Rabu, 3 Julai 2019

BUMI - Tere Liye



Permulaan buku ini mulanya nampak biasa sahaja, tentang anak remaja yang masih bersekolah, aktiviti biasa mereka dan sebagainya walaupun penulis telah memaparkan tentang kebolehan Ra (Raib) yang boleh menghilangkan diri ataupun menjadi halimunan. Namun bermula dengan kebolehan tersebut seperti dapat dihidu oleh Ali dan kemunculan seorang lelaki kurus yang misteri mula mengubah segalanya.

Boleh hamba katakan novel ini umpama gabungan resepi daripada X-Men dan harry Potter. Bukan sahaja Ra yang mempunyai kelebihan aneh, tetapi kemudiannya kita akan melihat watak lain seperti Seli yang boleh mengeluarkan petir dan Ali yang dianggap sebagai makhluk tanah yang lemah boleh berubah menjadi beruang yang besar. Bahkan latar tempat tidak hanya di dunia ini tetapi juga menjengah ke dunia lain! Terdapat beberapa dunia lain lagi seperti dunia untuk klan bulan, klan matahari dan klan bintang! Kesemuanya mempunyai novel yang tersendiri. Buat masa ini karya Tere Liye dalam siri ini yang dicetak di Malaysia hanyalah Bumi, Bulan dan Matahari. Melalui carian internet di Indonesia telah ada Bintang, Ceros Dan Batozar serta Komet. Memang tak sia-sia untuk buat bacaan masa lapang.

Lelaki kurus yang kemudiannya dikenali sebagai Tamus umpama satu ancaman kepada Ra. Beliau seperti mempunyai agenda tertentu terhadap gadis itu. Apabila berlakunya runtuhan di kawasan sekolah diikuti dengan pertempuran di antara Tamus dan Cikgu Kerinting (Selena), Ra, Seli dan Ali dipindahkan ke dunia lain apabila Selena cuba menyelamatkan mereka. Di dunia baru ini segalanya menjadi aneh buat mereka bertiga. Perlu dinyatakan bahawa kesemua dunia seperti yang dinyatakan di atas tadi bukanlah berada di planet lain tetapi masih berada di dunia ini juga. Ia umpama satu lapangan yang luas yang di atasnya mempunya beberapa garisan court atau gelanggang permainan yang berbeza seperti gelanggang bola keranjang yang turut mempunyai lapisan gelanggang tenis, badminton, takraw di atasnya. Di mana pemain hanya perlu mengalihkan kedudukan tiang atau gol sahaja apabila mahu menjadikannya sebagai gelanggang tertentu. tetapi kesemua gelanggang ini walaupun berbeza letaknya tetap di atas satu lapangan yang sama.

Di dunia baru ini (dunia klan bulan) pelbagai lagi cabaran dihadapi oleh mereka bertiga di samping kemunculan beberapa watak baru. Sedikit demi sedikit misteri yang bermain di kepala pembaca dihuraikan. Namun perlu diingat bahawa siri ini terlalu banyak dan kita terpaksa mengeluarkan duit lagi untuk mengetahui kesudahan ceritanya. 

Berbanding Harry Potter yang menggunakan sihir, tulisan Tere Liye menggunakan teknologi serta kebolehan semula jadi. Harry Potter yang menjadi fenomena di seluruh dunia dahulu bukanlah kerana ia hebat sangat bagi hamba. Ia jadi begitu hanya kerana ia ditulis di dalam bahasa Inggeris sahaja. Karya Tere Liye ini jika ditulis dalam bahasa berkenaan serta diberikan promosi yang baik juga hamba percaya ia boleh jadi satu yang fenomena juga. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

UJANG & APO? BUMPER NEW-STALGIA SANTET

  Fuhhh lain macam edisi kali ini, macam kitab khas sihir pula. Ujang & Apo? bumper new-stalgia kali ini hadir dengan kulit depan yang l...