Isnin, 9 September 2019

KOC 13 - Naim Tamdjis



Cover novel ini agak menarik walaupun wajah hantu di sebelah kiri bahagian atasnya nampak macam tak berapa seram. Menggunakan tajuk Koc 13, sebuah keretapi yang membawa penumpangnya menjelajah beberapa tempat di dalam sebuah misteri, namun kesemua kisah menarik atau pengembaraan watak-wataknya, tidak berapa nak ada kejadian yang menarik di atas koc tersebut. koc tersebut tidak lebih daripada sebuah alat pengangkutan yang mebawa watak-wataknya menjelajah. Walaupun pada awal novel ada dipaparkan koc tersebut turut dinaiki oleh beberapa pontianak serta terowong bawah laut yang pecah ketika keretapi tersebut melaluinya, kisah-kisah berkenaan tidaklah diperpanjangkan.

Pengembaraan menaiki Koc 13 dimulakan dengan dua watak iaitu Raiqal dan Aiman Aklaken yang begitu kontras perwatakan mereka. Walaupun Aiman merupakan seorang penulis novel seram yang mencapai tahap best seller ternyata dia seorang yang penakut dan tidak begitu adventurous. Perbezaan perwatakan ini kemudian kelak akan menyebabkan berlakunya beberapa peristiwa yang melucukan. Pengembaraan m,ereka kemudiannya disertai Raihan yang telah 4 tahun terperangkap di dalam dunia misteri berkenaan. Mereka yang btelah menaiki keretapi ini perlu menyelesaikan beberapa quest bagi membolehkan mereka keluar daripada dunia misteri berkenaan. Gagal ataupun mati akan menyebabkan mereka kekal di dunia tersebut.

Antara cabaran ataupun dunia yang mereka tempuhi adalah cabaran di tanah perkuburan, zombi di Pulau Eurasia, dunia robot, rumah nenek kebayan, hospital gila, New York era 70an dan kerajaan Melayu Pattani di abad ke-17. Ya jangan persoalkan tempat-tempat berkenaan walaupun perjalanan Koc 13 hanya bermula di Stesen Keretapi Dabong, Kelantan!!

Antara semua quest berkenaan hamba lebih tertarik dengan cabaran yang mereka hadapi sewaktu berada di dunia robot dan New York era 70-an. Ini mungkin kerana cerita-cerita seram di tanah perkuburan, nenek kebayan, zombi termasuk juga tercampak ke era Melayu lama lebih kurang atau selalu dijumpai di dalam novel misteri dan seram yang lain. Suasana dunia robot memerlukan anda berimaginasi seperti menonton Transformers atau Pacific Rim. Manakala suasan New York memerlukan anda berimaginasi menonton trilogi Godfather. 

Cabaran di era kerajaan Pattani lama merupakan kemuncak kepada cabaran tiga sahabat ini. Sekiranya mereka berjaya, mereka boleh pulang semula ke dunia asal. Kedatangan mereka ke kerajaan Pattani dianggap sebagai penyelamat yang datang dari negeri atas angin. Sebagai penyelamat seharusnya mereka mempunyai ciri-ciri keistimewaan sama ada dari segi tenaga ataupun buah fikiran. Namun aspek ini nampak seperti sedikit terabai. Mereka bertiga pula yang terpaksa berlatih silat dengan pendekar Pattani. Kalau adapun idea yang diberikan hanyalah teknih memanah dengan menggunakan anak panah yang terlebih dahulu dicelup dengan serbuk belerang. Namun keberkesanan teknik ini tidaklah dianggap sebagai satu strategi besar yang boleh mengalahkan musuh.

Babak akhir pertempuran tiga sahabat ini seharusnya menjadi babak paling dinantikan serta diberikan penceritaan yang panjang. Namun ia tidak begitu berlaku seolah penulis mahu segera menamatkan novelnya. Cuma yang nampak sedikit penekanan adalah kemunculan semangat keberanian Aiman Aklaken, yang sebelum ini digambarkan sebagai penakut serta watak yang paling lemah, bertempur setelah kematian Raihan. Penamat pertempuran berlaku umpama tiba-tiba apabila kesemua tentera dunia hitam Lanun Langka menjadi lemah setelah azan dialungkan oleh seorang lelaki alim. Justeru tiga sahabat berkenaan tidak menjadi faktor tamatnya peperangan. Mereka hanya menjadi sebahagian daripada pejuang yang bertempur sahaja.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...