Ahad, 14 April 2024

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais


 

Hamba cukup suka dengan cover  buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai adalah makanan orang Melayu yang merupakan pulut yang diperap dengan ragi beberapa hari sehingga menjadi. Hamba amat suka dengan tapai. Satu ketika dahulu ketika Uwan hamba masih sihat, beliau pastinya akan membuat tapai seperiuk besar untuk dijamu pada hari raya. Beliau tahu hamba amat meminati tapai. Uwan hamba akan memerap tapai ini di dalam periuk tersebut yang disimpan di bawah katil! Jangan tanya kenapa. Yang pastinya orang dahulu kalaumembuat tapai akan ada pantang larang yang dijaganya. Wajah tak boleh masam kalau tidak tapai juga akan menjadi masam. Wanita datang bulan juga tidak boleh membuat tapai kalau tidak tapaiunya jadi merah. Walau apapun ini cuma pantang laranmg orang dulu yang berkemungkinan besar tidak diikuti orang hari ini. Tapai boleh sahaja dibungkus dengan daun pisang. Uwan hamba selalunya menggunakan daun pokok koko.

Hamba membeli buku ini bukanlah kerana kecenderungan hamba di dalam politik kiri seperti penulisnya. Hamba membelinya kerana tulisan Hishamuddin memang sedap untuk dibaca. Tulisan beliau amat menghiburkan tidak kiralah beliau menulis dalam topik apapun. Contohnya di dalam Tapai, beliau menumpukan bicaranya tentang soal makanan. Para penulis boleh menjadikan tulisan beliau sebagai contoh dan rujukan untuk menarik minat pembaca terhadap sesuatu perkara walaupun topik berkenaan amat membosankan.

Tapai adalah himpunan tulisan Hishamuddin yang pernah tersiar di dalam Off The Edge. Tulisan bahasa Inggeris beliau akan diselangselikan dengan beberapa perkataan Melayu juga Peranchis. Pengalaman beliau yang lama berada di perantauan dan di beberapa buah negara serta benua, merasai makanan mereka, menjadikan penulisan beliau ini amat menarik sekali.

Hishamuddin tidak hanya berkisah mengenai makanan tempatan bahkan makanan yang pernah dirasainya di luar negara. Jelas bahawa beliau amat meminati ulam-ulaman, satu ciri anak kampung dari Jelebu yang dibawanya hingga kini. Namun hamba pasti apabila pembaca membaca keseluruhan kisah, pastinya akan ada tanda tanya di kepala terutamanya jika anda seorang Muslim.

Mungkin anda akan terfikir tentang status halal makanan beliau terutamanya apabila beliau membuat review beberapa restoran Cina yang menyediakan makanan berasaskan itik (Hishamudiin jelas amat meminati hidangan itik). Beliau juga di banyak tempat di dalam buku ini menunjukkan minat beliau terhadap minuman keras seperti red wine. Beliau bahkan berkisah pengalaman beliau ke sebuah warung sate dan membawa red wine dan gelas plastik secara sorok-sorok untuk dinikmati bersama sate.

Beliau juga suka hadir ke beberapa pameran lukisan, bukan untuk menikmati lukisan tetapi lebih kepada hidangan minuman yang disediakan. Dalam hal ini hamba terut terkejut apabila beliau menghadiri pameran di sebuah galeri milik seorang arkitek Melayu terkenal yang turut menghidangkan minuman sedemikian dalam satu pamerannya. Itulah hamba ini mungkin kampung sangat dalam hal ini. Tapi tanpa disedari orang Melayu kita yang kononnya millenia ini di depan media nampak mulia tetapi dibelakang lain ulahnya.

Jadi, tulisan Hishamuddin ini hamba ambil sekadar untuk pengetahuan dalam tulisan dan sama sekali tidak akan cuba mengikuti perilaku sedemikian. Cuma tulisan di dalam tapai ini adalah tulisan hampir 20 tahun yang lalu. 20  tahun mungkin telah banyak yang berubah..........?



.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...