Rabu, 25 Januari 2023

KITAB TAMADUN ROM - Hafizul Adnen


 

Tebal sungguh buku ini. Berminggu juga hamba ambil masa nak menyudahkannya. Hafizul Adnen menghidangkan kepada pembaca perkara yang jarang ditulis oleh penulis negara kita. Tidak keterlaluan hamba katakan ini kali pertama hamba membaca tulisan penulis tempatan tentang Rom yang begitu menyeluruh dan agak terperinci.

Penulis menghidangkan kepada kita pembinaan Rom dari zaman awalnya, zaman kegemilangannya sehinggalah zaman kemerosotannya seterusnya pemusatan kuasa Rom yang beralih ke Byzantium ataupun Costantinople.

Penulis menyajikan kita tentang Rom dari zaman pengasasannya dan seterusnya disusun mengikut para pemerintahnya. Bermula dengan gaya monarki sebelum beralih kepada republik dan kemudiannya kembali kepada sistem maharaja. Sistem pentadbiran Rom agak unik kerana dalam satu masa mereka boleh mempunyai dua orang pemerintah bersama.

Membaca naskhah ini kita boleh melihat cara Rom menyusun pentadbiran negara mereka seperti senat dan ketenteraan. Hubungan antara mereka ini sentiasa tegang. Kadangkala senat boleh melantik pemimpin Rom, kadangkala tentera pula yang lebih berkuasa. 

Namun membaca sejarah Rom mengikut susunan pemerintah ini amat 'memenatkan' apabila yang banyak terhidang adalah kegilaan untuk meluaskan kekuasaan, pembunuhan kejam di sana sini, pengkhianatan, saling tidak mempercayai dan sebagainya. Kerana kuasa ada abang yang membunuh adik di hadapan ibu mereka sendiri. Ada ayah yang membunuh anaknya. Perbuatan membunuh kerana mahukan kuasa di kalangan kaum keluarga dilihat seperti satu kebiasaan. Apabila naik pemerintah tertentu, mereka membunuh pula pengikut raja yang terdahulu.

Hamba tidak dapat mengikuti pembacaan dengan lancar apabila dihidangkan dengan terlalu banyak nama. Nama -nama Rom ini pula hampir sama sahaja dan panjang-panjang pula. Jadi hamba tidak dapat mengingati dengan baik kesemua nama kecuali beberapa nama yang biasa didengari dan kisah mereka juga agak panjang berbanding yang lain seperti Romulus, Julius Ceaser, Marc Anthony dan Constantine.

Andaikata kita masih hidup di zaman empayar Rom ini, nescaya kehidupan akan berada dalam keadaan tidak tenteram. Nyawa boleh melayang pada bila-bila masa sahaja. Sahabat boleh menjadi lawan dan begitulah sebaliknya. Hubungan persaudaraan juga menjadi nipis akibat tamakkan kuasa. Kerana itu apabila pertelingkahan politik berlaku di dalam negara, ia adalah satu hal yang tidak boleh dipandang ringan. Sejarah buruk Rom boleh berulang di mana sahaja. Dan orang sebegini akan sentiasa sahaja ada!


Bacalah KENITRA, tak ada gaduh-gaduh punya....!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...