Tuesday, November 21, 2017

ONCE UPON A TIME VOL. 1 - Nud's



Buku ini merupakan himpunan kartun-kartun loose Nud's yang pernah tersiar di majalah Gila-Gila. Kesemua halamannya berwarna - sephia, kekuning-kuningan membayangkan suasana vintage. Agak istimewa apabila kesemua dialognya ditulis dalam bahasa Inggeris walaupun kesemua kisahnya menjurus kepada suasana kampung zaman dahulu.

Semua kisah dalam ONCE UPON A TIME ibarat kisah lalu pelukis/penulisnya. Ia adalah kisah silam kanak-kanak di sebuah kampung bersama keluarga, kawan-kawan dan alam sekitarnya. Suasana seperti ini mungkin tidak lagi dijumpai pada hari ini. Kalau adapun cuma di beberapa tempat sahaja - dan mungkin agak ulu - seperti penggunaaan perigi untuk mandi ataupun membasuh pakaian di tepi sungai.

Apa yang Nud's pernah alami kebanyakannya pernah juga hamba alami sendiri sewaktu kanak-kanak dahulu. Walaupun zaman kanak-kanak Nud's berbeza daripada zaman hamba tetapi mengalami beberapa perkara tersebut membuatkan hamba dapat menghayatinya dengan baik. Kanak-kanak hari ini, terutamanya yang tinggal di bandar ataupun yang tidak pernah sekalipun menjejakkan kakinya di bandar tentunya hampir tidak pernah mengalami pengalaman sebegini, apatah lagi kampung pada hari ini juga sudah moden.

Zaman kanak-kanak Nud's adalah zaman rumah yang beratapkan rumbia, tiada kemudahan air dan elektrik. TV adalah barang mewah yang mungkin ada di rumah penghulu. Rumah yang ada TV mungkin meriah menerima kehadiran tetamu yang tidak diundang bagi menonton rancangan tertentu. Barang diingat TV pada masa lalu menghidangkan cerita yang terhad dan hanya bermula pada lewat petang dan tidak bersiaran panjang atau 24 jam seperti sekarang. Mandi sungai dan perigi adalah perkara biasa. Mengambil air di perigi menggunakan timba memerlukan skill yang istimewa. Bukan sekadar mencampakkan timba di air, kemahiran untuk menyentapnya bagi memastikan air masuk perlu ada bagi memastikan air dapat diangkut ke atas. Berjalan-jalan dengan ayah di waktu lapang merupakan satu perkara yang amat istimewa. Alam sekeliling adalah teman. Makanan dan ulaman berada di halaman sahaja, termasuk lauknya. Hendak makan ayam, maka berkejaranlah sekelilng halaman untuk menangkapnya. Apa yang ada di sekeliling boleh dijadikan mainan. Mainan biasanya dibuat sendiri. Tiada wang untuk dibeli. Senapang kayu, lastik, pedang kayu, kadangkala kemahiran ini datang dengan sendiri. Tiada alatan kadang-kadang binatang atau serangga yang ada juga boleh menjadi pengganti. Dalam hal ini Nud's menunjukkan adegan laga semut. Itu belum lagi permainan tarik upih yang thrillnya umpama menaiki senuah kereta lumba.

Sepertimana Nud's, kenangan seperti ini juga semakin jauh meninggalkan hamba. Alangkah indahnya kenangan lalu apabila kita dirapatkan dengan sahabat memalui alam, bukan seperti hari ini dipisahkan oleh gajet.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...