Isnin, 8 Disember 2014

BIG BAD WOLF 2014 - SERIGALA ITU MEMANG JAHAT!!




Sebenarnya hamba dah bertekad untuk tidak ke pameran serigala busuk, eh jahat ini pada tahun ini. Ini memandangkan tahun ini telah begitu banyak buku yang hamba beli. Bahkan buku yang dibeli 2 tahun dulu di pameran ini juga masih ada yang masih cantik berbalut. Namun itu adalah perkara yang paling sukar untuk dilakukan bagi seorang ulat buku. Tambahan pula gambar-gambar promosi di laman fesbuk mereka seolah racun berbisa yang memerlukan hamba ke sana untuk mendapatkan penawarnya. Akhirnya hamba 'tewas' juga..


Kebetulan pada hari pertama pameran hamba mempunyai tugasan luar kawasan, jadi kesempatan itu hamba gunakan untuk singgah sebentar di Mines. Hamba bawa bersama seorang sahabat hamba yang sememangnya tidak pernah tahu akan pameran tersebut. Dalam kepala hamba sudah terbayang-bayang beberapa buku seperti yang ada di iklan fesbuk Big Bad Wolf.



Semasa kali pertama hadir ke pameran ini 3 tahun yang lalu (pameran tahun pertama BBW dahulu, hati hamba membuak-buak untuk hadir, malangnya ketika itu hamba berkampung di wad hospital selama 20 hari), hamba merasa hairan melihat ramai orang yang menarik beg pakaian yang besar-besar. Pada mulanya hamba menyangkakan bahawa beg berkenaan dibeli di pameran itu juga. Rupa-rupanya mereka yang membawa beg ini adalah pemborong tegar buku-buku di situ. Tahun yang berikutnya hamba hadir dengan membawa troli yang biasa dipakai oleh ibu-ibu ke pasar malam, begitu juga dengan tahun ini. Cukuplah dengan saiznya yang sederhana agar pembelian juga dapat dibuat secara sederhana. Makin besar bekasnya nanti, semakin besar nafsu hendak membeli. Walaupun membeli bahan bacaan dilihat satu perkara yang sihat, ia akan jadi sebaliknya jikalau apa yang telah dibeli tinggal terbiar tanpa dibaca.

Cubo ekau buntangkan mato dan tengok hargo dio berapo.....

Masuk sahaja di depan kawasan pameran, tangan telah mula mencapai sebuah buku berkenaan Steve Jobs. Harganya RM10 sahaja berbanding harga asal melebihi RM90. Rakan hamba mula nampak teruja. Kami berpisah untuk lebih bebas memilih sendiri. Buku yang ada dalam kepala hamba - Total Recall - Arnold Scwarnegger, kompilasi sketch oleh pelukis Alex Ross, set Hunger Games dan set Hobbit, Lord Of The Rings dapat hamba beli. Itupun dua set yang disebutkan tadi hamba 'jumpai' secara kebetulan, berada di tempat yang bukan dari genrenya, mungkin ditinggalkan oleh mereka yang tidak jadi membelinya. Ini kerana setelah beberapa kali hamba mengitari kawasan pameran, hamba tidak ketemu dengan buku berkenaan di tempat lain. Mungkin juga hamba tidak berjumpa atau mungkin juga stoknya belum ditambah yang baru. Buku Total Recall hamba memang rasa nak beli semasa mula-mula di pasaran awal tahun dahulu. Ketika itu harganya dalam RM85. Tapi hati hamba pujuk agar bersabar, mungkin boleh dapat dengan harga lebih murah di pesta buku nanti. Jadi apabila pameran ini menjualnya dengan harga RM3 sahaja, hamba rasa rugi amatlah hamba jikalau tidak memilikinya kerana hamba rasa di kedai buku tempatan harganya masih sama.


Pameran ini sebenarnya banyak menawarkan buku-buku berbahasa Inggeris. Buku-buku Melayu mula dijual pada tahun lepas dan tahun ini kuantitinya lebih banyak. Cuma berbeza dengan buku Inggeris yang tahun penerbitannya banyak yang baru, buku-buku Melayu pula dalam lingkungan 3 tahun ke atas, dan berada dalam kategori buku yang tidak laku di pasaran. Namun harganya masih murah, rata-ratanya dalam lingkungan RM5.

Seperti biasa hamba cukup suka bila berada di bahagian komik. Cuma tahun ini tidak banyak komik yang hamba beli berbanding tahun-tahun yang lalu. Komik yang dijual adalah set komik yang telah dijilid dengan kulit tebal, bukannya komik-komik nipis. Komik ini harga asalnya boleh mencecah ratusan RM, tetapi di sini dijual dalam lingkungan RM15-RM30 sahaja. Cuma selama hamba melawat pameran ini sejak beberapa tahun yang lalu, tidak pernah hamba berjumpa komik Superman. sama ada ia cepat habis ataupun memang tidak dijual. Kerana itu hamba membeli buku hasil tangan Alex Ross seperti yang disebutkan tadi memandangkan beliau antara pelukis terbaik komik Superman.





Mengitari kawasan pameran, masa lebih dua jam dirasakan amat pantas berlalu. Kalau diikutkan nafsu, rasa macam tak cukup buku yang dibeli. Apa tidaknya masih banyak lagi buku menarik dengan harga yang di luar jangkaan. Memikirkan hendak mula keluar dari dewan pameran, hamba cuba menghubungi sahabat yang turut sama tadi namun gagal. Menyangkakan beliau masih berada di dalam, maka hamba cuba mencarinya. Bergeraklah hamba ke depan dan ke belakang beberapa kali. Agak pilu dan sebak rasa hati apabila dalam aktiviti mencari ini tangan turut 'tercapai' beberapa buku lagi. Melayang lagi RM hamba....




Rupanya sahabat hamba itu telahpun keluar. Beliau juga memborong sampai penuh 3 beg plastik. Apabila hamba bertanya adakah persepsi beliau sama sewaktu hamba mula mengajak ke pameran itu, beliau mengatakan beliau sendiri seperti tidak percaya dengan apa yang telah dialami. Beliau mulanya ingatkan pameran ini biasa sahaja seperti pameran buku yang lain. Ya memang benar, biasanya kalau iklan pameran lain walaupun mengatakan mereka memberikan potongan sehingga 70%, namun ia hanya terhad kepada beberapa buku sahaja. Pameran ini boleh memberikan sehingga 95% dan terlalu banyak buku yang diberikan potongan dengan harga sebegini. Kerana itulah walaupun telah menetapkan had berbelanja setakat RM200 sahaja sebelum masuk, tapi terbabas juga akhirnya. Memang jahat sungguh serigala ini, habis dikikisnya poket hamba. Oleh yang demikian hamba nasihatkan JANGANlah ke pameran ini sekali-kali andai jiwa kita rapuh!!

Tahun depan bagaimana.......entahlah....
















4 ulasan:

  1. Memang selalunya begituuu....*mengenangkan poket ku yang bakal nipis dek serigala jahat ni*

    BalasPadam
  2. Tahun ni saya tselamat lg. Mmg btl buku thn lepas dan sebelmnya lom abes. Heee...

    BalasPadam
  3. ok la tu, buku saya yang dibeli lbh 20 tahun lalu pun belum ada yg dibaca!!

    BalasPadam

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...