang diambil untuk menyudahkannya terasa amat menyiksakan.

Ia seumpama kita membaca sebuah novel yang di dalamnya ada sebuah novel yang lain. Bayangkan diri kita secara realiti tiba-tiba menjadi watak dalam sebuah novel dan watak kita pula dikawal oleh orang lain. Bagaimana untuk melepasi daripada kawalan itu dan seterusnya menguasai semula permainan. Memang kisah ini gak berbelit-belit tetapi hamba percaya peminatnya masih ada.

Cuma hamba sahaja yang bukan peminat cerita sebegini yang telah terbeli dan terpaksa menghabiskan juga bacaannya.....

Novelis Lokman Hakim - Sumber gambar MStar Online.



Friday, January 6, 2017

SEBUAH HOTEL YANG GHAIB

Trivago masih lagi memaparkan nama hotel berkenaan seperti cetakan skrin yang diambil pada 6 Januari 2017. Walau bagaimanapun fungsinya dipadamkan dengan kenyataan no deals at this time.



Pada cuti sekolah bulan Disember yang lalu hamba telah pergi bercuti bersama keluarga ke Langkawi. Percutian ini dirancang pada saat akhir memandangkan kesibukan hamba dengan tugasan. Namun segala urusan penginapan telahpun hamba selesaikan menggunakan perkhidmatan laman Trivago. Sebuah hotel kecil bernama One Motel & Cafe hamba tempah untuk penginapan selama dua malam. Melihatkan lokasinya yang berada berhampiran pekan Kuah dan terdapat banyak restoran di sana maka hamba merasakan hotel ini merupakan satu pilihan yang tepat.

Walaupun tiba sekitar jam 2 di jeti Kuala Perlis, hanya pukul 3.30 baru ada perkhidmatan feri yang kami boleh naiki. Maknanya kami akan tiba lewat ke pulau. Walaupun telah menempah kenderaan, tapi hamba memperolehinya agak lewat memandangkan ketika itu jalan di Langkawi jem dengan kenderaan. Sememangnya waktu pemergian hamba itu merupakan cuti umum yang bersambung dengan hari kelepasan am. Maka untuk masa pergi mengambil kenderaan dan mendapatkan semula keluarga di jeti telah banyak terbuang.

Selesai memasukkan barang, dalam fikiran hanya terbayangkan hotel dan bilik mandi sahaja. Rasa ingin berehat serta menyegarkan diri setelah penat seharian dalam perjalanan. Berpandukan waze, hamba menyusuri jalan membawa ke destinasi tujuan. Tetapi sudah dua tiga kali hamba berlegar di akwasan seperti yang tertera di alamat yang diberikan, tetapi lansung hamba tidak nampak bayang lansung hotel yang telah ditempah. Lalu hamba ambil keputusan untuk bertanyakan sesiapa. Hamba masuk ke sebuah hotel kecil yang ada di situ dan bertanya dengan seorang pemuda yang bertugas di kaunter.

"Saya pun tak tau bang," kata beliau sambil menggelengkan kepala. Hamba jadi keliru seketika. Fikiran hamba sudah mula membayangkan yang negatif. Mustahil pekerja hotel di Langkawi tak pernah mendengar nama hotel ini apatah lagi alamat yang hamba perolehi adalah dalam kawasan yang sama dengan hotel beliau bertugas.

"Semalam pun ada sorang kakak datang bertanyakan hotel yang sama", sah, hamba dapat rasa hamba telah kena kelepet.

Hamba dan isteri berusaha pula mendail nombor hotel tersebut. Setelah agak lama mendail, panggilan akhirnya disambut oleh seorang lelaki cina. Kenyataan beliau bahawa hotel itu tidak ada sudah cukup untuk menambahkan lagi keresahan. "Dulu hotel ini memang ada tapi sudah lama tutup," jelas beliau lagi.

Apa yang memusykilkan hamba, sekiranya hotel berkenaan sudah tutup sejak sekian lama, mengapakah paparannya masih ada lagi dalam laman web pelancongan berkenaan. Hamba menghubungi nombor Expedia bagi mengadukan masalah berkenaan. Waktu itu jam sudah 6.30 petang dan hamba masih belum solat Asar. Dalam kekalutan bercakap di telefon, hamba putar stereng ke masjid yang terletak tidak jauh dari lokasi ketika itu. Operator pula asyik meminta hamba menunggu untuk beliau membuat pemeriksaan sedangkan hamba pula kalut nak solat. Akhirnya hamba minta dia hubungi semula lepas satu jam agar hamba dapat terus melakukan solat maghrib kemudiannya.

Kesudahannya malam itu hamba terpaksa mencari hotel yang lain. Walaupun di Langkawi ada banyak hotel, tetapi di waktu puncak seperti ini tentunya yang tinggal adalah hotel yang mahal. Namun hamba tahu hamba tidak ada banyak pilihan. Jikalau tinggal yang lima bintang sahaja, hotel itu akan hamba masuki juga. Menggunakan laman booking.com pula hamba berjaya mendapatkan sebuah hotel kecil yang memberikan harga berpatutan untuk sebuah bilik keluarga.

Sebenarnya tidak juga selesai masalah di hotel baru ini. Bilik keluarga yang dijanjikan telah penuh tetapi hotel menggantikan dengan dua buah bilik yang terletak sebelah menyebelah. Tv pula rosak dan air paipnya keluar sebesar kencing tikus dan ada kalanya tidak keluar. Malam itu hamba mandi di bilik air umum yang terletak di luar bilik.....arghhhhhh....

Nota - Pihak Expedia akhirnya telah memberikan refund terhadap amaun yang telah hamba keluarkan. Duit berkenaan telahpun berada dalam akaun hamba selepas dua hari. Pihak booking.com juga menghantar mel permohonan maaf kerana hamba tidak mendapat bilik seperti yang diiklankan mereka.

Walaupun telah beberapa kali sebelum ini menggunakan perkhidmatan online bagi menempah bilik, ini kali pertama hamba menghadapi sedikit kesulitan. Ia tidaklah terlalu menyusahkan tetapi tentunya banyak membuang masa. Ia satu pengajaran yang terbaik untuk percutian yang akan datang.... 

INIKAH SPORT CAR P. RAMLEE DALAM MADU 3?



Baru-baru ini hamba menemani isteri ke bengkel kereta mengambil kenderaan beliau yang telah siap dibaiki. Pandangan hamba tertarik ke arah sebuah kereta vintaj berwarna putih yang berada dalam proses baik pulih. Semua 'isi perutnya' telah dikeluarkan dan hanya tinggal rangka. Berkemungkinan tuan punyanya mahukan cat yang baru.

"Ini kereta sport P. Ramlee dalam Madu 3" kata pemilik bengkel, seorang lelaki yang berusia lebih pertengahan umur. Hamba jadi teruja dan lantas mengambil gambar kenderaan ini dari beberapa sudut.

"Begitulah kata pemilik dia, kalau dia tipu maka tipulah saya", jelas tuan bengkel lagi. Menurut beliau kenderaan ini dimiliki oleh seorang lelaki India yang turut memiliki banyak lagi kenderaan antik. Jelsa pemilik ini mengenali lelaki berkenaan memandangkan ini bukan kenderaan pertama lelaki berkenaan yang dibaiki beliau.







Apabila pulang hamba cuba meneliti semula filem Madu 3 bagi melihat kenderaan yang digunakan dalam filem berkenaan. Apabila diteliti walaupun kelihatan hampir serupa tetapi ada sedikit perbezaan terutama di bahagian tayar dan bahagian jeriji hadapan. Hamba tidak merasakan kereta yang di dalam filem ini ada membuat pengubahsuaian sehingga menjadi seperti gambar di atas memandangkan kebiasaan pemilik kereta vintaj tidak akan mengubah kereta mereka sehingga lari daripada bentuk asal.

Hamba rasa pakcik bengkel mungkin dah kena kelepet dengan pemilik kereta tersebut!!!








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...